Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya keluar haid betul-betul sebelum masuk waktu Maghrib, jadi puasa saya pastinya terbatal. Cuma saya rasa sedikit kecewa, penat menahan lapar dahaga sepanjang siang. Tidakkah hukum ini satu bentuk kesusahan ke atas wanita? Tidakkah ada keringanan dalam Islam?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Pertamanya, kita selaku hamba yang lemah perlu meredhai segala ketetapan hukum yang diturunkan Allah SWT, kerana pasti setiap darinya mempunyai hikma yang tersendiri. Benar, setiap ujian yang ditimpa itu lazimnya diiringi dengan rasa susah atau berat hati, namun tidak sepatutnya bagi seorang Muslim berasa kecewa ketetapan Tuhan ini. Allah tidak menetapkan sesuatu hukum melainkan padanya terdapat kebaikan – sama ada kita sedar atau tidak. Firman Allah SWT:
وَمَا رَبُّكَ بِظَلَّـٰمٍ لِّلْعَبِيدِ
Maksudnya: “Dan Tuhanmu tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hambaNya.”
(Surah al-Baqarah: 229)
Rasa kecewa adalah fitrah manusia, tetapi iman mengajarkan kita untuk mengatasi rasa itu dengan redha. Sabda Rasulullah SAW:
وَإِنَّ اللَّهَ إِذَا أَحَبَّ قَوْمًا ابْتَلاَهُمْ فَمَنْ رَضِيَ فَلَهُ الرِّضَا وَمَنْ سَخِطَ فَلَهُ السُّخْطُ
Maksudnya: “Dan sesungguhnya apabila Allah mencintai sebuah kaum nescaya Dia akan memberikan ujian kepada mereka. Maka barangsiapa yang redha (dengan ketetapan Allah), maka Allah akan redha kepadanya. Dan barangsiapa yang tidak redha, maka Allah pun tidak akan redha kepadanya.”
Riwayat al-Tirmizi (2320) dan Ibn Majah (4021)
Berbalik kepada situasi yang saudari ajukan, puasa seseorang wanita itu akan terbatal sekiranya didatangi haid meskipun hanya beberapa ketika sebelum waktu Maghrib. Imam al-Nawawi menjelaskan: “Sekiranya wanita itu haid pada sebahagian dari waktu siang (sebelum masuk Maghrib), terbatal puasanya tanpa khilaf, dan diwajibkan ke atasnya untuk ganti.” (Lihat al-Majmu‘, 6/385)
Manakala berkenaan isu keringanan apabila adanya kesusahan pula, ia memerlukan perincian yang lebih lanjut. Kesusahan itu menurut Imam al-Qarafi, ia terbahagi kepada dua kategori:
- Kesusahan yang tidak memberikan keringanan dalam ibadah.
- Kesusahan yang memberikan keringanan dalam ibadah. (Lihat Anwar al-Buruq fi Anwa’ al-Furuq, 1/118)
Difahami di sini, bukanlah semua kesusahan itu melazimkan syara‘ untuk memberi keringanan pada setiap perkara. Allah SWT berfirman:
وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلَا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥٓ أَمْرًا أَن يَكُونَ لَهُمُ ٱلْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ ۗ وَمَن يَعْصِ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَـٰلًا مُّبِينًا
Maksudnya: “Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara - (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.”
(Surah al-Ahzab: 36)
Setiap hamba perlu akur dan patuh terhadap apa jua perintah Allah SWT, sama ada dia mengetahui apakah hikmah di sebalik perintah tersebut atau tidak. Dinukil oleh para ulama mazhab al-Syafi‘i daripada Imam al-Haramain bahawa beliau berkata: “Dan hakikat bahawa puasa tidak sah bagi wanita yang haid – tidak dapat difahami hikmahnya; kerana bersuci (daripada hadas) bukanlah syarat bagi sahnya puasa.”
Kemudian, al-Bujairimi berkata dalam Tuhfah al-Habib ‘ala Syarh al-Khatib (2/382): “Menurut pendapat yang sahih, ia merupakan perkara yang boleh difahami hikmahnya. Ini kerana haid melemahkan badan, dan puasa juga melemahkannya. Maka, apabila dua perkara yang sama-sama melemahkan itu berkumpul, ia akan mendatangkan kemudaratan yang besar. Dan syariat sentiasa memelihara keselamatan tubuh badan.”
Kesimpulan
Natijahnya, terbatalnya puasa kerana didatangi haid ini merupakan salah satu bentuk ujian yang mesti dihadapi oleh setiap wanita yang sihat tubuh dengan penuh redha. Dia tetap perlu menggantikan puasa tersebut selepas suci dari darah, meskipun dia merasakan ia sebagai suatu kesusahan.
Namun percayalah, Allah SWT tidak akan mensia-siakan usahanya yang telah berusaha menahan lapar dahaga sepanjang siang Ramadhan itu sebelum terbatal puasanya. Ingatlah bahawa azam untuk melakukan kebaikan itu juga diganjarkan dengan kebaikan, sebagaimana yang sabit dalam hadith qudsi:
فَمَنْ هَمَّ بِحَسَنَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا كَتَبَهَا اللهُ لَهُ عِنْدَهُ حَسَنَةً كَامِلَةً، فَإِنْ هُوَ هَمَّ بِهَا فَعَمِلَهَا كَتَبَهَا اللهُ لَهُ عِنْدَهُ عَشْرَ حَسَنَاتٍ إِلَى سَبْعِ مِائَةِ ضِعْفٍ إِلَى أَضْعَافٍ كَثِيرَةٍ
Maksudnya: “Sesiapa yang hendak mengerjakan suatu kebaikan tetapi dia tidak jadi melaksanakannya, maka Allah menetapkan niatnya itu baginya satu kebaikan yang sempurna di sisi-Nya, dan jika dia hendak mengerjakannya lalu melaksanakannya, maka Allah menuliskan itu baginya sepuluh kebaikan sehingga tujuh ratus kali ganda, bahkan berkali-kali ganda banyaknya di sisi-Nya.”
Riwayat al-Bukhari (6491) dan Muslim (131)
Semoga Allah SWT limpahkan kesabaran kepada para wanita Muslim di luar sana yang bersungguh-sungguh menyempurnakan ibadahnya. Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.
Wallahu a‘lam