Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimana Sa’d bin Abi Waqqas R.A memeluk Islam? Benarkah Sa’ad telah bermimpi dan kemudian Sa‘ad menceritakan: “Aku bermimpi melihat diriku tenggelam dalam kegelapan dan hanya keluar dengan cahaya Islam. Lalu aku pergi kepada Nabi Muhammad dan mendengar sendiri seruannya, maka aku terus memeluk Islam.”
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
مِّنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ ۖ فَمِنْهُم مَّن قَضَىٰ نَحْبَهُ وَمِنْهُم مَّن يَنتَظِرُ ۖ وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلًا
Maksudnya: “Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikit pun.”
(Surah al-Ahzab: 23)
Imam al-Tabari berkata: Maksud ayat ini adalah, di antara orang-orang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, terdapat orang-orang yang menepati janjinya kepada Allah, iaitu sabar terhadap pelbagai kesusahan dan mudharat. Antara mereka ada yang menyelesaikan pekerjaan yang dijanjikannya kepada Allah dan diwajibkannya kepada dirinya sendiri bagi Allah, sehingga sebahagian dari mereka mati syahid dalam Perang Badar, sebahagian mati syahid dalam perang Uhud, dan sebahagian lagi mati syahid di tempat lain. Tetapi, di antara mereka ada yang menanti qadha dan penyelesaian dari Allah sebagaimana di antara mereka ada yang ditetapkan memenuhi janji kepada Allah, serta memperoleh pertolongan dari Allah dan kemenangan atas musuhnya. (Lihat Jami’ al-Bayan, 21/50).
Nama penuhnya ialah Sa‘d bin Abi Waqqas, dan nama sebenar Abi Waqqas ialah Malik bin Uhailib bin ‘Abd Manaf bin Zuhrah bin Kilab bin Murrah bin Ka‘b bin Lu’ayy.
Sa‘d mempunyai beberapa orang saudara seayah, iaitu ‘Āmir, ‘Umair dan ‘Utbah. Antara mereka, ‘Āmir dan ‘Umair telah memeluk Islam, manakala ‘Umair telah gugur syahid dalam Perang Badar ketika usianya belum mencecah dua puluh tahun.
Sa‘d bin Abi Waqqas merupakan antara orang terawal yang memeluk Islam, iaitu ketika berumur tujuh belas tahun. Hanya Abu Bakar al-Siddiq, Ali bin Abi Talib, dan Zaid bin Harithah yang mendahuluinya dalam memeluk Islam. Beliau juga tergolong dalam kalangan sepuluh sahabat yang dijanjikan syurga oleh Rasulullah ﷺ.
Latar Belakang dan Kehidupan Awal Sa‘d bin Abi Waqqas
Sa‘d bin Abi Waqqas dilahirkan di Makkah pada tahun ke-23 sebelum Hijrah. Beliau membesar dalam kalangan kaum Quraisy yang merupakan antara bangsa Arab yang paling mulia dan terhormat. Sejak muda, Sa‘d telah melibatkan diri dalam kerja-kerja mengasah anak panah dan membuat busur, satu pekerjaan yang melatih dan mempersiapkan seseorang untuk kemahiran memanah, kehidupan berburu, dan penglibatan dalam peperangan.
Beliau banyak menghabiskan masanya bergaul dengan para pemuda Quraisy dan golongan bangsawan mereka, serta belajar mengenal dunia melalui interaksinya dengan para jemaah haji yang datang dari pelbagai pelusuk ke Makkah, khususnya pada musim haji dan perayaan tahunan yang mempunyai pelbagai tujuan dan matlamat.
Nasab Mulia Sa‘d bin Abi Waqqas
Sa‘d bin Abi Waqqas berasal daripada keturunan yang mulia dan terhormat dalam kalangan bangsa Arab. Bapanya ialah Mālik bin Wahīb bin ‘Abd Manāf bin Zuhrah bin Kilāb bin Murrah bin Ka‘b bin Lu’ayy bin Ghālib bin Fihr bin Mālik bin al-Naḍr bin Kinānah bin Khuzaymah bin Mudrikah (ʻĀmir) bin Ilyās bin Muḍar bin Nizār bin Ma‘d bin ‘Adnān.
Mālik, ayah kepada Sa‘d, adalah sepupu kepada Āminah binti Wahb, ibu Nabi Muhammad ﷺ. Ini menjadikan beliau bapa saudara kepada Ḥamzah dan Ṣafiyyah, anak-anak kepada ‘Abd al-Muṭṭalib.
Ibunya pula ialah Ḥamnah binti Sufyān bin Umayyah al-Akbar bin ‘Abd Shams bin ‘Abd Manāf bin Quṣayy bin Kilāb bin Murrah bin Ka‘b bin Lu’ayy bin Ghālib bin Fihr bin Mālik bin al-Naḍr bin Kinānah bin Khuzaymah bin Mudrikah (ʻĀmir) bin Ilyās bin Muḍar bin Nizār bin Ma‘d bin ‘Adnān.
Justeru, Sa‘d bin Abi Waqqas adalah daripada Bani Zuhrah, iaitu kabilah yang sama dengan Āminah binti Wahb, ibu Rasulullah ﷺ. Maka tidak hairanlah Rasulullah ﷺ begitu berbangga dengan hubungan kekeluargaan ini, seperti yang diriwayatkan bahawa Baginda pernah duduk bersama para sahabatnya, lalu melihat Sa‘d datang. Maka Baginda ﷺ bersabda:
هَذَا خَالِي فَلْيُرِنِي امْرُؤٌ خَالَهُ
Maksudnya: “Inilah bapa saudaraku, maka tunjukkanlah kepadaku seorang lelaki yang boleh menandingi bapa saudaranya!”
Riwayat al-Tirmizi (3752). Dinyatakan sebagai sahih dalam Sahih al-Tirmizi.
Riwayat ini sahih, dan ia menunjukkan kemuliaan dan kedekatan hubungan Baginda dengan Sa‘d bin Abi Waqqas.
Pengislaman Sa‘d bin Abi Waqqas
Sa‘d bin Abi Waqqas R.A memeluk Islam pada usia tujuh belas tahun, menjadikannya antara golongan terawal yang menerima Islam. Beliau sendiri pernah berkata mengenai pengalaman awalnya:
وَلَقَدْ مَكَثْتُ سَبْعَةَ أَيَّامٍ، وَإِنِّي لَثُلُثُ الإِسْلاَمِ
Maksudnya: “Aku telah tinggal selama tujuh hari (selepas memeluk Islam), dan sesungguhnya aku adalah satu pertiga daripada Islam.” [Lihat Sahih al-Bukhari, 3/452, no. 3727] (Maksudnya: beliau adalah orang ketiga daripada tiga orang pertama yang segera memeluk Islam.)
Ini menunjukkan betapa awalnya beliau menerima seruan Islam, bahkan beliau telah menyatakan keislamannya secara terbuka bersama sekumpulan sahabat yang diyakinkan oleh Abu Bakar al-Ṣiddīq R.A untuk menerima Islam.
Antara mereka ialah:
- ‘Uthmān bin ‘Affān
- al-Zubayr bin al-‘Awwām
- ‘Abd al-Raḥmān bin ‘Auf
- Ṭalḥah bin ‘Ubaidillāh
Mereka semua tergolong dalam golongan sahabat yang unggul, dan pengislaman Sa‘d bersama mereka menandakan keteguhan hati dan keberanian beliau dalam menghadapi suasana penindasan terhadap umat Islam ketika itu.
Ibn al-Jauzi menyebut: Sa‘d bin Abi Waqqas memeluk Islam ketika beliau berumur tujuh belas tahun. Beliau kemudian berhijrah ke Madinah, dan Nabi Muhammad SAW telah mempersaudarakan beliau dengan Sa‘d bin Mu‘az. (Lihat Ṣifat al-Ṣafwah oleh Ibn al-Jauzī, 1/356).
Cubaan Memurtadkan Sa‘d bin Abi Waqqas
Segala usaha untuk memalingkan Sa‘d bin Abi Waqqas R.A daripada Islam telah gagal sama sekali. Maka, ibunya mengambil pendekatan yang sangat emosional dan ekstrem — satu cara yang disangkakan mampu melumpuhkan semangat dan keyakinan Sa‘d, serta mengembalikannya kepada agama nenek moyangnya.
Ibunya mengisytiharkan mogok lapar dan tidak akan minum, sehinggalah Sa‘d kembali kepada agama kaumnya. Beliau bertekad dengan tekad yang luar biasa, meneruskan puasa daripada makan dan minum selama beberapa hari, sehinggakan hampir-hampir binasa kerana kelemahan yang teramat sangat.
Daripada Muṣ‘ab bin Sa‘d, daripada ayahnya (Sa‘d) R.A, beliau menceritakan: “Ibuku bersumpah untuk tidak bercakap denganku selama-lamanya kecuali aku kufur terhadap agamaku, dan dia tidak akan makan dan tidak akan minum. Katanya kepadaku: ‘Kamu mendakwa bahawa Allah memerintahkanmu supaya berbuat baik kepada ibu bapamu. Akulah ibumu, dan aku perintahkan kamu supaya kembali (kepada agama kami)!’”
Sa‘d berkata: “Ibuku bertahan selama tiga hari, sehingga pengsan kerana keletihan. Lalu seorang anak lelakinya bernama ‘Umārah datang dan memberinya minum. Setelah itu, ibuku mulai mendoakan keburukan terhadapku. Maka Allah Azza wa Jalla menurunkan ayat dalam al-Quran berkaitan kejadian ini:
وَإِنْ جَاهَدَاكَ عَلَى أَنْ تُشْرِكَ بِي مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ فَلَا تُطِعْهُمَا ۖ وَصَاحِبْهُمَا فِي الدُّنْيَا مَعْرُوفًا
Maksudnya: (“Dan jika mereka berdua (ibu bapamu) memaksamu untuk mempersekutukan Aku dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan tentangnya, maka janganlah engkau taati mereka. Namun bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik…”)
(Surah Luqman: 15)
Dalam riwayat lain, Sa‘d berkata kepada ibunya dengan tegas: “Wahai ibuku, ketahuilah — demi Allah! — sekiranya engkau memiliki seratus nyawa, lalu nyawa itu keluar satu demi satu, aku tetap tidak akan meninggalkan agamaku ini. Maka, jika engkau mahu, makanlah; dan jika engkau tidak mahu, maka janganlah makan!” Maka akhirnya ibunya pun makan.[1]
Dalam riwayat yang lain, anak perempuannya meriwayatkan kisah pengislamannya, bahawa beliau pernah berkata:
“Aku melihat dalam mimpi tiga hari sebelum aku memeluk Islam, seolah-olah aku berada dalam kegelapan yang aku tidak dapat melihat apa-apa pun. Tiba-tiba muncul sebuah bulan yang menerangi jalan, lalu aku mengikutinya. Seolah-olah aku melihat siapa yang telah mendahuluiku ke arah bulan itu, maka aku nampak Zaid bin Harithah, ‘Ali bin Abi Talib dan Abu Bakar. Aku seakan-akan bertanya kepada mereka: ‘Bilakah kalian sampai ke sini?’
Kemudian sampai kepadaku berita bahawa Rasulullah SAW menyeru kepada Islam secara sembunyi. Maka aku pun bertemunya di kawasan Syi‘b Ajyād (lembah Ajyad), dan ketika itu baginda sedang menunaikan solat. Aku pun bertanya kepadanya: ‘Apakah yang engkau serukan?’ Maka baginda menjawab: “Kamu bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah, dan bahawa Muhammad itu adalah Rasulullah.”
Lalu aku berkata: ‘Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah, dan aku bersaksi bahawa engkau adalah Rasulullah.’” (Lihat Tarikh Dimasyq, 20/299; al-Manamat oleh Ibn Abi al-Dunya, hlm. 139)
Sejak detik itu beliau memeluk Islam, dan ketika itu usianya baru sembilan belas tahun.
Sa‘d bin Abi Waqqas RA kemudian menghadapi ujian yang berat daripada ibunya sendiri disebabkan keislamannya. Apabila ibunya, Ḥamnah binti Abi Sufyan bin Umayyah, mendapat tahu bahawa beliau telah memeluk Islam, dia berkata kepadanya: “Wahai Sa‘d, aku mendengar bahawa engkau telah meninggalkan agama nenek moyangmu. Demi Allah, aku tidak akan berlindung di bawah sebarang bumbung dari panas atau sejuk, dan makanan serta minuman haram bagiku, sehingga engkau kembali kufur kepada Muhammad.”
Sa‘d berkata: “Aku memujuknya pada hari pertama, namun dia enggan dan tetap berkeras. Hari kedua aku memujuknya lagi, namun tetap enggan. Dan pada hari ketiga, aku memujuknya lagi, dan dia masih enggan.” Maka aku pun berkata: “Demi Allah, jika engkau mempunyai seratus nyawa sekalipun, dan nyawa-nyawa itu keluar satu demi satu di hadapanku, aku tidak akan meninggalkan agamaku ini.”
Apabila ibunya melihat keteguhannya dan yakin bahawa beliau tidak akan berpaling dari Islam, barulah dia makan dan minum semula.
Kemudian Sa‘d pergi mengadu kepada Rasulullah ﷺ mengenai hal ibunya itu. Maka Allah SWT menurunkan ayat sebagai bimbingan, dalam Surah al-‘Ankabūt: “Dan Kami telah perintahkan kepada manusia agar berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapanya. Tetapi jika keduanya berusaha memaksamu untuk mempersekutukan Aku dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan tentangnya, maka janganlah engkau taati mereka. Kepada-Ku tempat kembalimu, maka Aku akan beritakan kepadamu apa yang telah kamu lakukan.” (Surah al-‘Ankabūt: ayat 8)[2]
Kesimpulan
Sa‘d bin Abi Waqqas R.A memeluk Islam ketika berusia tujuh belas tahun, menjadikannya antara sahabat yang terawal menerima dakwah Rasulullah ﷺ. Beliau merupakan antara tiga orang pertama memeluk Islam selepas Abu Bakar, Ali, dan Zaid bin Harithah, bahkan pernah menyebut: “Sesungguhnya aku adalah satu pertiga daripada Islam.” Kisah pengislamannya berkait dengan sebuah mimpi yang dialaminya, di mana beliau melihat dirinya dalam kegelapan lalu disinari oleh cahaya bulan. Beliau mengikuti cahaya tersebut dan mendapati ia diikuti oleh Zaid, Ali, dan Abu Bakar. Setelah mendengar sendiri seruan Rasulullah ﷺ di Lembah Ajyad, beliau menyatakan syahadah dan memeluk Islam dengan yakin.
Pengislaman beliau mengundang ujian hebat daripada ibunya, Hamnah binti Abi Sufyan, yang mengugut akan mogok makan dan minum sehingga beliau kembali kepada agama nenek moyangnya. Sa‘d tetap teguh dengan pendiriannya, berkata: “Jika engkau memiliki seratus nyawa, dan nyawa-nyawa itu keluar satu demi satu, aku tidak akan meninggalkan agamaku.” Keteguhan beliau menyebabkan ibunya kembali makan, dan peristiwa ini menjadi sebab turunnya ayat 15 Surah Luqman serta ayat 8 Surah al-‘Ankabūt, yang menegaskan prinsip tidak taat dalam hal syirik, namun tetap berbuat baik kepada ibu bapa. Kisah ini menggambarkan keberanian, keteguhan iman, dan keutamaan Sa‘d bin Abi Waqqas dalam barisan sahabat utama Rasulullah ﷺ.
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”
Raghib al-Sirjani, “Sa‘d bin Abi Waqqas,” IslamStory, diakses pada 16 April 2025, https://islamstory.com/ar/artical/33892/سعد\_بن\_أبي\_وقاص.
[2] Dar al-Ifta’ al-Misriyyah. “Saidina Sa‘d bin Abi Waqqas RA.” https://www.dar-alifta.org/ar/ourreligion/details/5286/سيدنا-سعد-بن-أبي-وقاص-رضي-الله-عنه. Diakses pada 16 Apr. 2025.