← Semua Artikel

#8873: Menulis Ayat al-Quran dan Zikir pada Kain Kafan

- bacaan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah hukum menulis beberapa ayat al-Quran dan zikir pada kain kafan? Seorang lelaki dalam kalangan kaum kerabat kami telah meninggal dunia, dan selepas dia dikafankan, sebahagian hadirin mencadangkan agar dituliskan beberapa ayat al-Quran dan zikir pada kain kafan dengan tujuan agar ia memberi manfaat dan menjadi syafaat kepadanya di dalam kubur. Meskipun kami tidak melakukannya, kami ingin bertanya, adakah perbuatan ini dibenarkan dari sudut syarak? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa menulis al-Quran dan zikir pada kain kafan tidak selari dengan perintah Allah SWT untuk memuliakan syiar-syiar-Nya, menghormatinya, dan beradab dengannya. Allah SWT berfirman:

ذَٰلِكَ وَمَن يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّهِ فَإِنَّهَا مِن تَقْوَى الْقُلُوبِ

Maksudnya: “Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa yang menghormati Syiar-syiar agama Allah maka (dia lah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat taqwa hati orang mukmin.

(Surah al-Hajj: 32)

Al-Quran dan zikir adalah antara syiar Allah, yang mana mengagungkannya merupakan tanda ketakwaan seorang hamba. Allah SWT juga telah menjelaskan kedudukan al-Quran yang tinggi, sebagaimana firman-Nya:

وَإِنَّهُ فِي أُمِّ الْكِتَابِ لَدَيْنَا لَعَلِيٌّ حَكِيمٌ

Maksudnya: “Dan sesungguhnya al-Quran itu dalam Ibu Suratan di sisi Kami - sangat tinggi (kemuliaannya), lagi amat banyak mengandungi hikmat-hikmat dan kebenaran yang tetap kukuh.

(Surah al-Zukhruf: 4)

Imam Ibn Kathir menyebutkan dalam tafsirnya bahawa Allah telah menjelaskan kemuliaannya (al-Quran) dalam kalangan makhluk di langit yang tertinggi, agar ia dimuliakan, diagungkan dan ditaati oleh penduduk bumi. (Lihat Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, 7/218).

Antara bentuk pengagungan terhadap al-Quran yang telah disepakati oleh umat Islam adalah kewajipan memeliharanya dari sudut tulisan dan bahan yang ditulis, serta menghormati segala kandungan mushaf sama ada dari segi tulisan mahupun susunannya, yang mewakili kalam Allah SWT. Begitu juga nama-nama Allah yang mulia serta nama para nabi-Nya, semuanya adalah sesuatu yang suci dan wajib dijauhkan daripada sebarang perkara yang tidak sesuai dengan kemuliaannya, dan haram melakukan sesuatu yang mengandungi unsur penghinaan terhadapnya atau bertentangan dengan penghormatan terhadapnya.

Ini adalah sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi bahawa para ulama Islam telah bersepakat tentang kewajipan memelihara mushaf dan menghormatinya. (Lihat al-Tibyan fī Adab Hamalah al-Qur’an, hlm. 190).

Bahkan Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah turut menyatakan dalam al-Fatawa al-Kubra (5/307) bahawa wajib menghormati al-Quran di mana sahaja ia ditulis, dan haram menulisnya di tempat yang boleh membawa kepada penghinaan terhadapnya.

Tambahan lagi, jumhur fuqaha juga telah menetapkan bahawa tidak dibenarkan menulis mana-mana ayat al-Quran atau apa-apa yang mengandungi nama Allah dan nama-nama yang dimuliakan pada kain kafan. Ini kerana perkara tersebut pasti akan mendedahkannya kepada penghinaan, sama ada dari sudut terkena najis, seperti nanah yang keluar akibat pereputan tubuh si mati, atau dari sudut berkemungkinan bersentuhan secara langsung dengan tanah tanpa sebarang penghadang, dan jelaslah bahawa hal ini menunjukkan kurangnya atau tiadanya penghormatan terhadap nas-nas suci.

Imam Kamaluddin Ibn al-Humam al-Hanafi menyatakan bahawa makruh menulis al-Quran dan nama-nama Allah SWT pada mata wang, mihrab, dinding dan pada alas yang dibentang. (Lihat Fath al-Qadir, 1/169).

Jadi, dapat difahami daripada kenyataan ini bahawa menulis ayat-ayat al-Quran, zikir, atau apa-apa yang dimuliakan oleh syarak pada kain kafan jenazah adalah lebih utama untuk dilarang, dan tidak dibenarkan sama sekali. Ini kerana ia terdedah kepada terkena najis seperti nanah dan lain-lain yang keluar daripada jenazah.

Perkara ini turut disebut dalam Radd al-Muhtar oleh Imam Ibn ‘Abidīn (2/246–247), dengan menyandarkannya kepada kenyataan yang dinaskan oleh Imam al-Hafiz Taqiyuddin bin al-Salah dalam Fatawanya (hlm. 262).

Sudah menjadi ketetapan dalam mazhab Hanafi bahawa apabila mereka menyebut “makruh” tanpa mengkhususkannya sebagai “makruh tanzih,” maka yang dimaksudkan adalah makruh tahrim (yakni haram), sebagaimana disebut dalam Radd al-Muhtar (1/224), dan al-Bahr al-Ra’iq (1/137).

Maka berdasarkan hal tersebut, haram menurut mereka untuk menulis mana-mana bahagian daripada al-Quran atau zikir pada kain kafan jenazah.

Selain daripada itu, Imam Abu al-Barakat al-Dardir al-Maliki juga ada menyatakan dalam al-Syarh al-Kabir (1/425) bahawa zahirnya menunjukkan bahawa ukiran (tulisan) adalah makruh walaupun ia ayat al-Quran. Namun sepatutnya ia dihukum haram, kerana ia membawa kepada penghinaan. Demikianlah yang disebut oleh para ulama. Dan yang serupa dengannya ialah ukiran ayat al-Quran dan nama-nama Allah pada dinding. Begitu juga Imam al-Dusuqi ada memberi huraian dalam hasyiahnya terhadap kenyataan tersebut bahawa maksudnya adalah, menulis ayat zikir dan doa pada sehelai kertas lalu menggantungkannya pada leher si mati adalah haram, dan wajib dikeluarkan jika perkara itu tidak dibiarkan terlalu lama. Adapun mushaf, maka wajib dikeluarkan secara mutlak (tanpa mengira tempoh masa).

Demikian juga Imam al-Bujairimi al-Syafi‘i jelas ada menyatakan bahawa haram menulis mana-mana ayat al-Quran pada kain kafan, kerana wajib memelihara ayat tersebut daripada terkena nanah jenazah. Hal yang sama juga berlaku kepada setiap nama yang dimuliakan. (Lihat Tuhfah al-Habib, 2/275).

Malah Imam al-Ruhaibani al-Hanbali turut menyebutkan, kaedah-kaedah mazhab kami (Hanbali) menuntut agar dihukum haram penulisan pada kain kafan, kerana ia membawa kepada terkena najis yang boleh menyebabkan penghinaan terhadap al-Quran. (Lihat Matalib Uli al-Nuha, 1/874).

Selain daripada itu, Imam al-Hafiz Taqiyuddin Ibn al-Salah juga ada menyebutkan dalam Fatawanya (hlm. 262) mengenai satu persoalan berkaitan kafan: “Adakah dibenarkan untuk menulis pada kain kafan surah-surah daripada al-Quran – seperti Yasin dan al-Kahfi – atau mana-mana surah yang dikehendaki? Atau adakah perkara ini tidak dibolehkan kerana dibimbangi terkena nanah mayat atau cecair yang keluar daripadanya ke atas ayat-ayat dan nama-nama Allah SWT yang mulia, diberkati dan dimuliakan itu…?” Beliau menjawab bahawasanya perkara tersebut tidak dibenarkan sama sekali.

Kemudian, Syeikh al-Islam Ibn Hajar al-Haitami mengulas kenyataan Ibn Solah ini dalam al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra (2/6) dengan menyebutkan: “Pandangan Ibn al-Salah ini telah disokong oleh para imam selepasnya, dan maknanya sangat jelas. Sesungguhnya al-Quran dan setiap nama yang dimuliakan seperti nama Allah atau nama mana-mana nabi adalah wajib dihormati, dimuliakan dan diagungkan. Tidak syak lagi bahawa menulisnya dan meletakkannya dalam (atau pada) kain kafan mayat adalah suatu bentuk penghinaan yang sangat besar terhadapnya, kerana tiada penghinaan yang lebih buruk daripada penghinaan melalui najis. Kita tahu secara pasti bahawa apa yang ada di dalam kain kafan mayat itu pasti akan terkena darah, nanah atau seumpamanya daripada benda-benda najis yang keluar dari dalam tubuhnya. Jadi, pengharaman menulis apa-apa yang mengandungi nama yang dimuliakan pada kain kafan mayat adalah sesuatu yang tidak sepatutnya diperselisihkan.

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada kenyataan dan perbahasan di atas, jelaslah bahawa segala yang ditulis daripada ayat-ayat al-Quran atau zikir kepada Allah ‘Azza wa Jalla hendaklah diuruskan dengan penuh penghormatan dan pengagungan yang sesuai dengan kesucian dan kedudukannya dalam syariat Islam. Di antaranya adalah dengan tidak meletakkannya di atas tanah atau di mana-mana tempat yang mendedahkannya kepada penghinaan atau terkena najis, seperti terkena nanah yang keluar daripada tubuh si mati dan seumpamanya. Oleh itu, kami berpendapat bahawa menulis sebahagian ayat al-Quran atau apa-apa yang mengandungi lafaz zikir dan nama-nama Allah SWT pada kain kafan adalah haram dari sudut syarak, dan tidak dibenarkan sama sekali melakukannya.

Apatah tidak syak lagi bahawa menulis ayat-ayat al-Quran dan nama-nama yang dimuliakan pada kain kafan mengandungi unsur penghinaan yang amat besar, kerana ia akan terkena najis yang keluar daripada mayat seperti nanah, darah dan seumpamanya. Sebagaimana telah diketahui umum bahawa tiada bentuk penghinaan yang lebih besar daripada penghinaan melalui najis, kerana najis berpunca daripada perkara-perkara yang menjijikkan seperti nanah, darah dan benda-benda najis yang manusia merasa jijik dengannya dan menjauhinya. Tambahan pula, najis itu adalah seburuk-buruk bentuk penghinaan, kerana Allah SWT menjadikannya sebagai azab untuk orang-orang kafir. Firman Allah Ta‘ala:

وَيُسْقَىٰ مِن مَّآءٍۢ صَدِيدٍۢ ١٦ يَتَجَرَّعُهُۥ وَلَا يَكَادُ يُسِيغُهُۥ

Maksudnya: “Dan dia akan diberi minum dari air danur (yang keluar dari tubuh ahli neraka). Dia meminumnya dengan terpaksa dan hampir-hampir tidak dapat diterima oleh tekaknya (kerana busuknya).

(Surah Ibrahim: 16-17)

Firman-Nya lagi:

وَالَّذِينَ كَفَرُوا بِآيَاتِ رَبِّهِمْ لَهُمْ عَذَابٌ مِّن رِّجْزٍ أَلِيمٌ

Maksudnya: “Dan orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat penerangan Tuhannya, mereka akan beroleh azab dari jenis azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”

(Surah al-Jathiyah: 11)

Imam Fakhruddin al-Razi menyebutkan bahawa perkataan rijz (رِّجْزٍ) dalam ayat di atas ialah rijs (الرِّجس) yang bermaksud najis, dan makna najis di sini ialah firman Allah: “وَيُسْقَى مِنْ مَاءٍ صَدِيدٍ” yang mana maksudnya ialah mereka akan diazab dengan meneguk atau meminum kekotoran (najis). (Lihat Mafatih al-Ghaib, 27/673)ـ.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa.”

Tetapan Bacaan