Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah syarak menggalakkan supaya jenazah dikafankan dengan pakaian atau kain yang terbaik? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَلِكُلِّ أُمَّةٍ أَجَلٌ ۖ فَإِذَا جَاءَ أَجَلُهُمْ لَا يَسْتَأْخِرُونَ سَاعَةً ۖ وَلَا يَسْتَقْدِمُونَ
Maksudnya: “Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan); maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaat pun, dan tidak dapat pula mereka didahulukan.”
(Surah al-A‘raf: 34)
Setiap makhluk yang hidup di muka bumi ini pasti akan merasai mati, iaitu saat terputusnya perhubungan antara roh dan jasad serta detik permulaan ke alam akhirat. Allah SWT telah menentukan ajal seseorang sejak azali lagi dan apabila sampai masanya, ia tidak akan dipercepatkan atau dilewatkan walau sesaat pun. Malaikat Izrail ditugaskan untuk mencabut nyawa dan apabila nyawa sampai di kerongkong, segala pintu taubat telah ditutup dan segala penyesalan tidak berguna lagi.
Ketahuilah bahawa kehidupan manusia di dunia ini menentukan bagaimana pengakhirannya. Niat ikhlas kerana Allah, serta mengikut petunjuk yang ditinggal oleh Rasulullah SAW dan juga Istiqamah dalam ibadah dan amal soleh merupakan kunci utama untuk dapatkan pengakhiran yang baik, iaitu Husn al-Khatimah.
Hakikat Kafan
Perkataan Kafan (الكَفَن) ialah pakaian bagi si mati, manakala takfīn (التَّكفِينُ) bermaksud membalut jenazah dengan kain kafan. Ia disyariatkan untuk menutup aurat si mati, dan para fuqaha telah bersepakat bahawa mengkafankan dan menutup jenazah apabila seseorang itu meninggal dunia adalah fardhu kifayah; jika sebahagian orang telah melakukannya, maka gugurlah tanggungjawab tersebut daripada yang lain. Ia juga merupakan kewajipan yang perlu ditunaikan oleh orang yang masih hidup, kerana Nabi SAW telah memerintahkannya, dan kerana kehormatan seseorang setelah mati adalah sama seperti kehormatannya semasa hidup, dan sebagaimana kewajipan menutup aurat itu berlaku semasa hidup, begitu juga setelah meninggal dunia.
Ini adalah sebagaimana disebutkan oleh Imam Ibn Qudamah, mengkafankan jenazah itu adalah wajib, kerana Nabi SAW memerintahkannya, dan kerana menutup aurat adalah wajib semasa hidup, maka begitu juga selepas mati. (Lihat al-Mughni, 2/388).
Begitu juga al-Hafiz al-‘Iraqi juga ada menyebutkan, mengkafankan jenazah telah disepakati kewajipannya oleh umat Islam, dan ia adalah fardhu kifayah; jika sebahagian orang telah melakukannya, maka gugurlah tanggungjawab daripada yang lain.” (Lihat Tarh al-Tathrib, 3/271).
Galakan Mengkafankan Jenazah dengan Kain Terbaik
Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa Syariat Islam juga menggalakkan agar jenazah dikafankan dengan pakaian yang baik. Ini adalah sebagaimana riwayat daripada Jabir bin Abdullah, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إذا كَفَّنَ أَحَدُكُمْ أَخاهُ، فَلْيُحَسِّنْ كَفَنَهُ
Maksudnya: “Apabila salah seorang daripada kamu mengkafankan saudaranya, maka perelokkanlah kain kafannya.”
Riwayat Muslim (943)
Antara bentuk pengindahan tersebut ialah memilih kain kafan berwarna putih, sama ada kain itu baharu atau telah dibasuh, namun kain yang baharu adalah lebih utama, kerana syarak telah memerintahkan agar kafan itu diperelokkan. (Lihat Maraqi al-Falah oleh al-Syurunbulali al-Hanafi, hlm. 216; Syarh Mukhtasar Khalīl oleh al-Khirasyi al-Maliki, 2/125; Mughni al-Muhtaj oleh al-Khatib al-Syirbini al-Syafi‘i, 2/16; Kassyaf al-Qina‘ oleh al-Buhuti al-Hanbali, 2/124).
Selain itu, terdapat riwayat Ibn Abbas R.Anhuma, katanya: Rasulullah SAW bersabda:
الْبَسُوا مِنْ ثِيَابِكُمُ الْبَيَاضَ، فَإِنَّهَا مِنْ خَيْرِ ثِيَابِكُمْ، وَكَفِّنُوا فِيهَا مَوْتَاكُمْ
Maksudnya: “Pakailah kamu pakaian yang berwarna putih kerana ia sebaik-baik pakaian, dan kafankanlah dengan pakaian putih tersebut mayat-mayat kamu.”
Riwayat Abu Daud (3878); al-Tirmizi (994); Ibn Majah (3566); Ahmad (2219); Imam al-Tirmizi menilainya sebagai hasan sahih.
Imam al-Nawawi menyebutkan, lafaz “putih” dalam hadith adalah dalil yang menunjukkan galakan (sunat) untuk mengkafankan mayat dengan kain putih, dan ia merupakan perkara yang disepakati oleh para ulama. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 7/8).
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِحَيِّنَا وَمَيِّتِنَا وَشَاهِدِنَا وَغَائِبِنَا وَصَغِيرِنَا وَكَبِيرِنَا وَذَكَرِنَا وَأُنْثَانَا اَللَّهُمَّ مَنْ أَحْيَيْتَهُ مِنَّا فَأَحْيِهِ عَلَى اَلْإِسْلَامِ وَمَنْ تَوَفَّيْتَهُ مِنَّا فَتَوَفَّهُ عَلَى اَلْإِيمَانِ اَللَّهُمَّ لَا تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلَا تُضِلَّنَا بَعْدَهُ
Maksudnya: “Ya Allah, ampuni orang yang hidup di antara kami, orang yang meninggal dunia di antara kami, orang yang ada di kalangan kami dan orang yang tiada, yang kecil di kalangan kami dan yang tua, serta yang lelaki di kalangan kami dan yang perempuan. Ya Allah, orang-orang yang telah Engkau hidupkan di antara kami, maka hidupkanlah dia dalam Islam dan orang-orang yang telah Engkau matikan di antara kami, matikanlah dia dalam iman. Ya Allah, janganlah Engkau halang kami dari pahalanya dan janganlah Engkau sesatkan kami selepasnya.”