← Semua Artikel

#8878: Status Hadith Wasiat Rasulullah SAW kepada Ali R.A Mengenai Lima Perkara Sebelum Tidur

- bacaan

Soalan

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya menerima satu hadith menerusi emel dan melihatnya juga disebarkan di media sosial. Katanya bahawa Rasulullah SAW bersabda kepada Saidina Ali RA: “Wahai Ali, jangan tidur sebelum engkau melakukan lima perkara: membaca keseluruhan al-Quran, bersedekah sebanyak empat ribu dirham, menempah tempatmu di dalam syurga, meredakan kemarahan musuh, dan mendamaikan yang bermusuhan.” Kemudian diterangkan bahawa:

  • Membaca Surah al-Ikhlas tiga kali menyamai membaca keseluruhan al-Quran.
  • Membaca al-Fatihah empat kali menyamai sedekah empat ribu dirham.
  • Mengucapkan zikir:

لَا إِلَـٰهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ، يُحْيِي وَيُمِيتُ، وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

sepuluh kali, menyamai tempahan tempat di syurga.

  • Dan membaca:

أَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيمَ الَّذِي لَا إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّومُ، وَأَتُوبُ إِلَيْهِ

sepuluh kali, menyamai meredakan musuh.

Hadith ini kemudiannya diakhiri dengan frasa: “Sadaqa Rasulullah SAW.” Apakah status hadith ini?

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda, serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga hari kiamat.

Dalam menjawab persoalan di atas, hadith yang dimaksudkan adalah sebagaimana lafaz yang mengatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

يا عَلِيُّ، لا تَنَمْ إِلَّا أَنْ تَأْتِيَ أَشْيَاءَ، وَهِيَ: قِرَاءَةُ الْقُرْآنِ كُلِّهِ، وَالتَّصَدُّقُ بِأَرْبَعَةِ آلَافِ دِرْهَمٍ، وَزِيَارَةُ الْكَعْبَةِ، وَحِفْظُ مَكَانِكَ فِي الْجَنَّةِ، وَإِرْضَاءُ الْخُصُومِ. فَقَالَ عَلِيٌّ – كَرَّمَ اللهُ وَجْهَهُ –: وَكَيْفَ ذَلِكَ يَا رَسُولَ اللهِ؟ فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «أَمَا تَعْلَمُ أَنَّكَ إِذَا قَرَأْتَ: ﴿قُلْ هُوَ اللهُ أَحَدٌ﴾ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ، فَقَدْ قَرَأْتَ الْقُرْآنَ كُلَّهُ؟ وَإِذَا قَرَأْتَ الْفَاتِحَةَ أَرْبَعَ مَرَّاتٍ، فَقَدْ تَصَدَّقْتَ بِأَرْبَعَةِ آلَافِ دِرْهَمٍ؟ وَإِذَا قُلْتَ: لَا إِلَـٰهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ، يُحْيِي وَيُمِيتُ، وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ، عَشْرَ مَرَّاتٍ، فَقَدْ زُرْتَ الْكَعْبَةَ؟ وَإِذَا قُلْتَ: لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِ الْعَلِيِّ الْعَظِيمِ، عَشْرَ مَرَّاتٍ، فَقَدْ حَفِظْتَ مَكَانَكَ فِي الْجَنَّةِ؟ وَإِذَا قُلْتَ: أَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيمَ الَّذِي لَا إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّومُ، وَأَتُوبُ إِلَيْهِ، فَقَدْ أَرْضَيْتَ الْخُصُومَ؟»

Maksudnya: Wahai Ali, janganlah kamu tidur melainkan setelah kamu mendatangkan lima perkara: Membaca seluruh al-Quran, Bersedekah dengan empat ribu dirham, Menziarahi Kaabah, Menjaga tempatmu di syurga, Mendamaikan perselisihan dengan orang lain. Lalu Ali berkata  :“Bagaimana caranya wahai Rasulullah?” Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Tidakkah engkau tahu bahawa jika engkau membaca: ‘قُلْ هُوَ اللهُ أَحَدٌ’ tiga kali, maka seolah-olah engkau telah membaca keseluruhan al-Quran? Jika engkau membaca al-Fatihah empat kali, seolah-olah engkau telah bersedekah dengan empat ribu dirham? Jika engkau mengucapkan: ‘لَا إِلَـٰهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ، يُحْيِي وَيُمِيتُ، وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ’ sebanyak sepuluh kali, maka engkau seakan telah menziarahi Kaabah? Jika engkau mengucapkan: ‘لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِ الْعَلِيِّ الْعَظِيمِ’ sepuluh kali, maka engkau telah menjaga tempatmu di syurga? Jika engkau mengucapkan: ‘أَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيمَ الَّذِي لَا إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّومُ، وَأَتُوبُ إِلَيْهِ’, maka engkau telah mendamaikan pihak-pihak yang berselisih?”

Hadith yang disebutkan ini adalah hadith palsu (maudhu‘) dan tidak sahih dari Nabi SAW, bahkan direka oleh sebahagian golongan Syiah, sebagaimana telah dijelaskan oleh para ulama hadith.

Al-Lajnah al-Daimah, iaitu Jawatankuasa Tetap Fatwa Arab Saudi berkata: “Hadith ini tidak ada asal usulnya, bahkan ia termasuk dalam kategori hadith-hadith yang direka (maudu‘) — iaitu rekaan sebahagian golongan Syiah, seperti yang telah dijelaskan oleh para imam hadith.”(Lihat Fatawa al-Lajnah al-Da’imah, 4/462–463)

Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin berkata: “Hadith yang menyebut bahawa Nabi SAW berwasiat kepada Ali RA. dengan wasiat-wasiat ini adalah hadith palsu yang direka ke atas Rasulullah SAW. Tidak boleh disandarkan kepada Baginda SAW. Hal ini kerana Nabi SAW bersabda: “Sesiapa yang menyampaikan sesuatu hadith daripadaku sedangkan dia tahu ia adalah palsu, maka dia adalah salah seorang pendusta.” Dan sabda Baginda lagi: “Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka hendaklah dia bersedia mengambil tempatnya di neraka.” Maka, tidak boleh sama sekali menyebarkan hadith ini melainkan untuk menjelaskan kepalsuannya dan memberi amaran kepada orang ramai daripadanya.”(Lihat Fatawa Islamiyyah, 4/111)

Bahkan, apa yang Nabi ajar sebelum tidur adalah sebagaimana yang disebut dalam hadith yang diriwayatkan daripada al-Bara’ bin ‘Azib, katanya:

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا أَوَى إِلَى فِرَاشِهِ نَامَ عَلَى شِقِّهِ الأَيْمَنِ، ثُمَّ قَالَ: «اللهُمَّ أَسْلَمْتُ نَفْسِي إِلَيْكَ، وَوَجَّهْتُ وَجْهِي إِلَيْكَ، وَفَوَّضْتُ أَمْرِي إِلَيْكَ، وَأَلْجَأْتُ ظَهْرِي إِلَيْكَ، رَغْبَةً وَرَهْبَةً إِلَيْكَ، لاَ مَلْجَأَ وَلاَ مَنْجَا مِنْكَ إِلَّا إِلَيْكَ، آمَنْتُ بِكِتَابِكَ الَّذِي أَنْزَلْتَ، وَبِنَبِيِّكَ الَّذِي أَرْسَلْتَ» وَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «مَنْ قَالَهُنَّ ثُمَّ مَاتَ تَحْتَ لَيْلَتِهِ مَاتَ عَلَى الفِطْرَةِ»

Maksudnya: “Apabila Rasulullah SAW datang ke tempat tidur baginda, baginda berbaring mengiring ke kanan, lalu mengucapkan:

اللهُمَّ أَسْلَمْتُ نَفْسِي إِلَيْكَ، وَفَوَّضْتُ أَمْرِي إِلَيْكَ، وَوَجَّهْتُ وَجْهِي إِلَيْكَ، وَأَلْجَأْتُ ظَهْرِي إِلَيْكَ، رَغْبَةً وَرَهْبَةً إِلَيْكَ، لاَ مَلْجَا وَلاَ مَنْجَا مِنْكَ إِلَّا إِلَيْكَ، آمَنْتُ بِكِتَابِكَ الَّذِي أَنْزَلْتَ، وَبِنَبِيِّكَ الَّذِي أَرْسَلْتَ

Maksudnya: Ya Allah! Aku serahkan jiwaku kepada-Mu, aku serahkan urusanku kepada-Mu, aku sandarkan belakangku kepada-Mu kerana takut (seksaan-Mu) dan berharap (ganjaran-Mu) kepada-Mu. Tidak ada tempat perlindungan dan keselamatan daripada ancaman-Mu, melainkan kepada-Mu. Aku beriman kepada kitab yang telah Kamu turunkan dan Nabi-Mu yang telah Kamu utuskan).

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa mengucapkannya kemudian mati pada malam itu, maka dia mati dalam keadaan fitrah.”

Riwayat al-Bukhari (6519)

Begitu juga dengan hadith yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا أَوَى إِلَى فِرَاشِهِ كُلَّ لَيْلَةٍ جَمَعَ كَفَّيْهِ ثُمَّ نَفَثَ فِيهِمَا فَقَرَأَ فِيهِمَا قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ وَ قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ وَ قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَقِ ثُمَّ مَسَحَ بِهِمَا مَا اسْتَطَاعَ مِنْ جَسَدِهِ فَبَدَأَهُمَا عَلَى رَأْسِهِ وَوَجْهِهِ وَمَا أَقْبَلَ مِنْ جَسَدِهِ يَفْعَلُ ذَلِكَ ثَلاثَ مَرَّاتٍ

Maksudnya: Biasanya Nabi SAW ketika berada di tempat tidur di setiap malam, baginda menyatukan kedua telapak tangannya lalu ditiup dan dibacakan ’Qul huwallahu ahad’ (surah Al Ikhlas), ’Qul a’udzu birobbil falaq’ (surah Al Falaq) dan ’Qul a’udzu birobbin naas’ (surah An Naas). Kemudian baginda mengusapkan kedua telapak tangan tadi pada anggota tubuh yang mampu dijangkau dimulai dari kepala, wajah, dan tubuh bahagian depan. Baginda melakukan yang demikian sebanyak tiga kali.”

Riwayat al-Bukhari (5017)

Begitu juga dengan hadith yang diriwayatkan daripada Al-Bara’ Bin ‘Azib bahawa Nabi SAW bersabda :

إِذَا أَتَيْتَ مَضْجَعَكَ فَتَوَضَّأْ وُضُوءَكَ لِلصَّلَاةِ ثُمَّ اضْطَجِعْ عَلَى شِقِّكَ الْأَيْمَنِ وقُلْ: اللَّهُمَّ أَسْلَمْتُ نَفْسِي إِلَيْكَ، وَفَوَّضْتُ أَمْرِي إِلَيْكَ، وَأَلْجَأْتُ ظَهْرِي إِلَيْكَ رَغْبَةً وَرَهْبَةً إِلَيْكَ، لَا مَلْجَأَ وَلَا مَنْجَا مِنْكَ إِلَّا إِلَيْكَ، آمَنْتُ بِكِتَابِكَ الَّذِي أَنْزَلْتَ، وَبِنَبِيِّكَ الَّذِي أَرْسَلْتَ، فَإِنْ مُتَّ مُتَّ عَلَى الْفِطْرَةِ فاجْعَلْهُنَّ آخِرَ مَا تَقُولُ

Maksudnya: “Jika kamu datang ke tempat tidurmu maka berwuduklah sepertimana kamu berwuduk untuk solat. Kemudian berbaringlah dengan lambung kananmu dan sebutlah : Ya Allah aku berserah diri pada-Mu. Aku serahkan urusanku pada-Mu. Aku berlindung kepada-Mu dengan penuh rasa cinta dan takut. Tidak ada tempat berlindung kecuali kepada-Mu. Aku beriman dengan kitab yang telah Engkau turunkan dan juga beriman dengan Nabi yang telah Engkau utuskan. Jika kamu mati maka kamu mati dengan fitrah dan jadikanlah ia akhir ucapan yang kamu ucapkan.”

Riwayat Al-Bukhari (6311)

Di dalam riwayat yang lain, Nabi SAW mengajarkan umatnya agar membaca dua ayat terakhir daripada Surah Al-Baqarah. Daripada Abu Hurairah R.A bahawa Nabi SAW bersabda :

مَنْ قَرَأَ بِالْآيَتَيْنِ مِنْ آخِرِ سُورَةِ الْبَقَرَةِ فِي لَيْلَةٍ كَفَتَاهُ

Maksudnya : “Sesiapa yang membaca dua ayat terakhir Surah Al-Baqarah pada malam hari, maka ia sudah cukup.”

Riwayat Al-Bukhari (5009)

Dan banyak lagi hadis-hadis yang sahih tentang amalan-amalan sebelum tidur yang thabit daripada Nabi SAW. Justeru, antara amalan sebelum tidur menurut sunnah ialah:

  • Wudhu sebelum tidur: Seperti wudhu untuk solat
  • Berbaring di sisi kanan:
  • Membaca doa sebelum tidur:

بِاسْمِكَ اللّهُمَّ أَحْيَا وَأَمُوتُ

“Dengan nama-Mu, Ya Allah, aku hidup dan aku mati.”

  • Membaca surat Al-Ikhlas 3 kali dan meniupkan ke kedua telapak tangan, kemudian usapkan ke seluruh tubuh.
  • Membaca Ayat Kursi.
  • Membaca Tasbih, Tahmid, dan Takbir: Subhanallah, Alhamdulillah, dan Allahu Akbar masing-masing 33 kali.
  • Membaca doa:

 اللهُمَّ أَسْلَمْتُ نَفْسِي إِلَيْكَ، وَفَوَّضْتُ أَمْرِي إِلَيْكَ، وَوَجَّهْتُ وَجْهِي إِلَيْكَ، وَأَلْجَأْتُ ظَهْرِي إِلَيْكَ، رَغْبَةً وَرَهْبَةً إِلَيْكَ، لاَ مَلْجَا وَلاَ مَنْجَا مِنْكَ إِلَّا إِلَيْكَ، آمَنْتُ بِكِتَابِكَ الَّذِي أَنْزَلْتَ، وَبِنَبِيِّكَ الَّذِي أَرْسَلْتَ”

Maksudnya: Ya Allah! Aku serahkan jiwaku kepada-Mu, aku serahkan urusanku kepada-Mu, aku sandarkan belakangku kepada-Mu kerana takut (seksaan-Mu) dan berharap (ganjaran-Mu) kepada-Mu. Tidak ada tempat perlindungan dan keselamatan daripada ancaman-Mu, melainkan kepada-Mu. Aku beriman kepada kitab yang telah Kamu turunkan dan Nabi-Mu yang telah Kamu utuskan)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa hadith mengenai wasiat Rasulullah SAW kepada Ali RA sebelum tidur dengan menyebut lima perkara tersebut adalah hadith palsu (maudhu‘) yang telah direka. Ia tidak terdapat dalam mana-mana kitab hadith yang muktabar dengan sanad yang sahih.

Sebaliknya, amalan-amalan sebelum tidur yang sahih daripada Nabi SAW adalah seperti membaca Surah al-Ikhlas, al-Falaq dan al-Nas, Ayat Kursi, tasbih, tahmid dan takbir, serta doa-doa khas seperti yang diajarkan Baginda SAW. Oleh itu, tidak boleh menyebarkan hadith palsu tersebut melainkan untuk memberi peringatan akan kepalsuannya. Umat Islam hendaklah berpegang dengan amalan yang sahih sahaja dalam beribadah, khususnya berkaitan dengan zikir dan doa sebelum tidur.

Akhirnya, kami menasihati agar setiap dakwah dan nasihat kepada orang ramai hendaklah berpaksikan kepada hadith-hadith yang sahih, dan tidak berdasarkan rekaan-rekaan yang tidak pernah diucapkan oleh Rasulullah SAW. Sesungguhnya berdusta atas nama Baginda SAW adalah dosa besar yang diancam dengan neraka.

Wallahua‘lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa.

Tetapan Bacaan