← Semua Artikel

#8893: Berbuka Selepas Azan Maghrib di Lapangan Terbang, Tetapi Melihat Matahari Semasa dalam Kapal Terbang

- bacaan

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya sedikit ragu, semasa di lapangan terbang saya telah mendengar azan Maghrib, lalu saya berbuka. Tetapi semasa berada dalam kapal terbang menuju ke destinasi, saya masih dapat lihat matahari belum terbenam. Adakah terbatal puasa saya itu?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

وَكُلُوا۟ وَٱشْرَبُوا۟ حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكُمُ ٱلْخَيْطُ ٱلْأَبْيَضُ مِنَ ٱلْخَيْطِ ٱلْأَسْوَدِ مِنَ ٱلْفَجْرِ ۖ ثُمَّ أَتِمُّوا۟ ٱلصِّيَامَ إِلَى ٱلَّيْلِ ۚ

Maksudnya: “Dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (Maghrib).”

(Surah al-Baqarah: 187)

Orang yang berpuasa tidak dibenarkan untuk makan dan minum selepas terbitnya fajar sadiq, berterusan sehinggalah terbenamnya matahari menandakan masuk waktu Maghrib. Setelah itu, barulah dibenarkan untuk berbuka puasa. (Lihat Ma‘alim al-Tanzil, 1/209)

Disebutkan dalam sebuah riwayat daripada ‘Umar bin al-Khattab R.A, Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا أَقْبَلَ اللَّيْلُ مِنْ هَا هُنَا، وَأَدْبَرَ النَّهَارُ مِنْ هَا هُنَا، وَغَرَبَتِ الشَّمْسُ فَقَدْ أَفْطَرَ الصَّائِمُ

Maksudnya: “Apabila malam telah tiba dari arah ini, dan siang telah berlalu dari arah ini serta matahari telah terbenam, maka orang yang berpuasa boleh berbuka.”

Riwayat al-Bukhari (1954)

Berdasarkan kepada dalil yang jelas ini, sesiapa sahaja yang mendengar azan Maghrib atau meyakini terbenamnya matahari, maka puasanya telah sempurna untuk hari tersebut dan dibenarkan untuk berbuka puasa. Kemudian selepas itu, sekiranya dia menaiki kapal terbang – sebagai contoh – untuk ke destinasi lain dalam waktu yang sama, dan dia melihat matahari masih belum terbenam semasa dalam kapal terbang dengan yakin dan pasti, maka dia tidak diwajibkan untuk berpuasa semula, dan puasanya adalah sah. Ini kerana kayu ukur yang menjadi sandaran dalam berbuka puasa ialah keyakinan seseorang yang berpuasa bahawa matahari telah terbenam dan masuknya waktu Maghrib; sama ada dengan melihat sendiri atau melalui khabar yang sahih.

Kesimpulan

Ringkasnya, orang yang meyakini telah terbenamnya matahari dibenarkan untuk berbuka puasa, meskipun selepas itu dia melihat semula matahari melalui kapal terbang atau dari bangunan yang tinggi. Puasanya pada hari tersebut adalah sah, dan dia tidak perlu untuk meneruskan berpuasa.

Semoga kita beroleh kefahaman yang baik berkenaan waktu berbuka puasa, seterusnya dapat menghilangkan sebarang keraguan dalam hati. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.

Wallahu a‘lam

Tetapan Bacaan