Soalan
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya tentang kesahihan hadith yang berbunyi: “La Mahdi illa ‘Isa” (لا مَهْدِيَّ إِلَّا عِيسَى) – maksudnya: “Tiada Mahdi melainkan Isa.” Adakah hadith ini sahih atau palsu?
Jawapan
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda, dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga hari kiamat.
Diriwayatkan daripada Anas bin Malik, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لَا يَزْدَادُ الْأَمْرُ إِلَّا شِدَّةً، وَلَا الدُّنْيَا إِلَّا إِدْبَارًا، وَلَا النَّاسُ إِلَّا شُحًّا، وَلَا تَقُومُ السَّاعَةُ إِلَّا عَلَى شِرَارِ النَّاسِ، وَلَا الْمَهْدِيُّ إِلَّا عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ
Maksudnya: “Tidaklah urusan (keadaan dunia) bertambah melainkan semakin sukar, dan tidaklah dunia semakin maju melainkan sebenarnya semakin mundur, dan tidaklah manusia bertambah melainkan semakin kedekut, dan tidak akan berlaku Hari Kiamat melainkan ke atas seburuk-buruk manusia, dan tiadalah Mahdi melainkan Isa bin Maryam.”
Riwayat Ibn Majah dalam Sunan Ibn Majah (4039)
Syeikh Syuaib al-Arnaut dalam tahqiqnya untuk Sunan Ibn Majah menyatakan: Hadith ini sahih dengan syawahid (sokongan) kecuali pada lafaz “وَلَا الْمَهْدِيُّ إِلَّا عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ” “dan tiada Mahdi melainkan Isa anak Maryam”, maka ia adalah munkar (ditolak). Hal ini kerana sanad hadith ini adalah lemah, disebabkan oleh kelemahan Muhammad bin Khalid al-Jundi, dan al-Hasan – iaitu al-Hasan al-Basri – adalah seorang mudallis dan dia telah meriwayatkan hadith ini dengan ‘an‘anah(tanpa menyatakan dia mendengar secara langsung).
Imam al-Zahabi menyatakan dalam Mizan al-I‘tidal ketika membicarakan tentang Muhammad bin Khalid bahawa lafaz “tiada Mahdi melainkan Isa anak Maryam” adalah lafaz munkar. Beliau turut menjelaskan sebab lemahnya tambahan ini, iaitu kerana hadith ini diriwayatkan oleh Shamit bin Ma‘adh daripada seorang lelaki dari kawasan al-Jund (iaitu tempat asal Muhammad bin Khalid), daripada Muhammad bin Khalid al-Jundi, daripada Aban bin Abi ‘Ayyash, daripada al-Hasan al-Basri, daripada Nabi SAW.
Al-Zahabi menyimpulkan bahawa sanad ini tersingkap kelemahannya dan rosaknya sanad, kerana Aban bin Abi ‘Ayyash adalah seorang perawi yang ditinggalkan hadithnya (matruk al-hadith).
Riwayat ini telah diriwayatkan juga oleh al-Baihaqi dalam kitab Bayan Khata’ man Akhta’a ‘ala al-Syafi‘i, halaman 300 – dan bukan dalam kitab al-Ba‘th wa al-Nusyur seperti yang disangka oleh sebahagian penulis zaman ini. Hadith ini juga diriwayatkan oleh:
- Al-Hakim (4/441)
- Abu Nu‘aim dalam Hilyah al-Awliya’ (9/161)
- Abu ‘Amr al-Dani dalam al-Sunan al-Waridah fi al-Fitan (217), (409), (589)
- Abu Ya‘la al-Khalili dalam al-Irsyad (108)
- Al-Quda‘i dalam Musnad al-Syihab (898) dan (899)
- Al-Khatib al-Baghdadi dalam Tarikh Baghdad (4/220–221)
- Al-Mizzi dalam biografi Muhammad bin Khalid al-Jundi dalam Tahzib al-Kamal melalui sanad Yunus bin ‘Abd al-A‘la
- Ibn ‘Abd al-Barr dalam Jami‘ Bayan al-‘Ilm wa Fadhluh (1/155) melalui sanad Isma‘il bin Yahya al-Muzani, kedua-duanya meriwayatkan daripada Imam al-Syafi‘i dengan sanad ini.
Ia juga diriwayatkan oleh al-Quda‘i dalam Musnad al-Syihab (900), dan al-Baihaqi dalam Bayan Khata’ man Akhta’a ‘ala al-Syafi‘i (hlm. 299–300) melalui sanad Shamit bin Ma‘adh, daripada Yahya bin al-Sakan (disebut silap sebagai “Zaid bin al-Sakan” dalam Musnad al-Syihab) daripada Muhammad bin Khalid al-Jundi dengan sanad yang sama.
Hadith ini mendapat sokongan (syawahid) bagi semua lafaznya kecuali lafaz “dan tiada Mahdi melainkan Isa anak Maryam”, dengan riwayat berikut:
- Hadith Abu Umamah al-Bahili: Diriwayatkan oleh Abu Ya‘la al-Mawsili dalam Musnad-nya sebagaimana disebut dalam Misbah al-Zujajah halaman 254, dan oleh al-Tabarani dalam al-Mu‘jam al-Kabir (7757) dan (7894), Ibn ‘Adi dalam al-Kamil (biografi Mu‘awiyah bin Salih), al-Hakim (4/440), al-Quda‘i dalam Musnad al-Syihab (901), dan al-Baihaqi dalam Bayan Khata’ man Akhta’a ‘ala al-Syafi‘i halaman 302. Semua perawi dalam riwayat Abu Ya‘la dan Ibn ‘Adiy adalah thiqah (dipercayai).
- Hadith Mu‘awiyah: Diriwayatkan oleh al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (19/835), dan al-Baihaqi dalam Bayan Khata’ man Akhta’a ‘ala al-Syafi‘i (hlm. 301). Semua perawinya thiqah.
- Hadith ‘Imran bin Husain: Diriwayatkan oleh Abu Nu‘aim dalam Hilyah al-Auliya’ (7/262). Semua perawinya thiqah.
Ia juga disokong oleh hadith Anas bin Malik yang diriwayatkan oleh al-Bukhari (7068) dengan lafaz:
اصْبِرُوا، فَإِنَّهُ لا يَأْتِي عَلَيْكُمْ زَمَانٌ إِلَّا الَّذِي بَعْدَهُ شَرٌّ مِنْهُ، حَتَّى تَلْقَوْا رَبَّكُمْ
Maksudnya: “Bersabarlah, kerana tidak akan datang kepada kalian suatu zaman melainkan zaman selepasnya lebih buruk daripadanya, sehingga kamu bertemu Tuhanmu.”
Hadith ini turut diperkuat dengan hadith lain seperti:
لَا تَقُومُ السَّاعَةُ إِلَّا عَلَى شِرَارِ النَّاسِ.
Maksudnya: “Tidak akan berlaku Kiamat kecuali ke atas seburuk-buruk manusia”
“Dan dengan sokongan hadith-hadith lain ini, hadith tersebut menjadi sahih tanpa lafaz: ‘Dan tiada Mahdi melainkan ‘Isa bin Maryam.’ Wallahua’lam. (Lihat Sunan Ibn Majah - Tahqiq al-Arnaut, 5/165-167)
Justeru, para ulama hadith hampir sepakat bahawa lafaz “وَلَا الْمَهْدِيُّ إِلَّا عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ” ini tidak sahih. Hadith ini didhaifkan oleh ramai ulama hadith, antaranya:
- Imam al-Baihaqi, al-Hakim, dan Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah telah melemahkan hadith ini dalam Minhaj al-Sunnah (8/256), begitu juga dengan Ibn al-Qayyim dalam al-Manar al-Munif(hlm. 148).
- Al-Zahabi menilainya sebagai khabar munkar dalam Mizan al-I‘tidal (3/535).
- Al-Mulla Ali al-Qari dalam Mirqah al-Mafatih (10/183) menyatakan: “Ia hadith dha‘if dengan sepakat ahli hadith.”
- Al-Syaukani menyebut dalam al-Fawa’id al-Majmu‘ah (hlm. 127): “Al-Saghani menilainya sebagai hadith maudu‘ (palsu).”
- Syeikh Nasiruddin al-Albani – dalam Silsilah al-Ahadith al-Dha‘ifah (no. 77) menyatakan bahawa hadith ini munkar.
Ibn al-Qayyim berkata dalam al-Manar al-Munif: “Aku telah ditanya mengenai hadith: ‘Tiada Mahdi melainkan ‘Isa bin Maryam’, bagaimana hadith ini boleh selari dengan hadith-hadith lain yang menyebut tentang kemunculan al-Mahdi? Apakah cara untuk menggabungkannya (ta’liq), dan adakah terdapat hadith sahih tentang al-Mahdi?”
Adapun hadith “Tiada Mahdi melainkan ‘Isa bin Maryam”, maka ia diriwayatkan oleh Ibn Majah dalam Sunan-nya daripada Yūnus bin ‘Abd al-A‘lā, daripada al-Syafi‘i, daripada Muhammad bin Khalid al-Jundi, daripada Aban bin Ṣāliḥ, daripada al-Hasan, daripada Anas bin Malik, daripada Nabi SAW. Hadith ini telah diriwayatkan secara tunggal (ifrad) oleh Muhammad bin Khalid, dan Abu al-Husain Muhammad bin al-Husain al-Abari menyebut dalam Kitab Manaqib al-Syafi‘i bahawa: “Muhammad bin Khalid ini tidak dikenali di kalangan ahli ilmu dan pakar hadith.”
Sedangkan berita-berita tentang al-Mahdi telah mutawatir dan tersebar luas daripada Rasulullah SAW, yang menyebut bahawa al-Mahdi itu dari kalangan Ahl al-Bait, bahawa dia akan memerintah selama tujuh tahun, memenuhi bumi dengan keadilan, bahawa Nabi ‘Isa akan turun dan membantu al-Mahdi dalam membunuh Dajjal, dan bahawa al-Mahdi akan mengimamkan umat ini, dan Nabi ‘Isa akan solat di belakangnya sebagai makmum.
Al-Baihaqi pula berkata: “Hadith ini hanya diriwayatkan secara tunggal oleh Muhammad bin Khalid, dan al-Hakim Abu ‘Abdillah menyatakan bahawa beliau adalah seorang yang majhul (tidak dikenali).”
Selain itu, telah berlaku perbezaan riwayat dalam sanadnya, iaitu diriwayatkan bahawa Muhammad bin Khalid meriwayatkan daripada Aban bin Abi ‘Ayyash, daripada al-Hasan, secara mursal (tanpa menyebut nama sahabat), daripada Nabi SAW. Maka, hadith ini kembali kepada riwayat Muhammad bin Khalid – yang merupakan perawi majhul – daripada Aban bin Abi ‘Ayyash – yang merupakan perawi matruk (ditinggalkan riwayatnya) – daripada al-Hasan daripada Nabi SAW, yang mana sanad ini adalah munqati‘ (terputus).
Oleh itu, hadith-hadith lain yang menyebut tentang kemunculan al-Mahdi jauh lebih sahih dari sudut sanad.” (Lihat al-Manar al-Munif, hlm. 141-143)
Ibn al-Qayyim, al-Qurtubi dan Ibn Kathir juga menyebutkan bahawa jika hadith ini sahih (namun ia tidak sahih), maka maknanya hanyalah: “Tiadalah Mahdi yang sempurna atau bersifat ma‘sum kecuali Isa bin Maryam,” dan bukan menafikan kewujudan al-Mahdi dari kalangan umat Nabi Muhammad SAW.
Malah hadith-hadith sahih yang lain telah menyebutkan secara jelas tentang kemunculan Imam Mahdi pada akhir zaman, dan bahawa Nabi Isa A.S akan turun serta solat di belakang Imam Mahdi sebagai makmum. Maka hadith yang lemah ini tidak boleh dijadikan hujah untuk menolak hadith-hadith sahih berkenaan al-Mahdi.
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa hadith dengan lafaz _“Tiada Mahdi melainkan Isa”_adalah hadith lemah dan tertolak menurut sepakat ulama hadith. Ia tidak boleh dijadikan dalil untuk menolak hadith-hadith sahih tentang kemunculan Imam Mahdi dari umat ini pada akhir zaman. Bahkan telah sabit bahawa Nabi Isa A.S akan turun ke bumi dan solat di belakang Mahdi, menunjukkan kewujudan dua individu berbeza dengan peranan masing-masing.
Akhirnya, kita hendaklah berpegang kepada hadith-hadith yang sahih dalam hal akidah dan tanda-tanda akhir zaman. Hadith dha‘if apatah lagi yang munkar atau maudu‘, tidak boleh dijadikan sandaran dalam perkara penting seperti ini.
Wallahua‘lam.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa.”