Mukadimah
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat serta sekalian yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga Hari Kiamat.
Kebelakangan ini, apabila timbulnya isu kegiatan songsang di pusat sauna, kita melihat ramai dalam kalangan cendekiawan, tokoh agamawan, pemimpin masyarakat dan ahli politik tampil memberikan respons yang tegas terhadap kebejatan perbuatan tersebut. Pada saat kita menyangka bahawa kesedaran beragama semakin meningkat, masyarakat semakin matang, dan aspirasi menuju negara Madani semakin utuh, sebahagian daripada kita masih tumbang di hadapan tuntutan hawa nafsu yang ganjil serta bertentangan dengan tabi‘i manusia.
Perkara ini amat memalukan kerana ia mencerminkan betapa lemahnya manusia apabila tunduk kepada godaan nafsu yang sentiasa mengajak kepada kejahatan. Benarlah firman Allah SWT:
وَمَا أُبَرِّئُ نَفْسِي ۚ إِنَّ النَّفْسَ لَأَمَّارَةٌ بِالسُّوءِ إِلَّا مَا رَحِمَ رَبِّي ۚ إِنَّ رَبِّي غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya: “Dan aku tidak membersihkan diriku (daripada kesalahan), kerana sesungguhnya nafsu itu sangat menyuruh kepada kejahatan, kecuali orang yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
(Surah Yusuf: 53)
Mauqif ini dibentangkan sebagai panduan untuk membuka minda dan membentuk sikap yang sewajarnya dalam menangani isu yang sedang melanda ini. Kami menganggapnya sebagai suatu penyakit yang wajib dirawat dan diubati dengan pendekatan yang betul serta penuh hikmah.
Akhirnya, saya menyeru diri saya yang dhaif ini dan kita semua agar kembali kepada fitrah basyariyyah yang suci, menjadikan al-Quran dan Sunnah sebagai pedoman utama dalam melayari bahtera kehidupan ini. Semoga Allah SWT menetapkan kita di atas kebenaran dan menjauhkan kita daripada segala kebejatan. Amin.
Takrif & Realiti Kegiatan Songsang
Istilah aktiviti songsang merujuk kepada segala bentuk perlakuan seksual yang bercanggah dengan fitrah kejadian manusia, syariat Islam serta nilai moral yang diterima oleh masyarakat. Ia meliputi perbuatan mendekati hubungan sejenis, eksploitasi tubuh, perlakuan tidak bermaruah di tempat awam atau premis tertutup, serta apa sahaja kegiatan yang membawa kepada pencabulan batas agama, maruah dan kesopanan.
Dalam kerangka Islam, perbuatan seumpama ini bukan sahaja dianggap dosa besar, bahkan merosakkan asas kemanusiaan yang dibina atas fitrah lelaki dan wanita, sebagaimana digambarkan dalam kisah kaum Nabi Lut A.S. Kisah tersebut menzahirkan betapa rosaknya akhlak apabila manusia meninggalkan fitrah yang lurus dan memilih jalan syahwat yang menyimpang.
Trend Global dan Lokal
Dari perspektif realiti semasa (fiqh al-waqi‘), kegiatan songsang semakin berleluasa di peringkat global berikutan gerakan normalisasi terhadap tingkah laku yang bercanggah dengan fitrah. Di peringkat antarabangsa, agenda LGBTQ+ dipromosikan secara meluas melalui media hiburan, industri filem, festival budaya dan aktiviti digital.
Fenomena ini membawa tempias ke Malaysia, khususnya di kawasan bandar besar, apabila sesetengah pihak mengambil kesempatan membuka premis seperti spa, sauna dan pusat kesihatan yang menawarkan tahap privasi tinggi untuk menjalankan kegiatan tidak bermoral.
Dalam konteks lokal, premis yang berlindung di sebalik nama “kelab kesihatan” atau “sauna” menjadi lokasi tumpuan bagi sebahagian individu yang mencari ruang untuk aktiviti seksual terlarang. Trend ini digerakkan oleh rangkaian sesama pelanggan, promosi terselindung, serta penggunaan platform media sosial bagi meraih pelanggan tanpa perlu berinteraksi secara terang-terangan.
Keadaan ini jelas menunjukkan wujudnya perubahan budaya yang semakin membimbangkan apabila gejala maksiat dilakukan secara terbuka, terancang dan bercorak komersial.
Bagaimana Media Sosial Mempromosikan Maksiat
Salah satu faktor terbesar yang mempercepatkan penyebaran kegiatan songsang ialah pengaruh media sosial. Platform seperti TikTok, X (Twitter), Telegram dan aplikasi geolokasi digunakan untuk mempromosikan premis hiburan yang menyediakan ruang pergaulan bebas atau aktiviti seksual.
Promosi biasanya dilakukan secara tersirat melalui video “tour” premis, pencahayaan malap, visual sauna dan jakuzi, serta penggunaan istilah seperti “friendly”, “private” atau “open-minded” yang menjadi kod difahami oleh kelompok tertentu.
Lebih membimbangkan, algoritma media sosial yang memaparkan kandungan berdasarkan minat pengguna menyebabkan seseorang mudah terdedah kepada komuniti atau kelompok yang mempromosikan maksiat. Akhirnya, dosa menjadi perkara biasa (normalisasi dosa), maksiat dianggap hiburan, dan akal dibutakan oleh hawa nafsu yang tidak terkawal.
Situasi ini menggambarkan betapa kuatnya pengaruh teknologi dalam memudarkan sempadan halal dan haram yang telah digariskan oleh syarak.
Isu Maruah, Moral dan Keturunan
Kegiatan songsang bukan sekadar melibatkan individu, tetapi mengancam struktur masyarakat dan maqasid syariah secara keseluruhan. Dari sudut Hifz al-‘Ird (penjagaan maruah), perbuatan terlarang ini mencemarkan kehormatan diri serta membuka pintu kepada kehinaan, kerosakan akhlak dan fitnah sosial.
Dari sudut Hifz al-Nasl (penjagaan keturunan), penyimpangan seksual menjejaskan kesinambungan keturunan manusia, meruntuhkan institusi perkahwinan, dan membuka ruang kepada penyakit sosial serta kesihatan seperti jangkitan seksual (STI).
Masyarakat yang membiarkan aktiviti seperti ini berleluasa akan berdepan krisis nilai, kehilangan rasa malu, dan terhakis identiti moral. Kerosakan ini selari dengan amaran Rasulullah SAW bahawa antara tanda kehancuran umat ialah apabila maksiat dilakukan secara terbuka dan tidak lagi dicegah.
Justeru, menjaga maruah diri dan keluarga serta memperkukuh pendidikan akhlak sejak awal merupakan tuntutan yang sangat penting demi memelihara kesejahteraan masyarakat.
Latar Belakang
Insiden terbaru melibatkan kegiatan tidak bermoral di sebuah pusat sauna di Chow Kit sekali lagi membuka perhatian masyarakat terhadap gejala sosial yang semakin meruncing di ibu negara. Serbuan bersepadu yang dijalankan oleh KL Strike Force bersama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu dilakukan selepas dua minggu risikan dan pemantauan rapi.
Dalam operasi yang berlangsung hampir empat jam itu, seramai 208 individu berjaya ditahan, termasuk 17 penjawat awam dan 24 warga asing. Premis dua tingkat tersebut didapati beroperasi sejak lapan hingga 10 bulan lalu dan mempromosikan perkhidmatannya secara aktif melalui media sosial, sekali gus menarik pelbagai golongan termasuk profesional, pelajar dan pelancong asing.
Hasil pemeriksaan turut menemukan kondom serta peralatan lain yang dikaitkan dengan kegiatan tidak bermoral, selain beberapa ruang tertutup, bilik kecil, kawasan separa gelap serta kemudahan sauna dan jakuzi yang dipercayai menjadi tarikan utama. Kesemua individu yang ditahan dibawa ke IPD Dang Wangi untuk ujian saringan dan siasatan lanjut.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan kerana hubungan seks bertentangan dengan aturan tabii, yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan. Kejadian ini mencetuskan persoalan penting tentang cabaran penguatkuasaan, pengaruh platform media sosial dan keberanian sesetengah pihak menjalankan aktiviti songsang di ruang komersial secara terbuka.
Punca Kegiatan Songsang Berleluasa
1. Pengaruh Media Sosial dan Promosi Terbuka
Media sosial menjadi antara faktor terbesar tersebarnya kegiatan songsang pada masa kini. Premis tertentu menggunakan platform seperti TikTok, Instagram dan X untuk mempromosikan “perkhidmatan” mereka melalui kod tersirat, visual gelap atau istilah tertentu yang difahami komuniti sasaran. Algoritma media sosial pula memperluas capaian kandungan tidak bermoral, lalu menormalisasikan perbuatan terlarang. Ini menunjukkan betapa besar kesan dunia digital dalam membuka pintu maksiat apabila tidak dikawal dengan iman dan ilmu.
2. Kelonggaran Penguatkuasaan di Pusat Hiburan dan Premis Tertutup
Sebahagian premis hiburan atau pusat kesihatan beroperasi dengan ruang tertutup, bilik kecil dan suasana gelap yang menyukarkan pemantauan. Kekangan anggota penguatkuasaan serta eksploitasi lesen sah oleh pemilik premis menyebabkan aktiviti terlarang berlaku secara bebas di sebalik imej “kelab kesihatan”. Kelonggaran ini memberi keyakinan kepada penganjur maksiat untuk terus bergerak tanpa rasa gentar, sekali gus mempercepatkan penyebaran gejala tersebut.
3. Normalisasi Hedonisme dan Seksualiti Melampau
Budaya hiburan moden mempromosikan cara hidup hedonistik yang menyanjung kebebasan tanpa batas. Paparan unsur seksual dalam lagu, drama, filem dan kandungan digital menjadikan hubungan bebas dan seks luar tabii seolah-olah gaya hidup moden. Apabila maksiat dipakejkan sebagai “hak peribadi”, ia menghakis sensitiviti iman dan rasa malu, lalu menjadikan perbuatan songsang sebagai sesuatu yang dianggap “normal” dalam kalangan sebahagian generasi muda.
4. Sikap Tidak Peduli Sebahagian Masyarakat
Kebanyakan maksiat merebak bukan kerana kebaikan tidak diketahui, tetapi kerana kejahatan tidak dicegah. Sikap sambil lewa masyarakat yang menganggap maksiat sebagai “urusan peribadi orang lain” melemahkan prinsip amar makruf nahi mungkar. Apabila masyarakat tidak peduli, maksiat tumbuh subur dan akhirnya menjadi fenomena sosial yang sukar dikawal. Islam menegaskan bahawa kerosakan yang tidak dicegah mampu menarik bala yang menimpa seluruh masyarakat.
5. Faktor Sosial – Tekanan Hidup, Kesunyian dan Pengaruh Rakan Sebaya
Tekanan hidup, rasa kesunyian, kecelaruan emosi dan kurang sokongan spiritual mendorong sebahagian individu mencari hiburan segera yang akhirnya merosakkan diri sendiri. Dalam masa yang sama, pengaruh rakan sebaya dan komuniti maya yang menerima gaya hidup songsang menyebabkan sesetengah individu terikut-ikut demi mencari penerimaan atau “jalan keluar” sementara daripada masalah hidup. Faktor-faktor ini memperlihatkan betapa pentingnya bimbingan agama, sokongan keluarga dan persekitaran yang sihat dalam membina ketahanan moral.
Dalil-Dalil Syariah Terhadap Perbuatan Songsang
Larangan terhadap perbuatan yang menyimpang daripada fitrah lelaki dan wanita dinyatakan dengan jelas dalam al-Quran. Antara gambaran paling tegas ialah kisah kaum Nabi Lut A.S yang diabadikan sebagai peringatan sepanjang zaman.
Firman Allah SWT:
وَلُوطًا إِذْ قَالَ لِقَوْمِهِ أَتَأْتُونَ الْفَاحِشَةَ مَا سَبَقَكُم بِهَا مِنْ أَحَدٍ مِّنَ الْعَالَمِينَ ﴿٨٠﴾ إِنَّكُمْ لَتَأْتُونَ الرِّجَالَ شَهْوَةً مِّن دُونِ النِّسَاءِ ۚ بَلْ أَنتُمْ قَوْمٌ مُّسْرِفُونَ ﴿٨١﴾ وَمَا كَانَ جَوَابَ قَوْمِهِ إِلَّا أَن قَالُوا أَخْرِجُوهُم مِّن قَرْيَتِكُمْ ۖ إِنَّهُمْ أُنَاسٌ يَتَطَهَّرُونَ ﴿٨٢﴾ فَأَنجَيْنَاهُ وَأَهْلَهُ إِلَّا امْرَأَتَهُ كَانَتْ مِنَ الْغَابِرِينَ ﴿٨٣﴾ وَأَمْطَرْنَا عَلَيْهِم مَّطَرًا ۖ فَانظُرْ كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُجْرِمِينَ
Maksudnya: “Dan (Kami juga telah mengutus) Lut (kepada kaumnya). (Ingatlah) ketika dia berkata kepada mereka: ‘Mengapa kamu melakukan perbuatan keji yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun daripada umat-umat sebelum kamu?’ (80) ‘Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu, bukan wanita. Bahkan kamu adalah kaum yang melampaui batas.’ (81) Jawapan kaumnya tidak lain hanya berkata: ‘Usirlah mereka (Lut dan pengikut-pengikutnya) dari negeri kamu; sesungguhnya mereka ialah orang-orang yang berpura-pura menyucikan diri.’ (82) Lalu Kami selamatkan dia dan keluarganya kecuali isterinya; dia termasuk dalam golongan yang dibinasakan. (83) Dan Kami hujani mereka dengan hujan (batu); maka lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang yang berdosa.”
(Surah al-A‘raf: 80-84)
Ibn Kathir menyebut bahawa sebahagian kaum lelaki ketika itu memenuhi tuntutan syahwat mereka sesama sendiri, dan demikian juga sebahagian kaum perempuan memenuhi syahwat sesama perempuan. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 3/22)
Ayat-ayat ini menggambarkan bagaimana kaum Lut melakukan perbuatan keji yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana umat sebelumnya. Mereka cenderung kepada sesama lelaki, meninggalkan fitrah dan angkuh menolak dakwah Nabi Lut. Akhirnya mereka diazab dengan azab yang sangat dahsyat sebagai pengajaran kepada manusia sehingga hari ini.
Firman Allah SWT lagi:
وَلُوطًا إِذۡ قَالَ لِقَوۡمِهِۦٓ أَتَأۡتُونَ ٱلۡفَٰحِشَةَ وَأَنتُمۡ تُبۡصِرُونَ ٥٤ أَئِنَّكُمۡ لَتَأۡتُونَ ٱلرِّجَالَ شَهۡوَةٗ مِّن دُونِ ٱلنِّسَآءِۚ بَلۡ أَنتُمۡ قَوۡمٞ تَجۡهَلُونَ ٥٥۞ فَمَا كَانَ جَوَابَ قَوۡمِهِۦٓ إِلَّآ أَن قَالُوٓاْ أَخۡرِجُوٓاْ ءَالَ لُوطٖ مِّن قَرۡيَتِكُمۡۖ إِنَّهُمۡ أُنَاسٞ يَتَطَهَّرُونَ ٥٦
Maksudnya: “Dan (ingatlah peristiwa) Lut ketika dia berkata kepada kaumnya: ‘Patutkah kamu melakukan perbuatan yang amat keji, sedang kamu melihat akan keji dan buruknya?’ (54) ‘Adakah kamu benar-benar mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu, bukan perempuan? Bahkan kamu adalah kaum yang jahil (tidak memikirkan akibatnya).’ (55) Maka kaumnya tidak menjawab melainkan dengan berkata: ‘Usirlah keluarga Lut dari negeri kamu; sesungguhnya mereka ialah orang-orang yang mendakwa diri mereka suci.’”
(Surah al-Naml: 54-56)
Al-Qurtubi menjelaskan bahawa firman Allah: “Adakah kamu melakukan perbuatan keji itu” merujuk kepada perbuatan yang buruk lagi hina, “sedang kamu melihat” bahawa ia suatu kekejian. Hal itu menjadikan dosa mereka lebih berat, kerana mereka melakukannya dalam keadaan sedar dan tanpa segan. Sebahagian mufassir turut menyatakan bahawa mereka saling mendatangi antara satu sama lain secara terang-terangan tanpa menutup perbuatan tersebut kerana kedegilan dan kesombongan. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 9/311)
Ayat-ayat ini menambah gambaran bahawa perbuatan tersebut bukan sahaja menyimpang daripada fitrah, tetapi dilakukan secara terbuka sehingga mereka menjadikan Nabi Lut dan pengikutnya sebagai bahan ejekan. Kisah kaum Lut dalam al-Quran menjadi bukti kukuh bahawa hubungan sejenis merupakan antara dosa besar yang bertentangan dengan fitrah dan syariat.
Kerosakan Jiwa, Akhlak dan Fitrah Manusia
Kegiatan seksual songsang bukan sekadar satu bentuk maksiat yang dilakukan oleh anggota tubuh, bahkan menggambarkan kerosakan jiwa yang meruntuhkan fitrah manusia yang diciptakan oleh Allah SWT. Seseorang yang tenggelam dalam perbuatan ini akan mengalami kehancuran dalaman: hati menjadi gelap, nafsu menguasai akal, dan nilai malu yang menjadi benteng diri manusia mula hilang sedikit demi sedikit.
Dalam pandangan Islam, fitrah ialah anugerah Ilahi yang memandu manusia untuk mencintai kebaikan, kebenaran dan hubungan sah antara lelaki dan wanita. Apabila fitrah ini diputarbalikkan, manusia akan kehilangan arah dan tidak lagi mampu membezakan antara yang benar dan batil. Fenomena ini menjelaskan mengapa gejala songsang akhirnya membawa kepada ketagihan, kemurungan, kecelaruan identiti serta hubungan yang rapuh dan tidak stabil — sebagaimana diakui oleh sebahagian pakar psikologi dan juga disokong oleh pemerhatian terhadap sejarah umat terdahulu.
Bahaya Normalisasi Perbuatan Maksiat
Salah satu bahaya terbesar dalam isu ini ialah apabila masyarakat mula menerima perbuatan songsang sebagai sesuatu yang biasa. Normalisasi berlaku apabila:
-
kandungan maksiat dipromosikan secara terbuka di media sosial,
-
premis hiburan yang berpotensi menjadi lokasi maksiat dibiarkan beroperasi secara komersial, dan
-
kelompok tertentu memberikan justifikasi atas nama “hak individu” atau “gaya hidup moden”.
Apabila maksiat tidak lagi dianggap maksiat, masyarakat berada di ambang kehancuran moral. Inilah yang ditegaskan oleh Rasulullah SAW bahawa antara tanda kehancuran umat ialah apabila maksiat dilakukan secara terang-terangan tanpa rasa malu dan tanpa dicegah.
Normalisasi maksiat bukan sekadar merosakkan individu, bahkan merosakkan umat secara keseluruhan kerana nilai yang sepatutnya menjadi garis pemisah antara kebenaran dan kebatilan menjadi kabur. Lama-kelamaan, generasi muda kehilangan hala tuju moral dan memandang maksiat sebagai sekadar “pilihan gaya hidup”. Kesannya amat mendalam dan berpanjangan.
Kesan Terhadap Keluarga dan Masyarakat
Keluarga adalah institusi teras dalam pembinaan umat. Apabila kegiatan seksual songsang berleluasa, sistem kekeluargaan terancam dari beberapa sudut:
- Pecahnya konsep perkahwinan dan keturunan.
Hubungan songsang menafikan hikmah penciptaan lelaki dan wanita serta memadamkan tujuan perkahwinan — iaitu ketenangan, kasih sayang dan kesinambungan generasi.
- Keretakan hubungan keluarga.
Anak-anak yang terlibat dalam aktiviti songsang sering menjauhkan diri daripada keluarga, berasa malu atau tidak difahami, lalu wujud jurang komunikasi yang membahayakan kesihatan mental dan emosi mereka.
- Penularan penyakit sosial dan kesihatan awam.
Kegiatan songsang dan seks bebas meningkatkan risiko jangkitan penyakit kelamin dan masalah kesihatan lain, yang akhirnya memberi implikasi kepada sistem kesihatan negara.
- Kesan domino kepada komuniti.
Apabila premis-premis maksiat dibiarkan, kawasan sekitarnya menjadi tidak selamat, menarik aktiviti jenayah, dadah dan eksploitasi seksual.
Akhirnya, masyarakat hilang rasa aman, hilang nilai malu dan hilang penghormatan kepada sesuatu yang selama ini dianggap suci — iaitu institusi keluarga.
Inilah Mauqif Kami
Peristiwa yang berlaku pada akhir November 2025 yang lalu benar-benar menyentakkan hati kita semua. Kami menginsafi apa yang berlaku sebagaimana telah dijelaskan dengan terperinci sebelum ini. Namun, kesedaran masyarakat hendaklah sentiasa dipupuk agar kita semua berperanan mencegah kemungkaran — terutamanya terhadap diri sendiri dan ahli keluarga — bukan sekadar menjaga air muka atau maruah, tetapi lebih besar daripada itu ialah rasa takut terhadap azab dan kemurkaan Allah.
Perbuatan sedemikian merupakan suatu perlakuan yang jijik, keji dan hina. Sesiapa yang memiliki akal yang waras pasti tidak sanggup melakukannya, bahkan menganggapnya sebagai tindakan yang songsang dan terkeluar daripada fitrah kemanusiaan. Justeru, saya menyeru semua pihak yang terlibat agar segera bertaubat kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Menerima Taubat. Dekatkanlah diri dengan agama dan bina kehidupan yang diredai-Nya. Ingatlah, apa yang kita lakukan akhirnya kembali kepada diri kita sendiri; kitalah yang akan menanggung akibatnya.
Kepada pihak kerajaan dan badan berautoriti yang menjalankan amanah, kami merakamkan ucapan tahniah atas kesungguhan dan ketegasan dalam mengekang perbuatan keji ini daripada berleluasa. Syabas kepada PDRM dan demikian juga kepada Jabatan Agama Islam atas komitmen mereka.
Kami kemukakan di sini beberapa cadangan:
- Memperkukuh peranan Kementerian berkaitan komunikasi dan media.
Kementerian yang bertanggungjawab terhadap komunikasi dan multimedia hendaklah mempergiatkan usaha menyekat penyebaran kandungan tidak bermoral melalui media sosial, termasuk memantau promosi amalan songsang, membanterasnya serta mengenakan tindakan sewajarnya terhadap pihak yang terlibat.
- Memperluas usaha pendidikan dan kesedaran oleh pihak berkuasa agama.
Pihak berkuasa agama perlu memperluas usaha penerangan melalui penulisan, ceramah dan pelbagai medium penyebaran bagi menegaskan keburukan dan implikasi amalan songsang terhadap akidah, akhlak dan fitrah manusia.
- Penggunaan dana zakat untuk pemulihan dan bimbingan.
Pihak berkuasa agama wajar menilai semula pengagihan asnaf, khususnya di bawah kategori wa fi al-riqab dan fi sabilillah, bagi membolehkan peruntukan digunakan untuk membina mukhayyam tarbawi selama sebulan sebagai proses islah al-nafsi dan pemulihan fitrah. Langkah ini, jika dilaksanakan secara serius, sangat berpotensi membendung dan mengurangkan gejala ini.
- Rawatan dan pemulihan intensif kepada individu yang terjerumus.
Individu yang terlibat dalam amalan tersebut perlu dirawat melalui pendekatan yang tegas namun berhikmah, termasuk penyertaan dalam kem pemulihan intensif selama sebulan bagi membetulkan kefahaman, memulihkan jiwa serta menanam rasa cinta kepada agama.
- Proses istitabah dan taubat nasuha.
Mereka turut perlu melalui proses istitabah dengan bertaubat nasuha, bertujuan mengembalikan kefahaman, akhlak dan identiti mereka sebagai seorang Muslim yang sebenar.
- Peranan Kementerian Kesihatan dalam aspek pencegahan dan kesedaran.
Kementerian Kesihatan juga perlu terlibat secara aktif dalam memberikan penerangan mengenai risiko kesihatan, penyakit berjangkit dan implikasi perubatan yang berpunca daripada perlakuan tidak bermoral ini.
Gerakan bersepadu ini, apabila dilaksanakan dengan tekad yang padu, termasuk kewajipan solat berjemaah, qiamullail, bacaan al-Quran, zikrullah serta didikan agama asas bagi menyucikan sifat mazmumah, diyakini akan memberi kesan yang besar. Pendekatan ini bukan semata-mata menghukum, tetapi mengadabkan, membimbing dan menunjukkan jalan kembali yang paling praktikal dan berkesan.
Sebagai peringatan, Rasulullah SAW telah mengingatkan kita semua tentang kewajipan melaksanakan amar makruf dan nahi munkar. Daripada Abu Hurairah R.A, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لَتَأْمُرُنَّ بِالْمَعْرُوفِ، وَلَتَنْهَوُنَّ عَنِ الْمُنْكَرِ، أَوْ لَيُسَلِّطَنَّ اللهُ عَلَيْكُمْ شِرَارَكُمْ، فَيَدْعُو خِيَارُكُمْ فَلَا يُسْتَجَابُ لَهُمْ
Maksudnya: “Sesungguhnya kamu hendaklah menyuruh kepada kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran, atau Allah akan menguasakan ke atas kamu golongan yang paling jahat daripada kalangan kamu, sehingga orang yang terbaik dalam kalangan kamu berdoa, namun doa mereka tidak diperkenankan.”
Riwayat al-Bazzar (8510) dan al-Tabarani dalam al-Mu‘jam al-Awsat (1379). Sanadnya dinilai dha‘if sebagaimana dinyatakan oleh al-‘Iraqi dalam Takhrij al-Ihya’ (2/379).
Akhirnya, marilah kita mengambil iktibar daripada peristiwa ini dengan memperkukuh iman, memelihara fitrah dan menjaga batas-batas syariah agar masyarakat kita sentiasa berada di bawah rahmat dan perlindungan Allah. Semoga Allah memelihara negara ini daripada segala kerosakan dan mengurniakan hidayah kepada mereka yang kembali kepada-Nya.