← Semua Artikel

#8882: Berihram bagi Umrah di atas Umrah

- bacaan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah dibenarkan untuk berihram bagi umrah di atas umrah? Maksud saya, saya telah berihram untuk satu umrah, dan sebelum menyempurnakan manasik (ibadah) umrah tersebut, saya berihram pula untuk umrah yang lain di atasnya. Maka adakah saya dianggap sedang berihram untuk dua umrah sekali gus, atau salah satunya dianggap tidak sah dan sia-sia? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَأَتِمُّوا الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ لِلَّـهِ

Maksudnya: “Dan sempurnakanlah Ibadah Haji dan Umrah kerana Allah.”

(Surah al-Baqarah: 196)

Para ulama telah bersepakat memutuskan bahawa haji adalah fardhu, tanpa seorang pun di kalangan mereka berpendapat sebaliknya. Oleh itu, mereka menghukumkan kafir kepada sesiapa yang mengingkari sesuatu yang yang telah sabit dengan al-Quran, al-Sunnah dan ijma‘. Begitu juga, berdasarkan pendapat yang lebih jelas daripada Imam al-Syafi‘i, umrah juga adalah fardhu sebagaimana haji dan ayat di atas adlah merupakan dalil bagi mereka yang berpendapat bahawa umrah adalah fardhu. Selain itu, mereka juga telah bersepakat mengatakan bahawa haji dan umrah wajib dilakukan oleh mereka yang mampu, hanya sekali seumur hidup. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/115-116; al-Idhah fi Manasik al-Haj wa al-Umrah, hlm. 378-379).

Penjelasan Hukum Ihram dalam Umrah

Seseorang memasuki ibadah haji atau umrah dengan ihram. Yang dimaksudkan dengan ihram menurut jumhur fuqaha ialah niat untuk memasuki ibadah umrah. (Lihat al-Syarh al-Kabir oleh Syeikh al-Dardir, 2/21; Nihayah al-Muhtaj oleh al-‘Allamah al-Ramli, 3/264, dan al-Insaf oleh al-‘Allamah al-Mardawi, 3/431).

Ihram merupakan rukun daripada rukun-rukun umrah menurut jumhur fuqaha daripada kalangan Mazhab Maliki, Syafi‘i dan Hanbali, manakala menurut mazhab Hanafi, ia adalah syarat sah bagi pelaksanaan ibadah (nusuk).

Al-‘Allamah ‘Alauddin al-Haskafi al-Hanafi menyebutkan dalam al-Durr al-Mukhtar (hlm. 158) bahawa “Dan sesiapa yang ingin berihram” iaitu ia merupakan syarat sah nusuk (ibadah haji atau umrah).

Al-‘Allamah al-Dardir al-Maliki menyebutkan, (rukun bagi kedua-duanya) iaitu haji dan umrah ada tiga, dan haji mempunyai rukun keempat yang khusus iaitu wuquf di Arafah, dan yang pertama daripadanya ialah (ihram). (Lihat al-Syarh al-Kabir, 2/21).

Imam al-Nawawi al-Syafi‘i juga ada menyatakan bahawa rukun haji ada lima: ihram, wuquf, tawaf, sa‘i, dan bercukur – sekiranya kita menganggapnya sebagai ibadah (nusuk) – dan ia tidak boleh diganti (dengan fidyah). Selain wuquf, semua rukun tersebut juga merupakan rukun bagi umrah. (Lihat Minhaj al-Talibin, hlm. 90-91).

Begitu juga al-‘Allamah Abu al-Sa‘adat al-Buhuti turut menyatakan bahawa (rukun-rukun umrah) ada tiga iaitu: (ihram, tawaf, dan sa‘i). (Lihat Kassyaf al-Qina‘, 2/521).

Hukum Ihram bagi Umrah di atas Umrah

Hukum asal bagi ihram adalah dengan satu umrah sahaja. Adapun sesiapa yang berihram dengan dua umrah, sama ada dia berniat ihram bagi dua umrah sekali gus, atau telah berihram dengan satu umrah kemudian sebelum melaksanakan sebarang manasik, dia berihram pula dengan umrah yang kedua, maka para fuqaha berbeza pandangan sama ada dia dikira berihram dengan dua umrah, atau salah satunya sahaja yang sah dan yang lain terbatal.

Jumhur fuqaha daripada Mazhab Maliki, Syafi‘i, Hanbali, serta Muḥammad bin al-Hasan daripada kalangan ulama mazhab Hanafi, berpendapat bahawa sesiapa yang berihram dengan dua umrah sekali gus, hanya satu yang sah dan yang satu lagi dianggap sia-sia (batal). Begitu juga jika dia telah berihram dengan satu umrah, lalu memasukkan (niat) umrah lain ke atasnya, maka umrah yang kedua dianggap tidak sah.

Ini kerana seseorang tidak boleh berihram dua ibadah sekali gus yang tidak mungkin dilaksanakan bersama, seperti mana seseorang tidak boleh berihram untuk dua solat atau dua puasa pada masa yang sama.

Perincian pendapat dalam kalangan fuqaha berkenaan hal ini adalah sepertimana berikut:

Pendapat pertama:

Imam ‘Ala’uddin al-Kasani al-Hanafi menyebutkan, jika seseorang berihram untuk dua haji sekali gus atau dua umrah sekali gus, maka Muhammad (bin al-Hasan) berpendapat hanya salah satu sahaja yang diwajibkan ke atasnya. (Lihat Bada’i‘ al-Sana’i‘, 2/170).

Manakala Al-‘Allamah Syamsuddin al-Hattab al-Maliki menyatakan, sesiapa yang berihram dengan haji, kemudian berihram selepas itu dengan umrah, maka umrah itu adalah sia-sia (tidak sah). Begitu juga jika dia berihram dengan satu haji, kemudian berihram dengan haji lain atau umrah, lalu berihram sekali lagi dengannya, maka haji kedua dan umrah kedua itu adalah sia-sia. Maksudnya adalah hukumnya makruh baginya melakukan perkara tersebut. (Lihat Mawahib al-Jalil, 3/48).

Imam al-Nawawi al-Syafi‘i juga ada menyebutkan, ashab kami berpendapat bahawa jika seseorang berihram dengan dua haji atau dua umrah sekali gus, maka hanya satu yang sah dan satu lagi tidak sah, dan ia tidak menjadi tanggungan (kewajipan) ke atasnya menurut mazhab kami. Ashab kami juga menyebutkan, jika seseorang berihram dengan satu haji, kemudian memasukkan niat haji lain ke atasnya, atau berihram dengan satu umrah, kemudian memasukkan niat umrah lain ke atasnya, maka ibadah yang kedua itu adalah sia-sia.  (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 7/143).

Al-‘Allamah Abu al-Sa‘adat al-Buhuti al-Hanbali turut menyatakan dalam Kassyaf al-Qina‘ (2/417) bahawa jika seseorang berihram dengan dua haji atau dua umrah sekali gus, maka ihramnya hanya sah untuk salah satu daripadanya, dan yang satu lagi terbatal, kerana waktu (pelaksanaan) tidak sesuai untuk kedua-duanya serentak.

Pendapat kedua:

Manakala dua imam dari mazhab hanafi, iaitu Abu Hanifah dan Abu Yusuf, berpendapat bahawa sesiapa yang berihram dengan dua umrah sekali gus, maka kedua-duanya menjadi kewajipan ke atasnya, dan dia dianggap berihram dengan dua umrah, lalu apabila dia meninggalkan salah satu daripadanya, maka dia dianggap menolaknya (rafḍ) dan wajib ke atasnya dam (denda), serta wajib menggantikannya.

Ini adalah seperti mana sepertimana dinyatakan oleh Imam ‘Ala’uddin al-Kasani al-Hanafi, jika seseorang berihram untuk dua haji sekali gus atau dua umrah sekali gus, maka Abu Hanifah dan Abu Yusuf berpendapat kedua-duanya wajib ke atasnya, manakala Muhammad (bin al-Hasan) pula berpendapat hanya salah satu sahaja yang diwajibkan ke atasnya. (Lihat Bada’i‘ al-Sana’i‘, 2/170).

Begitu juga Syams al-A’immah al-Sarakhsi menyebutkan dalam al-Mabsut (4/115–116) bahawa sesiapa yang berihram dengan dua umrah sekali gus atau dua haji sekali gus, maka ihramnya sah untuk kedua-duanya menurut Abu Hanifah dan Abu Yusuf. Setelah kita mengetahui hal ini, maka kami katakan: Menurut Abu Yusuf sesiapa yang mengikat (berniat) ihram untuk kedua-duanya sekali gus dianggap telah menolak salah satunya, kerana apabila selesai daripada ihram, tibalah masa untuk melaksanakan manasik, dan pada ketika itu berlaku pertentangan (antara dua ibadah), maka dia secara automatik menolak salah satunya, dan wajib baginya satu dam kerana menolaknya, dan dia terus melaksanakan yang satu lagi. Jika dia berihram dengan dua umrah, maka dia wajib menggantikan umrah yang ditolaknya. Jika dia berihram dengan dua haji, maka dia wajib menggantikan satu umrah dan satu haji kerana menolak salah satu daripadanya.

Manakala menurut Abu Hanifah, dia tidak dianggap menolak salah satunya selagi belum mula melaksanakan ibadah untuk yang lain. Maka, menurut zahir riwayat, apabila dia mula berjalan ke Makkah untuk melaksanakan manasik, dia dianggap telah menolak salah satunya. Akan tetapi menurut riwayat lain, dia tidak dianggap menolak selagi belum memulakan tawaf.

Selain daripada itu, Sadruddin bin Abu al-‘Izz al-Hanafi ada menyebutkan, adapun sesiapa yang memasukkan (niat) haji ke atas haji sebelum wuquf, atau umrah ke atas umrah sebelum melakukan majoriti tawaf, maka keadaannya seperti orang yang berihram dengan dua ibadah (nusuk) sekali gus. (Lihat al-Tanbih ‘ala Musykilat al-Hidayah, 3/1149).

Asas hujah dua tokoh besar mazhab Hanafi, iaitu Abu Hanifah dan Abu Yusuf – sebagaimana yang dinyatakan oleh Syams al-A’immah al-Sarakhsi dalam al-Mabsut (4/115) – ialah bahawa pertentangan hanya berlaku ketika pelaksanaan amalan, dan tidak berkait dengan ihram itu sendiri, maka perkara tersebut tidak menghalang berlakunya dua ihram, kerana tidak ada pertentangan antara kedua-duanya dari sudut niat ihram.

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada perbahasan di atas, kami katakan pendapat yang lebih utama untuk dijadikan pilihan ialah pandangan jumhur fuqaha, iaitu hanya satu daripada dua umrah yang sah apabila seseorang berihram dengan keduanya sekali gus, manakala umrah yang kedua dianggap batal (tidak sah). Begitu juga, jika seseorang telah berihram dengan satu umrah kemudian memasukkan (niat) umrah kedua ke atasnya sebelum menyempurnakan yang pertama, maka umrah kedua itu juga dianggap batal.

Ini kerana apabila seseorang berihram dengan dua ibadah serentak, atau memasukkan satu ibadah ke atas ibadah yang sama sebelum selesai daripadanya, maka tidak mungkin untuk melaksanakan kedua-duanya sekali, maka ihram untuk kedua-duanya tidak sah, sebagaimana juga tidak sah jika seseorang berihram dengan dua solat atau dua puasa serentak. Selain itu, pendapat ini lebih menepati prinsip mengangkat kesukaran dan memberi kemudahan kepada mukallaf.

Justeru, kami berpendapat bahawa apabila seseorang berihram untuk satu umrah, kemudian berihram untuk umrah yang lain sebelum menyempurnakan manasik umrah pertama, maka ihram untuk umrah kedua itu dianggap sia-sia (tidak sah). Maksud “sia-sia” ialah tidak sah dan tidak diiktiraf sebagai ibadah, kerana orang yang sedang melakukan ibadah tidak boleh disibukkan dengan ibadah lain.

Dalam hal ini kami turut menasihatkan agar seseorang yang mukallaf berusaha bersungguh-sungguh untuk menyempurnakan ibadah yang telah dimulakannya, dan tidak memasukkan ibadah lain ke atasnya melainkan selepas ia selesai ditunaikan/dilaksanakan. Ini kerana terdapat kaedah menyatakan bahawa:

المَشْغُولُ لَا يُشْغَلُ

Maksudnya: “Orang yang sedang sibuk (dengan sesuatu ibadah) tidak boleh disibukkan dengan ibadah lain.” (Lihat al-Manthur fi al-Qawa‘id oleh Imam Badruddin al-Zarkasyi, 3/174).

Jika dia ingin mengulangi ibadah umrah, maka dia boleh berihram dengan umrah kedua dan melaksanakannya selepas selesai sepenuhnya daripada umrah pertama, bukan dengan memasukkan (niat) umrah lain ke atasnya sebelum ia selesai.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa

Tetapan Bacaan