← Semua Artikel

#8814: Hikmah Orang Musyrikin Dicabar Mendatangkan Ayat seperti al-Quran

- bacaan

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya baca al-Quran, dan terjumpa beberapa ayat di mana Allah mencabar orang Musyrik untuk mendatangkan ayat yang serupa dengan al-Quran. Apakah hikmah disebaliknya?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan beberapa ayat berkaitan dengan persoalan saudara, antaranya adalah firman Allah SWT:

وَإِن كُنتُمْ فِى رَيْبٍ مِّمَّا نَزَّلْنَا عَلَىٰ عَبْدِنَا فَأْتُوا۟ بِسُورَةٍ مِّن مِّثْلِهِۦ وَٱدْعُوا۟ شُهَدَآءَكُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ إِن كُنتُمْ صَـٰدِقِينَ

Maksudnya: “Dan kalau kamu ada menaruh syak tentang apa yang Kami turunkan (al-Quran) kepada hamba kami (Muhammad), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan al-Quran itu, dan panggilah orang-orang yang kamu percaya boleh menolong kamu selain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar.”

(Surah al-Baqarah: 23)

Begitu juga firman Allah:

أَمْ يَقُولُونَ ٱفْتَرَىٰهُ ۖ قُلْ فَأْتُوا۟ بِسُورَةٍ مِّثْلِهِۦ وَٱدْعُوا۟ مَنِ ٱسْتَطَعْتُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ إِن كُنتُمْ صَـٰدِقِينَ

Maksudnya: “(Orang-orang kafir tidak mengakui hakikat yang demikian itu) bahkan mereka mengatakan: ‘Dia lah (Muhammad) yang mengada-adakan al-Quran menurut rekaannya.’ Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Kalau demikian, datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al-Quran itu, dan panggilah siapa sahaja yang kamu dapat memanggilnya, yang lain dari Allah (untuk membantu kamu), jika betul kamu orang-orang yang benar!’.”

(Surah Yunus: 38)

Dalam Surah Hud pula Allah berfirman:

أَمْ يَقُولُونَ افْتَرَاهُ قُلْ فَأْتُوا بِعَشْرِ سُوَرٍ مِثْلِهِ مُفْتَرَيَاتٍ وَادْعُوا مَنِ اسْتَطَعْتُمْ مِنْ دُونِ اللَّهِ إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ

Maksudnya: “Bukan itu sahaja kata-kata mereka bahkan mereka menuduh dengan mengatakan: ‘Ia (Muhammad) yang mereka-reka Al-Quran itu!’ Katakanlah (wahai Muhammad): ‘(Jika demikian tuduhan kamu), maka cubalah buat serta datangkan sepuluh surah rekaan yang sebanding dengan Al-Quran itu, dan panggilah siapa sahaja yang kamu sanggup memanggilnya, yang lain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar’.”

(Surah Hud: 13)

Begitu juga firman-Nya:

قُل لَّئِنِ ٱجْتَمَعَتِ ٱلْإِنسُ وَٱلْجِنُّ عَلَىٰٓ أَن يَأْتُوا۟ بِمِثْلِ هَـٰذَا ٱلْقُرْءَانِ لَا يَأْتُونَ بِمِثْلِهِۦ وَلَوْ كَانَ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ ظَهِيرًا

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan al-Quran ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan yang sebanding dengannya, walaupun mereka bantu-membantu sesama sendiri’.”

(Surah al-Isra’: 77)

Disebutkan juga dalam Surah al-Tur:

فَلْيَأْتُوا۟ بِحَدِيثٍ مِّثْلِهِۦٓ إِن كَانُوا۟ صَـٰدِقِينَ

Maksudnya: “(Kalau tidak) maka hendaklah mereka membuat dan mendatangkan kata-kata (yang fasih dan indah) seperti al-Quran itu, jika betul mereka orang-orang yang benar dakwaannya.”

(Surah al-Tur: 34)

Di dalam ayat-ayat di atas, Allah SWT telah mencabar golongan musyrikin Arab dan para ahli bahasa mereka yang mendustakan kerasulan Nabi Muhammad SAW, serta sesiapa sahaja selepas mereka, agar mereka mendatangkan yang seumpama al-Quran ini, atau satu surah yang seumpamanya. Tujuan cabaran ini adalah bagi membuktikan bahawa al-Quran itu benar-benar datang daripada Allah Ta‘ala, bukan daripada Nabi Muhammad SAW, dan bukan juga hasil ajaran mana-mana manusia kepadanya. Bahkan ia adalah Kalamullah yang diturunkan kepada Rasul-Nya SAW.

Syeikh Soleh al-Mughamisi menghuraikan masalah ini seraya mengatakan, bangsa Arab pada ketika dahulu tidak mempunyai kepentingan atau kemahiran melainkan dalam bidang sastera. Maka atas dasar itulah pasar-pasar mereka didirikan, dan majlis-majlis mereka berlangsung. Mereka adalah golongan yang memiliki kefasihan, keindahan bahasa, kemahiran bersyair dan berpidato. Tidak ada persaingan mahupun penilaian yang menjadi perhatian utama mereka melainkan dalam bidang syair dan pidato, dan padanya jugalah mereka bergantung hidup.

Kemudian datanglah Nabi kita Muhammad SAW membawa wahyu al-Quran daripada Allah SWT, sambil menyatakan: “Sesungguhnya al-Quran ini datangnya daripada Allah, dan kalam ini adalah Kalam Allah.” Namun mereka mendustakannya seraya berkata sebagaimana yang direkodkan dalam firman Allah:

وَإِن يَرَوْا۟ كُلَّ ءَايَةٍۢ لَّا يُؤْمِنُوا۟ بِهَا ۚ حَتَّىٰٓ إِذَا جَآءُوكَ يُجَـٰدِلُونَكَ يَقُولُ ٱلَّذِينَ كَفَرُوٓا۟ إِنْ هَـٰذَآ إِلَّآ أَسَـٰطِيرُ ٱلْأَوَّلِينَ

Maksudnya:

Dan kalaupun mereka melihat tiap-tiap keterangan (dan mukjizat yang membuktikan kebenaran Rasul), mereka tidak juga akan beriman kepada keterangan itu; sehingga apabila mereka datang kepadamu, sambil membantahmu, berkatalah orang-orang yang kafir itu: ‘Ini tidak lain hanyalah cerita-cerita dongeng orang-orang dahulu’.” 

(Surah al-An‘am: 25)

Apabila mereka mendustakannya, Allah SWT memberitahu bahawa jika benar al-Quran ini daripada Nabi Muhammad sendiri – sebagaimana yang mereka dakwa – sedangkan Baginda hanyalah seorang manusia seperti mereka, dan seorang Arab seperti mereka, dan mereka pula adalah para ahli dalam kefasihan dan keindahan bahasa – maka cuba datangkan sesuatu yang serupa dengannya jika mereka berada pada pihak yang benar.

Di samping itu, disebutkan juga provokasi untuk membangkitkan rasa marah dan membuktikan lagi betapa lemahnya kaum Musyrikin ini:

فَإِن لَّمْ تَفْعَلُوا۟ وَلَن تَفْعَلُوا۟ فَٱتَّقُوا۟ ٱلنَّارَ ٱلَّتِى وَقُودُهَا ٱلنَّاسُ وَٱلْحِجَارَةُ ۖ أُعِدَّتْ لِلْكَـٰفِرِينَ

Maksudnya: “Maka kalau kamu tidak dapat membuatnya, dan sudah tentu kamu tidak dapat membuatnya, maka peliharalah diri kamu dari api neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu-batu (berhala), (iaitu neraka) yang disediakan untuk orang-orang kafir.”

(Surah al-Baqarah: 24)

Allah mengkhabarkan bahawa bahan bakar dalam neraka adalah manusia dan batu-batu. Semuanya itu bertujuan untuk menghangatkan Musyrikin dan membangkitkan semangat mereka agar mencabar al-Quran. Namun begitu, mereka lemah dan tidak mampu untuk mendatangkan walaupun satu ayat, apatah lagi sebahagian daripada ayat, lebih-lebih lagi beberapa surah, atau sepuluh surah, mahupun keseluruhan al-Quran. Maka inilah hakikat maksud cabaran yang terdapat dalam ayat-ayat tersebut. (Lihat Ta’ammulat Qur’aniyyah, 1/9)

Kesimpulan

Al-Quran al-Karim adalah kalam Allah SWT yang juga merupakan satu mukjizat, dan satu surah daripadanya merupakan mukjizat sebagaimana keseluruhan surah-surah yang banyak.

Ayat-ayat cabaran datang dalam pelbagai bentuk, ada yang mencabar dengan keseluruhan al-Quran, ada yang dengan sepuluh surah daripadanya, dan ada juga yang dengan satu surah sahaja. Cabaran ini diturunkan secara berperingkat dan bertahap untuk menzahirkan kelemahan manusia dalam menghasilkan sesuatu yang serupa dengan al-Quran ini, dan untuk membuktikan bahawa ia adalah Kalam Allah SWT.

Kami akhiri dengan doa:

اللّهُمَّ فَقِّهْنَا فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْنَا التَّأْوِيلَ

Maksudnya: “Ya Allah! Berikanlah kepada kami kefaqihan dalam agama dan ilmu dalam tafsir dan takwil al-Quran.”

Wallahu a‘lam

Tetapan Bacaan