← Semua Artikel

#8798: Ibu Imam al-Syafi’i

- bacaan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah ibu Imam al-Syafi’i adalah keturunan daripada Saidina Ali R.A?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

قُلْ هَلْ يَسْتَوِي الَّذِينَ يَعْلَمُونَ وَالَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ ۗ إِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُولُو الْأَلْبَابِ

Maksudnya: “Katakanlah lagi (kepadanya): ‘Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?’ Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.”

(Surah al-Zumar: 9)

Para ulama telah bersepakat bahawa ilmu itu terbahagi kepada dua iaitu ilmu fardhu ain yang diwajibkan ke atas setiap Muslim. Keduanya, ilmu fardhu kifayah iaitu jika sebahagian Muslim sudah melaksanakannya, maka gugurlah kewajipan tersebut kepada sebahagian yang lain dalam kawasan yang sama.  Seterusnya, ilmu fardhu ain itu pula adalah perkara-perkara yang berkait rapat dengan kewajipan yang dituntut ke atas setiap insan. Dalam erti kata lain, dia mesti mengetahui dan mempelajarinya seperti ilmu berkaitan akidah, solat, puasa dan seumpamanya yang melibatkan persoalan asas Islam. (Lihat Jami‘ Bayan al-‘Ilm wa Fadhlihi, 1/56).

Kami mulakan dengan nasab keturunan Imam al-Syafi’i terlebih dahulu.

Nama sebenar Imam al-Syafi‘i ialah Abu ‘Abdillah Muhammad bin Idris bin al-‘Abbas bin ‘Uthman bin Syafi‘ bin al-Sa’ib bin ‘Ubaid bin ‘Abd Yazid bin Hasyim bin al-Muttalib bin ‘Abd Manaf bin Qusai bin Kilab bin Murrah bin Ka‘b bin Lu’ai bin Ghalib bin Fihr bin Malik ibn al-Nadhr bin Kinanah bin Khuzaimah bin Mudrikah bin Ilyas bin Mudhar bin Nizar bin Ma‘ad bin ‘Adnan bin Ud bin Udad bin al-Hamaisa‘ bin Yakhsyab bin Bait bin Salaman bin Haml bin Qaidar bin Isma‘il bin Ibrahim. (Lihat Jumhurah Ansab al-Arab, hlm. 73; Siyar A‘lam al-Nubala’, 10/5; Manazil al-A’immah al-Arba‘ah, hlm. 198)

Jadi, nasab Imam al-Syafi‘i bertemu dengan nasab Nabi SAW pada datuknya yang bernama ‘Abd Manaf.

Menjawab persoalan di atas, kami nukilkan pendapat Syeikh Sulaiman al-Jamal yang membawakan dua pendapat dalam hasyiahnya, Hasyiah al-Jamal (1/23) berkenaan nama ibu Imam al-Syafi‘i. Pendapat pertama dan ini merupakan pendapat yang syaz yang diriwayatkan oleh al-Hakim Abu ‘Abdillah al-Hafiz bahawa ibu Imam al-Syafi‘i ialah Fatimah binti Abdullah bin al-Hasan bin al-Husain bin Ali bin Abu Talib. Pendapat kedua dan ini merupakan pendapat yang masyhur, bahawasanya ibu Imam al-Syafi‘i daripada suku Azdi. Pendapat kedua ini adalah pendapat yang lebih mendekati kebenaran iaitu ibunya adalah Azdiyyah, bukannya Hasyimiyyah. Inilah pandangan yang ditegaskan oleh Imam al-Nawawi bersama dengan mereka yang sama-sama menegaskannya atau menyatakan pendapat yang sama. (Lihat al-Imam al-Syafi‘i Faqih Sunnah al-Akbar oleh al-Daqir, hlm. 42)

Justeru, kami katakan, pendapat yang terkuat adalah ibu Imam al-Syafi’i berasal daripada kabilah suku Azdi. Kisah kasihnya Imam Syafi’i kepada ibunya dan begitu juga sebaliknya telah kami kemukakan dalam Biografi Imam Empat Mazhab, karya kami terbaru.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”

Tetapan Bacaan