← Semua Artikel

#8895: Status Hadith: “Sesiapa membantu membunuh seorang Muslim walaupun dengan setengah perkataan…”

- bacaan

Soalan

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya pernah mendengar hadith ini: “Sesiapa yang membantu membunuh seorang Muslim walaupun dengan setengah perkataan, maka dia akan datang pada hari kiamat dengan tertulis di antara dua matanya ‘terputus dari rahmat Allah’.” Apakah status hadith ini sahih? Dan benarkah ia bermaksud sesiapa yang membantu orang kafir membunuh orang Islam tidak akan mendapat rahmat Allah?

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda, serta mereka yang mengikuti petunjuk Baginda hingga hari kiamat.

Hadith yang dimaksudkan tersebut ialah sebagaimana yang diriwayatkan daripada Ibn Umar R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ أَعَانَ عَلَى قَتْلِ مُسْلِمٍ بِشَطْرِ كَلِمَةٍ جَاءَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مَكْتُوبٌ بَيْنَ عَيْنَيْهِ: آيِسٌ مِنْ رَحْمَةِ اللَّهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang membantu dalam pembunuhan seorang Muslim walaupun dengan setengah perkataan, dia akan datang pada hari kiamat dengan tertulis di antara dua matanya: ‘Terputus daripada rahmat Allah.’”

Riwayat Ibn Majah (2620), al-‘Uqayli dalam al-Dhu‘afa’ (457), dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (8/22).

Namun begitu hadith ini adalah dhaif dan tidak sahih daripada Nabi SAW. Para ulama telah sepakat bahawa hadith ini adalah sangat lemah (ضعيف جدًّا) atau palsu (موضوع):

  • Imam Ahmad berkata: “Hadith ini tidak sahih.”
  • Abu Hatim al-Razi menilainya hadith palsu, disokong oleh al-Zahabi.
  • Ibn al-Jauzi pula meletakkannya dalam kitab al-Maudhu’at (2/104).
  • Ibn Hibban berkata: “Ini adalah hadith maudhu’ yang tidak ada asal daripada perawi yang dipercayai.”
  • Ibn Hajar dan al-Munziri menilainya: Sangat lemah.
  • Al-Zaila‘i menyatakan bahawa ia adalah hadith dhaif
  • Syeikh Nasiruddin al-Albani dalam Dha‘if Sunan Ibn Majah: Sangat lemah (ضعيف جدًّا).

Hukum Membantu Membunuh Muslim Secara Umum

Walaupun hadith ini sangat lemah atau sebahagiannya menilai palsu, namun, hukum membantu pembunuhan seorang Muslim secara sengaja adalah dosa yang sangat besar. Ia termasuk dalam perbuatan zalim yang sangat berat.

Imam al-Nawawi menukilkan bahawa Imam al-‘Izz bin Abd al-Salam dalam kitab _al-Qawa‘id_menyatakan: “Jika engkau ingin mengetahui perbezaan antara dosa kecil dan dosa besar, maka bandingkan kerosakan (bahaya) dosa itu dengan kerosakan dosa-dosa besar yang telah dinyatakan oleh syarak. Jika ia kurang daripada sekurang-kurangnya kerosakan dosa besar, maka ia adalah dosa kecil. Namun, jika ia sama atau lebih besar daripada kerosakan dosa besar yang paling rendah, maka ia tergolong dalam dosa besar. Maka, sesiapa yang mencaci Tuhan Yang Maha Suci dan Maha Tinggi, atau mencaci Rasul-Nya SAW, atau menghina para rasul, atau mendustakan salah seorang daripada mereka, atau mencemarkan Kaabah dengan najis, atau membuang al-Quran ke dalam tempat kotoran – maka semua ini termasuk dalam dosa besar yang paling besar, walaupun syarak tidak menyatakannya secara jelas sebagai dosa besar. Begitu juga, jika seseorang menahan seorang wanita yang telah bersuami untuk diserahkan kepada orang yang mahu berzina dengannya, atau dia menahan seorang Muslim agar dibunuh oleh orang lain – maka tiada keraguan bahawa kerosakan yang timbul daripada perbuatan ini lebih besar daripada kerosakan memakan harta anak yatim, walaupun perbuatan itu sendiri telah dinyatakan sebagai dosa besar.

Begitu juga, jika seseorang menunjukkan kelemahan umat Islam kepada orang kafir, dengan pengetahuan bahawa mereka (orang kafir) akan memusnahkan umat Islam, menawan wanita dan anak-anak mereka, dan merampas harta benda mereka – maka kerosakan perbuatan ini lebih besar daripada perbuatan lari dari medan perang tanpa alasan yang sah, sedangkan ia sendiri termasuk dalam dosa besar. Begitu juga, jika seseorang berbohong terhadap orang lain dengan satu pembohongan yang dia tahu akan menyebabkan orang itu dibunuh – maka ia adalah dosa besar. Namun, jika dia berbohong terhadap orang lain dengan satu pembohongan yang hanya menyebabkan orang itu kehilangan sebiji tamar (kurma), maka pembohongan itu tidak dianggap dosa besar.”” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 2/85-86)

Bahkan, dalam beberapa keadaan, membantu orang kafir untuk membunuh seorang Muslim boleh membawa kepada kekufuran. Ini kerana para ulama telah menyebut bahawa antara perkara yang membatalkan keislaman ialah: bersekongkol dan memberi pertolongan kepada orang-orang musyrik dalam memerangi umat Islam.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa hadith yang berbunyi: “Sesiapa yang membantu dalam pembunuhan seorang Muslim walaupun dengan setengah perkataan…” adalah hadith yang sangat lemah bahkan dinilai palsu oleh sebahagian ulama hadith. Para tokoh seperti Imam Ahmad, Abu Hatim al-Razi, al-Zahabi, Ibn al-Jauzi, dan Ibn Hibban, secara tegas menolak kesahihannya. Maka, hadith ini tidak boleh dijadikan sandaran untuk menetapkan hukum secara langsung.

Namun begitu, kandungan makna umum bahawa membantu pembunuhan seorang Muslim adalah dosa besar adalah benar dan selari dengan prinsip-prinsip Islam yang lain. Bahkan, menurut para ulama seperti al-‘Izz bin Abd al-Salam, sesiapa yang menunjukkan jalan kepada pembunuhan atau penindasan terhadap Muslim, khususnya dengan membantu orang kafir, boleh tergolong dalam dosa besar – malah dalam keadaan tertentu boleh termasuk dalam kekufuran. Ini lebih-lebih lagi jika ia membawa kepada kebinasaan umat Islam dan penguasaan musuh terhadap mereka.

Marilah sama-sama kita menjunjung nas Ilahi:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya:Dan saling membantulah ke atas perkara kebaikan dan ketakwaan dan jangan saling membantu atas perkara dosa dan permusuhan.”

(Surah al-Ma’idah: 2)

Akhirnya, umat Islam perlu berhati-hati dalam menyebarkan hadith, dan hanya menyampaikan hadith yang sahih daripada Nabi SAW. Dalam masa yang sama, kita tetap wajib menjauhi sebarang bentuk kerjasama atau sokongan terhadap sebarang usaha membunuh, menindas atau memudaratkan saudara Muslim yang lain, kerana ia termasuk dalam dosa yang besar dan sangat dibenci Allah SWT.

Wallahua‘lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ، وَالأَهْوَاءِ، وَالأَسْوَاءِ، وَالأَدْوَاءِ.

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Tetapan Bacaan