← Semua Artikel

#8896: Sembelihan Korban Sebelum Terbitnya Fajar

- bacaan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, adakah sah seseorang yang melakukan ibadah qurban sebelum terbitnya fajar 10 Zulhijjah. Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Ibadah korban termasuk dalam syiar-syiar agama Allah yang sewajarnya dibesarkan dan diagungkan. Firman Allah SWT:

وَالْبُدْنَ جَعَلْنَاهَا لَكُم مِّن شَعَائِرِ اللَّـهِ لَكُمْ فِيهَا خَيْرٌ ۖ  فَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّـهِ عَلَيْهَا صَوَافَّ ۖ فَإِذَا وَجَبَتْ جُنُوبُهَا فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْقَانِعَ وَالْمُعْتَرَّۖ  كَذَلِكَ سَخَّرْنَاهَا لَكُمْ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Maksudnya: “Dan Kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Makkah itu) sebahagian daripada syiar agama Allah untuk kamu; pada menyembelih unta tersebut ada kebaikan bagi kamu; oleh itu sebutlah nama Allah (semasa menyembelihnya) ketika ia berdiri di atas tiga kakinya maka apabila ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya, dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta. Demikianlah Kami mudahkan dia untuk kamu (menguasainya dan menyembelihnya) supaya kamu bersyukur.

(Surah al-Hajj: 36)

Ayat ini jelas menunjukkan bahawa mereka yang melakukan sembelihan korban dan memilih binatang besar lagi gemuk sudah pasti termasuk dalam golongan yang membesarkan syiar Allah SWT. Syeikh Wahbah al-Zuhaili berkata: “Ia sebagai tanda dan lambang kebesaran agama Allah dengan melaksanakan ibadat korban tersebut.” (Lihat al-Tafsir al-Munir, 17/296)

Dalam menjawab persoalan di atas, pendapat mazhab Syafi‘i dan Imam Ahmad dalam salah satu riwayat menyatakan bahawa waktu bermulanya penyembelihan korban adalah apabila matahari telah terbit pada hari Nahr (10 Zulhijjah) dan setelah berlalu tempoh yang mencukupi untuk solat hari raya beserta dua khutbahnya. Ini kerana khutbah tersebut dianggap sebagai pelengkap dan sebahagian daripada solat, maka tempohnya turut diambil kira dalam menentukan permulaan waktu penyembelihan.

Para ulama telah bersepakat bahawa sekiranya ibadah korban dilakukan sebelum terbit fajar pada hari tersebut, maka ia dianggap tidak sah dan tidak memenuhi syarat sah korban.

Ibn al-Munzir berkata dalam al-Ijma‘ (Hlm. 60): “Para ulama telah bersepakat bahawa tidak dibenarkan menyembelih haiwan korban sebelum terbit fajar pada hari Nahar (10 Zulhijjah).”

Dalam isu ini juga, Imam al-Nawawi ketika menjelaskan pandangan mazhab ulama tentang waktu ibadah korban beliau menyatkan: “Mazhab kami (Syafi‘i), waktu ibadah korban bermula apabila terbit matahari pada Hari Nahar (10 Zulhijjah), kemudian berlalu kadar masa untuk solat hari raya dan dua khutbahnya. Jika penyembelihan dilakukan selepas waktu ini, maka ia sah (memadai), sama ada imam telah menunaikan solat atau belum, sama ada orang yang berkorban itu telah solat atau belum, sama ada dia penduduk bandar, kampung, pedalaman, ataupun musafir, dan sama ada imam telah menyembelih haiwan korbannya atau belum. Inilah mazhab kami.”(Lihat al-Majmu‘,8/389)

Al-Mardawi al-Hanbali menyatakan: “Al-Khiraqi dan selainnya berpendapat bahawa waktunya adalah selepas berlalu kadar masa yang mencukupi untuk solat hari raya dan khutbah, tanpa disyaratkan perlakuan sebenar solat dan khutbah itu sendiri. Pendapat ini dipastikan dalam kitab al-Idhah, dan ia merupakan salah satu riwayat daripada Imam Ahmad yang disebutkan dalam al-Rawdah. (Lihat al-Insaf, 4/84)

Justeru, ibadah korban merupakan salah satu syiar agung dalam Islam yang mempunyai waktu tertentu untuk dilaksanakan. Berdasarkan ketetapan syarak, waktu sah penyembelihan korban bermula setelah terbit matahari pada 10 Zulhijjah dan selepas berlalu tempoh solat sunat Hari Raya Aidiladha beserta khutbahnya. Menyembelih sebelum waktu ini tidak dikira sebagai ibadah korban yang sah dan tidak memenuhi syarat pensyariatannya. Oleh itu, setiap Muslim yang ingin melaksanakan ibadah korban perlu memastikan pematuhan kepada waktu yang ditentukan oleh syarak agar ibadah tersebut diterima di sisi Allah SWT.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Wallahua’lam

Tetapan Bacaan