← Semua Artikel

#8897: Mengeluarkan Zakat untuk Membina Bumbung Rumah

- bacaan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Beberapa bumbung rumah di sebuah kampung telah runtuh disebabkan hujan, dan para penduduknya tidak mampu untuk membaikinya kerana kesempitan hidup. Maka, adakah dibolehkan bagi orang-orang yang turutturut serta dalam membaikinya menggunakan wang zakat, sebagai perlindungan bagi mereka daripada kesejukan dan kepanasan? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

خُذۡ مِنۡ أَمۡوَ ٰ⁠لِهِمۡ صَدَقَةࣰ تُطَهِّرُهُمۡ وَتُزَكِّیهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَیۡهِمۡۖ إِنَّ صَلَوٰتَكَ سَكَنࣱ لَّهُمۡۗ وَٱللَّهُ سَمِیعٌ عَلِیمٌ

Maksudnya: “Ambillah sebahagian daripada harta mereka sebagai sedekah (wajib) untuk membersihkan dan menyucikan mereka; dan doakanlah buat kebaikan mereka. Sesungguhnya doa daripadamu (wahai Rasulullah) adalah kebaikan buat mereka. Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

(Surah al-Taubah: 103)

Imam al-Mawardi menyebutkan dalam tafsirnya bahawa yang dimaksudkan dengan kalimah ‘sadaqah’ ialah sedekah menurut kalam Ibn Zaid dan keduanya ia bermakna zakat, menurut kata-kata ‘Ikrimah. (Lihat Tafsir al-Mawardi, 2/398).

Mencukupkan Keperluan Hidup Golongan Fakir Termasuk dalam Asnaf Zakat

Syariat Islam yang mulia telah menetapkan bahawa memberi kecukupan kepada golongan fakir dan miskin (golongan yang memerlukan) dalam keperluan asas seperti makanan, pakaian, tempat tinggal dan segala urusan hidup yang penting merupakan antara tujuan paling utama zakat disalurkan.

Allah ‘Azza wa Jalla telah meletakkan golongan fakir dan mereka yang memerlukan di barisan terawal dalam lapan golongan penerima zakat, sebagaimana firman-Nya:

إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِي الرِّقَابِ وَالْغَارِمِينَ وَفِي سَبِيلِ اللَّهِ وَابْنِ السَّبِيلِ ۖ فَرِيضَةً مِّنَ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, amil-amil yang mengurusnya, orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, orang-orang yang berhutang, untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) daripada Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

(Surah al-Taubah: 60)

Ibn ‘Abbas R.Anhuma menyatakan bahawa ayat ini merupakan penerangan berkenaan golongan asnaf yang berhak menerima zakat. Mana-mana daripada golongan ini yang telah kamu berikan zakat, maka sudah memadai sebagaimana Allah SWT memerintahkan kita untuk menghadap kiblat iaitu kaabah. Sekiranya kita sudah menghadap sebahagian daripada kaabah, maka sudah dikira menghadap kiblat. (Lihat al-‘Inayah Syarh al-Hidayah, 2/265)

Ibn Kathir dalam menafsirkan ayat berkaitan dengan asnaf-asnaf zakat menyebutkan bahawa didahulukan golongan fakir dan miskin disebabkan mereka golongan yang lebih berhak berbanding asnaf yang lain kerana keadaan mereka yang sangat memerlukan dan berhajat kepada bantuan. Justeru itu, harta zakat hendaklah diutamakan dan didahulukan kepada golongan asnaf yang lebih memerlukan seperti fakir dan miskin sebelum dibahagikan kepada asnaf-asnaf yang lain. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/175)

Hukum Mengeluarkan Zakat dalam Bentuk Nilai (Harga)

Mazhab Hanafī berpendapat dibolehkan untuk mengeluarkan zakat dalam bentuk nilai, sama ada nilai itu berbentuk barang atau wang tunai, kerana prinsip asas dalam mazhab mereka ialah setiap harta yang boleh disedekahkan secara sunat, maka boleh juga dikeluarkan zakat daripadanya, dan apa yang tidak boleh, maka tidak boleh dijadikan zakat.

Pendapat ini juga diriwayatkan daripada Imam Asyhab dan satu riwayat daripada Imam Ibn al-Qasim daripada mazhab Maliki, serta satu riwayat daripada Imam Ahmad. Ia juga merupakan pandangan sekelompok sahabat, antaranya: Amirul Mukminin Umar bin al-Khattab, Abdullah bin Umar, Abdullah bin Mas‘ud, Abdullah bin ‘Abbas, Mu‘az  bin Jabal dan al-Hasan bin Ali R.Anhum serta daripada kalangan tabi‘in seperti Umar bin ‘Abd al-‘Aziz dan Tawus. Pendapat ini juga disokong oleh dua tokoh besar (Imam) iaitu al-Thauri dan al-Bukhari, bahawa dibolehkan untuk mengeluarkan zakat dalam bentuk barang dagangan sekiranya ia bersamaan dengan nilai zakat yang wajib.

Al-‘Allamah al-Kasani al-Hanafi menyebutkan, adapun perkara yang berkaitan dengan jenis yang dikeluarkan (sebagai zakat), antaranya ialah: hendaklah ia merupakan harta yang mempunyai nilai pada syarak secara mutlak, sama ada yang disebut secara khusus atau tidak, sama ada daripada jenis harta yang dikenakan zakat atau tidak. Asalnya (asasnya) ialah: setiap harta yang harus disedekahkan secara sunat, maka boleh dikeluarkan zakat daripadanya; dan apa yang tidak boleh, maka tidak boleh dijadikan zakat. Inilah pendapat kami (mazhab Hanafi). (Lihat Bada’i‘ al-Sana’i‘, 2/41).

Imam Badruddin al-‘Aini al-Hanafi menyebutkan dalam al-Banayah (3/348): “(Dan dibolehkan mengeluarkan nilai dalam zakat menurut kami). Syarah: Inilah juga pendapat Umar RA, anaknya (Abdullah), Ibn Mas‘ud, Ibn ‘Abbas, Mu‘az, dan Tawus. Al-Thauri berkata: ‘Harus mengeluarkan barang dagangan dalam zakat sekiranya mengikut nilainya, dan ini juga mazhab Imam al-Bukhari.’”

Begitu juga Imam Ibn Najj al-Tanukhi al-Maliki ada menyatakan, telah dinyatakan bahawa mengeluarkan nilai secara mutlak adalah harus; pendapat ini dikemukakan oleh Asyhab, dan Ibn al-Qasim turut menyatakan demikian dalam al-‘Utbiyyah. Ada juga pendapat sebaliknya. Dalam riwayat Ibn Abi Zaid daripada Ibn al-Qasim: Dibenarkan untuk mengeluarkan zakat dalam bentuk barang (mata wang) menggantikan bijirin, tetapi bukan sebaliknya. Imam Khalil tidak meriwayatkannya kecuali daripada Asyhab sahaja. (Lihat Syarh Matn al-Risalah, 1/327).

Selain itu, al-‘Allamah al-Mardawi al-Hanbali juga ada menyatakan bahawa terdapat riwayat daripada Imam Aḥmad bahawa zakat dalam bentuk nilai (wang atau selain barang asal) sah dikeluarkan secara mutlak. (Lihat al-Insaf, 3/65).

Namun, Imam Ibn Habib daripada kalangan mazhab Maliki dan Imam Ahmad dalam salah satu riwayatnya berpendapat bahawa dibolehkan mengeluarkan zakat dalam bentuk nilai, dengan syarat ia membawa manfaat kepada golongan fakir dan lebih memberi kebaikan kepada mereka.

Ini adalah sebagaimana dinyatakan oleh Imam Syihabuddin al-Qarafi al-Maliki dalam al-Zakhirah(3/56): “Al-Sanad berkata: Imam Mālik melarang mengeluarkan zakat dalam bentuk bijirin dan barang dagangan dalam kitabnya, tetapi Ibn Habib membenarkannya kerana beliau melihatnya lebih baik untuk golongan miskin.”

Begitu juga al-‘Allamah al-Mardawi al-Hanbali menyatakan, terdapat riwayat bahawa zakat dalam bentuk nilai adalah sah ketika ada keperluan, seperti kesukaran mengeluarkan bentuk asal zakat dan sebagainya. Riwayat ini telah dinukilkan oleh sekumpulan ulama, antaranya al-Qadhi dalam al-Ta‘liq, dan disahihkan oleh ramai ulama seperti Ibn Tamim dan Ibn Hamdan, serta dipilih oleh Syeikh Taqiyuddin. Selain itu, ada juga yang menyebut bahawa ia boleh dilakukan kerana maslahat, dan pendapat ini turut dipilih oleh Syeikh Taqiyuddin. Sebahagian ulama juga ada meriwayatkan bahawa ia sah kerana adanya keperluan.” (Lihat al-Insaf, 3/65).

Hukum Mengeluarkan Zakat bagi Membina Bumbung Rumah

Berbalik kepada soalan yang diajukan, kami katakan bahawa seseorang yang memiliki harta dan telah wajib zakat ke atasnya, maka sama ada dia memberikan wang zakat itu terus kepada golongan fakir supaya mereka dapat membaiki bumbung rumah mereka dan memenuhi keperluan berkaitan dengannya. Dalam keadaan ini, zakat tersebut telah dimiliki oleh fakir tersebut, dan ini adalah berdasarkan hukum asal yang diputuskan oleh jumhur fuqaha, iaitu pemberian zakat mestilah dengan pemilikan oleh asnaf.

Atau, si pemilik harta itu sendiri yang menanggung kos pembaikan bumbung rumah bagi pihak mereka yang tidak mampu, serta menguruskan pelaksanaannya, menggunakan jumlah wang yang setara dengan nilai zakat. Ini juga dibenarkan, berdasarkan pandangan mazhab Hanafi dan lain-lain, yang membolehkan pembayaran zakat dalam bentuk nilai (barangan atau wang tunai).

Pandangan yang dipilih adalah keharusan membaiki dan memasang bumbung rumah golongan fakir dan miskin menggunakan jumlah yang wajib dikeluarkan daripada wang zakat, kerana menyalurkan zakat dalam bentuk pembaikan dan pemasangan bumbung bagi golongan yang memerlukan menepati tujuan zakat itu sendiri, iaitu melindungi mereka daripada panas terik dan sejuk yang mencengkam.

Setiap kali zakat disalurkan dalam bentuk yang benar-benar memberikan manfaat dan menampung keperluan golongan memerlukan, maka itu lebih hampir kepada matlamat sebenar zakat. Terdapat riwayat  daripada hadith Mu‘az RA bahawa beliau berkata kepada penduduk Yaman:

ائْتُونِي بِعَرْضٍ ثِيَابٍ خَمِيصٍ - أَوْ لَبِيسٍ - فِي الصَّدَقَةِ مَكَانَ الشَّعِيرِ وَالذُّرَةِ أَهْوَنُ عَلَيْكُمْ وَخَيْرٌ لِأَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالـْمَدِينَةِ

Maksudnya: “Berikanlah kepadaku harta benda, pakaian, jubah panjang, atau baju untuk dizakatkan sebagai ganti daripada gandum dan biji-bijian! Itu lebih ringan ke atas kamu dan lebih baik untuk para sahabat Nabi SAW di Madinah.”

Riwayat al-Bukhari secara mu‘allaq dalam sahihnya (2/525), Yahya bin Adam dalam al-Kharaj (526), Ibn Abi Syaibah (10732), dan al-Baihaqi (7447) dengan sedikit perbezaan lafaz. Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Fath al-Bari(3/365) menilainya sebagai munqati‘. Begitu juga Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut dalam takhrij Syarh al-Sunnah (1/2) menyatakan, semua perawinya adalah _thiqah_melainkan ia adalah munqati‘ (terputus sanadnya) kerana Tawus tidak mendengar daripada Mu‘az.

Matlamat ini benar-benar tercapai dalam bentuk penyaluran seperti ini, kerana pembaikan bumbung yang rosak merupakan satu keperluan mendesak, lebih-lebih lagi jika hujan menitis ke dalam rumah dan kos pembaikannya sangat tinggi.

Namun begitu, perlu diambil kira agar perbelanjaan zakat itu diberi keutamaan kepada mereka yang paling terjejas dan sangat memerlukan, kerana mereka lebih layak menerima wang zakat berbanding yang lain.

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada kenyataan dan perbahasan di atas serta merujuk kepada situasi yang ditanyakan, kami berpendapat bahawa dibolehkan menyalurkan wang zakat untuk membaiki bumbung rumah golongan yang tidak mampu membaikinya, sebagai perlindungan daripada air hujan serta bagi menghindarkan mereka daripada kesejukan dan kepanasan yang melampau, dengan syarat perbelanjaan itu diberikan keutamaan kepada mereka yang paling terkesan dan paling memerlukan. Semakin besar keperluan seseorang, maka semakin utama dia menerima wang zakat berbanding yang lain.

Ini juga adalah jawapan sebagaimana  yang diberikan oleh Mufti Republik Mesir, Dr. Nazir Muhammad ‘Iyadh ketika beliau turut diajukan dengan persoalan yang sama.[1]

Walau bagaimanapun, kami juga ingin mengingatkan bahawa dalam konteks negara Malaysia, sebaik-baiknya hal ini hendaklah dirujuk kepada Majlis Agama Islam Negeri (MAIN). Ini kerana mengikut undang-undang di Malaysia, kuasa memungut dan mengagihkan zakat diletakkan di bawah kuasa negeri. Justeru, tindakan mengagihkan sendiri zakat tanpa melalui wakil yang dilantik pemerintah adalah melanggar undang-undang dan boleh dikenakan hukuman jika sabit kesalahan.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-76 yang berlangsung pada tahun 2006 telah menetapkan bahawa mengagihkan zakat secara persendirian tanpa melalui Baitulmal adalah sah sekiranya diagihkan kepada asnaf yang layak. Walau bagaimanapun, perbuatan melanggar peraturan dan undang-undang dalam perkara kebaikan seperti adalah berdosa. Ini kerana Islam mewajibkan umatnya untuk patuh dan taat kepada pemerintah (ulil amri) pada perkara kebaikan.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ أَعْطِ مُنْفِقًا خَلَفًا، وَأَعْطِ مُمْسِكًا تَلَفًا

Maksudnya: “Ya Allah! Kurniakanlah kepada pemberi sedekah, gantian. Dan jadikanlah kepada yang kedekut, kehilangan.

[1] Lihat https://www.dar-alifta.org/ar/fatwa/details/21811/حكم-إخراج-الزكاة-في-تسقيف-البيوت. Diakses pada 17 April 2025.

Tetapan Bacaan