← Semua Artikel

#8900: Status Hadith Qudsi berkenaan “Sesiapa yang telah berlalu lima tahun dan tidak menziarahi Baitullah, maka dia benar-benar terhalang daripada kebaikan”

- bacaan

Soalan

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya terbaca satu hadith qudsi dalam _Sahih al-Targhib wa al-Tarhib_yang menyebut bahawa sesiapa yang sihat tubuh badannya dan cukup rezeki tetapi tidak datang ke rumah Allah dalam lima tahun, maka dia tergolong dalam kalangan orang yang terhalang (المحروم). Adakah hadith ini sahih? Dan adakah yang dimaksudkan itu ialah ibadah haji, umrah, atau kedua-duanya?

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat serta mereka yang mengikuti petunjuk Baginda hingga ke hari kiamat.

Hadith yang dimaksudkan diriwayatkan daripada Abu Sa‘id al-Khudri RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

قَالَ اللهُ: “إِنَّ عَبْدًا أَصْحَحْتُ لَهُ جِسْمَهُ، وَوَسَّعْتُ عَلَيْهِ فِي الْمَعِيشَةِ، تَمْضِي عَلَيْهِ خَمْسَةُ أَعْوَامٍ، لَا يَفِدُ إِلَيَّ، لَمَحْرُومٌ.”

Maksudnya: Allah berfirman: “Sesungguhnya seorang hamba yang telah Aku sihatkan tubuh badannya, dan Aku luaskan baginya rezeki, tetapi berlalu lima tahun dan dia tidak datang kepada-Ku (menziarahi-Ku – ke Baitullah), maka dia benar-benar termasuk orang yang terhalang (daripada kebaikan)..”

Riwayat Abu Ya‘la (2/304) dan al-Baihaqi (5/262)

Para ulama berbeza pandangan tentang kedudukan hadith ini:

  • Sebahagian ulama melemahkannya, antaranya al-Daraqutni, al-‘Uqaili dan al-Subki. Bahkan Ibn al-‘Arabi al-Maliki menganggapnya hadith yang maudhu‘ (palsu).
  • Namun begitu, Ibn Hibban dan Syeikh al-Albani dalam al-Silsilah al-Sahihah (no. 1662) telah mensahihkannya dan menganggap ia boleh dijadikan hujah.

Makna dan Maksud Hadith

Sebahagian ulama membawa maksud “tidak datang kepada-Ku” itu sebagai tidak datang untuk haji atau umrah. Ini seperti yang dilakukan oleh al-Haithami dalam Mawarid al-Zam’an apabila beliau meletakkan hadith ini di bawah tajuk: (باب فيمن مضت عليه خمسة أعوام وهو غني ولم يحج أو يعتمر) “Bab sesiapa yang telah berlalu lima tahun dalam keadaan dia berkemampuan tetapi tidak menunaikan haji atau umrah.” (Lihat Mawarid al-Zam’an, hlm. 239)

Manakala al-Munziri pula dalam al-Targhib wa al-Tarhib meletakkan hadith ini di bawah bab: (ترهيب من قدر على الحج فلم يحج) “Amaran bagi sesiapa yang mampu untuk menunaikan haji tetapi tidak melaksanakannya.”

Terdapat sebahagian kecil ulama yang berpendapat bahawa hadith ini menunjukkan kewajipan menunaikan haji setiap lima tahun sekali bagi yang berkemampuan. Namun pendapat ini dianggap syaz (ganjil) dan bertentangan dengan ijma‘ (kesepakatan) para ulama. Pendapat ini juga adalah lemah, sama ada kerana hadith tersebut tidak sahih atau kerana hadith itu dibawa kepada maksud sunat (digalakkan) dan bukannya wajib.

Al-Subki berkata: “Para ulama telah sepakat bahawa ibadah haji adalah fardu ain ke atas setiap Muslim yang mukallaf, merdeka dan berkemampuan, sekali sahaja seumur hidup. Kecuali terdapat segelintir yang menyimpang dari pendapat jumhur, lalu mengatakan bahawa haji wajib dilakukan setiap lima tahun sekali. Dalil mereka ialah hadith yang diriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: “Ke atas setiap Muslim, dalam setiap lima tahun, untuk datang menunaikan haji ke Baitullah al-Haram.” Pendapat ini telah disebut oleh Ibn al-‘Arabi yang berkata: “Kami katakan: meriwayatkan hadith ini adalah haram, maka bagaimana mungkin boleh dijadikan sandaran hukum daripadanya?” Tamat kata-katanya.

Hadith yang dimaksudkan itu telah kami riwayatkan daripada jalan al-Hasan bin ‘Arafah dan selainnya: Telah menceritakan kepada kami Khalaf bin Khalifah, telah menceritakan kepada kami al-‘Ala’ bin al-Musayyib daripada bapanya daripada Abu Sa‘id al-Khudri bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya seorang hamba yang telah Aku luaskan rezekinya dan sihatkan tubuhnya, tetapi tidak datang kepada-Ku dalam setiap lima tahun sekali — demi Allah, dia benar-benar orang yang terhalang (dari rahmat-Ku).” Namun, Khalaf bin Khalifah adalah perawi yang dhaif, dan al-Musayyib pula banyak melakukan kesalahan (dalam riwayatnya). Imam al-Daraqutni pula berkata: Hadith ini telah diriwayatkan daripada beberapa jalan, namun tiada satu pun daripadanya yang sahih. (Lihat Fatawa al-Subki, 1/262)

Al-Hattab dalam Mawahib al-Jalil menyebut: “Sesetengah pendapat ganjil mengatakan haji itu wajib dilakukan setiap tahun. Dan sebahagian yang lain berkata: Ia wajib setiap lima tahun sekali, berdasarkan apa yang diriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: “Ke atas setiap Muslim dalam setiap lima tahun untuk datang ke Baitullah al-Haram.”) Namun Ibn al-‘Arabi berkata: “Meriwayatkan hadith ini adalah haram, maka bagaimana mungkin boleh dijadikan sandaran hukum daripadanya?” — maksudnya hadith ini adalah palsu (maudhu‘). Dan al-Nawawi pula berkata: “Ini bertentangan dengan ijmak umat Islam, maka sesiapa yang mengatakannya tertolak dengan ijmak sebelumnya.” Kesimpulannya, andaikata pun kita menerima bahawa hadith tersebut wujud, maka ia hanya dibawa kepada makna sunat (disyariatkan secara dianjurkan) dan digalakkan mengerjakan haji dalam sela masa lima tahun, bukan sebagai kewajiban syarak.” (Lihat al-Mawahib al-Jalil, 2/466)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa hadith yang menyebut sesiapa yang sihat dan diberi keluasan rezeki tetapi tidak datang ke Baitullah dalam tempoh lima tahun adalah hadith yang diperselisihkan kesahihannya. Walaupun sebahagian ulama mensahihkannya, namun ramai ulama hadis yang melemahkannya atau bahkan menganggapnya palsu seperti Ibn al-‘Arabi dan al-Daraqutni. Maka, hadith ini tidak boleh dijadikan dalil wajibnya haji atau umrah setiap lima tahun, apatah lagi untuk menyanggahi ijmak ulama bahawa haji hanya wajib sekali seumur hidup bagi orang yang mampu.

Sekiranya hadith ini diterima sekalipun, ia dibawa kepada maksud sunat atau galakan, bukan kewajiban. Maka, berusahalah menunaikan haji dan umrah dengan kemampuan yang ada, namun janganlah membina hukum wajib di atas hadith yang tidak kukuh.

Akhirnya, semoga Allah SWT memudahkan urusan kita semua untuk sampai ke Baitullah dan menerima amalan kita sebagai haji yang mabrur dan umrah yang maqbulah.

Wallahua‘lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”

Tetapan Bacaan