Soalan
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin menyebarkan kepada sahabat-sahabat satu hadith yang menyebut bahawa sesiapa yang meninggalkan solat akan dikenakan lima belas hukuman — enam di dunia, tiga semasa mati, tiga di dalam kubur dan tiga pada hari kiamat. Apakah status hadith ini?
Jawapan
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda, serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga hari kiamat.
Hadith yang menyatakan bahawa orang yang meninggalkan solat akan dikenakan lima belas hukuman adalah hadith yang palsu dan direka atas nama Rasulullah SAW, dan tidak boleh disebarkan atau diamalkan.
Dikatakan bahawa terdapat riwayat yang Nabi SAW bersabda:
مَنْ تَهَاوَنَ فِي الصَّلَاةِ عَاقَبَهُ اللَّهُ بِخَمْسَ عَشْرَةَ عُقُوبَةً: مِنْهَا سِتَّةٌ فِي الدُّنْيَا، وَثَلَاثَةٌ عِنْدَ الْمَوْتِ، وَثَلَاثَةٌ فِي الْقَبْرِ، وَثَلَاثَةٌ عِنْدَ خُرُوجِهِ مِنَ الْقَبْرِ.
أَمَّا السِّتَّةُ الَّتِي تُصِيبُهُ فِي الدُّنْيَا فَهِيَ كَالآَتِي: ١ - يَنْزِعُ اللَّهُ الْبَرَكَةَ مِنْ عُمْرِهِ. ٢ - يَمْسَحُ اللَّهُ اسْمَ الصَّالِحِينَ مِنْ وَجْهِهِ. ٣ - كُلُّ عَمَلٍ لَا يُؤْجَرُ مِنَ اللَّهِ. ٤ - لَا يُرْفَعُ لَهُ دُعَاءٌ إِلَى السَّمَاءِ. ٥ - تَمْقُتُهُ الْخَلَائِقُ فِي الدُّنْيَا. ٦ - لَيْسَ لَهُ حَظٌّ فِي دُعَاءِ الصَّالِحِينَ.
أَمَّا الثَّلَاثَةُ الَّتِي تُصِيبُهُ عِنْدَ الْمَوْتِ: ١ - أَنَّهُ يَمُوتُ ذَلِيلًا. ٢ - أَنَّهُ يَمُوتُ جَائِعًا. ٣ - أَنَّهُ يَمُوتُ عَطْشَانَ وَلَوْ سُقِيَ مِيَاهَ بِحَارِ الدُّنْيَا مَا رُوِيَ مِنْ عَطَشِهِ.
أَمَّا الثَّلَاثَةُ الَّتِي تُصِيبُهُ فِي قَبْرِهِ فَهِيَ: ١ - يُضَيِّقُ اللَّهُ عَلَيْهِ قَبْرَهُ وَيَعْصِرُهُ حَتَّى تَخْتَلِفَ ضُلُوعُهُ. ٢ - يُوقِدُ اللَّهُ عَلَيْهِ فِي قَبْرِهِ نَارًا فِي جَمْرِهَا. ٣ - يُسَلِّطُ اللَّهُ عَلَيْهِ ثُعْبَانًا يُسَمَّى الشُّجَاعَ الْأَقْرَعَ، يَضْرِبُهُ عَلَى تَرْكِ صَلَاةِ الصُّبْحِ مِنَ الصُّبْحِ إِلَى الظُّهْرِ، وَعَلَى تَضْيِيعِ صَلَاةِ الظُّهْرِ مِنَ الظُّهْرِ إِلَى الْعَصْرِ، وَهَكَذَا… كُلَّمَا ضَرَبَهُ يَغُوصُ فِي الْأَرْضِ سَبْعِينَ ذِرَاعًا.
أَمَّا الثَّلَاثَةُ الَّتِي تُصِيبُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَهِيَ: ١ - يُسَلِّطُ اللَّهُ عَلَيْهِ مَنْ يَسْحَبُهُ إِلَى نَارِ جَهَنَّمَ عَلَى جَمْرٍ بِوَجْهِهِ. ٢ - يَنْظُرُ اللَّهُ تَعَالَى إِلَيْهِ بِعَيْنِ الْغَضَبِ وَقْتَ الْحِسَابِ، فَيَقَعُ لَحْمُ وَجْهِهِ. ٣ - يُحَاسِبُهُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ حِسَابًا شَدِيدًا مَا عَلَيْهِ مِنْ مُؤَيِّدٍ، وَيَأْمُرُ اللَّهُ بِهِ إِلَى النَّارِ وَبِئْسَ الْقَرَارُ.»
Maksudnya: “Sesiapa yang bermudah-mudah dalam solat, maka Allah akan menghukumnya dengan lima belas jenis hukuman: enam daripadanya berlaku di dunia, tiga ketika mati, tiga di dalam kubur, dan tiga lagi ketika dibangkitkan dari kubur.”
Enam hukuman di dunia ialah:
- Allah mencabut keberkatan dari umurnya.
- Allah menghapuskan nama orang soleh dari wajahnya.
- Semua amalnya tidak diberikan ganjaran oleh Allah.
- Doanya tidak akan diangkat ke langit.
- Semua makhluk di dunia membencinya.
- Dia tidak mendapat bahagian daripada doa orang-orang soleh.
Tiga hukuman ketika mati:
- Dia mati dalam keadaan hina.
- Dia mati dalam keadaan lapar.
- Dia mati dalam keadaan dahaga, walaupun diberi minum air seluruh lautan dunia, dahaganya tetap tidak hilang.
Tiga hukuman di dalam kubur:
-
Allah menyempitkan kuburnya dan menghimpit tulang-tulang rusuknya hingga berselisih.
-
Allah menyalakan api di dalam kuburnya, dengan bara yang menyala.
-
Allah menghantar kepadanya seekor ular yang dinamakan al-Syuja‘ al-Aqra‘, yang memukulnya kerana meninggalkan solat Subuh dari waktu Subuh hingga Zuhur, kerana meninggalkan Zuhur dari Zuhur hingga Asar, dan begitulah seterusnya…
Setiap kali dipukul, dia tenggelam ke dalam bumi sejauh 70 hasta.
Tiga hukuman pada hari kiamat:
- Allah menghantar seseorang untuk menariknya ke dalam neraka Jahanam dengan mukanya diheret di atas bara.
- Allah melihatnya dengan pandangan kemurkaan ketika hisab, lalu gugur daging wajahnya.
- Allah menghisabnya dengan hisab yang sangat keras, tiada pembela baginya, dan Allah perintahkan agar dia dimasukkan ke dalam neraka – dan itulah seburuk-buruk tempat kembali.
Namun begitu, hadith ini merupakan hadith maudhu’ yang merupakan pendustaan kepada Nabi SAW.
Syeikh Abdul Aziz bin Baz berkata: “Hadith yang dinisbahkan oleh penyebarnya kepada Rasulullah SAW berkenaan lima belas hukuman bagi orang yang meninggalkan solat adalah hadith batil dan direka-reka atas nama Nabi SAW. Para ulama hadith telah menjelaskan kepalsuannya, antaranya al-Hafiz al-Zahabi dalam Lisan al-Mizan, Ibn Hajar dan lain-lain.” (Lihat Majallah al-Buhuth al-Islamiyyah, 22/329)
Al-Lajnah al-Daimah, iaiatu Jawatankuasa Tetap Fatwa Arab Saudi juga telah mengeluarkan fatwa rasmi bernombor 8689, yang menyatakan bahawa hadith ini adalah batil dan tidak boleh disebarkan. Antara kenyataan mereka ialah: “Sesungguhnya dalam nas-nas al-Quran dan Sunnah yang sahih sudah memadai dalam menjelaskan bahaya meninggalkan solat. Firman Allah SWT:{Sesungguhnya solat itu adalah fardu yang ditentukan waktunya ke atas orang-orang yang beriman.} (Surah al-Nisa’: 103) Dan dalam Surah al-Muddaththir, Allah menyebut perbualan penghuni neraka: {Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam neraka Saqar? Mereka menjawab: Kami tidak termasuk dalam kalangan orang-orang yang solat.} (Surah al-Muddaththir: 42–43) Juga hadith Nabi SAW: “Perjanjian antara kami dan mereka ialah solat. Maka sesiapa yang meninggalkannya, maka dia telah kafir.” Riwayat al-Tirmizi (2621), al-Nasa’i (431), Ibn Majah (1079) — dinilai sahih dalam Sahih al-Tirmizi (2113). Ayat-ayat al-Quran dan hadith-hadith ini menunjukkan bahawa Nabi SAW menamakan perbuatan meninggalkan solat itu sebagai suatu kekufuran.” (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Daimah, 4/468)
Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin juga berkata: “Hadith ini adalah hadith palsu yang direka atas nama Rasulullah SAW. Tidak halal bagi sesiapa menyebarkannya melainkan dengan menjelaskan bahawa ia adalah hadith palsu, agar orang ramai tidak terpedaya dengannya.” (LihatFatawa al-Syeikh, 1/6)
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, hadith mengenai lima belas hukuman ke atas orang yang meninggalkan solat adalah palsu dan direka-reka, serta tidak boleh disebarkan, diamalkan atau dipercayai.
Namun, bahaya meninggalkan solat telah pun disebut secara jelas dan sahih dalam al-Quran dan hadith, bahkan Nabi SAW menyamakan meninggalkan solat dengan kekufuran. Maka, berpeganglah kepada nas yang sahih, dan tinggalkan hadith palsu yang tidak ada nilai syari’i.
Akhirnya, kami berdoa agar Allah SWT mengurniakan kita kefahaman yang benar tentang agama, serta memberi kekuatan untuk menyampaikan dakwah berasaskan dalil yang sahih. Berhati-hatilah dalam menyebarkan sesuatu yang dinisbahkan kepada Rasulullah SAW, kerana berdusta atas nama Baginda adalah dosa besar yang diancam dengan neraka. Dan cukuplah bagi kita nas yang sahih dalam menggalakkan solat dan menakutkan daripada meninggalkannya. Wallahua‘lam
Kami akhiri dengan doa:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”