← Semua Artikel

#8783: Fadhilat dan Keutamaan Sedekah Pada Hari Jumaat

- bacaan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah sedekah pada hari Jumaat mendapat gandaan dan fadhilat?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

مَّثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنبُلَةٍ مِّائَةُ حَبَّةٍ ۗ وَاللَّـهُ يُضَاعِفُ لِمَن يَشَاءُ ۗ وَاللَّـهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ ﴿٢٦١﴾ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ ثُمَّ لَا يُتْبِعُونَ مَا أَنفَقُوا مَنًّا وَلَا أَذًى ۙ لَّهُمْ أَجْرُهُمْ عِندَ رَبِّهِمْ وَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ

Maksudnya: “Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya. Orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan (agama) Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang mereka belanjakan itu dengan perkataan membangkit-bangkit (pemberiannya), dan tidak pula menyinggung atau menyakiti (pihak yang diberi), mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.”

(Surah al-Baqarah: 261-262)

Ibn Kathir berkata: Ini merupakan perumpamaan yang diberikan Allah mengenai gandaan pahala untuk orang yang bernafkah hartanya pada jalan Allah kerana mencari keredaan-Nya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/526)

Berkenaan persoalan di atas, kami kemukakan satu riwayat daripada Ka‘b R.A, dengan sanad yang sahih bahawa beliau berkata:

والصَّدَقَةُ فِيهِ (في يوم الجمعة) أعظمُ مِنَ الصَّدَقَةِ فِي سَائِرِ الأَيَّام

Maksudnya: “Sedekah pada hari Jumaat lebih utama daripada sedekah pada hari-hari lain.” 

Disebut dalam al-Tarikh al-Kabir (3658) oleh Ibn Abi Khaithamah, dan Zad al-Ma’ad (1/395) oleh Ibn al-Qayyim

Dan diriwayatkan juga daripadanya – dengan sanad yang sahih:

الصَّدَقَةُ تُضَاعَفُ يَوْمَ الْجُمُعَةِ

Maksudnya: “Sedekah akan digandakan ganjarannya pada hari Jumaat.”

Riwayat Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf (5513) dan Abu ‘Ubaid dalam al-Amwal (919)

Oleh sebab itu, ramai dalam kalangan salafus soleh sangat menjaga amalan bersedekah pada hari Jumaat, walaupun dengan sesuatu yang kecil dan sedikit. (Lihat La Tansa fi Yaum al-Jumu’ah, hlm. 12)

Ini menunjukkan bahawa hari Jumaat bukan sahaja hari solat dan zikir, tetapi juga hari untuk berlumba dalam kebajikan dan infaq, kerana pahala yang digandakan dan keberkatan yang luas.

Kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ أَعْطِ مُنْفِقًا خَلَفًا، وَأَعْطِ مُمْسِكًا تَلَفًا

Maksudnya: “Ya Allah! Kurniakanlah kepada pemberi sedekah, gantian. Dan jadikanlah kepada yang kedekut, kehilangan.

Tetapan Bacaan