Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Semasa saya menunaikan manasik, saya melihat bahawa lelaki berjalan laju dalam sebahagian tawaf mereka, sedangkan wanita tidak melakukannya. Maka saya pun mengetahui bahawa wanita tidak melakukan ramal (berlari-lari anak) dalam tawaf. Apakah hikmah di sebalik tidak disyariatkan wanita berlari-lari anak dalam tawafnya? Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Perkataan al-ramal dalam bahasa Arab bermaksud berjalan laju atau berlari-lari anak, iaitu mempercepatkan langkah sambil menggerakkan kedua bahu, tanpa melompat. Dikatakan: “Ramala al-rajul (رَمَلَ الرجل), yarmulu (يَرْمُلُ), ramalanan (رَمَلَانًا) dan ramalan (رَمَلًا)” – maksudnya seseorang itu berjalan laju sambil menghayunkan bahunya. Dan orang yang sedang tawaf di Kaabah melakukan ramal secara laju, sebagaimana yang disebut dalam Jumhurah al-Lughah oleh al-‘Allamah Abu Bakr Ibn Duraid (2/801), al-Sihah oleh al-‘Allamah Abu Nasr al-Jauhari (4/1713), dan Lisan al-‘Arab oleh al-‘Allamah Jamaluddin Ibn Manzur (11/295)
Maksud syarak bagi “ramal” menurut fuqaha tidak jauh berbeza daripada maksudnya dari segi bahasa. Di antaranya, dalam al-Syarh al-Saghir oleh Imam al-Dardir (2/49) menyatakan, al-ramal ialah mempercepatkan jalan tanpa sampai kepada larian.
Selain itu, ada juga yang berpendapat, al-ramal ialah al-khabab (الْخَبَبُ) iaitu lebih laju daripada berjalan biasa tetapi tidak sampai kepada berlari. (Lihat al-Hawi al-Kabir, 4/141).
Selain daripada itu, ada juga yang berpendapat, al-ramal ialah berjalan laju dengan langkah-langkah yang pendek tanpa melompat. (Lihat Syarh al-Zarkasyi ‘ala Mukhtasar al-Khiraqi, 3/192).
Meskipun ramal (berjalan laju/berlari-lari anak) adalah sunnah dalam tawaf mengelilingi Kaabah, namun ia hanya disyariatkan kepada lelaki sahaja jika mampu melakukannya, dan bukan kepada wanita. Oleh itu, para ulama telah sepakat bahawa wanita tidak disyariatkan untuk melakukan ramal dalam tawaf, sebaliknya mereka berjalan seperti biasa dalam semua tempat dan sepanjang tawaf, dan tidak melakukan sebagaimana yang dilakukan oleh lelaki dalam hal ini.
Ini adalah sebagaimana yang disebutkan oleh Imam Ibn al-Munzir, para ulama telah menyatakan ijma‘ bahawa tiada ramal bagi wanita ketika mengelilingi Kaabah. (Lihat al-Ijma‘, hlm. 55).
Demikian juga Imam Ibn ‘Abd al-Barr turut menyebutkan, para ulama telah menyatakan ijma‘ bahawa wanita tidak perlu melakukan ramal dalam tawaf mereka di Baitullah. (Lihat al-Tamhid, 2/78).
Meskipun begitu, ramal tidak disyariatkan ke atas wanita walaupun mereka mampu melakukannya, kerana ia disyariatkan pada permulaan Islam sebagai suatu bentuk menzahirkan kekuatan, ketahanan dan keteguhan umat Islam. Makna ini hanya dituju kepada kaum lelaki dan bukan kepada wanita.
Ketika Nabi SAW mendengar ucapan orang musyrik dalam Perjanjian Hudaibiyah yang mengatakan bahawa para sahabat dari Madinah telah dilemahkan oleh wabak yang dikenali sebagai “Demam Yathrib,” dan bahawa Nabi SAW serta para sahabatnya telah menjadi lemah, letih dan tidak lagi berdaya untuk bertawaf di Baitullah kerana terlalu lelah dan kurus, maka Nabi SAW memerintahkan para sahabat R.Anhum untuk melakukan ramal dalam tiga pusingan pertama tawaf, dan berjalan seperti biasa pada empat pusingan selebihnya. Tujuannya adalah untuk menzahirkan kekuatan, semangat, ketabahan dan keberanian mereka di hadapan musuh.
Terdapat riwayat daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, beliau berkata:
قَدِمَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَصْحَابُهُ، فَقَالَ المُشْرِكُونَ: إِنَّهُ يَقْدَمُ عَلَيْكُمْ وَقَدْ وَهَنَهُمْ حُمَّى يَثْرِبَ، فَأَمَرَهُمُ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ يَرْمُلُوا الأَشْوَاطَ الثَّلاَثَةَ، وَأَنْ يَمْشُوا مَا بَيْنَ الرُّكْنَيْنِ، وَلَمْ يَمْنَعْهُ أَنْ يَأْمُرَهُمْ أَنْ يَرْمُلُوا الأَشْوَاطَ كُلَّهَا إِلَّا الإِبْقَاءُ عَلَيْهِمْ.
Maksudnya: “Rasulullah SAW dan para sahabatnya tiba (di Makkah), lalu orang-orang musyrik berkata: ‘Sesungguhnya dia datang kepada kamu dalam keadaan (wabak) demam Yathrib yang melemahkan mereka.’ Maka Nabi SAW memerintahkan mereka (para sahabat) untuk berlari-lari kecil mengelilingi Kaabah sebanyak tiga kali pusingan (yang terawal), dan berjalan biasa di antara dua rukun. Tidak ada yang menghalang Baginda untuk memerintahkan mereka berlari-lari kecil di semua pusingan (tawaf) melainkan demi mengekalkan (tenaga) mereka.”
Riwayat al-Bukhari (1602) dan Muslim (1266) dengan sedikit perbezaan lafaz.
Seterusnya, berbalik kepada soalan yang diajukan, di antara hikmah tidak disyariatkan wanita berlari-lari anak (ramal) adalah seperti mana berikut:
Wanita diperintahkan untuk menjaga aurat dan berkelakuan sopan, sedangkan ramal bertentangan dengan ciri ini. Hal ini kerana ketika berjalan laju atau berlari-lari anak, berkemungkinan aurat wanita akan terselak, atau gerak tubuhnya terdedah dalam keadaan yang tidak sepatutnya, atau dia terjatuh kerana tubuhnya yang lemah, maka dia dilarang melakukannya dan hanya dibebankan dengan berjalan secara biasa sahaja.
Imam al-Jassas ada menyebutkan dalam Syarh Mukhtasar al-Tahawi (2/529) ketika menjelaskan sebab larangan wanita daripada melakukan ramal dalam tawaf mengelilingi Kaabah: “Kerana dalam ramal dan sa‘i itu mungkin akan tersingkap sesuatu yang wajib ditutup, sedangkan wanita diperintahkan untuk menutup (aurat).”
Selain daripada itu, Syams al-A’immah al-Sarakhsi juga ada menyebutkan bahawa wanita tidak disyariatkan melakukan ramal dalam tawaf di Kaabah dan juga tidak dalam sa‘i antara Safa dan Marwah, kerana ramal adalah untuk menzahirkan keberanian dan kekuatan. Sedangkan wanita bukan daripada kalangan ahli peperangan untuk dituntut menunjukkan ketabahan dirinya. Begitu juga tidak dijamin (keselamatan) jika sesuatu dari auratnya terdedah ketika dia berjalan laju atau berlari, atau dia terjatuh kerana lemahnya fizikal. Oleh itu, wanita dilarang daripada melakukannya dan diperintahkan agar berjalan seperti biasa. Itulah penjelasan yang disebutkan dalam kitab berkaitan perbezaan antara lelaki dan wanita dalam hal ini. (Lihat al-Mabsut, 4/33-34).
Di samping itu, Imam Ibn Qudamah turut menyatakan dalam al-Mughni (3/355): “Kerana asal pensyariatan ramal dan idhtiba‘ adalah untuk menzahirkan ketabahan, dan hal itu tidak dituntut pada wanita. Wanita pula dituntut menjaga aurat, sedangkan dalam ramal dan idhtiba‘ terdapat kemungkinan aurat terdedah.”
Tambahan lagi, Najmuddin Ibn al-Rif‘ah juga ada menyebutkan dalam Kifayah al-Nabih (7/383): “Dia berkata: (Wanita tidak melakukan ramal dan tidak melakukan idhtiba‘) kerana kedua-duanya tidak mempunyai makna (hikmah pensyariatan) bagi wanita, bahkan hal tersebut boleh mencacatkan kesempurnaan penjagaan aurat mereka.”
Inilah sebahagian daripada hikmah-hikmah tidak disyariatkan wanita berlari-lari anak (ramal) dalam tawaf mahupun sa‘i mereka, yang dapat kami berikan dalam ruangan yang terhad ini.
Sesungguhnya Allah SWT memiliki ketetapan yang sempurna dan hikmah yang mendalam dalam setiap ciptaan-Nya dan dalam setiap syariat-Nya. Dia Maha Bijaksana dalam penciptaan-Nya dan dalam pensyariatan-Nya. Maka tiada satu ibadah pun yang disyariatkan oleh Allah kepada hamba-hamba-Nya melainkan pasti padanya terdapat hikmah yang agung — diketahui oleh sesiapa yang mengetahuinya dan tersembunyi bagi sesiapa yang tidak mengetahuinya. Ketidaktahuan kita terhadap hikmah sesuatu ibadah bukanlah bukti bahawa ibadah itu tiada hikmah, bahkan ia merupakan bukti akan kelemahan dan keterbatasan kita dalam memahami hikmah Allah SWT, sebagaimana firman-Nya:
وَمَا أُوتِيتُم مِّنَ الْعِلْمِ إِلَّا قَلِيلًا
Maksudnya: “Dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja.”
(Surah al-Isra’: 85)
Al-Sabuni menyatakan ayat ini bermaksud, seseorang manusia itu tidak dikurniakan ilmu kecuali amat sedikit. Ini kerana ilmu yang dimiliki oleh mereka sebagai manusia itu jauh amat sedikit berbanding dengan ilmu Allah. (Lihat Safwah al-Tafasir, 2/159).
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.
Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”