← Semua Artikel

#8869: Status Hadith Mengenai Kelebihan Qiyamullail pada Malam Sabtu Itu Sahih?

- bacaan

Soalan

Assalamualaikum Dato’ Seri.  Saya terbaca satu hadith yang menyatakan: “Sesiapa yang solat empat rakaat pada malam Sabtu, membaca al-Fatihah sekali dan Surah al-Ikhlas sebanyak 25 kali pada setiap rakaat, maka Allah mengharamkan tubuhnya daripada api neraka.” Adakah ia benar hadith?

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda, serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga hari kiamat.

Hadith yang disebutkan dalam soalan adalah hadith ini:

مَنْ صَلَّى لَيْلَةَ السَّبْتِ أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ يَقْرَأُ فِي كُلِّ رَكْعَةٍ فاتحة الكتاب مرة وَقُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ خَمْسًا وَعِشْرِينَ مَرَّةً حَرَّمَ اللَّهُ جَسَدَهُ عَلَى النَّارِ

Maksudnya: Sesiapa yang solat empat rakaat pada malam Sabtu, membaca al-Fatihah sekali dan Surah al-Ikhlas sebanyak 25 kali pada setiap rakaat, maka Allah mengharamkan tubuhnya daripada api neraka.

Namun begitu, ia adalah hadith yang palsu (maudhu‘) dan tidak sahih sama sekali. Imam al-Syaukani menyebut dalam kitabnya: “Hadith ini diriwayatkan oleh al-Jauzqani daripada Anas secara marfu‘, namun ia adalah hadith palsu. Perawi-perawinya antara majhul (tidak dikenali) dan matruk (ditinggalkan oleh ahli hadith).” (Lihat al-Fawa’id al-Majmu‘ah fi al-Ahadith al-Maudhu‘ah, hlm. 44)

Walaupun hadith ini palsu dan ia hanya mengkhususkan kepada malam sabtu sahaja, namun amalan qiyamullail atau solat malam tetap disyariatkan dan sangat dianjurkan, tanpa bergantung kepada hadith palsu tersebut. Banyak ayat al-Quran dan hadith sahih menyebut keutamaannya secara umum.

Secara umumnya, solat malam merupakan salah satu kategori solat sunat yang dituntut untuk dilakukan oleh umat Islam. Salah satu sifat ‘Ibad al-Rahman ialah mereka yang menghabiskan waktu malam beribadat dengan sujud dan berdiri kerana Tuhan mereka.72 Terdapat juga kisah para sahabat R.Anhum di mana mereka mendirikan solat pada waktu malam dan memperbanyakkan ibadat. Firman Allah SWT:

إِنَّ رَبَّكَ يَعْلَمُ أَنَّكَ تَقُومُ أَدْنَىٰ مِن ثُلُثَيِ اللَّيْلِ وَنِصْفَهُ وَثُلُثَهُ وَطَائِفَةٌ مِّنَ الَّذِينَ مَعَكَ

Maksudnya: Sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad) mengetahui bahawasanya engkau bangun (sembahyang Tahajjud) selama kurang dari dua pertiga malam, dan selama satu perduanya, dan selama satu pertiganya; dan (demikian juga dilakukan oleh) segolongan dari orang-orang yang bersama-samamu

(Surah Muzammil:20)

Firman Allah SWT lagi:

 تَتَجَافَى جُنُوبُهُمْ عَنِ الْمَضَاجِعِ يَدْعُونَ رَبَّهُمْ خَوْفًا وَطَمَعًا وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنفِقُونَ (16) فَلَا تَعْلَمُ نَفْسٌ مَا أُخْفِيَ لَهُم مِّن قُرَّةِ أَعْيُنٍ جَزَاءً بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

Maksudnya: “Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur, (sedikit sangat tidur, kerana mengerjakan sembahyang tahajjud dan amal-amal soleh); mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut (akan kemurkaanNya) serta dengan perasaan ingin memperolehi lagi (keredaanNya); dan mereka selalu pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepada mereka.Maka tidak ada seseorang pun yang mengetahui satu persatu persediaan yang telah dirahsiakan untuk mereka (dari segala jenis nikmat) yang amat indah dipandang dan mengembirakan, sebagai balasan bagi amal-amal soleh yang mereka telah kerjakan”

(Surah al-Sajdah: 16–17)

 Diriwayatkan daripada Abu Umamah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 عَلَيْكُمْ بِقِيَامِ اللَّيْلِ فَإِنَّهُ دَأْبُ الصَّالِحِينَ قَبْلَكُمْ، وَهُوَ قُرْبَةٌ إِلَى رَبِّكُمْ، وَمَكْفَرَةٌ لِلسَّيِّئَاتِ، وَمَنْهَاةٌ عَنِ الإِثْمِ

Maksudnya: “Hendaklah kamu menunaikan qiyamullail, kerana sesungguhnya ia adalah amalan orang-orang soleh sebelum kamu, ia juga adalah amalan yang mendekatkan kamu kepada Tuhanmu, penghapus dosa-dosa, dan penahan daripada melakukan maksiat.”

Riwayat al-Tirmizi (3549). Dinilai hasan oleh dalam Irwa’ al-Ghalil (no. 452)

Syeikh al-Mubarakfuri berkata: Sabda Nabi SAW hendaklah kamu berqiyam pada waktu malam iaitu solat tahajjud. Dan sabda Nabi SAW ia adalah hidangan buat orang yang soleh bermaksud solat malam itu telah menjadi kebiasaan atau adat buat mereka. Adapun sabda Nabi SAW ia menghapuskan dosa bermakna menghapuskan dosa serta menutupnya.” (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 9/375).

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, hadith yang menyebut kelebihan solat empat rakaat pada malam Sabtu dengan bacaan Surah al-Ikhlas 25 kali adalah hadith palsu, dan tidak boleh diamalkan atau disandarkan kepada Nabi SAW. Namun begitu, amalan qiyamullail secara umum adalah sangat dianjurkan dalam Islam, dan banyak nas sahih yang menggalakkannya tanpa mengkhususkan malam tertentu.

Akhirnya, kami mengingatkan agar umat Islam berhati-hati dengan hadith-hadith yang tular tanpa semakan, terutama dalam bab fadilat amalan. Beramal dengan hadith palsu bukan sahaja tidak berpahala, bahkan boleh mendatangkan dosa jika disandarkan kepada Rasulullah SAW secara dusta. Marilah kita membiasakan diri dengan qiyamullail dalam apa jua malam sepanjang minggu, dan melakukannya dengan penuh ikhlas, khusyuk dan mengharap rahmat Allah SWT.

Wallahua‘lam.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

Tetapan Bacaan