Soalan
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah maksud hadith Nabi SAW yang menyebut bahawa “Islam bermula dalam keadaan asing, dan akan kembali asing sebagaimana ia bermula”? Apakah maksud “asing” di sini dan siapakah yang dimaksudkan sebagai orang-orang asing?
Jawapan
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda, dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga hari kiamat.
Hadith ini diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
بَدَأَ الإِسْلَامُ غَرِيبًا، وَسَيَعُودُ كَمَا بَدَأَ غَرِيبًا، فَطُوبَى لِلْغُرَبَاءِ
Maksudnya: “Islam bermula dalam keadaan asing, dan akan kembali asing sebagaimana ia bermula. Maka beruntunglah orang-orang yang asing.”
Riwayat Muslim (145)
Syeikh al-Sindi menjelaskan bahawa Perkataan “ghariban” (غريبًا) bermaksud: kerana sedikitnya pengikutnya. Asal maksud “gharīb” ialah orang yang jauh dari tanah air atau negeri asalnya. Manakala frasa “wa saya‘udu ghariban” (وَسَيَعُودُ غَرِيبًا) bermaksud: akan kembali asing kerana sedikitnya orang yang menegakkan dan membantunya, meskipun pengikutnya ramai. “Fa tuba lil-ghuraba’” (فَطُوبَى لِلْغُرَبَاءِ) maksudnya: maka beruntunglah orang-orang yang asing – iaitu mereka yang menegakkan agama ini dan memperjuangkannya. Perkataan “Tuba” ditafsirkan sebagai syurga, atau sebatang pohon besar di dalam syurga.
Dalam hadith ini juga terdapat isyarat penting bahawa perjuangan menegakkan Islam dan membelanya akan menuntut seseorang untuk keluar dari tanah airnya, dan bersabar menghadapi kesulitan hidup sebagai orang asing, sebagaimana keadaan para sahabat pada permulaan dakwah Islam. (Lihat Hasyiah al-Sindi ‘ala Sunan Ibn Majah, 2/478)
Imam al-Nawawi menyebut dalam syarahnya menukilkan pandangan al-Qadhi ‘Iyadh berkenaan maksud hadith tersebut: “Sesungguhnya Islam itu bermula dalam kalangan individu-individu yang sedikit bilangannya, kemudian ia berkembang dan muncul (ke permukaan), kemudian akan kembali semula mengalami kekurangan dan kelemahan, sehingga akhirnya tidak akan kekal melainkan dalam kalangan individu-individu yang sedikit juga – sebagaimana ia bermula dahulu.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 2/177)
Al-Lajnah al-Da’imah menyatakan: “Maksud hadith ini ialah bahawa Islam bermula dalam keadaan asing (ganjil dan terasing) ketika Rasulullah SAW mula-mula menyeru manusia kepada Islam, maka tidak ada yang menyahut seruan Baginda kecuali seorang demi seorang. Pada ketika itu, Islam dianggap asing kerana pengikutnya sangat sedikit dan mereka dalam keadaan lemah, sedangkan musuh-musuh mereka ramai, kuat, zalim dan berkuasa serta menindas orang-orang Islam.
Sehinggalah ada dalam kalangan sahabat yang berhijrah ke Habsyah (Ethiopia) untuk menyelamatkan agama mereka daripada fitnah dan menyelamatkan diri mereka daripada gangguan, penindasan, kezaliman dan pemerintahan yang zalim. Begitu juga Rasulullah SAW berhijrah atas perintah Allah SWT ke Madinah setelah melalui pelbagai bentuk gangguan dan penderitaan yang sangat berat, dengan harapan agar Allah menyediakan untuknya orang-orang yang akan membantunya dalam dakwah dan menegakkan Islam bersamanya.
Maka Allah SWT telah memperkenankan harapan tersebut: Dia memuliakan tentera-Nya, menolong hamba-Nya, dan tertegaknya negara Islam. Dengan izin Allah, Islam telah tersebar ke seluruh pelusuk bumi, dan Allah menjadikan kalimah kufur itu paling rendah dan kalimah Allah itu paling tinggi. Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. Kemuliaan itu milik Allah, milik Rasul-Nya dan milik orang-orang yang beriman.
Keadaan ini berterusan dalam tempoh yang agak lama. Namun kemudian, berlaku perpecahan dan kelemahan dalam kalangan umat Islam, dan sedikit demi sedikit, kelemahan serta kegagalan mula meresap masuk, sehingga Islam kembali menjadi asing sebagaimana ia bermula dahulu.
Namun, bukanlah maksud ‘asing’ di sini kerana bilangan mereka sedikit – bahkan pada waktu itu, umat Islam ramai – tetapi kerana mereka tidak lagi berpegang teguh dengan agama mereka, tidak berpaut kepada kitab Tuhan mereka, dan berpaling daripada petunjuk Rasulullah SAW, kecuali segelintir yang dikecualikan oleh Allah.
Mereka lebih sibuk dengan urusan dunia dan diri mereka sendiri, berebut-rebut mengejar dunia sebagaimana orang-orang sebelum mereka telah melakukannya. Mereka bertelingkah dan bertelagah sesama sendiri dalam merebut kekuasaan dan warisan duniawi. Maka musuh-musuh Islam mula mendapat ruang untuk masuk, menguasai negeri-negeri umat Islam dan menguasai leher-leher mereka. Mereka menjajah, menghinakan penduduknya dan menimpakan pelbagai bentuk penderitaan terhadap mereka. Inilah yang dimaksudkan dengan “Islam kembali asing” sebagaimana ia telah bermula dahulu.
Sebahagian ulama — antaranya Syeikh Muhammad Rashid Rida — berpandangan bahawa hadith ini mengandungi khabar gembira bahawa Islam akan kembali ditegakkan setelah mengalami kali kedua keasingan ini. Mereka menyimpulkan perkara ini berdasarkan perbandingan dalam sabda Nabi SAW:
“Dan ia akan kembali asing sebagaimana ia telah bermula.”
Maka, sebagaimana selepas keasingan yang pertama Islam kembali mendapat kemuliaan dan tersebar luas, begitu juga ia akan mendapat kemenangan dan tersebar luas selepas keasingan yang kedua.
Pendapat ini lebih kuat, dan ia disokong oleh hadith-hadith sahih berkaitan kemunculan al-Mahdi dan turunnya Nabi Isa A.S. pada akhir zaman, yang menunjukkan bahawa Islam akan tersebar luas, umat Islam akan kembali kuat dan mulia, dan kekufuran serta golongan kafir akan dihancurkan. (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Da’imah, 2/170)
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa hadith “Islam bermula dalam keadaan asing dan akan kembali asing sebagaimana ia bermula” adalah khabar benar daripada Rasulullah SAW yang menggambarkan hakikat kitaran sejarah umat Islam. Pada awalnya, Islam bermula dengan bilangan pengikut yang sangat sedikit dan dianggap asing di tengah masyarakat yang mendustakan dan memusuhi kebenaran. Kemudian, Allah SWT menzahirkan agama ini, memberikan kekuatan kepada pengikutnya, dan menyebarkannya ke seluruh dunia. Namun, keadaan itu tidak kekal. Apabila umat Islam mula lalai daripada ajaran agama mereka, berpaling daripada al-Quran dan Sunnah, serta tenggelam dalam kecintaan kepada dunia, maka Islam kembali asing – bukan kerana jumlah umatnya sedikit, tetapi kerana sedikitnya yang benar-benar memperjuangkan agama ini dengan ilmu, kefahaman dan pengorbanan.
Hadith ini juga mengandungi peringatan dan juga harapan. Ia mengingatkan kita bahawa Islam akan kembali menjadi asing di akhir zaman, bukan kerana umat Islam sedikit dari segi bilangan, tetapi kerana semakin sedikit yang benar-benar menegakkan agama ini secara menyeluruh. Namun begitu, hadith ini juga membawa khabar gembira bahawa sebagaimana Islam pernah bangkit dari fasa asing, ia akan bangkit kembali dengan izin Allah.
Orang-orang yang asing dalam hadith ini adalah golongan yang tetap berpegang dengan agama Allah ketika majoriti manusia meninggalkannya. Mereka tetap menegakkan sunnah Rasulullah SAW di saat ramai yang mengabaikannya. Mereka menanggung kesukaran, ditolak dan diperlekehkan, tetapi tetap sabar dan teguh. Maka bagi merekalah ganjaran “Tuba” yang ditafsirkan sebagai pohon di syurga atau syurga itu sendiri.
Akhirnya, hadith ini bukan sahaja satu bentuk peringatan, tetapi juga membawa khabar gembira – bahawa setelah keasingan yang kedua ini, akan datang pula zaman kemenangan dan kemuliaan Islam semula. Ia selari dengan hadith-hadith yang menyebut tentang kemunculan al-Mahdi dan turunnya Nabi Isa A.S. pada akhir zaman, yang akan membawa kepada tersebarnya kebenaran dan hancurnya kekufuran.
Wallahua‘lam.
Kami akhiri dengan doa:
يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِينِكَ
Maksudnya_:_ “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu.”