Al-Bayan Siri 1: Wang Syubhah

2
460

Telah sampai ke meja saya, soalan berhubung wang syubhah. Di manakah diagihkan wang yang haram, tidak patuh syarak atau yang syubhah?

Menurut Ibn al-Arabi dalam tafsirnya :

فإن التبس عليه الأمر ولم يدركم الحرام من الحلال مما بيده، فإنه يتحرى قدر ما بيده مما يجب عليه رده حتى لا يشك أن ما يبقى قد خلص له

Maksudnya: “Jika seseorang itu ragu-ragu tentangnya, dan dia tidak mengetahui berapakah yang halal dan berapakah yang haram di tangannya, maka wajiblah dia berhati-hati kadar harta yang masih ada ditangannya dengan mengembalikannya kepada tuannya sehingga dia tidak ada sebarang kesangsian lagi bahawa yang berbaki sudah bersih daripadanya.”

Al-Imam al-Ghazali di dalam Ihya’ Ulumuddin (2/93) mengatakan: “Jika bercampur antara harta yang halal dengan harta yang haram dan kedua-duanya tidak dapat dibezakan, maka tidaklah mengapa untuk kita menggunakannya. Hal ini adalah seperti harta yang diperolehi pada zaman kita sekarang (pada zaman al-Imam Ghazali yang wafat pada tahun 505H itu sendiri telah pun berlaku percampuran harta yang halal dan haram, apatah lagi zaman yang lebih teruk seperti sekarang.)” Katanya lagi: “Jika harta tersebut dapat dipastikan mana satu yang halal dan mana satu yang haram maka wajiblah menjauhi perkara yang haram tersebut.”

Apabila harta pendapatan seseorang bercampur diantara yang halal dan yang haram, ada beberapa cadangan yang sesuai:

  • Cuba asingkan antara duit yang halal dan yang haram.
  •  Jika dapat diasingkan, duit yang haram dikembalikan kepada tuannya manakala yang baki adalah halal boleh dimiliki serta halal untuk dibelanjakan kepada ahli keluarga.
  • Jika percampuran antara harta yang halal dan haram serta ia tidak dapat dibezakan, maka halal untuk seseorang itu menggunakannya sebagaimana keterangan Imam al-Ghazali di atas.

Manakala wang yang diyakini sumbernya haram dinasihatkan agar melakukan tindakan berikut :

  • Hendaklah diserahkan kepada pemiliknya jika mampu.
  • Diagihkan untuk kemaslahatan muslimin seperti pembinaan jalan, jambatan, tandas, pembelian ventilator dan sebagainya.
  • Baitulmal
  • Disedekahkan bagi pihak tuannya.

Sebagai kesimpulan, wang yang tidak patuh syariah boleh dimasukkan dalam sumber am dan diberi untuk maslahah umum.

Semoga pencerahan ini memberi jawapan dan menyelesaikan isu wang yang berbaki dalam akaun baitulmal bersabitan dengan wang tidak patuh syariah.

PENAFIAN: Al-Bayan adalah siri pandangan hukum yang dikeluarkan oleh Unit al-Bahth al-‘Ilmi (Penyelidikan Ilmiah) Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Ianya tidak berperanan sebagai fatwa dalam konteks akta di Wilayah-Wilayah Persekutuan dan enakmen di peringkat Negeri.

2 KOMEN

  1. السلام عليكم ورحمة الله

    Saya ingin mengajukan soalan mengenai status pendapatan yang diperolehi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

    Seperti mana yang kita sedia maklum, arahan bekerja dari rumah telah dilaksanakan bagi menghalang penularan wabak COVID-19 ini. Hanya pekerja yang terlibat dengan perkhidmatan penting sahaja yang dibenarkan untuk bertugas di pejabat. Bagi pekerja yang bekerja dari rumah, peralatan seperti komputer riba boleh dibawa pulang untuk menyiapkan tugasan mereka. Namun, ada sebahagian daripada mereka yang tidak dapat bekerja dari rumah disebabkan sifat pekerjaan mereka. Hal ini kerana pekerjaan tersebut memerlukan mereka untuk berada di tempat kerja. Memandangkan sektor pekerjaan mereka bukan di bawah perkhidmatan penting, maka mereka tidak dibenarkan untuk datang bekerja.

    Sebagai seorang Muslim, kita mestilah berusaha untuk mencari keberkatan dalam kehidupan. Soalannya, sekiranya pekerja tersebut tetap memperoleh pendapatannya sepanjang tempoh PKP ini, apakah status pendapatannya? Adakah dia dibenarkan untuk membelanjakan pendapatan yang diperolehnya? Sekiranya tidak, bagaimanakah caranya untuk menguruskan pendapatan tersebut?

    Sekian, terima kasih.

  2. Assalamualaikum Dato Seri Dr. Bolehkah tuan menukilkan secebis nota dalam siri ini berhubung masyarakat yang mudah melatah dengan aktiviti sebar berita tidah sahih atau pun palsu. Dan satu lagi bolehkah melalui kementerian tuan berkerjasama dengan kementerian pendidikan malaysia supaya dapat merumuskan silibus buat pelajar sekolah menengah yang mengetengahkan panduan memilih sumber berita, memetik teks penulis, tahun teks ditulis, siapa yang menulis seperti dititikberatkan dalam penulisan akademik di universiti. Saya melihat disiplin ini hanya berputar dalam aktiviti di universiti sahaja. Saya berpendapat disiplin ini seharusnya menjadi budaya dalam masyarakat melalui sekolah lagi, dan aktiviti ini seharusnya berterusan bukannya untuk tahun tahun tertentu sahaja. Cuma intensity pendekatan ini tidaklah terlalu akademik buat pelajar secara amnya, setidaknya mereka dapat membezakan sumber ini dan merasa syak atas kesahihan sesuatu berita. Dari rebunglah perlu dilentur rakyat Malaysia ini. Sekian, mohon pencerahan Dato Seri Dr. Terima kasih.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini