Soalan
Assalamualaikum Dato’ Seri. Berapakah bilangan syurga sebenarnya? Adakah ia mempunyai tingkatan-tingkatan tertentu? Apakah pula amalan yang boleh dilakukan untuk mencapai tingkatan tertinggi di dalam syurga?
Jawapan
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda, dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga hari kiamat.
Dari segi hakikat, syurga itu satu, namun ia mempunyai pelbagai tingkatan dan darjat. Dalam sebahagian hadith, perkataan “jannah” disebut dalam bentuk jamak sebagai “jinaan”, bukanlah menunjukkan terdapat pelbagai jenis syurga yang berasingan, tetapi menggambarkan keluasan, ketinggian dan pelbagai jenis nikmat dalam syurga.
Darjat dan kedudukan seseorang dalam syurga adalah berbeza, bergantung kepada iman dan amal soleh yang dilakukan semasa hidup di dunia. Diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr R.A bahawa Nabi SAW bersabda:
يُقَالُ لِصَاحِبِ الْقُرْآنِ اقْرَأْ وَارْتَقِ وَرَتِّلْ كَمَا كُنْتَ تُرَتِّلُ فِي الدُّنْيَا، فَإِنَّ مَنْزِلَتَكَ عِنْدَ آخِرِ آيَةٍ تَقْرَؤُهَا
Maksudnya: “Akan dikatakan kepada pemilik al-Quran: Bacalah, naiklah, dan bacalah dengan tartil seperti engkau membaca di dunia. Sesungguhnya kedudukanmu adalah di akhir ayat yang engkau baca.”
Riwayat Abu Dawud (1464), al-Tirmizi (2914). Dinilai sahih sebagaimana dalam Sahih Abi Dawud.
Al-Munziri menukilkan daripada al-Khattabi, katanya: “Telah datang dalam athar (riwayat) bahawa bilangan ayat al-Quran adalah sebanyak darjat syurga di akhirat. Maka akan dikatakan kepada si pembaca al-Quran: ‘Naiklah pada tangga-tangga (darjat) syurga sebanyak mana yang engkau baca daripada ayat-ayat al-Quran.’ Sesiapa yang telah menyempurnakan bacaan seluruh al-Quran, maka dia akan menguasai darjat yang paling tinggi dalam syurga di akhirat.Dan sesiapa yang hanya membaca sebahagian daripadanya, maka kenaikannya dalam darjat syurga adalah mengikut kadar yang dibacanya itu. Maka, penghujung ganjaran seseorang itu adalah pada kadar bacaan terakhirnya.”(Lihat al-Targhib wa al-Tarhib, 2/228)
Namun, terdapat kritikan terhadap kenyataan ini, kerana hadith yang dimaksudkan menjelaskan tentang “manzilah” (kedudukan) para penghafaz al-Quran, bukan darjat mereka secara mutlak. Darjat syurga itu berbeza-beza berdasarkan amalan orang-orang di dunia, dan terdapat amalan-amalan lain yang menyebabkan seseorang itu mendapat darjat yang lebih tinggi, seperti al-Siddiqiyyah (kedudukan orang-orang yang sangat membenarkan wahyu), jihad dan lain-lain. Oleh itu, tidak semestinya seseorang yang menghafaz keseluruhan al-Quran akan berada pada darjat paling tinggi dalam syurga secara mutlak, kerana kedudukan tertinggi juga bergantung kepada amal dan keikhlasan.
Darjat tertinggi dalam syurga ialah al-Firdaus al-A‘la, sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:
فَإِذا سَأَلْتُمُ اللَّهَ فَاسْأَلُوهُ الفِرْدَوْسَ، فَإِنَّهُ أَوْسَطُ الجَنَّةِ، وَأَعْلَى الجَنَّةِ -أُرَاهُ- فَوْقَهُ عَرْشُ الرَّحْمَنِ، وَمِنْهُ تَفَجَّرُ أَنْهَارُ الجَنَّةِ
Maksudnya: “maka apabila kamu meminta syurga pada Allah SWT maka mintalah syurga Firdaus, kerana sesungguhnya ia merupakan syurga terbaik dan syurga yang paling tinggi – perawi berkata: aku kira Baginda bersabda: “…dan di atasnya Arasy al-Rahman – darinya terpancar sungai-sungai syurga.”
Riwayat al-Bukhari (2637) dan Muslim (2831)
Dalam hadith ini, Baginda bersabda: “Sesungguhnya al-Firdaus adalah syurga yang paling tengah dan paling tinggi.” Yang dimaksudkan dengan “paling tengah” di sini ialah paling adil dan paling utama, sebagaimana firman Allah SWT: {Dan demikianlah Kami jadikan kamu umat yang wasat (pertengahan)} (Surah al-Baqarah: 143)
Ada juga yang berpendapat bahawa maksud “paling tengah” ialah dari segi keluasan, dan maksud “paling tinggi” ialah dari segi ketinggian kedudukannya. Baginda menyambung: “Di atasnya terdapat Arasy Tuhan Yang Maha Pemurah (al-Rahman),” iaitu Arasy itu menjadi bumbung bagi syurga al-Firdaus. Maka Arasy Allah SWT berada di atas semua darjat syurga, dan ia adalah makhluk yang paling tinggi, paling besar dan paling agung.
Dan daripada syurga al-Firdauslah terpancarnya empat sungai syurga, ia mengalir dan muncul daripadanya — iaitu sungai-sungai yang disebut dalam firman Allah SWT: {Di dalamnya ada sungai-sungai daripada air yang tidak berubah bau dan rasanya, sungai-sungai daripada susu yang tidak berubah rasanya, sungai-sungai daripada khamar (arak) yang lazat bagi orang yang meminumnya, dan sungai-sungai daripada madu yang disaring bersih} (Surah Muhammad: 15)
Antara Amalan yang Meninggikan Darjat di Syurga
- Beriman kepada Allah dan membenarkan para rasul
Diriwayatkan daripada Abu Sa‘id al-Khudri R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:
إِنَّ أَهْلَ الْجَنَّةِ لَيَتَرَاءَوْنَ أَهْلَ الْغُرَفِ مِنْ فَوْقِهِمْ، كَمَا يَتَرَاءَوْنَ الْكَوْكَبَ الدُّرِّيَّ الْغَابِرَ فِي الْأُفُقِ، قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، تِلْكَ مَنَازِلُ الْأَنْبِيَاءِ لَا يَبْلُغُهَا غَيْرُهُمْ؟ قَالَ: بَلَى، وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ، رِجَالٌ آمَنُوا بِاللَّهِ وَصَدَّقُوا الْمُرْسَلِينَ
Maksudnya: “Sesungguhnya penghuni syurga akan melihat penduduk ‘ghuraf’ (kamar tinggi) di atas mereka sebagaimana mereka melihat bintang yang bersinar di ufuk. Mereka berkata: Wahai Rasulullah, itu tentu kediaman para nabi, tiada siapa mampu mencapainya? Baginda bersabda: Bahkan, ia milik orang-orang yang beriman kepada Allah dan membenarkan para rasul.”
Riwayat al-Bukhari (3083), Muslim (2831)
- Jihad di jalan Allah
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:
إِنَّ فِي الجَنَّةِ مِائةَ دَرَجَةٍ، أَعَدَّها اللَّهُ لِلْمُجَاهِدِينَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ، ما بَيْنَ الدَّرَجَتَيْنِ كَما بَيْنَ السَّمَاءِ وَالأَرْضِ،
Maksudnya: “Sesungguhnya di syurga terdapat seratus tingkatan yang Allah sediakan untuk orang-orang yang berjihad di jalan-Nya, di mana jarak antara dua darjat tersebut sama dengan jarak antara langit dan bumi;
Riwayat al-Bukhari (2637)
Dalam hadith ini, Nabi SAW memberitahu mereka tentang tingkatan-tingkatan para mujahid di jalan Allah, dan menjelaskan kedudukan mereka di dalam syurga, agar Baginda dapat mendorong umatnya supaya berjihad melawan golongan musyrikin dan meninggikan kalimah Islam.
Tingkatan-tingkatan syurga sangat banyak, dan tidak disebutkan bilangannya secara pasti dalam mana-mana riwayat. Maka, disebutkan dalam hadith bahawa terdapat seratus darjat yang disediakan khas untuk para mujahid, kemudian Nabi SAW bersabda: “Jika kamu meminta kepada Allah, maka mintalah al-Firdaus.” Firdaus ialah sejenis taman syurga yang dipenuhi dengan pokok-pokok, bunga-bungaan dan tumbuhan-tumbuhan.
- Memohon mati syahid dengan ikhlas
Diriwayatkan daripada Sahl bin Hunaif, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنْ سَأَلَ اللَّهَ الشَّهَادَةَ بِصِدْقٍ، بَلَّغَهُ اللَّهُ مَنَازِلَ الشُّهَدَاءِ، وَإِنْ مَاتَ عَلَى فِرَاشِهِ
Maksudnya: “Sesiapa yang memohon kepada Allah agar mati syahid dengan penuh kejujuran, Allah akan menempatkannya di kedudukan para syuhada walaupun dia mati di atas katilnya.”
Riwayat al-Bukhari (1909)
- Menyempurnakan wuduk walaupun dalam kesukaran, berjalan ke masjid dan menunggu solat
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:
أَلَا أَدُلُّكُمْ عَلَى مَا يَمْحُو اللَّهُ بِهِ الْخَطَايَا، وَيَرْفَعُ بِهِ الدَّرَجَاتِ؟ إِسْبَاغُ الْوُضُوءِ عَلَى الْمَكَارِهِ، وَكَثْرَةُ الْخُطَا إِلَى الْمَسَاجِدِ، وَانْتِظَارُ الصَّلَاةِ بَعْدَ الصَّلَاةِ
Maksudnya: “Mahukah kamu aku tunjukkan amalan yang dengannya Allah menghapuskan dosa dan mengangkat darjat? Menyempurnakan wuduk walaupun dalam kesusahan, banyak melangkah ke masjid, dan menunggu solat setelah solat.”
Riwayat Muslim (251)
- Menghafaz dan membaca al-Quran
Seperti dalam hadith yang disebutkan terdahulu, tempat seseorang di syurga mengikut bacaan terakhir ayat yang dia baca di dunia sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr R.A bahawa Nabi SAW bersabda:
يُقَالُ لِصَاحِبِ الْقُرْآنِ اقْرَأْ وَارْتَقِ وَرَتِّلْ كَمَا كُنْتَ تُرَتِّلُ فِي الدُّنْيَا، فَإِنَّ مَنْزِلَتَكَ عِنْدَ آخِرِ آيَةٍ تَقْرَؤُهَا
Maksudnya: “Akan dikatakan kepada pemilik al-Quran: Bacalah, naiklah, dan bacalah dengan tartil seperti engkau membaca di dunia. Sesungguhnya kedudukanmu adalah di akhir ayat yang engkau baca.”
Riwayat Abu Dawud (1464), al-Tirmizi (2914). Dinilai sahih sebagaimana dalam Sahih Abi Dawud.
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa syurga itu satu, namun mempunyai banyak darjat dan maqam yang berbeza-beza. Tingkatan ini ditentukan oleh amal soleh, jihad, hafazan al-Quran dan keikhlasan seseorang. Tingkatan tertinggi adalah al-Firdaus al-A‘la, yang menjadi matlamat tertinggi bagi mereka yang mencintai Allah dan Rasul-Nya.
Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa syurga dan neraka masing-masing hanya satu, tetapi mempunyai tingkatan-tingkatan yang pelbagai. Tingkatan neraka ditentukan berdasarkan bentuk kekufuran dan kemunafikan seseorang, manakala darjat syurga pula berbeza-beza mengikut amal soleh seseorang. Amalan seperti iman yang kukuh, jihad, infak, menjaga wuduk, solat berjemaah, serta membaca dan menghafaz al-Quran — semuanya membuka jalan kepada darjat yang tinggi di syurga. Maka sewajarnya bagi mereka yang tinggi cita-citanya untuk berusaha bersungguh-sungguh demi meraih syurga al-Firdaus al-A‘la.
Akhirnya, marilah kita berlumba-lumba melakukan amalan yang boleh mengangkat kita ke darjat tertinggi di syurga. Janganlah kita hanya berpuas hati dengan harapan masuk syurga semata-mata, sebaliknya bercita-citalah tinggi untuk mencapai al-Firdaus al-A‘la yang terletak di bawah Arasy Allah SWT. Semoga Allah memberi kita kekuatan untuk beramal dan keikhlasan untuk terus istiqamah. Amin.
Wallahua‘lam.