Soalan
Assalamualaikum ustaz. Apa hukum jika saya melakukan niat ketika ingin solat dengan hanya menyebut, “Sahaja aku solat fardhu Zohor,” sahaja?
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Pada asasnya, niat bererti mengingati tujuan sesuatu perbuatan ketika mula melakukannya. Menurut pengarang kitab Fath al-Qarib, niat ditakrifkan sebagai: “Memaksudkan melakukan sesuatu yang disertai dengan perbuatan. Dan tempat niat adalah di dalam hati.”[1]
Niat merupakan syarat sahnya suatu amalan ibadah. Hal ini berdasarkan hadith, sabda Nabi SAW:
إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ
Maksudnya: “Sesungguhnya amalan itu adalah dengan niat.”[2]
Untuk menjadikan solat sah, seseorang hendaklah menyertakan niat di dalam hati ketika bertakbiratul Ihram dan sedar akan tujuannya untuk bersolat semasa melafazkan takbir tersebut serta mengingati jenis solat dan fardhunya. Sementara niat untuk bersolat pula tidak disyaratkan melafazkannya.[3]
Di sisi mazhab Syafie, disunatkan disunatkan untuk mengucapkan atau melafazkan niat solat sebelum mengangkat takbir, supaya lidah dapat menolong hati, untuk menjauhkan was-was dan tidak terlalu jauh dari ulama’ yang memfatwakan kewajibannya.”[4]
Pendapat mu’tamad dalam mazhab Syafie juga menetapkan bahawa sah solat seseorang itu jika dia berniat di dalam hati tanpa melafazkan niat dengan lisan, dan inilah pandangan jumhur ulama’. Maka dalam hal ini menurut Imam al-Nawawi, jika seseorang itu berniat dalam hatinya untuk solat Zohor sedangkan lidahnya tersalah melafazkan solat Asar, maka solat Zohornya itu tetap dikira sah.[5]
Berbalik kepada persoalan di atas, kami nukilkan kenyataan Syeikh Hasan al-Kaf yang menyebut: “Tidak wajib berniat dengan mengidafahkan (yakni mengkeranakan) Allah SWT, niat menentukan rakaat, niat menghadap kiblat, niat ada’an (tunai) dan qadha’an (solat ganti), bahkan kesemua yang tadi itu adalah disunatkan (sahaja).”[6]
Ini hanya melibatkan solat bersendirian, tetapi solat berjemaah memerlukan niat menjadi makmum, berjemaah atau mengikut imam. Kata beliau lagi:
“Sekiranya musolli (orang yang bersolat) itu menjadi makmum maka wajib baginya untuk berniat Jemaah, atau mengikut imam, atau jadi makmum. Sekiranya dia tidak berniat berjemaah kemudian dia mengikut pergerakan iman secara sengaja menunggunya (yakni untuk mengikut pergerakan imam) selama panjang kadar satu rukun, maka batallah solatnya, dan tidak wajib berniat (makmum) ketika takbiratul ihram.”[7]
Sebahagian ulama mewajibkan niat semasa takbiratul ihram, tetapi pendapat yang muktamad bahawa hukumnya adalah sah tetapi makruh jika menangguhkannya sehingga pertengahan solat kerana mensia-siakan fadilat berjemaah.[8] Bagi solat Jumaat, maka wajib bagi makmum untuk berniat semasa takbiratulihram kerana syarat solat Jumaat ialah dengan berjemaah.[9]
Adapun, bagi makmum yang syak adakah dia sudah berniat makmum atau belum, maka dia hendaklah memperbaharui niatnya tanpa perlu membatalkan solatnya.
Meskipun begitu, yang akmalnya (paling sempurna) adalah dengan wujudnya qasad, ta’arud dan ta’yin sepertimana yang dinukilkan dalam kitab Safinah al-Naja.
Wallahu a’lam.
Bertarikh: 6/1/2022 bersamaan 3 Jamadil Akhir 1443H
[1] Lihat Fath al-Qarib, hlm. 75
[2] Riwayat al-Bukhari (1) dan Muslim (1907)
[3] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/129
[4] Lihat Nihayah al-Muhtaj, 1/340
[5] Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/277
[6] Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, 1/210
[7] Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, 1/210
[8] Lihat Nail al-Raja’, hlm. 148; Tuhfah al-Muhtaj, 2/2383
[9] Lihat al-Iqna’, hlm. 230