Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, apakah hukum menghalang anak yang telah baligh dan berakal daripada mengurus hartanya tanpa keputusan mahkamah jika sifat safih muncul padanya selepas baligh? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَلَا تُؤْتُوا السُّفَهَاءَ أَمْوَالَكُمُ الَّتِي جَعَلَ اللَّـهُ لَكُمْ قِيَامًا وَارْزُقُوهُمْ فِيهَا وَاكْسُوهُمْ وَقُولُوا لَهُمْ قَوْلًا مَّعْرُوفًا
Maksudnya: “Dan janganlah kamu berikan (serahkan) kepada orang-orang yang belum sempurna akalnya akan harta (mereka yang ada dalam jagaan) kamu, (harta) yang Allah telah menjadikannya untuk kamu semua sebagai asas pembangunan kehidupan kamu; dan berilah mereka belanja dan pakaian dari pendapatan hartanya (yang kamu niagakan), dan juga berkatalah kepada mereka dengan kata-kata yang baik.”
(Surah al-Nisa’: 5)
Syeikh al-Maraghi menyebut kita dilarang memberi harta kepada orang yang belum sempurna akal (dalam jagaan kamu). Harta tersebut boleh diserahkan kepada anak yatim setelah mereka mencapai umur dewasa. Dalam situasi ini, janganlah kamu serahkan mereka harta tersebut kepada mereka agar tidak disia-siakan. Oleh hal yang demikian, peliharalah harta tersebut untuk mereka hingga mereka mampu berfikir dengan matang. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/1088)
Selain itu, Imam al-Qurtubi menyatakan bahawa: “Ayat ini menunjukkan keharusan untuk mengenakan sekatan ke atas orang safih, kerana Allah ‘Azza wa Jalla telah memerintahkannya demikian.” (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 5/30)
Dalam menjawab bagi persoalan di atas, aara fuqaha telah berbeza pendapat berkenaan hukum menyekat (menghalang) orang yang menjadi safih (dungu atau tidak bijak mengurus harta) selepas dia baligh dalam keadaan sudah mencapai kematangan akal, kepada dua mazhab/pandangan:
Pertama:Majoriti fuqaha daripada kalangan mazhab Maliki, Syafi‘i dan Hanbali berpendapat bahawa individu tersebut hendaklah dikenakan sekatan (hajr), dan dihalang daripada mengurus hartanya, sehinggalah dia kembali menjadi seorang yang rusyd (berfikiran waras) dan mampu mengurus harta dengan baik.
Imam al-Nawawi al-Syafi‘i menyatakan dalam Minhaj al-Talibin (Hlm. 124), : “Maka sekiranya dia membazirkan (hartanya) selepas itu, maka dikenakan sekatan ke atasnya (hajr).”
Selain itu, Al-‘Allamah al-Khatib al-Syarbini menjelaskan dalam Mughni al-Muhtaj (3/140): “Maka sekiranya dia membazir selepas itu iaitu selepas baligh dalam keadaan berakal maka dikenakan sekatan ke atasnya. Maksudnya, hakim syari‘i akan mengenakan sekatan ke atasnya.
Begitu juga pandangan ini turut disokong oleh Imam al-Buhuti al-Hanbali di mana beliau menyatakan: “Jika sekatan (hajr) telah ditarik balik daripadanya iaitu setelah dia baligh, berakal dan bersifat rasional kemudian kembali menjadi safih, maka sekatan dikembalikan ke atasnya. Jika dia menjadi gila selepas baligh dan waras, maka sekatan juga dikembalikan ke atasnya, kerana hukum itu bergantung kepada sebabnya. (Lihat Kassyaf al-Qina‘, 3/527)
Kedua: Tidak dikenaakan sekatan ke atas orang yang safih sekiranya dia telah baligh. Yang demikian sebagimana satu pandangan daripada mazhab Hanafi. (Lihat Mukhtasar al-Quduri, hlm.95)
Namun begitu, pendapat yang dipegang oleh majoriti ulama ialah: orang yang (safih) tetap boleh dikenakan sekatan (hajr), walaupun sifat itu muncul selepas dia baligh dan mencapai tahap kematangan (rusyd). Imam Abu al-Hasan Ibn al-Qattan berkata dalam al-Iqna‘ fi Masa’il al-Ijma‘ (2/179): “Kebanyakan ahli ilmu mewajibkan sekatan (hajr) ke atas orang merdeka, baligh yang membazirkan hartanya, sama ada dia masih muda ataupun sudah tua.”
Dalam isu ini, Dar al-Ifta’ al-Misriyyah dalam fatwanya menyatakan: Tidak dibenarkan bagi seorang ibu untuk mengenakan sekatan (hajr) ke atas anaknya yang telah baligh dan mencapai tahap kematangan (rusyd), kemudian menjadi safih, tanpa perintah mahkamah. Sebaliknya, dia hendaklah membawa perkara itu ke mahkamah, kerana pihak kehakiman memiliki bidang kuasa yang luas dalam aspek siasatan dan pembuktian — yang tidak dimiliki oleh individu awam — dan dengan kuasa inilah dapat dipastikan sama ada seseorang itu benar-benar safih atau tidak. Maka, apa yang diputuskan oleh hakim wajib dilaksanakan.[1]
Berdasarkan perbincangan di atas, dapat dirumuskan bahawa menghalang seseorang anak yang telah baligh dan berakal daripada mengurus hartanya atas alasan dia menjadi safih selepas mencapai kematangan tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya tanpa keputusan mahkamah. Ini kerana prinsip keadilan dalam syariat Islam menetapkan bahawa sebarang bentuk sekatan terhadap kebebasan individu dalam pengurusan hartanya mestilah disahkan oleh pihak berkuasa yang sah, iaitu mahkamah. Tujuan ini adalah bagi memastikan siasatan dan pembuktian dilakukan secara adil serta berdasarkan fakta yang sahih. Oleh itu, ibu bapa atau mana-mana ahli keluarga yang mendapati anak mereka menunjukkan tanda-tanda tidak cermat dalam mengurus harta selepas baligh perlu menyerahkan perkara ini kepada pertimbangan pihak kehakiman, bukannya bertindak secara peribadi. Pendekatan ini akan memastikan hak anak terpelihara dan keputusan dibuat berdasarkan pertimbangan syarak serta undang-undang yang adil.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Wallahua’lam
Nota hujung:
[1] Lihat https://dar-alifta.org/ar/fatwa/details/21083/حكم-حجر-الأم-على-ابنها-الرشيد-الذي-طرأ-عليه-السفه-دون-حكم-قضائي Diakses pada 16 April 2025