Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, ayah saya telah meninggal dunia dan meninggalkan pusaka kepada kami, berupa beberapa bidang tanah pertanian dan sejumlah wang. Setiap kali kami—kami para wanita—menuntut hak kami dalam pusaka tersebut, yang kini berada dalam penguasaan abang sulung kami, beliau sering melengahkan pemberiannya kepada kami, khususnya bahagian tanah, dengan alasan bahawa tanah itu nanti akan menjadi milik orang luar — merujuk kepada suami saya. Dia berkata: “Harta ayah kita tidak boleh diberikan kepada orang luar.” Maka, apakah hukum syarak dalam hal ini? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:
أَلْحِقُوا الفَرَائِضَ بِأَهْلِهَا، فَمَا بَقِيَ فَلِأَوْلَى رَجُلٍ ذَكَرٍ
Maksudnya: “Berikanlah harta warisan kepada orang-orang yang berhak (daripada ahli waris), adapun apa yang berbaki adalah untuk pewaris lelaki yang paling hampir (dari gologan ‘asabah).”
Riwayat al-Bukhari (6737) dan Muslim (1615) dengan sedikit perbezaan lafaz.
Hadith ini bermaksud, Nabi SAW memerintahkan umatnya untuk membahagikan harta pusaka dan membahagikannya kepada mereka yang berhak menerimanya dengan pembahagian yang adil yang selari dengan perintah dan hukum Allah SWT. Oleh itu, sabda Baginda SAW, “أَلْحِقُوا الفَرَائِضَ بِأَهْلِهَا” (Berikanlah harta warisan kepada orang-orang yang berhak dari kalangan ahli waris) bermaksud memulakan pembahagian dengan ashab al-furudh yang mana bahagian mereka sudah ditentukan dalam al-Kitab, al-Sunnah dan Ijma‘ umat. Berikanlah setiap seorang daripada mereka bahagiannya yang telah ditentukan secara syarak. Kemudian, apa-apa yang lebih daripada ashab al-furudh barulah diberikan kepada golongan ‘asabah. (Lihat Manar al-Qari Syarh Mukhtasar Sahih al-Bukhari, 5/321-322).
Dalam menjawab bagi persoalan di atas, segala harta peninggalan si mati sama ada dalam bentuk wang, tanah atau selainnya akan berpindah milik kepada para warisnya selepas kematian, bukan kepada mana-mana pihak luar. Sesiapa yang mewarisi harta pusaka tersebut merupakan pemilik yang sah berdasarkan hak yang telah ditetapkan oleh Allah. Maka, setiap waris berhak menerima bahagian yang telah diperuntukkan kepadanya secara sah menurut syarak dan undang-undang, tanpa sebarang halangan.
Tindakan menghalang para wanita khususnya anak-anak perempuan daripada menerima bahagian mereka, terutamanya dalam bentuk tanah, adalah satu perbuatan yang bertentangan dengan ketetapan Allah. Hak waris tidak boleh dinafikan hanya kerana jantina, sama ada lelaki atau perempuan, dan tidak juga disebabkan jenis harta yang ditinggalkan sama ada wang tunai, rumah, tanah atau seumpamanya. Allah SWT berfirman:
لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ وَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ مِمَّا قَلَّ مِنْهُ أَوْ كَثُرَ ۚ نَصِيبًا مَّفْرُوضًا
Maksudnya: “Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah).”
(Surah al-Nisa’: 7)
Para ulama ketika menerangkan sebab penurunan ayat ini menyatakan bahawa ketika zaman sebelum datangnya Islam (zaman jahiliyyah), wanita dan kanak-kanak tidak berhak mendapat sedikit pun daripada harta pusaka yang ditinggalkan ahli keluarga mereka. Ini adalah kerana pada ketika itu, hanya lelaki yang boleh mempertahankan kabilah dan keluarga sahaja mewarisi harta pusaka. Hal ini dapat dilihat dalam satu kisah yang direkodkan bahawa ada seorang lelaki dari kaum Ansar meninggal dunia sebelum diturunkan ayat ini, dalam masa yang sama dia meninggalkan empat orang anak perempuan. Namun, kesemua harta yang ditinggalkan diambil oleh sepupunya. Oleh kerana itu, Allah SWT menurunkan ayat ini yang menyatakan bahawa wanita juga berhak mendapat sebahagian daripada harta pusaka dan sekali gus memuliakan wanita. (Lihat Tafsir Muqatil Bin Sulaiman, 127/5; Jami‘ al-Bayan fi Taʾwil al-Quran, 597/7; Tafsir al-Maturidi, 28/3; al-Mufassal fi Tarikh al-Arab Qabla al-Islam, 237/10)
Selain itu, al-Nasafi berkata dalam kitabnya Madarik al-Tanzil wa Ḥaqa’iq al-Ta’wil (1/333): Yang dimaksudkan dengan “مَفْرُوضًا” iaitu satu ketetapan yang pasti, yang tidak boleh tidak, setiap waris mesti memperolehnya.
Oleh itu, menghalang mana-mana waris daripada menerima bahagiannya dalam harta pusaka, atau melakukan helah untuk tujuan itu, atau melakukan apa-apa perbuatan yang menyebabkan terhalangnya hak tersebut, adalah sesuatu yang dilarang menurut syarak dan undang-undang. Diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:
من فَرَّ من ميراثِ وارثِهِ قطعَ اللهُ ميراثَهُ من الجنةِ يومَ القيامةِ
Maksudnya: “Sesiapa yang melarikan diri daripada mewariskan harta kepada ahli warisnya, maka Allah akan memutuskan bahagiannya daripada syurga pada Hari Kiamat.”
Riwayat Ibn Majah (2703)
Imam al-Manawi berkata: “Ini menunjukkan bahawa menghalang waris daripada menerima pusaka adalah haram; bahkan berdasarkan ancaman yang disebut, perbuatan ini tergolong dalam dosa besar, sebagaimana yang ditegaskan oleh al-Zahabi dan selainnya.” (Lihat Faidh al-Qadir, 6/186)
Dalam isu ini, Dar al-Ifta’ al-Misriyyah dalam fatwanya menyebutkan: Tidak dibenarkan bagi mana-mana waris untuk melambatkan pembahagian pusaka kepada anak-anak perempuan atau memaksa mereka untuk melepaskan hak mereka — sama ada melibatkan tanah atau harta peninggalan si mati.[1]
Kesimpulannya, semua harta peninggalan seseorang yang telah meninggal dunia mestilah dibahagikan secara adil kepada semua waris yang berhak tanpa mengira jantina atau bentuk harta yang ditinggalkan. Setiap waris mempunyai hak yang telah ditentukan oleh syarak, sama ada dalam bentuk tanah, wang atau lain-lain, dan tidak boleh dihalang daripada mendapatkannya hanya kerana alasan ianya mungkin berpindah milik kepada pihak lain melalui perkahwinan atau keturunan. Sikap melengahkan atau menafikan hak pusaka kepada ahli keluarga, terutama kepada anak-anak perempuan, jelas bercanggah dengan prinsip keadilan Islam, serta turut termasuk dalam perbuatan yang diharamkan dan berdosa besar. Oleh itu, setiap waris, khasnya anak lelaki atau abang yang menguruskan pusaka, harus bertindak amanah, adil dan segera dalam menyempurnakan agihan faraid agar tidak berlaku kezaliman yang membawa kepada kemurkaan Allah.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”
Wallahua’lam
[1] Lihat https://www.dar-alifta.org/ar/fatwa/details/18436/الرد-على-مقولة-مال-أبونا-لا-يذهب-للغريب Diakses pada 17 April 2025