← Semua Artikel

#8563: Bernazar Tanda Orang Bakhil?

- bacaan

Soalan

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah orang yang suka bernazar menandakan dia seorang yang bakhil?

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda, dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga hari kiamat.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:

لَا تَنْذِرُوا فَإِنَّ النَّذْرَ لَا يُغْنِي مِنَ الْقَدَرِ شَيْئاً وَإِنَّمَا يُسْتَخْرَجُ بِهِ مِنَ الْبَخِيلِ

Maksudnya: Janganlah kamu untuk bernazar (dengan sesuka hati), kerana sesungguhnya nazar tidak akan mengubah daripada takdir yang telah ditentukan Allah SWT sedikitpun. Hanyasanya ia dikeluarkan daripada orang yang bakhil.

Riwayat Muslim (1640)

Nazar ialah seseorang mewajibkan atas dirinya melakukan sesuatu amalan yang tidak diwajibkan oleh syariat ke atasnya, seperti seseorang berkata: “Aku wajib menyembelih korban,” atau “Aku akan bersedekah dengan jumlah sekian-sekian jika Allah menyembuhkan orang sakitku.” Maka, ia seolah-olah meletakkan syarat terhadap Allah SWT.

Imam al-Nawawi menyebutkan: Al-Maziri berkata: Larangan itu mungkin kerana seseorang yang bernazar akan merasa dirinya terikat dengan apa yang telah dinazarkan, lalu dia melakukannya secara terpaksa dan dengan kepayahan tanpa semangat**.** Beliau juga berkata: Ada kemungkinan sebab larangan itu ialah kerana seseorang melakukan ibadah yang dinazarkan dalam bentuk pertukaran (mu‘awadhah) terhadap perkara yang dimintanya — contohnya sembuh dari penyakit — maka pahalanya menjadi berkurang. Sedangkan ibadah sepatutnya dilakukan semata-mata kerana Allah SWT.

Qadhi ‘Iyadh pula menyebut: Ada kemungkinan larangan itu kerana sebahagian orang yang jahil mungkin menyangka bahawa nazar mampu menolak takdir, dan mencegah sesuatu yang telah ditentukan. Maka Baginda SAW melarang nazar kerana bimbang ada orang jahil yang akan mempercayai perkara itu. Dan susunan hadith itu sendiri menyokong pandangan ini. Wallahua’lam”

Adapun sabda Nabi SAW: Sesungguhnya ia (nazar) tidak mendatangkan kebaikan,” maksudnya ialah ia tidak menolak takdir, sebagaimana yang telah dijelaskan dalam riwayat-riwayat yang lain.

Manakala sabda Baginda SAW: “Ia hanya mengeluarkan kebaikan daripada orang yang bakhil,” maksudnya ialah bahawa orang tersebut tidak akan melakukan ibadah itu secara sukarela dari awal, sebaliknya hanya akan melakukannya sebagai balasan kepada sembuhnya orang sakit atau perkara lain yang dikaitkan dengan nazarnya. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 11/98-99)

Dalam hadith ini, Nabi SAW menjelaskan bahawa nazar tidak membawa sesuatu yang baru kepada anak Adam yang tidak pernah ditentukan oleh Allah untuknya, tetapi nazar itu hanya melemparkan seseorang ke arah takdir yang sememangnya telah ditentukan untuknya. Maksudnya di sini ialah nazar itu tidak mencipta sesuatu atau membawa perubahan. Ia hanya mendorong seseorang ke arah takdir; jika sesuatu perkara itu memang telah ditakdirkan untuk berlaku, maka ia akan berlaku, jika tidak, maka tidak akan berlaku. Maka, nazar tidak mempercepatkan atau melambatkan apa-apa. Kebaikan dan keburukan semuanya berlaku mengikut ketentuan Allah SWT, dan takdir tidak akan berubah daripada buruk kepada baik hanya kerana nazar.

Baginda SAW juga memberitahu bahawa Allah SWT mengeluarkan kebaikan daripada orang yang bakhil melalui nazar. Maksudnya, orang yang bakhil itu seolah-olah dipaksa untuk mengeluarkan sesuatu yang dia tidak akan keluarkan dengan kerelaan dirinya. Maka maksudnya: Taatlah kepada Allah dari awal lagi secara sukarela, dan jangan hanya mahu beribadah kerana mengharapkan balasan atau ganjaran tertentu.

Kebiasaan manusia ialah mereka menggantungkan nazar dengan berlakunya manfaat atau tertolaknya kemudaratan. Itulah sifat orang yang bakhil — dia tidak akan melakukan ketaatan secara sukarela, tetapi hanya apabila ada balasan atau ganjaran, seperti sembuh daripada penyakit yang dikaitkan dengan nazarnya. Adapun orang yang pemurah dan mulia, apabila dia ingin mendekatkan diri kepada Allah, dia akan segera melakukannya tanpa bertangguh, mencari keredaan Allah. Itulah sifat orang yang dermawan — sentiasa mendahului dalam memberi dan berlumba dalam melakukan kebaikan.

Manakala orang bakhil, jiwanya tidak mudah untuk memberi apa-apa pun kecuali setelah dia mendapatkan ganjaran terlebih dahulu. Maka, apabila dia bernazar dan perkara yang dihajati itu tercapai, barulah si bakhil itu memberikan sesuatu kepada Allah — semata-mata kerana sebab yang dia kaitkan dengan nazarnya seperti sembuhnya orang yang sakit — sedangkan sebelum nazar, dia tidak akan memberi apa-apa pun kepada Allah SWT. Begitu juga dalam hadith ini, terdapat isyarat kecaman terhadap orang yang suka bernazar dengan pelbagai syarat.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa seseorang muslim itu tidak digalakkan untuk bernazar. Namun, apabila seseorang telah bernazar untuk melakukan ketaatan kepada Allah, maka wajib baginya menunaikan nazar tersebut seperti berpuasa, solat dan sebagainya. Maka, apabila seseorang bernazar untuk berpuasa beberapa hari tertentu, atau menunaikan solat dua rakaat, atau bersedekah dengan sejumlah wang tertentu, maka wajib baginya untuk menunaikan apa yang dinazarkan daripada bentuk-bentuk ketaatan.

Sesungguhnya nazar bukanlah sebab kepada tercapainya sesuatu hajat sesorang itu. Maka tidak perlu untuk bernazar. Nazar hanyalah perkara yang memberatkan diri seseorang, dan biasanya timbul daripada sifat bakhil. Kemudian, selepas bernazar, seseorang itu akan menyesal, merasa terbeban, dan berharap agar dia tidak bernazar lagi.

Semoga Allah SWT menjauhi kita diri sifat bakhil ini dan Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ ، وَنَعُوذُ بِكَ مِنَ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ ، ونَعُوذُ بِكَ مِنَ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ ، وَنَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada kedukaan dan kesedihan. Kami berlindung kepada-Mu daripada sifat lemah dan malas. Kami berlindung kepada-Mu daripada sifat pengecut dan kedekut. Dan kami berlindung kepada-Mu daripada bebanan hutang dan penindasan manusia.”

Tetapan Bacaan