Mukadimah

Islam itu pada prinsipnya merupakan agama yang mementingkan disiplin ilmu. Ia bukan agama yang terbina atas dasar semangat beribadah semata-mata. Sebaliknya ia agama yang memandu manusia dalam segenap kehidupan tanpa mengira apa jua situasi dan keadaan. Setiap permasalahan yang berlaku ada cara penyelesaiannya menurut agama. Hanyasanya bukan semua umat Islam menguasai ilmu bagi menangani permasalahan-permasalahan yang timbul.  Benarlah firman Allah SWT:

فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya: Oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui.

(Surah al-Nahl: 43)

Dalam menangani isu Covid-19, para ulama setelah mengambil pandangan pihak yang berkepakaran dalam bidang perubatan dan kesihatan, telah mengeluarkan pelbagai fatwa sebagai panduan buat seluruh umat Islam. Antaranya sebagaimana yang diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) pada 15 Mac 2020, di Pulse Grande Hotel, Putrajaya bahawa semua aktiviti masjid dan surau termasuk solat berjemaah dan solat Jumaat ditangguhkan untuk tempoh yang tertentu.

Fatwa yang sama juga telah dikeluarkan oleh institusi-institusi fatwa yang berwibawa dari seluruh dunia seperti Haiah Kibar Ulama’ al-Azhar al-Syarif,  Hai’ah Kibar al-’Ulama al-Sa’udiyyah, Kesatuan Ulama’ Islam Sedunia, Majlis Fatwa Syar’ie, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Kementerian Waqaf dan Hal Ehwal Islam Kuwait, Mufti Republik Tunisia, Kementerian Waqaf Syria dan Kesatuan Ulama’ Syam, Majlis Agama Islam Singapura dan lain-lain.

Malangnya, setelah fatwa tersebut dikeluarkan oleh institusi-institusi yang berautoriti, masih ada kalangan mereka yang mempertikaikannya. Tiada sebarang hujah dan dalil yang dikemukakan kecuali mengatakan, “Kami lebih takutkan Allah berbanding Covid-19!” Kesannya, masih terdapat di luar sana segelintir yang ingkar menurut arahan pihak berkuasa di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Mereka malah berkeras mahu pergi menunaikan solat Jumaat dan berjemaah di masjid. Artikel pada kali ini akan cuba memberikan pencerahan terhadap kesalahfahaman ini.

 

Erti “Takut Allah”

Ungkapan takut Allah SWT tidak boleh disamakan dengan ungkapan takut penyakit atau makhluk. Sekalipun perkataan yang digunakan kelihatan serupa tetapi maksud dari sudut istilahnya berbeza. Takut dalam bahasa Melayu antaranya bererti, “tidak berani menghadapi sesuatu yang pada perasaannya akan membahaya­kan diri.[1] Justeru apabila disebut dalam bahasa Melayu takut kepada penyakit, ia bermaksud perasaan yang mendorong seseorang itu untuk menjauhkan diri daripada penyakit tersebut.

Maksud takut yang sama sudah tentu tidak tepat jika diletak kepada takut Allah SWT. Ini kerana, takut Allah SWT dalam bahasa syarak bermaksud bertaqwa kepada Allah SWT. Taqwa dari sudut bahasa berasal daripada perkatan waqaa (وقى) bermaksud menolak sesuatu daripada sesuatu dengan yang lain. Daripadanya perkataan wiqaayah (وقاية) bermakna apa yang melindungi sesuatu (ما يقي الشيء). (Lihat Mu’jam Maqayis al-Lughah, 6/131)

Dari sudut istilah, para ulama memberikan pelbagai takrif berkenaan definisi taqwa. Syeikh Ali al-Sobuni menyimpulkan bahawa kesemua takrifan tersebut berlegar pada maksud, “Mentaati segala perintah Allah dan meninggalkan segala yang diharamkannya.” (Lihat Sofwah al-Tafasir, 2/212). Ia sebagaimana yang dimanifestasikan oleh Allah SWT dalam firman-Nya:

وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانتَهُوا ۚ وَاتَّقُوا اللَّـهَ ۖ إِنَّ اللَّـهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

Maksudnya:Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (SAW) kepada kamu maka terimalah serta amalka n, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya).

(Surah al-Hasyr: 7)

Menurut al-Maraghi, dalam ayat ini Allah SWT memerintahkan umat Islam bertaqwa kepada-Nya dengan mematuhi segala perintah-Nya dan meninggalkan segala tegahan-Nya. Sesungguhnya Allah SWT amat berat ujian-Nya bagi mereka yang mengingkari perintah-Nya dan melakukan larangan-Nya. Sedangkan Rasul-Nya merupakan penjelas kepada apa yang dikehendaki oleh Allah SWT demi kebaikan hamba-Nya di dunia dan akhirat. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 28/40)

Dengan kata lain, seseorang yang takut kepada Allah dengan maksud bertaqwa kepada Allah SWT sudah tentu semakin berusaha mendekatkan diri kepada Allah SWT dan bukan sebaliknya. Sedangkan takut kepada penyakit membawa erti yang amat kontradik dengan takut kepada Allah SWT kerana ia akan membuatkan seseorang itu menjauhkan diri daripadanya. Adalah tidak masuk akal untuk mengatakan kita mesti takut kepada Allah SWT sebagaimana kita takut kepada Covid-19. Atau mengatakan kita mesti lebih takut kepada Allah SWT berbanding takut kepada Covid-19. Kedua-duanya tidak tepat kerana antara takut kepada Allah dan takut kepada makhluk itu hakikatnya terdapat perbezaan makna yang jelas.

 

Jika benar takutkan Allah, jauhkan diri daripada Covid-19!

Jelas daripada perbahasan di atas apa yang dimaksudkan dengan takut kepada Allah SWT adalah taqwa. Manakala taqwa pula hanya dicapai dengan mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan mentaati segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Persoalannya di sini, bagaimanakah seseorang yang bertaqwa menangani wabak Covid-19? Adakah dengan membiarkan diri terdedah kepada jangkitan Covid-19 atau berusaha bersungguh-sungguh menjauhkan diri daripadanya?

Dalam memahami isu ini kita perlu kembali kepada konsep taqwa itu sendiri. Bagaimanakah menangani wabak Covid-19 dalam konteks taqwa kepada Allah SWT? Dengan kata lain, apakah perintah dan larangan yang dinyatakan oleh Allah SWT dan Rasul-Nya apabila seseorang itu berhadapan dengan bahaya seperti wabak penyakit?

Pertama, di dalam al-Qur’an, Allah SWT memerintahkan agar kita jangan membiarkan diri terkena bahaya dan kemudaratan. Firman-Nya:

وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.”

(Surah al-Baqarah: 195)

Menurut Tantawi, maksud “التَّهْلُكَةِ” ialah kehancuran dan kematian atau apa jua yang boleh membawa kepadanya. (Lihat al-Tafsir al-Wasit, 329)

Dr. Wahbah al-Zuhaili pula mengatakan, ayat ini menunjukkan tuntutan untuk berjihad dengan nyawa dan harta benda. Ini kerana persediaan jihad memerlukan pelbagai kelengkapan seperti kenderaan, pakaian dan senjata yang perlu dibiayai. Oleh itu, jika umat Islam tidak melakukan infaq pada jalan Allah SWT, maka mereka seolah-olah mendedahkan diri mereka dengan kebinasaan kerana berperang tanpa persediaan. Kerana itu Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 195, “Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) ugama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.” (Lihat al-Tafsir al-Munir, 2/190)

Ini bermakna, dalam ayat ini Allah SWT memerintahkan umat Islam agar tidak membiarkan diri terkena mudarat atau bahaya tanpa mengambil sebarang sebab atau ikhtiar untuk menghindarinya. Ini dipertegaskan lagi dalam surah al-Nisa’ ayat 29:

وَلَا تَقْتُلُوا أَنفُسَكُمْ

Maksudnya:Dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri.”

Termasuk dalam maksud ayat ini orang yang membunuh diri sendiri atau membunuh orang lain tanpa mengira apa jua cara seperti mengambil dadah, meminum racun yang membahayakan dan melampau dalam mengambil risiko yang memudaratkan. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 5/32)

Apabila seseorang tidak mengambil langkah yang disyorkan pemerintah mengenai penularan Covid-19 seperti melanggar arahan PKP, ini bererti mereka dengan sengaja telah mendedahkan diri dan orang lain kepada kemudaratan. Perbuatan tersebut melanggar perintah Allah SWT supaya kita mengambil segala sebab atau usaha yang boleh mengelakkan diri dan orang lain daripada ditimpa bahaya dan kemudaratan.

Bagaimana mungkin kita mengatakan individu yang melanggar perintah Allah SWT itu sebagai takut atau bertaqwa kepada Allah SWT? Sebaliknya orang yang mentaati perintah Allah SWT dengan memelihara diri daripada kemudaratan pula dianggap sebagai orang yang tidak bertaqwa atau lebih takutkan penyakit berbanding Allah SWT.

Kedua, terdapat panduan daripada Rasulullah SAW mengenai apa yang perlu dilakukan oleh umat Islam apabila berhadapan dengan wabak penyakit berjangkit. Panduan Rasulullah SAW sudah tentu merupakan sebaik-baik panduan untuk diikuti kerana ia berteraskan wahyu Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW:

وَأَفْضَلُ الْهَدْيِ هَدْيُ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Maksudnya:Dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Nabi SAW.

Riwayat al-Baghawi (3575)

Dalam isu penyakit berjangkit Nabi SAW telah menyatakan beberapa tips dan kaedah menerusi beberapa hadis baginda. Antaranya sabda baginda SAW:

إِذَا سَمِعْتُمْ بِالطَّاعُونِ بِأَرْضٍ فَلَا تَدْخُلُوهَا وَإِذَا وَقَعَ بِأَرْضٍ وَأَنْتُمْ بِهَا فَلَا تَخْرُجُوا مِنْهَا

Maksudnya: Apabila kamu mendengar tentang wabak penyakit menular di sesuatu tempat, maka janganlah kamu pergi ke situ. Dan apabila ia berlaku di tempat kamu, maka janganlah kamu keluar lari daripadanya.

Riwayat al-Bukhari (5287)

Demikian juga dalam hadis yang lain:

 فَرْوَةَ بْنِ مُسَيْكٍ قَالَ : قُلْت يَا رَسُولَ اللَّهِ ، أَرْضٌ عِنْدَنَا يُقَالُ لَهَا : أَرْضُ أَبَيْنَ هِيَ أَرْضُ رِيفِنَا وَمِيرَتِنَا وَإِنَّهَا وَبِيئَةٌ أَوْ قَالَ : وَبَاؤُهَا شَدِيدَةٌ ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : دَعْهَا عَنْك فَإِنَّ مِنْ الْقَرَفِ التَّلَفَ

Maksudnya:Farwah bin Musaik berkata: Aku berkata: Wahai Rasulullah, tempat kami dipanggil Abain. Ia adalah kampung kami bercucuk tanam dan membuat bekalan makanan, padanya ada wabak yang berat. Lalu Nabi SAW bersabda: Tinggalkan ia daripada kamu keluar masuk, sesungguhnya ia mendekati penyakit adalah kebinasaan.”

Riwayat Ahmad (15742)

Berdasarkan petunjuk Nabi SAW inilah para sahabat mengambil pedoman dalam menghadapi penularan wabak penyakit yang berlaku pada zaman mereka. Misalnya, Saidina Umar al-Khattab, seorang sahabat yang terkenal dengan keberanian dan kepahlawanannya, apabila mendapat tahu terdapat wabak penyakit yang sedang menular di Syam, beliau mengambil keputusan untuk tidak memasukinya. Saidina Umar pun memberi arahan kepada rombongannya untuk berpatah balik. Lalu Abu ‘Ubaidah al-Jarrah R.A berkata :

أَفِرَارًا مِنْ قَدَرِ اللَّهِ

Maksudnya:Adakah perbuatan ini termasuk melarikan diri dari takdir Allah?”

Maka Saidina Umar menjawab:

نَعَمْ نَفِرُّ مِنْ قَدَرِ اللَّهِ إِلَى قَدَرِ اللَّهِ أَرَأَيْتَ لَوْ كَانَتْ لَكَ إِبِلٌ فَهَبَطْتَ وَادِيًا لَهُ عِدْوَتَانِ إِحْدَاهُمَا خَصْبَةٌ وَالأُخْرَى جَدْبَةٌ أَلَيْسَ إِنْ رَعَيْتَ الْخَصْبَةَ رَعَيْتَهَا بِقَدَرِ اللَّهِ وَإِنْ رَعَيْتَ الْجَدْبَةَ رَعَيْتَهَا بِقَدَرِ اللَّهِ

Maksudnya : Alangkah baik jika selain kamu yang mengungkapkan kenyataan ini wahai Abu ‘Ubaidah. Ya betul, kami lari dari takdir Allah menuju kepada takdir Allah yang lain. Tidakkah kamu melihat sekiranya kamu memiliki seekor unta, kemudian kamu turun kepada satu lembah yang mempunyai dua sudut. Salah satunya merupakan kawasan yang subur dan satu yang lagi merupakan kawasan yang tandus. Bukankah jika kamu memelihara unta tersebut di kawasan yang subur maka kamu menjaganya dengan taqdir Allah. Dan jika kamu memelihara unta tersebut di kawasan yang tandus maka kamu juga menjaganya dengan taqdir Allah?

Kemudian datang Abdul Rahman bin ‘Auf R.A yang sebelum ini tidak berada di situ lalu menyebutkan hadis Nabi SAW berkenaan hadis wabak penyakit seperti di atas. Riwayat Muslim (2219)

Justeru, adakah sesiapa yang berani mengatakan tindakan Saidina Umar berpatah balik kerana terdapat wabak penyakit itu pengecut? Atau berani mengatakan bahawa Umar lebih takutkan penyakit berbanding takutkan Allah SWT? Sedangkan Rasulullah SAW sendiri pernah menyifatkan Umar itu amat digeruni oleh syaitan kerana ketaqwaannya kepada Allah SWT. Sabda baginda SAW kepada Umar:

وَالَّذِى نَفْسِى بِيَدِهِ مَا لَقِيَكَ الشَّيْطَانُ قَطُّ سَالِكًا فَجًّا إِلاَّ سَلَكَ فَجًّا غَيْرَ فَجِّكَ

Maksudnya: “Demi diriku yang berada dalam genggaman-Nya, tidaklah sesekali syaitan mahu bertemu denganmu pada suatu laluan, kecuali ia akan melalui laluan lain yang bukan (menjadi kebiasaan) laluanmu.

Riwayat Muslim (6355)

Selain itu terdapat hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda:

وَفِرَّ مِنْ الْمَجْذُومِ كَمَا تَفِرُّ مِنْ الْأَسَدِ

Maksudnya: “Larilah daripada penyakit berjangkit seperti mana kamu lari daripada singa.”

Sahih Al-Bukhari (5707)

Ibn al-Qayyim menjelaskan, menerusi hadis ini dapat difahami petunjuk Nabi SAW agar kita melindungi diri daripada penyakit berjangkit dan supaya orang yang sihat menjauhi orang yang berpenyakit tersebut. Ini memperlihatkan betapa belas kasihnya Nabi SAW terhadap umat baginda agar mereka dijauhi kusta (al-juzam) yang merupakan penyakit yang boleh membawa kerosakan saraf dan kecacatan anggota badan. (Lihat Zad al-Ma’ad, 4/147-148)

Demikian juga tindakan Nabi SAW apabila menolak seorang pesakit kusta untuk berbaiah langsung dengan baginda. Ini berdasarkan riwayat ‘Amar bin Syarid daripada bapanya:

 كَانَ فِى وَفْدِ ثَقِيفٍ رَجُلٌ مَجْذُومٌ فَأَرْسَلَ إِلَيْهِ النَّبِىُّ -صلى الله عليه وسلم- « إِنَّا قَدْ بَايَعْنَاكَ فَارْجِعْ

Maksudnya: “Dalam delegasi Tsaqif (yang akan dibaiat Rasulullah SAW.) terdapat seorang lelaki berpenyakit kusta. Lalu Rasulullah SAW. mengirim seseorang utusan supaya mengatakan kepadanya, “Kami telah menerima baiat anda. Kerana itu anda telah boleh pulang.

Riwayat Muslim (5958)

Daripada perbuatan-perbuatan yang ditunjukkan oleh Nabi SAW ini menjadi panduan kepada kita agar melindungi diri daripada penyakit berjangkit seperti Covid-19. Bila Nabi SAW sendiri yang melakukannya, ia bukan bermakna Nabi SAW lebih takutkan penyakit berbanding takutkan Allah SWT. Sebaliknya baginda mahu mengajarkan kepada kita supaya sentiasa berusaha, berikhtiar dan mengambil asbab (sebab-sebab) sama ada dalam mencapai sesuatu yang baik atau menghindari sesuatu yang buruk.

 

Kesimpulan

Akhirnya, hayatilah hadis Rasulullah SAW berikut:

أَنَّ أَنَسَ بْنَ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ يَقُولُ جَاءَ ثَلَاثَةُ رَهْطٍ إِلَى بُيُوتِ أَزْوَاجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَسْأَلُونَ عَنْ عِبَادَةِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَلَمَّا أُخْبِرُوا كَأَنَّهُمْ تَقَالُّوهَا فَقَالُوا وَأَيْنَ نَحْنُ مِنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَدْ غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ وَمَا تَأَخَّرَ قَالَ أَحَدُهُمْ أَمَّا أَنَا فَإِنِّي أُصَلِّي اللَّيْلَ أَبَدًا وَقَالَ آخَرُ أَنَا أَصُومُ الدَّهْرَ وَلَا أُفْطِرُ وَقَالَ آخَرُ أَنَا أَعْتَزِلُ النِّسَاءَ فَلَا أَتَزَوَّجُ أَبَدًا فَجَاءَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَيْهِمْ فَقَالَ أَنْتُمْ الَّذِينَ قُلْتُمْ كَذَا وَكَذَا أَمَا وَاللَّهِ إِنِّي لَأَخْشَاكُمْ لِلَّهِ وَأَتْقَاكُمْ لَهُ لَكِنِّي أَصُومُ وَأُفْطِرُ وَأُصَلِّي وَأَرْقُدُ وَأَتَزَوَّجُ النِّسَاءَ فَمَنْ رَغِبَ عَنْ سُنَّتِي فَلَيْسَ مِنِّي

Maksudnya: “Daripada Anas bin Malik katanya, tiga orang telah datang ke rumah isteri-isteri Rasulullah SAW mereka bertanya tentang ibadat baginda. Apabila mereka diceritakan seolah-olah mereka merasakannya sedikit. Mereka berkata: “Di manakah kedudukan kita jika dibandingkan dengan Rasulullah SAW sedangkan baginda telah diampunkan dosanya yang terdahulu dan yang kemudian. Salah seorang mereka berkata: “Saya akan sentiasa bersembahyang malam dan seorang lagi berkata: “Saya berpuasa sepanjang tahun, tidak akan berbuka (tidak ada hari yang tidak berpuasa) dan orang yang terakhir berkata: “Saya akan menjauhi perempuan dan tidak akan berkahwin selama-lamanya. Tiba-tiba Rasulullah datang kepada mereka seraya bertanya: “Kamukah yang mengatakan begini, begini? Demi Allah, sesungguhnya aku lebih takutkan Allah daripada kamu, paling bertaqwa kepada-Nya daripada kamu namun aku berpuasa dan aku berbuka, aku sembahyang dan aku tidur dan aku mengahwini perempuan. Maka dengan itu, sesiapa yang tidak suka akan sunnahku maka dia bukan dari kalanganku.

Riwayat al-Bukhari (4675)

Justeru, daripada hadis ini dapat kita fahami bahawa sekalipun Rasulullah SAW itu merupakan manusia yang paling bertaqwa dan takutkan Allah SWT, namun baginda tetap menjalani kehidupan sebagaimana manusia biasa seperti makan minum, berkahwin dan tidur malam. Ini bermakna sikap ghuluw atau melampau sehingga memudaratkan diri apatah lagi jika dengan sengaja mendedahkan diri kepada kemudaratan yang hampir pasti adalah bukan daripada ajaran agama bahkan tiada kena mengena dengan agama Islam.

 

Unit Penyelidikan Ilmiah
Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)
Jabatan Perdana Menteri

___________________________

Nota Hujung:

[1] Lihat http://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=takut, dilayari pada 2 April 2020.

 

 

PENAFIAN: Al-Bayan adalah siri pandangan hukum yang dikeluarkan oleh Unit al-Bahth al-‘Ilmi (Penyelidikan Ilmiah) Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Ianya tidak berperanan sebagai fatwa dalam konteks akta di Wilayah-Wilayah Persekutuan dan enakmen di peringkat Negeri.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini