← Semua Artikel

#8874: Bahaya Pengambilan Dadah dan Amaran Terhadap Pengedarannya

- bacaan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Kami ada soalan. Kami memohon penjelasan yang lengkap daripada pihak ustaz berkenaan amaran terhadap pengambilan dadah serta penjelasan tentang hukum mengedar atau memperdagangkannya? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِنَّمَا ٱلْخَمْرُ وَٱلْمَيْسِرُ وَٱلْأَنصَابُ وَٱلْأَزْلَٰمُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ ٱلشَّيْطَٰنِ فَٱجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”

(Surah al-Ma’idah: 90)

Islam memuliakan manusia, dan menjadikan penjagaan nyawa dan akal sebagai termasuk di antara maqasid kulliyyah (tujuan-tujuan utama) dalam Islam, iaitu: agama, nyawa, keturunan, akal dan harta; agar manusia dapat menjadi khalifah Allah di muka bumi dan melaksanakan tugas memakmurkannya.

Oleh sebab itu, Islam mengharamkan segala perkara yang boleh memudaratkan nyawa dan akal, dan antara perkara yang diharamkan ialah dadah dalam semua bentuk dan pelbagai namanya, sama ada dadah semula jadi atau kimia, tanpa mengira cara penggunaannya — sama ada dengan minum, menghidu atau suntikan — kerana ia membawa kemudaratan yang besar dan pelbagai kerosakan, antaranya: merosakkan akal dan memusnahkan tubuh badan, serta banyak lagi keburukan lain.

Allah SWT berfirman:

وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ ‎

Maksudnya: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.

(Surah al-Baqarah: 195)

Syeikh al-Sa‘di menyebut ‘التَّهْلُكَةُ’ merupakan perbuatan yang menyebabkan terjadinya kerosakan pada jasad atau ruh. Oleh itu, ia termasuk dalam pelbagai perkara, antaranya adalah menjadikan sesuatu perkara sebagai masalah atau kesusahan. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/90)

Begitu juga Dr. Muhammad Sulaiman al-Asyqar turut menyebutkan bahawa ayat ini bermaksud janganlah kamu menyerahkan diri kepada hal-hal yang menyebabkan kebinasaan, akan tetapi lakukanlah untuk diri kamu sebab-sebab yang boleh membawa kepada keselamatan. (LihatZubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir, hlm. 38)

Justeru, dapat difahami bahawa ayat ini secara jelas melarang daripada mencampakkan diri ke dalam kebinasaan, dan sebagaimana telah diketahui bahawa pengambilan dadah secara nyata membawa kepada kehancuran dan mendedahkan diri kepada bahaya.

Selain itu, di antara dalil yang menunjukkan pengharaman dadah juga ialah hadith yang diriwayatkan daripada Ummu Salamah R.Anha, beliau berkata:

نَهَى رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَآلِهِ وَسَلَّمَ عَنْ كُلِّ مُسْكِرٍ وَمُفَتِّرٍ

Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang setiap yang memabukkan dan yang melemahkan tubuh.

Riwayat Abu Dawud (3686) dan Ahmad (26634); Al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari (10/47) menyatakan, sanadnya adalah hasan.

Istilah mufattir (مُفَتِّرٍ) dalam hadith di atas merujuk kepada sebarang minuman yang menyebabkan anggota tubuh menjadi lemah dan kehilangan daya tenaga (lesu). (Lihat ‘Aun al-Ma‘bud Syarh Sunan Abi Dawud wa ma‘ahu Hasyiah Ibn al-Qayyim, 10/29).

Hadith ini merupakan nas yang jelas tentang pengharaman segala perkara yang menyebabkan hilang kesedaran pada manusia, melemahkan deria dan menghilangkan keupayaan pergerakan. Dadah dalam semua bentuknya termasuk secara utama dalam kategori ini, kerana ia menghilangkan akal, mengubah keadaan semula jadi manusia dari sudut fizikal dan akhlaknya.

Kaedah dalam usul fiqh sebagaimana disebut dalam Hasyiah Ibn al-Syat ‘ala al-Furuq (1/216) menyatakan bahawa apabila larangan disebut ke atas dua perkara secara beriringan, lalu disebutkan hukum bagi salah satu daripadanya (seperti haram), maka yang satu lagi juga diberi hukum yang sama, berdasarkan keiringan (atau kesekalian) keduanya dalam penyebutan dan larangan. Dalam hadith yang disebut, perkataan “al-mufattir” (yang melemahkan) disebut bersama dengan “al-muskir” (yang memabukkan). Sedangkan pengharaman terhadap al-muskir telah disepakati berdasarkan al-Quran, Sunnah dan ijma‘. Maka al-mufattir turut diberi hukum yang sama (iaitu haram) berdasarkan konteks larangan yang disertakan bersama itu.

Lebih-lebih lagi, para ulama telah menetapkan hukum haram pengambilan dadah, sehinggakan Imam al-Badr al-‘Aini dalam kitab al-Banayah (12/370) telah menukilkan ijma‘ ulama terkemudian tentang pengharamannya, di mana beliau berkata: “Sesungguhnya ganja tidak membunuh, tetapi ia memabukkan, melemahkan tubuh, melalaikan, dan mengandungi sifat-sifat tercela; oleh itu telah berlaku ijma‘ ulama terkemudian tentang pengharaman memakannya.”

Kaedah-kaedah syarak juga menuntut supaya dadah dihukumkan sebagai haram, kerana telah sabit bahawa penagihannya membawa kepada kemudaratan dari segi fizikal dan mental, dan apa-apa yang memudaratkan adalah haram, berdasarkan hadith:

لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ

Maksudnya: “Tidak ada mudarat dan tidak juga membalas kemudaratan.”

Riwayat Ahmad (2865) dan Ibn Majah (2340)

Syeikh Dr. Ya‘qub al-Bahasin membawakan kefahaman secara umum tentang kaedah ini, bahawa diharamkan untuk mendatangkan kemudharatan kepada orang Islam, meskipun secara fizikal atau emosi, dan sama ada pada agamanya, dirinya, akalnya, hartanya, atau keturunannya. (Lihat al-Mufassal fi al-Qawa‘id al-Fiqhiyyah, hlm. 333)

Tambahan pula, pengambilan dadah bertentangan dengan maqasid syariah Islamiah yang meletakkan penjagaan terhadap akal, nyawa, dan harta sebagai sebahagian daripada lima perkara asas yang wajib dipelihara.

Seterusnya, apabila pengambilan dadah itu haram, maka pengedaran dan perniagaannya juga turut haram, kerana apabila Allah SWT mengharamkan sesuatu, maka Dia juga mengharamkan penjualannya dan hasil keuntungannya.

Hal ini berdasarkan riwayat daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda:

وَإِنَّ اللهَ إِذَا حَرَّمَ شَيْئًا حَرَّمَ ثَمَنَهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya apabila Allah mengharamkan sesuatu, Dia juga mengharamkan hasil (keuntungan) daripadanya.

Riwayat  Ibn HIbban dalam Sahihnya (4938) dan Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut dalam takhrij Sahih Ibn Hibban (4938) menilai sanadnya sebagai sahih.

Syeikh ‘Abd al-Muhsin al-‘Abbad menyatakan, Imam Abu Dawud al-Sijistani menyebutkan, “Bab tentang hasil (keuntungan) bangkai dan arak,” iaitu berkenaan hukumnya, dan sesungguhnya ia adalah haram; kerana barang-barang ini diharamkan untuk diambil manfaat daripadanya, maka hasil (keuntungan) jual belinya juga menjadi haram. Apabila Allah SWT mengharamkan sesuatu, maka Dia juga mengharamkan hasil (keuntungan) daripadanya. Maka, ia adalah haram dan hasil (keuntungannya) juga haram. Oleh itu, tidak dibenarkan menggunakannya, menjualnya, atau menggunakan hasil jualannya, kerana ia haram dan hasilnya juga haram. (Lihat Syarh Sunan Abi Dawud li al-‘Abbad, 396/49).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada perkara di atas, kami dengan tegas berpendapat bahawa haram dari sudut syarak mengambil dan menggunakan dadah dalam semua bentuk dan pelbagai namanya (tanpa sebarang keperluan yang dibenarkan oleh syarak seperti untuk merawat penyakit dengan nasihat daripada pakar perubatan), kerana ia membawa kepada kemudaratan besar dan pelbagai kerosakan.

Begitu juga, haram memperdagangkannya dan membawanya dari satu tempat ke tempat yang lain, kerana pengharaman terhadap dadah turut merangkumi pengharaman terhadap segala sebab yang membawa kepada pengedaran dan penggunaannya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ، وَالأَهْوَاءِ، وَالأَسْوَاءِ، وَالأَدْوَاءِ.

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Tetapan Bacaan