← Semua Artikel

#8888: Kisah Pengislaman Uthman bin ‘Affan R.A

- bacaan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimana Uthman R.A memeluk Islam pada zaman awal dakwah Islam? Benarkah beliau diajak oleh Abu Bakar dan menjadi antara yang terawal memeluk Islam? Benarkah, ketika Nabi Muhammad menyampaikan Islam kepadanya, baginda berkata: “Wahai Uthman, adakah engkau tidak mahu menerima syurga yang kekal dan kekuasaan yang mulia?” Uthman menjawab: “Ya, aku bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah dan engkau adalah Rasulullah.”

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

مِّنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ ۖ فَمِنْهُم مَّن قَضَىٰ نَحْبَهُ وَمِنْهُم مَّن يَنتَظِرُ ۖ وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلًا

Maksudnya: “Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikit pun.”

(Surah al-Ahzab: 23)

Imam al-Tabari berkata: Maksud ayat ini adalah, di antara orang-orang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, terdapat orang-orang yang menepati janjinya kepada Allah, iaitu sabar terhadap pelbagai kesusahan dan mudharat. Antara mereka ada yang menyelesaikan pekerjaan yang dijanjikannya kepada Allah dan diwajibkannya kepada dirinya sendiri bagi Allah, sehingga sebahagian dari mereka mati syahid dalam Perang Badar, sebahagian mati syahid dalam perang Uhud, dan sebahagian lagi mati syahid di tempat lain. Tetapi, di antara mereka ada yang menanti qadha dan penyelesaian dari Allah sebagaimana di antara mereka ada yang ditetapkan memenuhi janji kepada Allah, serta memperoleh pertolongan dari Allah dan kemenangan atas musuhnya. (Lihat Jami’ al-Bayan, 21/50).

‘Uthman dilahirkan enam tahun selepas Peristiwa Gajah (tentera bergajah yang ingin memusnahkan Kaabah), menurut pendapat yang sahih. Baginda berperawakan sederhana, berwajah tampan, berkulit bersih, berjanggut lebat, dan memiliki bahu yang bidang. (Lihat al-Isabah__fi Tamyiz al-Sahabah, 4/377).

Ali pernah ditanya, “Ceritakanlah kepada kami tentang ‘Uthman.” Maka beliau berkata: “Dia adalah seorang lelaki yang digelar di kalangan para malaikat sebagai Dzun-Nurain (Pemilik Dua Cahaya).”

Ibnu Ishaq meriwayatkan: Setelah Abu Bakar R.A memeluk Islam, beliau menzahirkan keislamannya dan mula berdakwah kepada Allah dan Rasul-Nya. Abu Bakar merupakan seorang yang disenangi oleh kaumnya, disayangi, lemah lembut, dan yang paling luas jaringan keturunannya dalam kalangan Quraisy. Beliau juga seorang saudagar yang berbudi pekerti mulia dan terkenal dengan kebaikan. Kaumnya sering mendatanginya dan mengeratkan hubungan dengannya atas pelbagai sebab — kerana ilmunya, perniagaannya, serta pergaulannya yang menyenangkan. Maka beliau pun mengajak sesiapa yang dipercayainya dalam kalangan kaumnya yang kerap menziarahi dan duduk bersamanya kepada Islam dan kepada Allah. Maka dengan dakwahnya, masuk Islamlah ‘Uthman bin ‘Affan, al-Zubair bin al-‘Awwam, ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf, Sa‘d bin Abi Waqqas, dan Talhah bin ‘Ubaidillah. Mereka pun berangkat bersama Abu Bakar menemui Rasulullah ﷺ, lalu Baginda ﷺ mempersembahkan Islam kepada mereka, membacakan al-Quran kepada mereka, dan memberitahu mereka tentang hakikat Islam serta apa yang dijanjikan oleh Allah berupa kemuliaan. Maka mereka pun beriman, mengakui kebenaran Islam dan menjadi antara yang terawal menerima dakwah. Mereka — termasuk ‘Ali dan Zaid bin Harithah — merupakan lapan orang yang terdahulu memeluk Islam, bersolat, membenarkan Rasulullah ﷺ, dan beriman dengan apa yang dibawa dari sisi Allah Ta‘ala.

Ketika Uthman R.A diajak oleh Abu Bakar al-Siddiq memeluk Islam, usianya hampir mencecah tiga puluh empat tahun. Tidak diketahui beliau pernah ragu-ragu atau teragak-agak, malah beliau menyahut seruan Abu Bakar dengan segera dan penuh keyakinan, menjadikannya antara golongan yang terawal memeluk Islam — yang keempat dalam kalangan lelaki. Kemungkinan kecepatan beliau menerima Islam berkait rapat dengan satu pengalaman luar biasa yang dialaminya sewaktu pulang dari Syam. Uthman R.A pernah menceritakan pengalaman tersebut kepada Rasulullah ﷺketika beliau datang bersama Talhah bin ‘Ubaidillah menemui Baginda. Rasulullah ﷺ menawarkan Islam kepada mereka, membacakan al-Quran dan menjelaskan hak-hak agama serta janji kemuliaan daripada Allah. Maka keduanya beriman dan membenarkan Baginda. Uthman berkata: “Wahai Rasulullah, aku baru sahaja pulang dari Syam. Ketika kami berada di antara Ma‘an dan Zarqā’, kami sedang tidur nyenyak, lalu tiba-tiba terdengar satu seruan: ‘Wahai orang-orang yang tidur, bangkitlah, sesungguhnya Ahmad telah muncul di Makkah!’ Maka kami pun tiba (di Makkah) dan mendengar tentang engkau.” (Lihat Tarikh Dimasyq, 39/22; al-Tabaqat al-Kubra, 3/55; al-Khasa’is al-Kubra, 1/174)

Tidak syak lagi bahawa peristiwa ini meninggalkan kesan yang mendalam dalam jiwa pemiliknya — satu kesan yang sukar untuk dilupakan apabila kebenaran terpampang jelas di hadapan matanya. Maka, siapakah yang sanggup membiarkan Nabi ﷺ pergi ke negerinya tanpa terlebih dahulu menyelidiki risalahnya, lalu setelah baginda sampai dan menyaksikan segala peristiwa dan hakikat yang berlaku seolah-olah mengesahkan kebenaran apa yang pernah didengarnya — masihkah ada ruang untuk ragu dan menolak seruan itu?

Beliau telah merenung dakwah baru ini dengan tenang, sebagaimana kebiasaannya dalam menangani hal-hal penting. Beliau mendapati bahawa ia merupakan seruan kepada kemuliaan dan penolakan terhadap kejahatan; seruan kepada tauhid dan peringatan daripada syirik; seruan kepada ibadah dan ancaman terhadap kelalaian; serta seruan kepada akhlak terpuji dan peringatan terhadap akhlak tercela. Kemudian beliau melihat kepada kaumnya — ternyata mereka menyembah berhala, memakan bangkai, mencabuli hak jiran, dan menghalalkan perkara yang haram. Sedangkan Nabi Muhammad ﷺ dikenali sebagai seorang yang benar dan amanah, tidak pernah diketahui berdusta mahupun berkhianat.

Maka beliau pun memeluk Islam melalui tangan Abu Bakar al-Siddiq R.A, dan terus melangkah maju dalam keimanan — menjadi seorang yang teguh, tenang, lemah lembut, sabar, mulia, reda, pemaaf, dermawan, penyayang, pemurah dan sentiasa memberi. Beliau menenangkan hati orang beriman dan membantu golongan yang tertindas, sehinggalah Islam menjadi kukuh dan utuh.

Ibn Kathir menyebut: Uthman bin ‘Affan memeluk Islam pada peringkat awal dakwah, iaitu sebelum Nabi Muhammad ﷺ masuk ke Dar al-Arqam. Ketika itu, usianya telah melepasi tiga puluh tahun. Abu Bakar al-Siddiq mengajaknya kepada Islam dengan berkata: “Celakalah engkau wahai Uthman! Demi Allah, sesungguhnya engkau seorang yang bijak; tidak tersembunyi bagimu antara kebenaran dan kebatilan. Berhala-berhala yang disembah oleh kaummu itu — bukankah ia hanyalah batu-batu bisu yang tidak mendengar, tidak melihat, tidak mendatangkan mudarat dan tidak memberi manfaat?” Maka Uthman menjawab: “Benar, demi Allah, memang begitu keadaannya.”

Lalu Abu Bakar berkata: “Ini Muhammad bin Abdullah, Allah telah mengutusnya dengan risalah-Nya kepada seluruh makhluk. Mahukah engkau menemuinya dan mendengar daripadanya?” Uthman menjawab: “Ya.” Ketika itu, Nabi ﷺ lalu di hadapan mereka dan bersabda: “Wahai Uthman! Sambutlah seruan Allah menuju syurga-Nya. Sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepadamu dan kepada seluruh makhluk-Nya.”

Uthman berkata: “Demi Allah, tidak mampu aku menguasai diriku setelah mendengar kata-katanya itu melainkan aku terus memeluk Islam dan bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah Yang Maha Esa, tiada sekutu bagi-Nya, dan bahawa Muhammad adalah hamba dan Rasul-Nya.” (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 7/223; al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, 8/177)

Syeikh Mahmud al-Misri menyebut: Pada zaman Jahiliah, ‘Uthman bin ‘Affan merupakan salah seorang yang paling mulia dalam kalangan kaumnya — dihormati, berharta, merendah diri, amat pemalu, dan memiliki tutur kata yang santun. Keperibadiannya yang luhur menjadikan kaumnya amat menyayangi dan menghormatinya. Pada zaman Jahiliah, beliau tidak pernah sekali pun bersujud kepada berhala, tidak pernah melakukan perbuatan keji, dan tidak pernah menzalimi sesiapa pun.

Seperti halnya para pemilik murū’ah (kehormatan diri) yang lain, hatinya sangat merindukan hadirnya tangan kasih sayang yang dapat menyelamatkan manusia daripada kegelapan Jahiliah yang telah merebak ke seluruh pelosok negeri — menuju pelabuhan keselamatan yang hakiki. Tidak lama kemudian, al-Ḥabīb ﷺ diutus sebagai Rasul, maka ‘Uthman bin ‘Affan termasuk dalam golongan yang paling awal memeluk Islam — sebelum Nabi Muhammad ﷺ berhijrah ke rumah al-Arqam.

Kisah pengislaman ‘Uthman bin ‘Affan menjadi antara kisah yang sering diriwayatkan oleh para perawi, dan terus diceritakan dari generasi ke generasi. Pada zaman Jahiliah, ‘Uthman pernah mendengar khabar bahawa Muhammad bin ‘Abdillah telah menikahkan puterinya, Ruqayyah, dengan sepupunya, ‘Utbah bin Abi Lahab. Berita itu sangat mengecewakan ‘Uthman. Beliau berasa kesal kerana telah didahului oleh orang lain dan tidak berpeluang untuk memiliki seorang isteri sebaik Ruqayyah — wanita yang memiliki akhlak yang luhur dan keturunan yang mulia.

Lalu beliau pulang ke rumah dengan hati yang hiba. Di rumah, beliau bertemu dengan ibu saudaranya, Su‘dā binti Kurayz — seorang wanita yang berpendirian tegas, cerdas, dan berusia. Dialah yang menenangkan hati ‘Uthman dan menggembirakannya sehingga hilang rasa sedih dalam dirinya.

Ibu saudaranya menyampaikan khabar gembira kepada ‘Uthman bahawa akan muncul seorang Nabi yang diutus oleh Allah. Nabi ini akan membatalkan penyembahan berhala dan menyeru manusia untuk menyembah Allah Yang Maha Esa, Pemilik pembalasan.

Beliau turut mendorong ‘Uthman agar menerima agama yang dibawa oleh Nabi tersebut. Bahkan, ibu saudaranya menyampaikan kepadanya bahawa dia akan memperoleh kebaikan dan harapan yang besar di sisi Nabi yang diutus itu.

‘Uthman berkata: “Aku pergi sambil merenung akan kata-kata ibu saudaraku. Dalam perjalanan, aku bertemu dengan Abu Bakar lalu aku sampaikan kepadanya apa yang dikatakan oleh ibu saudaraku.”

Abu Bakar berkata: “Demi Allah! Ibu saudaramu telah berkata benar dengan apa yang disampaikannya kepadamu. Sesungguhnya ibu saudaramu telah membawa berita gembira buatmu, wahai ‘Uthman. Engkau adalah seorang lelaki yang berakal dan tegas; kebenaran tidak tersembunyi daripadamu. Antara kebenaran dan kebatilan, engkau tidak pernah keliru.”

‘Uthman berkata: “Kemudian Abu Bakar berkata kepadaku, ‘Berhala-berhala apakah yang disembah oleh kaum kita ini? Bukankah semuanya hanyalah batu pejal yang tuli — tidak mendengar dan tidak melihat?’  Aku menjawab, ‘Benar, begitu keadaannya.’

Abu Bakar berkata lagi:  ‘Wahai ‘Uthman! Apa yang diberitahu oleh bibimu kini telah menjadi kenyataan. Allah telah mengutus Rasul-Nya yang selama ini dinanti-nantikan. Baginda diutus kepada seluruh umat manusia, membawa agama petunjuk dan kebenaran.’

Aku pun bertanya:  ‘Siapakah dia?’

Abu Bakar menjawab:  ‘Muhammad bin ‘Abdillah bin ‘Abdil Muṭṭalib.’

Aku berkata:  ‘Ash-Ṣādiq al-Amīn (yang benar lagi dipercayai)?’

Abu Bakar menjawab:  ‘Benar, dialah orangnya.’

Lalu aku berkata kepadanya: ‘Mahukah engkau menemaniku untuk bertemu dengannya?’

Abu Bakar menjawab:  ‘Ya, tentu sekali.’

‘Uthman melanjutkan: “Maka kami pun pergi menemui Nabi ﷺ_. Ketika Baginda melihatku, Baginda bersabda: ‘Wahai ‘Uthman! Sambutlah seruan Allah. Sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepada kamu secara khusus dan kepada seluruh manusia secara umum.’”_

‘Uthman berkata: “Demi Allah, sebaik sahaja aku melihat Nabidan mendengar tutur katanya, hatiku serta-merta berasa tenteram terhadapnya. Lalu aku membenarkan risalah yang dibawanya, dan aku pun bersaksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, dan bahawa Muhammad ialah hamba dan utusan-Nya.” (Lihat Ashab al-Rasul oleh Mahmud al-Misri, 1/160-162)

Syeikh Dr. Ali al-Salabi menyebut: Ketika Abu Bakar al-Siddiq mengajaknya memeluk Islam, ‘Uthman R.A ketika itu telah pun mencecah usia tiga puluh empat tahun. Tanpa sebarang keraguan atau teragak-agak, beliau segera menyahut seruan tersebut dan memeluk Islam dengan penuh keyakinan. Maka beliau pun tergolong dalam kalangan yang paling awal memeluk Islam. Abu Ishaq pernah berkata: “Orang yang pertama memeluk Islam selepas Abu Bakar, ‘Ali, dan Zaid bin Harithah ialah ‘Uthman.” Dengan itu, beliau merupakan lelaki keempat yang memeluk Islam.

Kemungkinan besar, kecepatan beliau dalam menerima Islam berkait rapat dengan satu peristiwa yang berlaku sewaktu beliau pulang dari Syam. Beliau sendiri menceritakan perkara ini kepada Rasulullah ﷺ ketika beliau bersama-sama Talhah bin ‘Ubaidillah menghadap Baginda ﷺ. Lalu Rasulullah ﷺ menyampaikan dakwah Islam kepada mereka, membacakan al-Quran, menerangkan hak-hak dalam Islam, serta menjanjikan kemuliaan daripada Allah bagi mereka yang beriman. Maka keduanya pun beriman dan membenarkan risalah tersebut.

‘Uthman R.A berkata: “Wahai Rasulullah, aku baru sahaja pulang dari Syam. Ketika kami berada di antara Ma‘an dan Zarqa’, kami seperti sedang tidur, tiba-tiba terdengar satu suara memanggil kami: ‘Wahai orang-orang yang sedang tidur! Bangkitlah! Sesungguhnya Ahmad telah muncul di Mekah.’ Lalu kami pun sampai dan mendengar berita tentangmu.”

Tidak syak lagi bahawa peristiwa ini telah meninggalkan kesan yang mendalam dalam jiwa pemiliknya — satu kesan positif yang sukar untuk dilupakan — terutamanya apabila kebenaran itu terpampang jelas di hadapan matanya. Siapakah yang apabila mendengar berita kemunculan Nabi ﷺ sebelum Baginda sendiri sampai ke negerinya, lalu setelah beliau tiba dan menyaksikan sendiri segala peristiwa dan hakikat yang membenarkan apa yang didengarnya, masih teragak-agak untuk menerima seruan itu?

Manusia — walau sekukuh mana pendiriannya dan sebesar mana penentangannya — tidak mampu menolak kebenaran selama-lamanya. Meskipun dia menunjukkan sikap keras dan acuh tak acuh, nuraninya tetap akan bergetar di dalam dadanya, sehingga dia akhirnya beriman atau mati untuk menghilangkan resah hati dan sengatan suara hati nurani yang mencela.

Penerimaan Islam oleh beliau bukanlah satu tindakan terburu-buru atau kerana kebodohan, tetapi hasil daripada keyakinan yang teguh dan keimanan yang tidak digugat oleh sebarang keraguan. Beliau telah merenung dakwah yang dibawa Nabi ﷺ dengan tenang, sebagaimana tabiatnya yang sentiasa bijaksana dalam menilai sesuatu perkara.

Beliau mendapati bahawa dakwah ini menyeru kepada kemuliaan dan menjauhi kehinaan; mengajak kepada tauhid dan memperingatkan daripada syirik; menyeru kepada ibadah dan mengingatkan bahaya kelalaian; menyeru kepada akhlak mulia dan memperingatkan daripada akhlak tercela.

Apabila beliau melihat kaumnya — yang menyembah berhala, memakan bangkai, menyakiti jiran, serta menghalalkan perkara haram seperti menumpahkan darah — dan membandingkannya dengan Nabi Muhammad ﷺ yang terkenal dengan kejujuran dan amanah, yang hanya dikenali dengan kebaikan dan tidak pernah dikaitkan dengan keburukan, tidak pernah berbohong dan tidak pernah mengkhianati, maka jelaslah baginya kebenaran dakwah itu.

Nabi ﷺ mengajak manusia menyembah Allah yang Esa, menjaga silaturahim, berbuat baik kepada jiran, menunaikan solat, berpuasa, dan tidak menyembah selain Allah.

Lalu beliau pun memeluk Islam melalui tangan Abu Bakar al-Siddiq R.A dan meneruskan imannya dengan penuh keteguhan. Beliau menjadi seorang mukmin yang tenang, lembut, sabar, agung, redha, pemaaf, pemurah, penyayang, dermawan, sentiasa berbuat ihsan, membantu golongan lemah, dan menyantuni orang-orang beriman — sehinggalah Islam menjadi semakin kukuh dan kuat.

Mengenai keislaman ‘Uthman, ibu saudaranya Sa‘dā binti Kurayz berkata:

هَدَى الله عُثْمَانَا بِقَوْلِي إلَى الْهُدَى… وَأَرْشَدَهُ والله يَهْدِي إلى الحَقِّ

“Allah telah memberi petunjuk kepada ‘Uthman melalui kata-kataku ke jalan petunjuk, Dan Dia telah membimbingnya, dan sesungguhnya Allah itu Maha Memberi Petunjuk ke jalan kebenaran.”

فَتَابَعَ بِالرَّأْيِ السَّدِيْدِ مُحَمَّداً… وَكَانَ بِرَأْيٍ لاَ يُصَدُّ عَنِ الصِّدْقِ

“Lalu dia mengikuti Muhammad dengan pandangan yang tepat dan lurus, Dan beliau memiliki pendirian yang tidak dapat dipalingkan daripada kebenaran.”

وَأَنْكَحَهُ الْمَبْعُوثُ بِالْحَقِّ بِنْتَهُ… فَكَانَ كَبَدْرٍ مَازَجَ الشَّمْسَ فِي الأُفُقِ

“Baginda yang diutus dengan kebenaran telah menikahkannya dengan puteri baginda, Maka dia menjadi seperti bulan purnama yang bercampur cahaya dengan mentari di ufuk langit.”

فِدَاؤُكَ يَا بْنَ الهَاشِمِيِّين مُهْجَتِي… وَأَنْتَ أَمِيْنُ اللهِ أُرْسِلْتَ لِلْخَلْقِ

“Demi engkau wahai putera Bani Hasyim, aku sanggup mengorbankan jiwaku, Engkaulah Amanah Allah, yang diutus untuk seluruh makhluk.”

Kesimpulan

Kisah pengislaman ‘Uthman bin ‘Affan R.A memperlihatkan satu bentuk hidayah yang mendalam, tenang, dan penuh keyakinan. Beliau memeluk Islam pada usia sekitar 34 tahun, setelah diajak oleh Abu Bakar al-Siddiq R.A yang mengenalinya sebagai seorang yang cerdas, luhur akhlak dan tidak pernah menyembah berhala sepanjang hidupnya. Keputusan ‘Uthman memeluk Islam bukanlah tergesa-gesa, sebaliknya berakar daripada keinsafan mendalam terhadap kerosakan masyarakat Jahiliah dan keyakinannya terhadap kejujuran Nabi Muhammad ﷺ yang dikenali sebagai al-Amin.

Suatu peristiwa ghaib semasa perjalanan pulang dari Syam turut mengesahkan benarnya berita kenabian, lantas menyegerakan penerimaannya terhadap Islam. Sabda Nabi ﷺ yang menyentuh jiwa: “Wahai Uthman! Sambutlah seruan Allah menuju syurga-Nya…” menjadi pemangkin bagi pengislamannya tanpa ragu. Beliau merupakan lelaki keempat memeluk Islam, sebelum Nabi ﷺmemasuki Dar al-Arqam. Wataknya yang pemurah, lembut, dan penyayang kemudiannya menjadi aset penting dalam perkembangan awal Islam.

Kesimpulannya, keislaman Uthman R.A mencerminkan bagaimana akal yang waras, hati yang bersih, dan kesedaran terhadap nilai kebenaran akan sentiasa mencari cahaya hidayah. Beliau bukan sahaja mendengar dan percaya, bahkan terus menyahut dan mendokong dakwah Rasulullah ﷺ dengan penuh kesetiaan dan ketulusan. Sejak detik itu, beliau terus mengukir nama sebagai salah seorang tokoh utama dalam sejarah Islam yang awal dan mulia.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”

Tetapan Bacaan