Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah kita dibenarkan untuk menulis apa-apa ayat al-Quran atau selainnya pada kain kafan sebelum mengebumikan jenazah?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Secara umumnya, mengkafankan jenazah dengan kain putih adalah dituntut di sisi syarak. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
الْبَسُوا مِنْ ثِيَابِكُمُ الْبَيَاضَ فَإِنَّهَا خَيْرُ ثِيَابِكُمْ وَكَفِّنُوا فِيهَا مَوْتَاكُمْ
Maksudnya: “Pakailah dari pakaian kamu yang berwarna putih, sesungguhnya ia merupakan pakaian terbaik kamu dan kafankanlah orang yang meninggal dunia dari kalangan kamu dengan warna putih.”
Riwayat Abu Dawud (4061)
Imam al-Nawawi menyatakan bahawa proses mengkafankan jenazah ini disunatkan padanya untuk menggunakan kain kafan yang berwarna putih. Jenis (kainnya) pula bagi hak si mati adalah apa yang dibolehkan untuk dia memakainya semasa masih hidup. Maka dibolehkan untuk dikafankan orang perempuan menggunakan kain sutera, namun makruh hukumnya. Manakala bagi orang lelaki haram dikafankan dengan kain sutera. (Lihat Raudhah al-Talibin, 2/110)
Kita juga dituntut untuk mengkafankan jenazah dengan kain yang baik, sebagaimana disebutkan dalam hadith Jabir bin Abdullah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا كَفَّنَ أَحَدُكُمْ أَخَاهُ، فَلْيُحَسِّنْ كَفَنَهُ
Maksudnya: “Sekiranya seseorang dari kalian mengkafankan saudaranya, maka perelokkanlah dalam urusan kafan itu.”
Riwayat Muslim (943)
Di dalam hadith tersebut terdapat perintah untuk memperelokkan kain kafan. Para ulama menyatakan bahawa yang dimaksudkan dengan memperelokkan kafan itu bukanlah dengan berlebih-lebihan padanya, tidak juga dengan membazir, terlalu mahal atau mewah. Sebaliknya, yang dimaksudkan ialah kebersihannya, kesuciannya, ketebalannya, keupayaannya menutupi tubuh, kesederhanaannya, serta jenis kainnya seumpama pakaian si mati semasa hayatnya – tidak lebih mewah daripadanya dan tidak pula lebih hina. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 7/11)
Menulis Ayat al-Quran pada Kain Kafan
Berbalik kepada isu yang saudara ajukan, kita sedia maklum bahawa ayat suci al-Quran adalah perkara yang tidak boleh diremehkan, bahkan wajib untuk kita memuliakannya. Firman Allah SWT:
وَإِنَّهُۥ فِىٓ أُمِّ ٱلْكِتَـٰبِ لَدَيْنَا لَعَلِىٌّ حَكِيمٌ
Maksudnya: “Dan sesungguhnya Al-Quran itu dalam Ibu Suratan di sisi Kami - sangat tinggi (kemuliaannya), lagi amat banyak mengandungi hikmat-hikmat dan kebenaran yang tetap kukuh.”
(Surah al-Zukhruf: 4)
Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat ini berkata, Allah telah menyatakan kemuliaannya (al-Quran) di kalangan makhluk di alam tinggi (para malaikat), agar Dia memuliakannya, mengagungkannya, dan supaya penduduk bumi mentaatinya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 7/200)
Imam al-Nawawi menukilkan persepakatan ulama Islam atas kewajipan memelihara mushaf dan memuliakannya. Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah pula berkata, wajib menghormati al-Quran di mana sahaja ia ditulis, dan haram menulisnya di tempat yang ia akan dihina. (Lihat al-Tibyan fi Adab Hamalah al-Quran, hlm. 190; al-Fatawa al-Kubra, 5/307)
Tidak syak lagi, sekiranya ayat suci al-Quran ditulis pada kain kafan adalah suatu bentuk penghinaan. Ini kerana ia akan terkena najis yang keluar daripada mayat seperti nanah, darah dan seumpamanya. Bagaimana mungkin kita menempatkan ayat suci al-Quran pada najis yang amat hina, ditambah lagi dengan najis tersebut merupakan satu bentuk azab yang hina terhadap golongan yang mendustakan Allah SWT. Firman-Nya:
مِّن وَرَآئِهِۦ جَهَنَّمُ وَيُسْقَىٰ مِن مَّآءٍ صَدِيدٍ ﴿١٦﴾ يَتَجَرَّعُهُۥ وَلَا يَكَادُ يُسِيغُهُۥ وَيَأْتِيهِ ٱلْمَوْتُ مِن كُلِّ مَكَانٍ وَمَا هُوَ بِمَيِّتٍ ۖ وَمِن وَرَآئِهِۦ عَذَابٌ غَلِيظٌ ﴿١٧﴾
Maksudnya: “Di belakangnya disediakan neraka Jahannam, dan ia akan diberi minum dari air danur (yang keluar dari tubuh ahli neraka). (16) Ia meminumnya dengan terpaksa dan hampir-hampir tidak dapat diterima oleh tekaknya (kerana busuknya), dan ia didatangi (penderitaan) maut dari segala arah, sedang ia tidak pula mati. (17)”
(Surah Ibrahim: 16-17)
Al-Hafiz Ibn Solah memberikan fatwa berkaitan kain kafan, sama ada dibolehkan untuk menulis padanya surah-surah daripada al-Quran atau perbuatan itu tidak diharuskan? Beliau menjawab: “Tidak dibolehkan hal tersebut.” (Lihat Fatawa Ibn Solah, hlm. 262)
Para imam yang terkemudian memperakui jawapan Ibn Solah ini. Hal ini jelas, kerana al-Quran dan setiap nama yang dimuliakan seperti nama Allah atau nama nabi-Nabi adalah wajib dihormati, dimuliakan dan diagungkan. Tidak syak lagi bahawa menulis al-Quran pada kain kafan mayat merupakan satu bentuk penghinaan yang sangat besar terhadapnya, kerana tiada penghinaan yang lebih dahsyat daripada penghinaan dengan kenajisan. Kita mengetahui bahawa apa sahaja yang berada di dalam kain kafan mayat pasti akan terkena darahnya, nanahnya atau selainnya daripada benda-benda najis yang berada di dalam tubuhnya. Maka pengharaman meletakkan sesuatu yang tertulis padanya nama yang dimuliakan di dalam kain kafan mayat adalah perkara yang tidak sepatutnya dipertikaikan.
Imam al-Bujairimi turut menyebutkan pengharaman menulis al-Quran atau seumpamanya pada kain kafan, bagi memelihara kesuciannya dari air nanah jenazah. (Lihat al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, 2/6; Tuhfah al-Habib, 2/275)
Kesimpulan
Berdasarkan perbincangan di atas, segala yang ditulis daripada sebahagian ayat al-Quran al-Karim wajib dilayan dengan layanan yang penuh penghormatan dan kemuliaan, sesuai dengan kesuciannya dan kedudukannya dalam syariat Islam.
Antaranya ialah: tidak meletakkannya di atas tanah atau di mana-mana tempat yang terdedah kepada penghinaan atau kenajisan seperti terkena nanah yang keluar dari tubuh mayat atau selainnya. Oleh itu, menulis sebahagian ayat al-Quran al-Karim atau selainnya yang mengandungi lafaz zikir dan nama-nama Allah Ta‘ala pada kain kafan adalah haram dari sudut syara‘ dan tidak dibenarkan. Wallahu a‘lam
Kami akhiri dengan doa:
اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِحَيِّنَا وَمَيِّتِنَا وَشَاهِدِنَا وَغَائِبِنَا وَصَغِيرِنَا وَكَبِيرِنَا وَذَكَرِنَا وَأُنْثَانَا اَللَّهُمَّ مَنْ أَحْيَيْتَهُ مِنَّا فَأَحْيِهِ عَلَى اَلْإِسْلَامِ وَمَنْ تَوَفَّيْتَهُ مِنَّا فَتَوَفَّهُ عَلَى اَلْإِيمَانِ اَللَّهُمَّ لَا تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلَا تُضِلَّنَا بَعْدَهُ
Maksudnya: “Ya Allah, ampuni orang yang hidup di antara kami, orang yang meninggal dunia di antara kami, orang yang ada di kalangan kami dan orang yang tiada, yang kecil di kalangan kami dan yang tua, serta yang lelaki di kalangan kami dan yang perempuan. Ya Allah, orang-orang yang telah Engkau hidupkan di antara kami, maka hidupkanlah dia dalam Islam dan orang-orang yang telah Engkau matikan di antara kami, matikanlah dia dalam iman. Ya Allah, janganlah Engkau halang kami dari pahalanya dan janganlah Engkau sesatkan kami selepasnya.”