Andai Masa Boleh Diputar

3
3490

“Cepat, Zul…lambat nanti. Rasanya Maulana dah sampai tu!”. Zulkifli Singapore mengajak Zul ke Masjid Nabawi. Zulkifli adalah salah seorang rakannya yang berasal daripada Singapura. Oleh kerana ada beberapa orang yang bernama Zulkifli, maka masing-masing ada panggilan bagi memudahkan untuk dikenali rakan dan para masyaikh. Di sanalah juga bermulanya panggilan Zulkifli Mohamad Al-Bakri. Menjadi kelaziman setiap dua tahun, pimpinan Jama’ah Tabligh sedunia akan pergi ke Mekah untuk menunaikan haji dan pasti akan singgah menziarahi Madinah. Tahun 1991 adalah tahun kedua Zul di Universiti Islam Madinah dan beliau sudah ada Mazda 929 yang dipandu oleh Khairul ke mana-mana.

Maulana In’amul Hasan

Khairul memecut laju meninggalkan asrama yang jaraknya sekitar 15 minit dengan menaiki kereta bersama Zulkifli Singapore dan Zaini. Ketiga-tiganya begitu teruja untuk bertemu Maulana Hadratji In’amul Hasan yang sedang berada di Masjid Nabawi. Beliau adalah Amir Jemaah Tabligh yang ketiga selepas pemergian Maulana Yusuf Kandhlawi pada tahun 1965. Sehingga tahun 1991, sudah 26 tahun beliau memegang tampuk amanah sebagai Amir dalam usia yang mencecah 73 tahun. Berkelulusan Madrasah Kashif-ul-Uloom, Nizamuddin, New Delhi dan Mazahir Uloom Saharanpur, Maulana Hadratji In’amul Hasan seterusnya mewakafkan seluruh hidupnya kepada usaha dakwah ke seluruh dunia.

Di Masjid Nabawi, orang ramai sudah mula hadir memenuhi ruang tengah masjid. Kebanyakannya daripada India, Pakistan, Bangladesh dan mereka yang beriltizam dengan Jemaah Tabligh. Zul melihat dari jauh, seorang tua yang dibawa dengan kerusi roda memasuki masjid melalui Bab al-Nisa’. “Tu, Maulana sapa doh! Eh, Sebelah Maulana Hadrajti In’amul Hasan hok pakai kurta tu, ana kenal. Tu Maulana Umar Palanpuri. Orang gelor die Lisan Tabligh. Kali pertame ana juppe due-due ulama ni, mase ana umur 13 tahun. Ade ijtimak di Bukit Besar mase tu.”, Zul berbisik kepada Zaini. Semua berdiri bagi memuliakan kehadiran keduanya dan sebahagiannya berkerumun mengelilingi beliau untuk bersalaman namun tidak diizinkan oleh para pembantunya atas faktor kesihatan. Hadirin membuka laluan yang luas bagi beliau lalu sehingga ke makam Rasulullah SAW. Bagi yang membawa kamera, itulah kesempatan untuk mengambil gambar kenangan. Zul ada membawa kamera bersamanya cuma filem gulung Kodak tertinggal di asrama. Suasana sebegitu jarang-jarang berlaku kecuali apabila kehadiran ulama’ besar ke Madinah. Turut mengiringi beliau adalah para masyaikh daripada Markaz Nizamuddin.

Maulana Umar Palanpuri

Maulana Hadratji In’amul Hasan kemudiannya menunaikan solat sunat dua rakaat dan bertafakur beberapa ketika di situ. Syeikh ‘Abdullah al-Zahim, Imam Masjid Nabawi yang kebetulan ada di situ bertanya kepada beberapa orang yang hadir, “Siapa beliau?”, Mereka menjawab, “Itu Maulana In’amul Hasan, ulama besar daripada India.”. Para ulama’ India agak kurang dikenali di Arab Saudi, kecuali Maulana Abu al-Hasan ‘Ali al-Nadwi. Pertemuan itu bagaikan satu dejavu kepada Zul kerana bayan yang disampaikan, mengingatkannya kepada ijtimak di Bukit Besar yang dihadirinya 9 tahun lalu. Di akhir majlis ringkas tersebut, Zul melihat sendiri hadirin beramai-ramai memegang tali dan hujung tali dipegang oleh Maulana In’amul Hasan sebagai simbolik bai’ah yang diberikan kepada beliau sebagai Amir Jema’ah Tabligh sedunia.

*********************

“Zul, ana nak ajak enta ke rumah Syeikh Hammad al-Ansari malam ni.”, Dr. Radzi Osman menyapanya pada satu pagi. Dr. Radzi Osman adalah pensyarah Universiti Sains Malaysia, berkelulusan PhD dalam bidang Hadith di Universiti Islam Madinah. Beliau kembali ke Madinah untuk menjalani cuti sabatikal di sini. Syeikh Hammad bin Muhammad al-Ansari al-Khazraji al-Sa’di dilahirkan pada tahun 1343 Hijrah di sebuah negeri yang disebut sebagai Tad Makkah, Mali di sebelah Afrika Barat. Al-Sa’di itu nisbah kepada Sa’ad bin Ubadah yang merupakan Sahabat Nabi SAW. Dikatakan bahawa sejak kecil lagi terzahir pada Syeikh tanda-tanda kemuliaan yang mana beliau begitu cinta kepada ilmu.

Kehidupannya bersama bapa saudaranya yang juga seorang ulama’ yang hebat, memberinya peluang untuknya hidup dalam suasan keilmuan. Syeikh Hammad al-Ansari mula menghafal al-Quran ketika berusia 8 tahun disamping mempelajari ilmu-ilmu alat, hadith dan banyak kitab sebelum sampai umur akil baligh. Beliau telah menghafal matan al-Kafiyah wa al-Alfiyah oleh Ibn Malik, al-Alfiyah oleh al-Suyuthi, Jam’ al-Jawami’ oleh al-Subki, al-Mu’allaqat dan lain-lain lagi.

Syeikh Hammad al-Ansari

Beliau telah keluar dari negerinya dan berpindah disebabkan penjajahan Perancis. Apabila beliau berusia 21 tahun, beliau berhijrah ke Mekah dan di situ beliau mula mengikuti halaqah-halaqah ilmu yang ada di Masjid al-Haram. Antara gurunya ialah Syeikh Hamid al-Faqqi, Syeikh Abdullah al-Masyyath dan Syeikh Muhammad Amin al-Halabi. Beliau melazimi halaqah-halaqah di sana dengan penuh istiqamah tersebut sehingga diberi izin oleh Syeikh Abdullah bin Hasan Aal al-Syeikh untuk mengajar di dalam Masjid al-Haram.

Setelah itu, beliau berpindah pula ke Madinah dan sempat belajar dengan beberapa orang guru di Dar al-‘Ulum. Antaranya ialah Syeikh Muhammad al-Hafiz, Syeikh Umar Barri, Syeikh Abduh Khudai’ dan ramai lagi. Kemudian, beliau kembali ke Makkah. Pada musim haji beliau telah bertemu dengan Syeikh Abdul Latif bin Ibrahim dan Syeikh Muhammad bin Ibrahim Aal al-Syeikh. Kedua syeikh ini telah menyarankan kepada beliau untuk berpindah ke Riyadh. Di sana, beliau telah menjadi guru di kuliah Syariah sebelum beliau berpindah ke Ma’had Imam al-Dakwah al-‘Ilmi. Selepas beliau berkhidmat di sana beberapa tahun, beliau kembali semula ke Kuliah Syariah sebelum dipindahkan ke Universiti Islam Madinah.

Sifat cinta kepada ilmu dan muridnya terserlah pada Syeikh Hammad al-Ansari. Ini terbukti dengan kebanyakan masa beliau dihabiskan untuk mengulangkaji dan beliau juga menjadi tempat rujukan kebanyakan alim ulama’ dan penuntut-penuntut ilmu. Di samping itu, perpustakaan beliau juga menjadi tempat kegemaran para pencinta ilmu disebabkan ia dipenuhi dengan buku-buku rujukan yang terdiri daripada pelbagai bidang ilmu. Selain itu juga, beliau juga gemar menghimpunkan manuskrip-manuskrip lama terutamanya dalam bidang hadith. Beliau ada menghasilkan beberapa buah kitab berkaitan hadith sepanjang hayatnya.

Disebabkan sifat cinta beliau kepada ilmu yang amat tinggi maka ramailah yang ingin berguru dengan beliau. Antara murid dan yang mengambil sanad daripada beliau ialah Syeikh Abdullah bin Jibrin, Syeikh Bakar Abu Zaid, Syeikh Rabi’ bin Hadi, Syeikh Soleh al-‘Abud, Syeikh Soleh Ali Syeikh, Syeikh Ali al-Faqihi, Syeikh Soleh al-Suhaimi, Syeikh Athiyyah Salim, Syeikh Muhammad bin Nasir al-‘Ajami, Syeikh Abdul Razzaq al-Badar, Syeikh Umar Fallatah dan ramai lagi para ulama.

Antara karya-karya beliau adalah al-Ajwibah al-Wafiyah ‘an Asilah al-Alfiyah, Abu al-Hasan al-Asy’ari wa Aqidatuhu, Tuhfah al-Sail ‘an Saum al-Murdhi’ wa al-Hamil, Ithaf Zawi al-Rusukh bi man Dallasa min al-Syuyukh dan Sabil al-Rusyd fi Takhrij Ahadith Bidayah Ibn Rusyd.

Zul amat teruja melihat rumah Syeikh Hammad al-Ansari yang amat gah. 2 tingkat di atas tanah dan 1 tingkat bawah tanah yang merupakan perpustakaannya. Pertemuan yang diadakan di bilik bawah tanah tersebut, menghimpunkan ramai para ulama dan penuntut ilmu dalam kalangan pelajar Sarjana dan Doktor Falsafah. Turut kelihatan adalah guru kepada Zul, Syeikh Muhammad ‘Ali Thani. Di hadapan Syeikh Hammad al-Ansari, ada 3 buah telefon yang sentiasa berdering setiap satu. “Sibuk betul Syeikh…”, Zul berbisik sendirian sambil menggelengkan kepala. Setiap satu panggilan itu bertanyakan fatwa dan Syeikh akan menjawabnya secara spontan.

“Terima kasih kepada yang menelefon saya. Anda bertanya tentang adakah doa itu perkara ibadah. Saya nyatakan, ia benar. Oleh kerana doa situ ibadah, maka kebanyakan ulama menganggap, ibadah terhenti kepada nas dalam pelaksanaannya. Inilah yang disebut oleh ulama’ usul,

الأَصْلُ فِي العِبَادَةِ التَّوَقُّف

Kaedah ini telah disebut oleh ramai ulama, antaranya Ibn Hajar dalam Fath al-Bari. Begitu juga dalam Syarh Zaid Ibn Ruslan, dalam Syarh al-Zurqani terhadap al-Muwatta’, juga dalam al-Adab al-Syar’iyyah oleh Ibn Muflih dan Nail al-Autar oleh Imam al-Syaukani. Wallahu a’lam.

Telefon kedua pula berdering.

“Wa’alaikumussalam. Ya, ya. Dilarang untuk kita kaum lelaki mencukur janggut. Nabi S.A.W bersabda:

‏ أَحْفُوا الشَّوَارِبَ وَأَعْفُوا اللِّحَى

Maksudnya: Cukurlah misai-misai, dan biarkanlah jangut-janggut.[1]

Rasulullah S.A.W bersabda

خَالِفُوا الْمُشْرِكِينَ، وَفِّرُوا اللِّحَى، وَأَحْفُوا الشَّوَارِبَ

Maksudnya: Berbezalah kalian dengan orang musyrikin, kekalkan janggut dan potonglah misai.[2]

Kata Imam Ibn Hajar Al-Asqalani Rahimahullah apabila mensyarahkan hadis ini: Perintah Nabi berkaitan janggut bererti, kekalkanlah ia iaitu biarkanlah ia dalam keadaan yang banyak.[3] Adapun berkenaan memelihara dan membiarkan janggut, iaitu membiarkannya serta tidak melakukan perubahan, maka ulama Malikiah dan Hanabilah menghukumkan cukur sebagai haram dan tidak menghukumkan sebagai makruh memotong jika lebih dari satu genggaman dan juga tidak menghukumkan sebagai makruh memotong bahagian yang dibawah halqum seseorang, ini kerana mengikuti perbuatan Ibn Umar. Manakalah ulama Hanafiah menghukumkan sebagai makruh tahrim jika mencukur janggut. Adapun ulama Syafieyyah menghukumkan sebagai makruh tanzih. Al-Nawawi dalam Syarh Muslim telah menyebut tentang sepuluh perkara yang makruh pada janggut, antaranya ialah mencukurnya kecuali sekiranya janggut itu tumbuh pada seseorang perempuan, maka disunatkan mencukurnya. Wallahua’lam.”

Gagang telefon diletak. Para penuntut ilmu yang hadir, sibuk mencatat faedah yang diperoleh daripada pertemuan itu. Zul seolah-olah sedang berada di dunia yang berbeza. Begitulah hebatnya Syeikh Hammad al-Ansari dan keluasan ilmunya.  Beliau ibarat perpustakaan bergerak yang memuatkan puluhan ribu buah kitab.

“Hadirian sekalian, saya menerima soalan yang baik daripada seorang hamba Allah. Beliau bertanyakan hukum mengangkat tangan ketika berdoa dan menyapu muka selepas berdoa.” Syeikh berkongsi pengalamannya dengan semua tetamu yang hadir.

“Soalan itu mengingatkan saya ketika saya berada di Mekah satu ketika dahulu. Saya sedang berdoa di Masjidil Haram sambil mengangkat tangan dan kemudiannya saya menyapu muka. Seorang pemuda menegur saya dan menyatakan hal tersebut tidak dilakukan oleh Nabi SAW. Saya pun berhujah dengannya dengan memberikan beberapa buah hadith. Alhamdulillah, dengan asbab bantahan pemuda itu, saya telah merujuk kembali kitab-kitab hadis dan mendapati banyak riwayat yang menunjukkan Nabi SAW mengangkat tangan ketika berdoa. Antaranya riwayat al-Bukhari, al-Tirmizi, Ahmad, al-Nasaie dan lain-lain. Manakala, Rasulullah SAW juga menyapu muka selepas berdoa sebagaiman dinyatakan oleh ‘Umar al-Khattab dalam hadis Riwayat al-Tirmizi. Imam al-San’ani menyatakan bahawa hadith ini mempunyai beberapa sokongan (syawahid). Antaranya di sisi Abu Daud daripada riwayat Ibn Abbas R.anhuma dan selain daripada beliau. Dengan itu, kesemua jalur atau riwayat yang ada itu mengangkat hadith tersebut ke tahap hasan.[4]

********************

Syeikh Mutawalli al-Sya’rawi

Syeikh Mutawalli al-Sya’rawi pernah berkunjung ke Madinah. Kehadirannya mendapat liputan meluas media. Sayangnya, Zul tidak dapat meluangkan masa untuk bertemu dengan tokoh pendakwah dan ahli tafsir terkenal ini atas faktor kekangan jadual pengajiannya.

Semasa di Madinah, beliau telah melantunkan sebuah syair yang menimbulkan polemik dalam kalangan sebahagian ulama’ di Mekah dan Madinah. Kata Syeikh Mutawalli al-Sya’rawi di hadapan Raja Fahd bin Abdulaziz,

يا ابن عبد العزيز* يا فهد شكرًا

أنت ظل الله في الأرض * تحيا بك البلاد أمنًا وسرًا

“Wahai anak Abdulaziz * Wahai Fahd, terima kasih diucapkan

Tuanku adalah bayangan Allah di bumi * Daulatlah negara ini keranamu, aman dan terpelihara!

Kenyataan beliau telah menimbulkan ketidakselesaan dalam kalangan sebahagian para ulama’ dalam bidang akidah, hadith, bahasa dan kesusasteraan Arab di sana. Sebahagian ulama bahasa yang menyokong berpandangan, itu cuma kiasan (majaz) semata-mata. Sebahagian ulama hadith menentang dengan berkata, “Hadis ini bermasalah. Antara yang mengkritik riwayat ini adalah Imam Abi Hatim apabila ditanya oleh anaknya berkaitan riwayat anas ini, maka Abu Hatim menjawab ini adalah hadith munkar dan salah seorang perawi bernama Ibn Abi Rukbah adalah seorang yang majhul!” Para ulama akidah bertegas dalam hal ini dengan berkata, “Syeikh al-Sya’rawi telah mengangkat Tuanku kepada kedudukan Allah SWT! Ini sudah melampau!”

“Ana nak tahu pandangan enta, Zul.”, ujar Hakim Zainal. Zul ketawa dan membalas dengan penuh rendah diri, “Enta bidang lughah. Lagi alim dari ana. Cuma ana nampak, Syeikh Mutawalli ni orang yang puitis bahasanya, renungannya terhadap ayat-ayat al-Qur’an memang mendalam. Ana pernah dengar dalam satu kaset ceramah dia, dia hurai firman Allah:

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّـهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulil-Amri (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.”[5]

Dia sebutkan, suruhan taat kepada pemerintah disertakan dengan ketaatan kepada Allah dan ketaatan kepada Rasulullah SAW. Hal ini menunjukkan bahawa ketaatan kepada pemerintah perlulah pemerintah itu didasari dengan ketaatan kepada Allah dan Rasulullah SAW supaya dengan itu masyarakat akan terpelihara dengan keimanan dan daripada penindasan terhadap rakyat di bawahnya. Jadi, setiap pemerintah dituntut untuk menunaikan amanah dengan sempurna dan setiap pemerintah ni juga dituntut sentiasa mentaati Allah dan Rasul-Nya. Sekiranya ini tak berlaku, Syeikh katakan mereka ni pemerintah yang zalim.[6] Jadi, ana berpandangan ape yang Syeikh ucap tu cuma kiasan untuk memuliakan Raja Fahd. Tak lebih dari tu…”

Begitulah hebat pengaruh Syeikh Mutawalli al-Sya’rawi sehingga kata-katanya yang cuma sebaris, telah diperdebatkan oleh para ulama dalam pelbagai bidang ilmu. Zul begitu mengkagumi sosok tubuh ini dan sentiasa merujuk Tafsir al-Sya’rawi yang mula dicetak seminggu sekali oleh Akhbar al-Yawm di Mesir sejak tahun 1991.

********************

“Jaafar. Enta dah baca kitab Maza Khasira al-‘Alam bi Inhitat al-Muslimin?  Tulisan Maulana Abu al-Hasan ‘Ali al-Nadwi.”, tanya Zul kepada Jaafar. “Ye, dah baca. Bagus kitab tu. Dikatakan seolah-olah bergegar tiang-tiang Masjid al-Azhar asbab kehadiran kitab tu ke bumi Mesir. Para ulama’ al-Azhar kagum sangat dengan adanya ulama daripada India yang mampu mengulas isu umat Islam dengan amat baik, dalam Bahasa Arab yang amat baik.”, jawab Jaafar. Hakim Zainal yang berada di situ menyampuk, “Minggu lepas dia ada datang bagi syarahan di Maktabah Malik Abdulaziz. Ramai masyaikh pergi. Dengar katanya Syeikh ‘Atiyyah Salim pun ada.”. Zul menundukkan kepala dengan bersuara perlahan, “Rugi ana tak dapat pergi. Ada kelas masa tu…

Terbitan Pustaka Cahaya Kasturi

Maulana Abu al-Hasan ‘Ali al-Nadwi adalah antara ulama’ yang banyak bermusafir bagi menyampaikan dakwah, menyampaikan syarahan di seminar dan muktamar ke seluruh dunia. Pertama kali beliau keluar daripada India adalah pada tahun 1947 ke Mekah dan musafirnya yang terakhir adalah ke Dubai pada tahun 1999. Mekah dan Madinah adalah antara tempat yang wajib dikunjungi setiap setahun atau dua tahun sekali. Beliau pernah ke Malaysia pada tahun 1987 atas jemputan ABIM, Persatuan Ulama Kedah dan Maahad Tarbiah Islamiah Derang. Di Malaysia, antara negeri yang menerima kunjungan beliau adalah Kedah, Terengganu, Selangor dan Kuala Lumpur.

“Kalau enta dua nak tahu, masa di Terengganu tu, Maulana Abu al-Hasan al-Nadwi bagi ceramah di Markaz Tabligh Kubang Bujuk, SMAASZA, Masjid Rusila. Kawan ana yang pergi tu kata, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang jadi penterjemah. Maulana kupas kisah Rib’i ibn Amir dan Panglima Parsi, Rustum.

Beliau juga amat prihatin terhadap permasalahan Palestin dan tidak menganggap isu tersebut sebagai isu negara, rakyat Palestin, atau bangsa Arab semata-mata, tetapi ia adalah isu umat I slam sejagat. Justeru, seluruh umat Islam sewajarnya dikejutkan berkenaan isu ini serta bahayanya jika ia dibiarkan begitu sahaja. “Bagi ana, selain kitab Maza Khasira al-‘Alam bi Inhitat al-Muslim, kitab al-Muslimun wa Qadiyyah Filistin pun baik untuk kita baca. Insya-Allah satu hari nanti ana akan tulis biografi Maulana.”, kata Zul kepada Jaafar dan Hakim Zainal.

Terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka

********************

Ketika Zul menyambung pengajian di Universiti Islam Madinah, Syeikh Nasiruddin al-Albani menetap di Jordan dan tidak lagi menjadi pensyarah Kuliah Hadis di Universiti Islam Madinah. Ada beberapa buah kitabnya pernah dibaca oleh Zul antaranya Syarah dan komentar beliau bagi kitab al-‘Aqidah al-Tahawiyyah, Silsilah al-Ahadith al-Sahihah dan Silsilah al-Ahadith al-Da’ifah.

Pada satu petang, beliau mendapat khabar bahawa Syeikh al-Albani berada di Masjid Nabawi. Maka, Zul dan Khairul bergegas untuk bertemu dengan tokoh ulama’ hadis tersebut. Beliau pada ketika itu sedang bersandar di tiang dan dikelilingi ramai hadirin. Zul dan Khairul duduk bersama-sama dengan ratusan orang yang hadir pada ketika itu.

Syeikh Nasiruddin al-Albani

“Syeikh, bagaimana hukum beramal dengan hadis daif?”, tanya seorang hadirin kepada Syeikh pada ketika itu. Syeikh pun menjawab, “Saya berpandangan bahawa ia tidak boleh diamalkan secara mutlak walaupun dalam hal fadha’il amal, apatah lagi dalam hukum hakam. Benar, pandangan yang masyhur di sisi ulama’ hadis adalah ia boleh diamalkan dengan syarat tertentu namun saya berbeza dengan mereka dalam masalah ini. Pandangan ini juga adalah pandangan Yahya bin Ma’in, Abu Bakr Ibn al-‘Arabi, Imam al-Bukhari, Imam Muslim serta Ibn Hazm. Pun begitu, boleh beramal sekiranya hadis tersebut kuat dasar pensyariatannya dengan sokongan hadis lain.

Khairul berpaling kepada Zul dan bertanya, “Betul ke dop buleh amal dengan hadis daif? Bukan ke buleh?”. Zul tersenyum dan memandang adiknya. “Isu ni Syeikh bahas panjang lebar dalam Tamam al-Minnah fi Ta’liq ‘ala Fiqh al-Sunnah. Nanti kelik bilik aku tunjuk kupasan die. Kita hormat pandangan die. Aku pulop pegang pandangan Imam al-Nawawi, Mulla ‘Ali al-Qari dalam isu ni. Hadis daif tu mestilah dop daif sangat, ade asal, tak i’tiqad ia thabit dari Nabi, tetapi ada ihtimal (kemungkinan) dalam hal ini, dan amalannya untuk fadhail amal je. Memang ade hok kritik die, tapi dop kurang para ulama hok puji kesungguhan Syeikh atas usahanya.” Zul menutup perbualannya dengan Khairul dan mengajaknya pulang ke asrama.

***********************

Semasa bulan Ramadhan, Zul mengambil kesempatan bersama rakan-rakannya daripada Madinah untuk merasai pengalaman 10 akhir Ramadhan di Mekah. Solat Tarawih di Masjidil Haram sudah pasti saat yang ditunggu-tunggu kerana suasananya amat berbeza dengan mana-mana masjid di Malaysia. Roh Ramadhan begitu terasa di Haramain dan masyarakat sekitar turut sama menghidupkan malam-malam Ramadhan. Siangnya diisi dengan puasa dan amal soleh manakala malamnya mereka mengerjakan qiyamullail. “Ayub, mung nok tau dop. Kalau bbuke, aku suke di Sejik Nabi lagi. Makanang sedak, buleh pilih hok mane nok. Rama orang buat jamuang. Kalu solat Tarawih, aku suke Masjidil Haram lagi sebab ade Syeikh Sudais, Syeikh Syuraim.”. Zul berkongsi pandangannya kepada Khairul semasa perjalanan mereka ke Mekah.

Mekah juga menjadi tumpuan para ulama’ di bulan Ramadhan. Pada satu malam selepas solat Maghrib, Zul mengambil peluang berehat berdekatan Bab Ajyad. Al-Qur’an yang dibawanya dibaca bagi mengisi waktu senggang antara Maghrib dan Isya’. Mulutnya terkumat-kamit membaca ayat-ayat suci al-Qur’an sambil matanya melilau memerhatikan orang yang lalu-lalang. Berhampiran dengannya beliau melihat seorang tua yang dikerumuni ramai orang. Orang ramai datang dan pergi tak putus-putus untuk bertemu dengannya.

“Masya-Allah, Syeikh Abdulaziz ibn Abdullah ibn Baz…!”. Zul tak menyangka seorang ulama yang dikaguminya, Ketua Umum Pejabat Penyelidikan, Kefatwaan dan Dakwah bertaraf Menteri sejak 1975 dan juga baru dilantik sebagai Mufti Arab Saudi pada 1993 berada berhampiran dengannya di Bab Ajyad. Tekun Zul memerhatikan seorang demi seorang datang dan bertanyakan fatwa kepadanya. Beliau diiringi pembantunya yang kelihatan sibuk menguruskan orang ramai yang berpusu-pusu datang kepada Syeikh. Tidak lama selepas itu, datang seorang lelaki – kemungkinan pihak jawatankuasa Masjidil Haram – yang mempersilakannya untuk duduk di atas hamparan khas yang disediakan untuknya bagi memuliakan kehadiran seorang Mufti dan ulama besar. Namun, pelawaan tersebut ditolak dengan baik oleh Syeikh.

Syeikh ‘Abdulaziz ibn Abdullah ibn Baz

Zul cuma melihat satu persatu peristiwa itu. Tindakan Syeikh menerbitkan rasa kagumnya kepada jiwa ulama’ tersebut. Beliau amat merendah diri. Disebabkan beliau menghidap masalah kesihatan yang menyukarkannya untuk berdiri, beliau solat Tarawih dalam keadaan duduk. Apabila imam hendak rukuk, beliau akan bangun dan rukuk bersama imam. Zul mengambil kedudukan berhampiran Syeikh untuk melihat sendiri perlakuan beliau semasa solat. Selesai solat Tarawih, Zul bergegas menuju kepada Syeikh. Peluang itu mungkin tidak akan dapat diperolehnya lagi pada bila-bila masa akan datang.

“Assalamualaikum Syeikh.”, sapa Zul dengan lemah lembut. “Saya Zulkifli bin Mohamad daripada Malaysia. Saya ingin bertanya soalan. Apakah hukum makan daging buaya?”

Syeikh tersenyum mendengar soalan anak muda daripada Kubang Kekura itu. Beliau pun menjawab, “Ulama berbeza pandangan dalam masalah ini. Mazhab Hanbali mengharamkannya. Boleh rujuk pandangan al-Buhuti[12], Ibn Qudamah[13] dan al-Mardawi[14]. Begitu juga Mazhab Syafie mengharamkannya sebagaimana pandangan Imam al-Nawawi[15]. Sebahagian para ulama’ pula menghalalkannya. Namun lebih utama ditinggalkan, wallahu a’lam.”

Malam itu, Zul berlalu meninggalkan Masjidil Haram dengan perasaan girang. Gembira kerana dapat menunaikan solat Tarawih di Masjidil Haram dan gembira kerana dapat bertemu dan bertanyakan soalan kepada tokoh ulama hebat tersebut. Kenangan itu pasti akan tersemat dalam sanubarinya, sampai bila-bila. Mungkin ramai lagi para ulama’ yang ditemuinya cuma tidak dikenali. Moga Allah merahmati kesemuanya, mengampunkan dosa mereka dan menjadikan kita mencintai para ulama’.

___________________

[1] Riwayat Muslim (259)

[2] Riwayat Al-Bukhari (5892)

[3] Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 10/350

[4] Lihat: Subul al-Salam, 709/2

[5] Surah al-Nisa’:59

[6] Tafsir al-Sya’rawi, 2360/4

[7] Riwayat Al-Bukhari (1117)

[8] Lihat Al-Majmu’ (4/226).

[9] Rujuk Nail Al-Autor (3/243).

[10] Lihat Al-Mughni (1/443).

[11] Lihat Al-Majmu’ (4/310).

[12] Raudh Al-Murbi’ Syarah Zadul Mustaqni

[13] Al-Muhgni, jilid 9 hal. 425

[14] Al-Inshaf fi Ma’rifatirrajih Minal Khilaf, jilid 10 hal. 365

[15] Raudhah al-Talibin (3/275)

Artikel sebelum iniChapter 8: 11A’s in SMASZA Ladang
Artikel seterusnyaChapter 10: Usrah, Tarbiah and Dakwah
Berkelulusan PhD dengan pengkhususan dalam bidang fatwa di USM, beliau juga merupakan Ahli Dewan Negara, Anggota The Muslim Council of Elders (UAE), Anggota The Assembly of Muslim Jurists of America (USA), mantan Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama) dan mantan Mufti Wilayah Persekutuan. Antara guru beliau sepanjang pengajian di peringkat BA (Madinah) dan MA (Syria) adalah Syeikh Dr. Muhammad Sa'id Ramadhan al-Buti, Syeikh Muhammad 'Ali Thani, Syeikh Rushdi Qalam, Syeikh Dr. Muhammad Abdullatif Soleh al-Farfour, Syeikh Dr. Muhammad bin Muhammad al-Mukhtar al-Syinqiti, Syeikh Dr. Muhsin al-'Abbad dan ramai lagi.

3 KOMEN

  1. Catatan ensaiklopedik.
    Remaja saya banyak bersama Tabligh di Toronto.
    Ucapan Allamah Abul Hassan Annadwy saya baca bersama dgn nota kuliah Fizik dan Matematik.
    Fikrah ikhwan melalui kaset2 Hj Hadi, Ustaz Fadzil Noor dan TGNA.
    Allamah Albani baru saja saya tahu dari Dr Fatul Baari.
    Dakwah Nadji Fasa 1 hingga 3 banyak saya perolehi dari Dr Yasir Qadhi ulama hebat Amerika Abad kini.Terima kasih.

  2. Penulisan Dr. Zul ni membuka minda saya terhadap ulama2 yang dilabel wahhabi. Dr Zul takde merendah2kan mana2 ulama sebab semua ulama ada hujah dan dalil serta ijtihad tersendiri. Kesemua ulama ada jasa terhadap ummat islam seluruh dunia. Terasa kerdil diri ni bila dibandingkan dengan ulama dan tak layak rasanya untuk mengkritik pandangan dan hujah mereka.Wallahul mustaaan.

Leave a Reply to mohd saiful Membatalkan balasan

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini