← Semua Artikel

#8877: Mengeluarkan Zakat dalam Bentuk Selimut

- bacaan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bolehkah wang zakat yang telah wajib dikeluarkan zakatnya, digunakan untuk membeli selimut musim sejuk daripada wang zakat tersebut lalu memberikannya kepada golongan fakir dan miskin? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

خُذۡ مِنۡ أَمۡوَ ٰ⁠لِهِمۡ صَدَقَةࣰ تُطَهِّرُهُمۡ وَتُزَكِّیهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَیۡهِمۡۖ إِنَّ صَلَوٰتَكَ سَكَنࣱ لَّهُمۡۗ وَٱللَّهُ سَمِیعٌ عَلِیمٌ

Maksudnya: “Ambillah sebahagian daripada harta mereka sebagai sedekah (wajib) untuk membersihkan dan menyucikan mereka; dan doakanlah buat kebaikan mereka. Sesungguhnya doa daripadamu (wahai Rasulullah) adalah kebaikan buat mereka. Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

(Surah al-Taubah: 103)

Imam al-Mawardi menyebutkan dalam tafsirnya bahawa yang dimaksudkan dengan kalimah ‘sadaqah’ ialah sedekah menurut kalam Ibn Zaid dan keduanya ia bermakna zakat, menurut kata-kata ‘Ikrimah. (Lihat Tafsir al-Mawardi, 2/398).

Mengeluarkan Zakat daripada Jenis Harta yang Dikenakan Zakat

Islam menetapkan bahawa tujuan utama pensyariatan zakat adalah untuk memenuhi keperluan golongan yang memerlukan. Imam al-Nawawi al-Syafi‘i menyebutkan, pendapat yang muktamad, tujuan zakat adalah untuk menampung keperluan golongan fakir daripada harta orang kaya. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 5/330).

Hukum asal dalam zakat ialah ia dikeluarkan daripada jenis harta yang dikenakan zakat ke atasnya. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW kepada Mu‘az RA ketika mengutusnya ke Yaman:

خُذِ الْحَبَّ مِنَ الْحَبِّ، وَالشَّاةَ مِنَ الْغَنَمِ، وَالْبَعِيرَ مِنَ الْإِبِلِ، وَالْبَقَرَةَ مِنَ الْبَقَرِ

Maksudnya: “Ambillah bijirin daripada bijirin, kambing daripada kambing, unta daripada unta, dan lembu daripada lembu.”

Riwayat Abu Dawud (1599) dan Ibn Majah (1814); Al-Bayhaqi dalam al-Khilafiyyat (3223) menyatakan, para perawinya adalah thiqah. Namun, pengarang al-Silsilah al-Dha‘ifah (3544) menilainya sebagai dha‘if.

Inilah juga yang dinyatakan oleh jumhur fuqaha daripada mazhab Maliki, Syafi‘i dan Hanbali, seperti yang terdapat dalam al-Mu‘unah ‘ala Mazhab ‘Alim al-Madinah oleh al-Qadhi ‘Abd al-Wahhab al-Maliki (hlm. 389), al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab oleh Imam al-Nawawi al-Syafi‘i (5/428) dan al-Mughni oleh Imam Ibn Qudamah al-Hanbali (2/432).

Hukum Mengeluarkan Zakat dalam Bentuk Nilai (Harga)

Mazhab Hanafī berpendapat dibolehkan untuk mengeluarkan zakat dalam bentuk nilai, sama ada nilai itu berbentuk barang atau wang tunai, kerana prinsip asas dalam mazhab mereka ialah setiap harta yang boleh disedekahkan secara sunat, maka boleh juga dikeluarkan zakat daripadanya, dan apa yang tidak boleh, maka tidak boleh dijadikan zakat.

Pendapat ini juga diriwayatkan daripada Imam Asyhab dan satu riwayat daripada Imam Ibn al-Qasim daripada mazhab Maliki, serta satu riwayat daripada Imam Ahmad. Ia juga merupakan pandangan sekelompok sahabat, antaranya: Amirul Mukminin Umar bin al-Khattab, Abdullah bin Umar, Abdullah bin Mas‘ud, Abdullah bin ‘Abbas, Mu‘az  bin Jabal dan al-Hasan bin Ali R.Anhum serta daripada kalangan tabi‘in seperti Umar bin ‘Abd al-‘Aziz dan Tawus. Pendapat ini juga disokong oleh dua tokoh besar (Imam) iaitu al-Thauri dan al-Bukhari, bahawa dibolehkan untuk mengeluarkan zakat dalam bentuk barang dagangan sekiranya ia bersamaan dengan nilai zakat yang wajib.

Al-‘Allamah al-Kasani al-Hanafi menyebutkan, adapun perkara yang berkaitan dengan jenis yang dikeluarkan (sebagai zakat), antaranya ialah: hendaklah ia merupakan harta yang mempunyai nilai pada syarak secara mutlak, sama ada yang disebut secara khusus atau tidak, sama ada daripada jenis harta yang dikenakan zakat atau tidak. Asalnya (asasnya) ialah: setiap harta yang harus disedekahkan secara sunat, maka boleh dikeluarkan zakat daripadanya; dan apa yang tidak boleh, maka tidak boleh dijadikan zakat. Inilah pendapat kami (mazhab Hanafi). (Lihat Bada’i‘ al-Sana’i‘, 2/41).

Imam Badruddin al-‘Aini al-Hanafi menyebutkan dalam al-Banayah (3/348): “(Dan dibolehkan mengeluarkan nilai dalam zakat menurut kami). Syarah: Inilah juga pendapat Umar RA, anaknya (Abdullah), Ibn Mas‘ud, Ibn ‘Abbas, Mu‘az, dan Tawus. Al-Thauri berkata: ‘Harus mengeluarkan barang dagangan dalam zakat sekiranya mengikut nilainya, dan ini juga mazhab Imam al-Bukhari.’”

Begitu juga Imam Ibn Najj al-Tanukhi al-Maliki ada menyatakan, telah dinyatakan bahawa mengeluarkan nilai secara mutlak adalah harus; pendapat ini dikemukakan oleh Asyhab, dan Ibn al-Qasim turut menyatakan demikian dalam al-‘Utbiyyah. Ada juga pendapat sebaliknya. Dalam riwayat Ibn Abi Zaid daripada Ibn al-Qasim: Dibenarkan untuk mengeluarkan zakat dalam bentuk barang (mata wang) menggantikan bijirin, tetapi bukan sebaliknya. Imam Khalil tidak meriwayatkannya kecuali daripada Asyhab sahaja. (Lihat Syarh Matn al-Risalah, 1/327).

Selain itu, al-‘Allamah al-Mardawi al-Hanbali juga ada menyatakan bahawa terdapat riwayat daripada Imam Aḥmad bahawa zakat dalam bentuk nilai (wang atau selain barang asal) sah dikeluarkan secara mutlak. (Lihat al-Insaf, 3/65).

Namun, Imam Ibn Habib daripada kalangan mazhab Maliki dan Imam Ahmad dalam salah satu riwayatnya berpendapat bahawa dibolehkan mengeluarkan zakat dalam bentuk nilai, dengan syarat ia membawa manfaat kepada golongan fakir dan lebih memberi kebaikan kepada mereka.

Ini adalah sebagaimana dinyatakan oleh Imam Syihabuddin al-Qarafi al-Maliki dalam al-Zakhirah(3/56): “Al-Sanad berkata: Imam Mālik melarang mengeluarkan zakat dalam bentuk bijirin dan barang dagangan dalam kitabnya, tetapi Ibn Habib membenarkannya kerana beliau melihatnya lebih baik untuk golongan miskin.”

Begitu juga al-‘Allamah al-Mardawi al-Hanbali menyatakan, terdapat riwayat bahawa zakat dalam bentuk nilai adalah sah ketika ada keperluan, seperti kesukaran mengeluarkan bentuk asal zakat dan sebagainya. Riwayat ini telah dinukilkan oleh sekumpulan ulama, antaranya al-Qadhi dalam al-Ta‘liq, dan disahihkan oleh ramai ulama seperti Ibn Tamim dan Ibn Hamdan, serta dipilih oleh Syeikh Taqiyuddin. Selain itu, ada juga yang menyebut bahawa ia boleh dilakukan kerana maslahat, dan pendapat ini turut dipilih oleh Syeikh Taqiyuddin. Sebahagian ulama juga ada meriwayatkan bahawa ia sah kerana adanya keperluan.” (Lihat al-Insaf, 3/65).

Hukum Mengeluarkan Zakat dalam Bentuk Selimut untuk Golongan Fakir

Seterusnya, berbalik kepada persoalan yang diajukan dan situasi yang ditanyakan, adalah dibenarkan bagi pembayar zakat untuk mengeluarkan zakat dalam bentuk wang, lalu memberikannya kepada golongan fakir dan miskin (golongan yang memerlukan), kemudian mereka sendiri membeli keperluan seperti selimut dan sebagainya, berdasarkan prinsip asas yang ditetapkan oleh jumhur fuqaha.

Begitu juga, dibenarkan bagi pembayar zakat untuk mengeluarkan zakat dalam bentuk nilai, iaitu dengan membeli selimut yang bersamaan nilainya dengan jumlah wang zakat, kemudian memberikannya kepada golongan fakir dan miskin, berdasarkan pendapat mazhab Hanafi dan selain mereka yang membenarkan hal tersebut.

Pendapat yang terpilih ialah dibolehkan mengeluarkan zakat dalam bentuk selimut dan kelengkapan musim sejuk, dengan dua syarat yang wajib dipenuhi:

  • Golongan fakir dan miskin benar-benar memerlukan barangan tersebut.
  • Ia diberikan kepada mereka dengan cara pemilikan, serta disertai dengan niat zakat.

Imam al-Sarakhsi al-Hanafi ada menyebutkan dalam al-Mabsut (2/202): “Asasnya ialah bahawa kewajipan dalam zakat ialah menunaikan pemberian pada sebahagian harta, dan pemberian itu tidak terlaksana melainkan dengan pemilikan. Maka, setiap ibadah (qurbah) yang tidak disertai pemilikan tidak sah sebagai zakat.”

Imam al-Ramli al-Syafi‘i pula menyatakan bahawa (niat adalah wajib) dalam zakat, berdasarkan hadith yang masyhur. Niat yang diambil kira itu adalah melalui hati, seperti ibadah-ibadah lain. (Maka seseorang hendaklah berniat: ini adalah zakat harta yang wajib, atau sedekah harta yang wajib, atau seumpamanya), seperti lafaz: “Zakat hartaku yang difardhukan,” atau “sedekah yang diwajibkan,” atau “fardhu sedekah,” sebagaimana ditunjukkan dalam al-Raudhah dan al-Majmu‘. (Lihat Nihayah al-Muhtaj, 3/137).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada perkara di atas dan merujuk kepada situasi dalam soalan, kami katakan bahawa hukum asal zakat ialah ia dikeluarkan daripada jenis harta yang dikenakan zakat, namun dibenarkan mengeluarkan nilainya dalam bentuk lain sama ada wang tunai atau barangan, selama mana ia memberi manfaat dan memenuhi kepentingan golongan fakir dan miskin.

Oleh itu, kami berpendapat bahawa mengeluarkan zakat dalam bentuk selimut dan kelengkapan musim sejuk kepada golongan fakir yang benar-benar memerlukannya adalah dibenarkan, dengan syarat ia disalurkan kepada mereka yang benar-benar berhajat, dan diserahkan dengan cara pemilikan.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ أَعْطِ مُنْفِقًا خَلَفًا، وَأَعْطِ مُمْسِكًا تَلَفًا

Maksudnya: “Ya Allah! Kurniakanlah kepada pemberi sedekah, gantian. Dan jadikanlah kepada yang kedekut, kehilangan.

Tetapan Bacaan