Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, boleh terangkan kepada kami apakah yang dimaksudkan dengan “al-Musawah” dan “al-Mumathalah” yang terdapat dalam al-Quran. Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan Firman Allah SWT:
أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ أَمْ عَلَىٰ قُلُوبٍ أَقْفَالُهَا
Maksudnya: “(Setelah diterangkan yang demikian) maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi Al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran Al-Quran)?”
(Surah Muhammad: 24)
Berdasarkan ayat di atas, dapat difahami bahawa mereka yang membaca al-Quran tanpa menghayati intipati al-Quran, maka jantung hatinya terkunci mati untuk mendapat kebenaran kerana tidak mengetahui kandungan al-Quran. Ia merupakan suatu kutukan terhadap mereka yang tidak berusaha mencapai kefahaman ketika membaca al-Quran. Bahkan, ayat tersebut menunjukkan tuntutan ke atas manusia agar memahami dan menghayati intipati al-Quran. (LihatAdhwa’ al-Bayan fi Idhah al-Quran bi al-Quran, 7/458)
Imam al-Nawawi menyebut, dan dengan tadabbur dan khusyuk ketika membaca al-Quran akan melapangkan dada dan menerangkan hati. Begitu juga, ianya seperti yang disebut oleh Ibrahim al-Khawwas RA bahawa ubat bagi hati ada lima di antaranya adalah membaca al-Quran dengan tadabbur. (Lihat al-Tibyan fi Adab Hamalati al-Quran, 1/82-84)
Dalam menjawab bagi persoalan di atas, maksud “al-Musawah” dalam penggunaan bahasa Arab yang biasa merujuk kepada persamaan dan keseimbangan; maka apabila dikatakan “ساواه مساواةً”, ia membawa makna bahawa seseorang itu menyamainya atau menyeimbangkannya dari segi kadar atau nilai.
Ibn Faris berkata dalam Mu‘jam Maqayis al-Lughah (3/112) : “Huruf س، و، ي merupakan akar kata yang menunjukkan makna keselarasan dan keseimbangan antara dua perkara. Dikatakan: ‘Ini tidak menyamai itu’, yakni tidak seimbang atau tidak setara dengannya.”
Ke arah makna ini juga telah ditunjukkan oleh al-‘Allamah al-Fayumi , beliau berkata: “ساواه مساواةً” bermaksud menyerupainya dan menyamainya dari segi kadar atau nilai. Daripada ungkapan mereka: ‘Ini menyamai satu dirham’, iaitu bermakna nilainya sepadan dengan satu dirham.” (Lihat al-Misbah al-Munir fi Gharib al-Syarh al-Kabir ,1/298)
Terdapat isyarat dalam beberapa tempat dalam penjelasan al-Quran yang bijaksana bahawa apabila wujud perbezaan antara dua perkara dalam sesuatu aspek, maka hilanglah kesamaan antara kedua-duanya dalam aspek tersebut. Firman Allah Ta‘ala:
قُلْ هَلْ يَسْتَوِي الَّذِينَ يَعْلَمُونَ وَالَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ ۗ إِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُولُو الْأَلْبَابِ
Maksudnya: “Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?” Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.”
(Surah al-Zumar: 9)
Ibn Jarir al-Tabari menyatakan bahawa: Katakanlah (wahai Muhammad) kepada kaummu: Adakah sama orang-orang yang mengetahui apa ganjaran yang mereka peroleh dengan mentaati Tuhan mereka, dan apa akibat buruk yang mereka tanggung akibat memaksiatinya dengan orang-orang yang tidak mengetahui hal itu, lalu mereka berjalan dalam keadaan buta tanpa panduan, tidak mengharapkan kebaikan hasil daripada amalan mereka yang baik, dan tidak pula merasa takut terhadap keburukan hasil daripada amalan mereka yang jahat? Maksudnya: Kedua-dua golongan ini tidak sama. (Lihat Jami‘ al-Bayan, 21/268)
Namun begitu, Murtadha al-Zabidi telah menunjukkan satu perbezaan halus dalam makna antara dua lafaz “al-mumathalah” (المماثلة) dan “al-musawah” (المساواة) berkaitan perkara yang sejenis dan yang berbeza jenis. Beliau berkata dalam Taj al-‘Arus (30/380): Ibn Barri menyatakan bahawa perbezaan antara mumathalah dan musthawah ialah, musawah boleh berlaku antara dua perkara yang berbeza jenis atau sama jenis, kerana makna musawah ialah kesetaraan dari segi kadar, tidak lebih dan tidak kurang. Adapun mumathalah hanya berlaku pada dua perkara yang sama jenis, contohnya: “ilmunya seperti ilmunya”, “warnanya seperti warnanya”, “rasanya seperti rasanya”. Maka, apabila dikatakan seseorang itu “mithluhu” (seumpamanya) secara mutlak, maka ia bermaksud dia boleh menggantikannya sepenuhnya; namun apabila dikatakan “mithluhu fi kaza” (seumpamanya dalam perkara tertentu), maka maknanya dia hanya setara dengannya dalam satu sudut sahaja, bukan dalam semua aspek.
Di sini jelaslah bahawa kesamarataan (المساواة) dan keserupaan (المماثلة) tidak semestinya berlaku secara mutlak antara dua perkara yang sama atau serupa; bahkan kedua-duanya mungkin hanya berlaku pada satu aspek tertentu dan tidak pada aspek yang lain.
Sebagai rumusan, konsep al-Musawah (kesamarataan) dan al-Mumathalah (keserupaan) dalam perspektif al-Quran menuntut kepada pemahaman yang halus dan kontekstual. Kedua-duanya tidak semestinya berlaku secara mutlak dalam semua keadaan atau aspek, sebaliknya boleh berlaku dalam perkara tertentu sahaja. Kesamarataan merujuk kepada kesetaraan dari segi kadar atau nilai, sama ada antara perkara yang sejenis mahupun yang berlainan jenis, manakala keserupaan lebih bersifat khusus, terbatas pada dua perkara yang sama jenis. Justeru, adalah amat penting bagi setiap Muslim untuk memahami maksud sebenar sesuatu lafaz yang digunakan dalam al-Quran agar tidak tersasar daripada maksud asalnya.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”
Wallahua’lam