← Semua Artikel

#8863: Perluasan Masjid Lama dengan Meroboh dan Membina Semula

- bacaan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah dibenarkan untuk merobohkan sebuah masjid bagi membinanya semula di atas keluasan yang lebih besar di lokasi asalnya, dengan menambah kawasan sekeliling tempat asal tersebut; memandangkan sukar untuk melakukan perluasan tanpa merobohkan dinding-dinding lama? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, kami mulakan dengan riwayat daripada Aisyah R.Anha, katanya:

أَمَرَ رَسُولُ الله صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمْ بِبِنَاءِ المسَاجِدِ فِي الدُّورِ، وَأنْ تُنَظَّفَ وَتُطَيَّبَ

Maksudnya: “Rasulullah SAW memerintahkan untuk membina masjid-masjid di perkampungan-perkampungan, lalu dibersihkan dan diberi wangian.

Riwayat Ahmad (26386), Abu Dawud (455) dan al-Tirmizi (594)

Syeikh Abd al-Muhsin al-’Abbad berkata: Maksud daripada “الدُّورِ” adalah kawasan penempatan kehidupan, kedai, dan kawasan di dalam bandar, bermaksud setiap kawasan atau setiap kejiranan di bandar tersebut mempunyai masjid. Tidak perlu ada hanya satu masjid di bandar itu, walaupun besar. Boleh jadi juga dengan beberapa masjid, dan setiap kejiranan atau kawasan di dalamnya mempunyai masjid. Namun, masjid-masjid ini tidak perlu terlalu dekat antara satu sama lain. Antara mereka perlu ada jarak, dan itulah yang dimaksudkan dengan “الدُّور”. Perkataan “الدُّور” adalah bentuk jama’ daripada “الدار”, yang merujuk kepada rumah, kejiranan, atau kawasan di tempat tersebut. Ia tidak terhad kepada kediaman. Dan inilah yang dimaksudkan oleh tindakan Baginda SAW untuk mendirikan masjid di kejiranan dan kawasan-kawasan tersebut, agar penduduk setempat lebih mudah menyertai solat berjemaah, berbeza dengan jika masjid berada jauh, maka ia akan menyulitkan sesetengah orang untuk menyertai solat berjemaah kerana jarak masjid yang jauh. Jika masjid berdekatan dan setiap kejiranan mempunyai masjid, maka seseorang dapat pergi ke masjid dengan mudah dan kembali dengan mudah. Ini lebih memastikan bahawa solat berjemaah tidak terlepas bagi lelaki yang mana adalah kewajipan bagi mereka untuk solat berjemaah di masjid. (Lihat Syarh Sunan Abi Dawud li al-’Abbad, 65/3).

Keduanya, Mantan Mufti Mesir, Fadhilah al-Syeikh Ahmad Muhammad ‘Abd al-‘Al Haridi pernah menyatakan, masjid merupakan waqf mu’abbad (wakaf selama-lamanya). Oleh itu, ia tidak boleh dijual, diberikan sebagai hadiah, memindahkannya ke tempat lain, atau mengubahnya untuk tujuan lain selain daripada melakukan ibadat dan mendirikan syiar agama Islam. Walau bagaimanapun, dalam keadaan tertentu mungkin timbulnya keperluan dan darurat untuk melakukan perkara tersebut (larangan yang disebutkan) untuk kepentingan umum umat Islam. Di antaranya:

  • Jika masjid tersebut runtuh dengan sendirinya.
  • Atau ia berada dalam keadaan yang tidak boleh untuk orang lain mengambil manfaat khusus darinya (seperti mendirikan solat).
  • Kawasan tapak masjid tersebut musnah dan kekal tidak boleh digunakan.
  • Masjid tersebut dibina di tempat yang kotor atau tidak sesuai.
  • Ia menjadi terlalu sempit untuk penduduk kawasan itu dan tidak mungkin untuk meluaskannya di tapak tersebut.
  • Atau sebahagian daripadanya amat diperlukan untuk jalan awam.[1]

Ketiganya, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami katakan bahawa telah menjadi ketetapan dalam fiqh Islam bahawa apabila sebuah masjid telah diwakafkan kerana Allah SWT, maka ia menjadi terikat sebagai milik wakaf untuk tujuan masjid, meliputi tanahnya, bangunannya dan ruang udaranya. Tidak dibenarkan untuk membatalkannya atau mengeluarkannya daripada status masjidnya dalam apa jua keadaan, dan jika dilakukan juga, maka ia dianggap sebagai satu bentuk pencerobohan terhadap kehormatan Allah SWT, kerana masjid itu telah berpindah milik kepada hak Allah SWT sepenuhnya. Firman Allah Ta‘ala:

وَأَنَّ الْمَسَاجِدَ لِلَّهِ فَلَا تَدْعُوا مَعَ اللَّهِ أَحَدًا

Maksudnya: “Dan bahawa sesungguhnya masjid-masjid itu untuk (ibadat kepada) Allah semata-mata; maka janganlah kamu seru dan sembah sesiapapun bersama-sama Allah.

(Surah al-Jin: 18)

Menurut al-Sa‘di, ayat ini bermaksud tidak dibenarkan sebarang bentuk doa ibadah mahupun doa permintaan; kerana masjid-masjid – yang merupakan tempat ibadah yang paling agung – dibina atas dasar keikhlasan kepada Allah, tunduk kepada keagungan-Nya, dan merendah diri di hadapan keperkasaan-Nya. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 890).

Dan firman-Nya lagi:

وَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّن مَّنَعَ مَسَاجِدَ اللَّهِ أَن يُذْكَرَ فِيهَا اسْمُهُ وَسَعَىٰ فِي خَرَابِهَا

Maksudnya: “Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang menyekat dan menghalangi dari menggunakan masjid-masjid Allah untuk (sembahyang dan) menyebut nama Allah di dalamnya, dan ia berusaha pula untuk meruntuhkan masjid-masjid itu?

(Surah al-Baqarah: 114)

Menurut Dr. Muhammad Sulaiman al-Asyqar, ayat “وَسَعَىٰ فِي خَرَابِهَا” bermakna berusaha merobohkannya dan menghilangkan bangunannya, atau menghentikan kegiatan-kegiatannya seperti solat dan ketaatan lainnya seperti belajar dan beriktikaf. (Lihat Zubdah al-Tafsir min Fath al-Qadir, hlm. 22).

Meskipun begitu, memperluas masjid adalah suatu perkara yang dituntut oleh syarak, dan keperluannya menjadi lebih kuat apabila jumlah jemaah semakin bertambah sehingga memerlukan ruang tambahan. Walaupun perluasan itu mengandungi unsur merobohkan binaan lama untuk digantikan dengan binaan baharu, namun perkara ini tertakluk kepada pertimbangan pihak yang menguruskan wakaf, iaitu institusi-institusi wakaf yang berada di bawah negeri masing-masing. Maka, tidak boleh dilakukan sebarang tindakan berkaitan hal ini melainkan dengan merujuk kepada pihak tersebut, serta mendapatkan kelulusan dan kebenaran rasmi daripada pihak berkuasa yang berkenaan. Kaedah yang masyhur:

تَصَرُّفُ الْإِمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالْمَصْلَحَةِ

Maksudnya: “Polisi pemerintah itu hendaklah berasaskan maslahah terhadap rakyat.”

Justeru, kami katakan, hukumnya dibolehkan berdasarkan pra-syarat yang telah dinyatakan.

Inilah juga jawapan yang dikemukakan oleh Dr. Ali Jum‘ah ketika beliau diajukan soalan yang hampir sama.[2]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

 

Nota Hujung:

[1] Lihat https://www.dar-alifta.org/ar/fatwa/details/15662/حكم-هدم-مسجد-قديم-والانتفاع-بأرضه. Diakses pada 16 April 2025.

[2] Lihat https://www.dar-alifta.org/ar/fatwa/details/17491/حكم-توسعة-مسجد-قديم-بهدمه-وإعادة-بنائه-من-جديد-على-مساحة-أكبر. Diakses pada 16 April 2025.

Tetapan Bacaan