← Semua Artikel

#8864: Hikmah Pensyariatan Puasa Sunat

- bacaan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Boleh ustaz kongsikan dengan kami secara ringkas beberapa hikmah pensyariatan puasa sunat? Sebabnya supaya ia dapat sedikit sebanyak memberi motivasi kepada saya untuk lebih rajin puasa sunat. Terima kasih ustaz.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَأَن تَصُومُوا۟ خَيْرٌ لَّكُمْ

Maksudnya: “Dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah).”

(Surah al-Baqarah: 184)

Al-Syaukani berkata: Yakni berpuasa lebih baik bagi kamu semua daripada berbuka dengan membayar fidyah. (Lihat Fath al-Qadir, 1/211)

Hakikat Hikmah

Hikmah berasal daripada kalimah bahasa arab, al-Hikmah (الْحِكْمَةِ) yang merupakan kata terbitan daripada al-Hakamah (الْحَكَمَةُ) yang bermaksud: Sesuatu yang mengelilingi lelangit kuda. Hal ini kerana ia menghalang kuda daripada berlari terlalu laju, sehingga ia menghalangnya daripada berlari. Maka, al-Hikmah diambil daripada perkataan al-Hakamah kerana ia menghalang tuannya daripada akhlak yang buruk. (Lihat al-Misbah al-Munir, 1/145)

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, Hikmah didefinisikan melalui beberapa perkara, antaranya:

  • Kebijaksanaan daripada Allah dan kecer­dikan
  • Allah melakukan apa sahaja menurut kehendak-Nya dan sesuai dengan hikmah yang telah ditetapkan oleh-Nya
  • Rahsia, kelebihan atau tujuan sebenar di se­balik sesuatu perkara.[1]

Menurut Istilah, terdapat beberapa tafsiran yang dikemukakan oleh para ulama’. Di antaranya:

Imam al-Nawawi menyatakan, hikmah adalah sebuah kata yang mengibaratkan tentang ilmu yang bersifat sempurna terhadap pengenalan kepada Allah tabaraka wa ta’ala yang disertai dengan kekuatan basirah (ilmu yang diyakini berdasarkan dalil yang sahih dan pemahaman yang benar), pembersihan jiwa, penegakkan serta pengamalan terhadap kebenaran, tidak mengikuti hawa nafsu dan kebatilan. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 2/33)

Manakala Abu Isma‘il al-Harawi berkata, hikmah adalah kata nama bagi hukum-hukum, meletakkan sesuatu pada tempatnya. (Lihat Manazil al-Sairin, hlm 78)

Menurut Ibn ‘Asyur, hikmah adalah penyempurnaan ilmu pengetahuan dan pengamalan sesuai dengan ilmu yang dimiliki. (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 2/461)

Terdapat juga takrifan yang dibawakan oleh ulama kontemporari terhadap “Hikmah” ini. Syeikh ‘Abd al-Rahman al-Sa‘di berkata, hikmah ialah ilmu yang bermanfaat, pengetahuan yang tepat, pemikiran yang lurus, akal yang matang, serta kebijaksanaan dalam mencapai kebenaran dalam perkataan dan perbuatan. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 957).

Hikmah Pensyariatan Puasa Sunat

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa sesungguhnya Allah SWT memiliki ketetapan yang sempurna dan hikmah yang mendalam dalam setiap ciptaan-Nya dan dalam setiap syariat-Nya. Dia Maha Bijaksana dalam penciptaan-Nya dan dalam pensyariatan-Nya. Maka tiada satu ibadah pun yang disyariatkan oleh Allah kepada hamba-hamba-Nya melainkan pasti padanya terdapat hikmah yang agung — diketahui oleh sesiapa yang mengetahuinya dan tersembunyi bagi sesiapa yang tidak mengetahuinya. Ketidaktahuan kita terhadap hikmah sesuatu ibadah bukanlah bukti bahawa ibadah itu tiada hikmah, bahkan ia merupakan bukti akan kelemahan dan keterbatasan kita dalam memahami hikmah Allah SWT, sebagaimana firman-Nya:

وَمَا أُوتِيتُم مِّنَ الْعِلْمِ إِلَّا قَلِيلًا

Maksudnya: “Dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja.

(Surah al-Isra’: 85)

Al-Sabuni menyatakan ayat ini bermaksud, seseorang manusia itu tidak dikurniakan ilmu kecuali amat sedikit. Ini kerana ilmu yang dimiliki oleh mereka sebagai manusia itu jauh amat sedikit berbanding dengan ilmu Allah. (Lihat Safwah al-Tafasir, 2/159).

Di antara hikmah pensyariatan puasa sunat ialah:

1 – Puasa sunat berperanan menyempurnakan puasa fardhu pada Hari Kiamat, berdasarkan hadith Tamim al-Dari R.A bahawa Nabi SAW bersabda:

أَوَّلُ مَا يُحَاسَبُ بِهِ الْعَبْدُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ صَلَاتُهُ، فَإِنْ كَانَ أَتَمَّهَا كُتِبَتْ لَهُ تَامَّةً، وَإِنْ لَمْ يَكُنْ أَتَمَّهَا، قَالَ اللهُ تَعَالَى لِمَلَائِكَتِهِ: انْظُرُوا هَلْ تَجِدُونَ لِعَبْدِي مِنْ تَطَوُّعٍ فَتُكْمِلُونَ بِهِ فَرِيضَتَهُ؟ ثُمَّ الزَّكَاةُ كَذَلِكَ، ثُمَّ تُؤْخَذُ الْأَعْمَالُ عَلَى حَسَبِ ذَلِكَ.

Maksudnya:Amalan pertama yang akan dihisab ke atas seorang hamba pada Hari Kiamat ialah solatnya. Jika dia telah menyempurnakannya, maka ditulis baginya sempurna. Jika dia tidak menyempurnakannya, Allah Ta‘ala berfirman kepada para malaikat-Nya: ‘Lihatlah, adakah kamu mendapati bagi hamba-Ku itu amalan sunat untuk kamu sempurnakan fardhu yang kurang itu dengannya.’ Kemudian zakat juga akan dihisab dengan cara yang sama, dan amalan-amalan lain diambil kira mengikut kaedah tersebut.

Riwayat Ahmad (2/290), Abu Dawud (866), al-Tirmizi (413), dan Ibn Majah (1425). Hadith ini disahihkan oleh al-Albani dalam Sahih Sunan Abi Dawud (1/245), dan dalam Sahih al-Jami‘ (2/353).

2 – Ia menjadi sebab untuk memperoleh kasih sayang Allah Ta‘ala, sebagaimana dalam hadith qudsi yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa Nabi SAW bersabda: Allah Ta‘ala berfirman:

وَلَا يَزَالُ عَبْدِي يَتَقَرَّبُ إِلَيَّ بِالنَّوَافِلِ حَتَّى أُحِبَّهُ، فَإِذَا أَحْبَبْتُهُ، كُنْتُ سَمْعَهُ الَّذِي يَسْمَعُ بِهِ، وَبَصَرَهُ الَّذِي يُبْصِرُ بِهِ، وَيَدَهُ الَّتِي يَبْطِشُ بِهَا، وَرِجْلَهُ الَّتِي يَمْشِي بِهَا، وَلَئِنْ سَأَلَنِي لَأُعْطِيَنَّهُ، وَلَئِنِ اسْتَعَاذَنِي لَأُعِيذَنَّهُ.

Maksudnya:Dan hamba-Ku berterusan mendekatkan diri kepada-Ku dengan melakukan amalan-amalan sunat sehingga Aku mencintainya. Apabila Aku telah mencintainya, maka Aku menjadi pendengarannya yang dia gunakan untuk mendengar, menjadi penglihatannya yang dia gunakan untuk melihat, menjadi tangannya yang dia gunakan untuk melakukan sesuatu, dan menjadi kakinya yang dia gunakan untuk berjalan. Jika dia meminta kepada-Ku nescaya Aku akan mengurniakannya, dan jika dia memohon perlindungan kepada-Ku nescaya Aku akan melindunginya.

Riwayat al-Bukhari (6502)

3 – Ia menjadi sebab bertambahnya iman, kerana puasa sunat merupakan satu bentuk ketaatan dan amalan mendekatkan diri kepada Allah, dan sesungguhnya iman itu akan bertambah dengan ketaatan, bergantung kepada kualiti amalan, jenisnya, dan juga kuantitinya.

4 – Mengukuhkan hubungan seseorang hamba dengan Tuhannya melalui kesinambungan ibadah. Ini kerana sekiranya seseorang itu hanya bergantung kepada ibadah fardhu semata-mata, mungkin dia akan mengalami kelalaian dan terputus hubungan (dengan Allah). Maka, antara hikmah Allah mensyariatkan puasa sunat ialah agar hamba sentiasa berada dalam hubungan dengan Tuhannya sepanjang masa.

5 – Dalam ibadah sunat terdapat dorongan untuk melaksanakan ibadah fardhu, memudahkannya, serta melatih jiwa untuk melaksanakannya. Ini disebabkan apabila seorang hamba sentiasa beristiqamah dalam melakukan amalan sunat dan ibadah-ibadah tambahan, maka akan menjadi mudah baginya untuk menunaikan ibadah fardhu. Ini kerana jiwanya telah terbiasa dengan jenis ibadah tersebut. Ketika itu, dia akan melaksanakan ibadah fardhu dengan hati yang tenang dan jiwa yang lapang, lalu tercapailah padanya rasa kehinaan dan ketundukan yang sempurna kepada Allah Ta‘ala dalam ibadah tersebut. (Lihat Fath Zi al-Jalal wa al-Ikram, 7/353); al-Syarh al-Mumti‘, 6/457).

Inilah sebahagian daripada hikmah pensyariatan puasa sunat yang dapat kami berikan dalam ruangan yang terhad ini. Semoga ia dapat menjadi pendorong dan pencetus semangat kepada saudara yang bertanya, jua buat mereka yang membaca artikel ini untuk meningkatkan lagi ibadah mereka kepada ALlah SWT khususnya menerusi puasa sunat.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ لَكَ صُمْنَا، وَعَلَى رِزْقِكَ أَفْطَرْنَا، فَتَقَبَّلْ مِنَّا، إِنَّكَ أَنْتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

Maksudnya: “Ya Allah Ya Tuhan kami kerana Engkau kami berpuasa dan dengan rezeki Engkau kami berbuka maka terimalah daripada kami, sesungguhnya Engkau Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui ”.

ذَهَبَ الظَّمَأُ، وَابْتَلَّتِ الْعُرُوقُ، وَثَبَتَ الْأَجْرُ إِنْ شَاءَ اللَّهُ

Maksudnya: “Telah hilang dahaga, telah basah urat-urat dan telah ditetapkam pahala insyaAllah”.

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=hikmah. Diakses pada 16 April 2025.

Tetapan Bacaan