← Semua Artikel

#8875: Pembayaran Hutang oleh Waris Terhadap Hutang yang Didakwa oleh Seorang Lelaki ke Atas Si Mati

- bacaan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, saudara lelaki kepada sahabat saya telah meninggal dunia, lalu seorang lelaki telah mendakwa tanpa sebarang bukti bahawa si mati berhutang kepadanya. Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan sebuah hadith yang diriwayatkan Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ نَفَّسَ عَنْ أَخِيهِ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ الدُّنْيَا نَفَّسَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ وَاَللَّهُ فِي عَوْنِ الْعَبْدِ مَا دَامَ الْعَبْدُ فِي عَوْنِ أَخِيهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang memudahkan apa sahaja kesulitan saudaranya dalam urusan dunianya, nescaya Allah akan mempermudahkan urusannya daripada sebarang kesulitan pada hari kiamat kelak. Dan Allah akan sentiasa membantu hamba-Nya selama mana hamba-Nya itu membantu saudaranya.”

Riwayat Muslim (2699)

Hadith di atas mengisyaratkan tentang keutamaan memudahkan urusan dan membantu orang-orang yang sedang mengalami kesukaran dan kesusahan. Antara bentuk bantuan yang sering diminta adalah memberi hutang. Hadith di atas turut mengandungi pujian dan galakan untuk memberi hutang kepada orang berkeperluan yang memintanya. Imam Ibn Hajar al-Haitami memasukkan hadith di atas ini ketika membicarakan soal anjuran memberi hutang di dalam bab al-Qardh (hutang-piutang). (Lihat Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 5/36)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas, kewajipan untuk melunaskan dan menunaikan hutang si mati hanya terpakai apabila si mati meninggalkan harta pusaka dan hutang tersebut dapat dibuktikan secara sah melalui keterangan yang jelas. Dalam keadaan ini, hutang itu hendaklah dibayar daripada harta peninggalannya sebelum ia dibahagikan kepada para waris. Jika perkara ini dibawa ke mahkamah, maka pihak yang mendakwa adanya hutang tersebut perlu bersumpah dengan sumpah istibra’ iaitu sumpah bahawa dia tidak pernah menerima bayaran hutang itu daripada si mati dalam apa jua bentuk.

Imam Abu Ishaq al-Syirazi al-Syafi‘i berkata dalam kitab “al-Tanbih” (hlm. 255–256) : “Jika seseorang mendakwa hutang ke atas si mati, atau orang yang ghaib, atau kanak-kanak, atau seseorang yang bersembunyi dalam negeri tersebut, dan dia mempunyai bukti yang sah, maka hakim hendaklah mendengar keterangan itu dan membuat keputusan berdasarkan bukti tersebut. Selain itu, hakim hendaklah menyuruh pihak yang mendakwa untuk bersumpah bahawa si mati tidak pernah melunaskan hutang tersebut kepadanya, sama ada sebahagian atau keseluruhannya.”

Turut menyokong berkaitan hal ini adalah Imam Syarafuddin al-Hajjawi di mana beliau menyatakan: “Jika seseorang mendakwa terhadap orang yang ghaib dalam jarak musafir qasr atau terhadap si mati tanpa sebarang bukti, maka dakwaannya tidak akan didengari dan tidak akan dihukumkan baginya. Namun, jika dia mempunyai bukti, maka hakim hendaklah mendengar keterangan itu dan membuat keputusan berdasarkan bukti tersebut dalam hak-hak sesama manusia. Tidak diwajibkan ke atas orang yang mendakwa untuk bersumpah bahawa haknya masih kekal, tetapi sebagai langkah berhati-hati, digalakkan agar dia disuruh bersumpah, khususnya pada zaman sekarang.” (Lihat al-Iqna‘ 4/403)

Begitu juga Dar al-Ifta al-Misriyyah turut menyebutkan bahawa: dakwaan hutang ke atas si mati tidak diterima melainkan dengan bukti daripada pihak yang mendakwa, disertai dengan sumpah istibra’ (sumpah pelepasan tanggungan) sekiranya perkara itu dibawa ke mahkamah. Jika tiada bukti didatangkan dan para waris tidak mengakui adanya hutang tersebut, maka mereka tidak wajib menanggung apa-apa. Namun, sekiranya si penuntut mendakwa bahawa para waris mengetahui akan hutang itu, dan mereka pula tidak mengakuinya, maka mereka wajib bersumpah bahawa mereka tidak mengetahuinya. Jika mereka bersumpah, maka mereka tidak wajib menanggung hutang itu. Akan tetapi, jika mereka enggan bersumpah, maka hutang itu dianggap sabit dan wajib ke atas mereka untuk melunaskannya. Adapun jika tiada bukti didatangkan namun para waris mengakui adanya hutang tersebut, maka mereka wajib membayarnya kepada si penuntut selagi mana belum dibuktikan bahawa hutang itu telah diselesaikan dalam apa jua bentuk sekalipun.[1]

Hal ini Ini bertepatan dengan hadith yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 لَوْ يُعْطَى النَّاسُ بِدَعْوَاهُمْ لاَدَّعَى نَاسٌ دِمَاءَ رِجَالٍ وَأَمْوَالَهُمْ وَلَكِنَّ الْيَمِينَ عَلَى الْمُدَّعَى عَلَيْهِ

Maksudnya: “Sekiranya diberikan kepada manusia itu semata dengan mengikut dakwaan-dakwaan mereka, nescaya orang ramai akan mendakwa darah dan harta orang lain (sebagai milik mereka). Akan tetapi sumpah itu adalah ke atas mereka yang dituduh.”

Riwayat Muslim (1711)

Dalam riwayat lain daripada Ibn ‘Abbas R.A, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الْبَيِّنَةِ عَلَى الْمُدَّعِي وَالْيَمِينُ عَلَى مَنْ أَنْكَرَ

Maksudnya: “Bukti ke atas orang yang mendakwa, sumpah ke atas orang yang mengingkari tuduhan ke atas dirinya.”

Riwayat Al-Baihaqi dalam Al-Sunan (10/252)

Imam al-Nawawi berkata, hadith ini merupakan satu kaedah yang besar daripada kaedah-kaedah hukum syara‘. Ini menunjukkan bahawa tidak diterima ucapan seseorang itu terhadap apa yang dia dakwa hanya semata-mata dengan dakwaan tersebut. Bahkan dakwaan itu perlu kepada bukti, atau pengakuan kebenaran dari pihak orang yang didakwa. Sekiranya dituntut sumpah orang yang didakwa maka boleh untuk dia berbuat demikian (bersumpah). (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 12/4)

Kesimpulannya, dakwaan terhadap si mati bahawa beliau mempunyai hutang tidak boleh dianggap sah atau wajib ditunaikan melainkan setelah disertakan dengan bukti yang jelas dan kukuh. Dalam keadaan tiada bukti, waris tidak dipertanggungjawabkan untuk melunaskan hutang tersebut, kecuali jika mereka mengakuinya. Sekiranya perkara ini dibawa ke mahkamah, maka sumpah tertentu boleh diminta sebagai pengesahan bagi menetapkan kebenaran dakwaan tersebut. Hal ini menunjukkan betapa pentingnya menjaga keadilan dan kehati-hatian dalam menguruskan harta peninggalan si mati, agar tidak berlaku penganiayaan terhadap waris mahupun si penuntut. Oleh itu, adalah disarankan agar segala urusan hutang sewaktu hayat seseorang direkodkan dan disaksikan, bagi mengelakkan pertikaian setelah kematian.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dari kedukaan dan kesedihan. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat pengecut dan bakhil. Dan aku berlindung kepada Engkau dari bebanan hutang dan penindasan manusia.”

Wallahu a’lam.

[1] Lihat https://www.dar-alifta.org/ar/fatwa/details/21741/حكم-سداد-الورثة-دينًا-ادّعاه-رجلٌ-على-الميت Diakses pada 17 April 2025

Tetapan Bacaan