Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah tafsir Surah al-Nisa’ ayat 58?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
إِنَّ ٱللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا۟ ٱلْأَمَـٰنَـٰتِ إِلَىٰٓ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحْكُمُوا۟ بِٱلْعَدْلِ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.”
(Surah al-Nisa’: 58)
Ayat ini menekankan perihal amanah (الأَمَانَةُ), dan lafaz ini warid dalam al-Quran dalam tiga uslub yang berbeza:
- Sama ada secara mutlak, sebagaimana firman Allah SWT:
إِنَّا عَرَضْنَا ٱلْأَمَانَةَ عَلَى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ وَٱلْجِبَالِ
Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya).”
(Surah al-Ahzab: 72)
Apabila ia datang dalam bentuk mutlak ini, pada asalnya ia merujuk kepada amanah secara umum. Maka ia merangkumi keseluruhannya daripada hak-hak Allah SWT seperti mentauhidkan-Nya, mengesakan-Nya, serta mentaati-Nya. Ia turut merujuk kepada amanah yang melibatkan hak-hak sesama makhluk, seperti bersikap adil, insaf, menjauhi kezaliman dan lain-lain.
- Atau dalam bentuk muta‘addi yang memerlukan maf‘ul bihi sebagai pelengkap, seperti dalam Surah al-Nisa’ ayat 58 di atas.
- Atau secara idhafah yang bergabung dengan perkataan lain, seperti dalam firman-Nya:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تَخُونُوا۟ ٱللَّهَ وَٱلرَّسُولَ وَتَخُونُوٓا۟ أَمَـٰنَـٰتِكُمْ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).”
(Surah al-Anfal: 27)
Sekiranya ia datang dalam uslub muta‘addi dan idhafah ini, maksudnya bergantung kepada apakah yang disandarkan kepadanya. Sebagai contoh, amanah tersebut disandarkan kepada pelakunya, maka ia merujuk kepada amanah secara umum. Manakala, jika ia disandarkan kepada maf‘ul bihi atau mereka yang berhak, maka ia merujuk kepada hak-hak sesama manusia. (Lihat al-Tafsir wa al-Bayan, 2/859)
Allah SWT menyuruh setiap orang Islam agar memberikan amanah kepada yang berhak menerimanya, sama ada ia berkait dengan hak Allah SWT, dirinya atau orang lain. Menurut Fakhruddin al-Razi, menjaga amanah melibatkan hak Allah SWT ialah melaksanakan suruhannya dan menjauhi larangannya. Melaksanakan amanah melibatkan diri sendiri pula ialah melakukan sesuatu yang memberi manfaat kepadanya dalam perkara agama, dunia dan akhirat. Dia tidak melakukan sesuatu yang memudaratkan Akhirat dan dunianya. Menjaga amanah melibatkan hak orang lain pula ialah tidak menipu dalam timbangan ketika berjual beli, tidak membuka aib orang lain dan sebagainya. (Lihat Mafatih al-Ghaib, 10/109)
Dibawakan sebuah riwayat berkenaan sebab penurunan ayat ke-58 ini, bahawa Rasulullah SAW ketika Baginda memasuki kota Makkah pada hari pembukaan (Fath Makkah), ‘Uthman bin Talhah bin ‘Abd al-Dar – penjaga Kaabah – telah mengunci pintu Kaabah. Beliau naik ke atas bumbung dan enggan menyerahkan kunci itu kepada Baginda. ‘Uthman berkata: “Sekiranya aku tahu bahawa dia adalah Rasulullah, nescaya aku tidak akan menghalangnya.” Lalu ‘Ali bin Abi Talib memulas tangannya dan mengambil kunci tersebut daripadanya. Maka pintu Kaabah dibuka, dan Rasulullah SAW pun masuk ke dalamnya lalu menunaikan dua rakaat solat di dalamnya.
Setelah Baginda keluar, al-‘Abbas meminta agar diberi kunci itu kepadanya supaya beliau dapat menggabungkan antara tugas memberi minum jemaah haji dan penjagaan Kaabah. Maka turunlah ayat ini. Lalu Rasulullah SAW memerintahkan ‘Ali agar mengembalikan kunci itu kepada ‘Uthman serta memohon maaf kepadanya. ‘Uthman pun berkata kepada ‘Ali: “Tadi engkau memaksa dan menyakitiku, kini engkau datang berlembut pula?” Maka ‘Ali menjawab: “Sesungguhnya Allah telah menurunkan al-Quran berkenaan dirimu.” Lalu beliau membacakan ayat tersebut kepadanya. Maka ‘Uthman pun berkata: “Aku bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan bahawa Muhammad itu adalah Rasulullah.” Kemudian turunlah Malaikat Jibril AS dan memberitahu Nabi SAW bahawa tugas penjagaan Kaabah akan tetap berada pada keturunan ‘Uthman buat selama-lamanya. (Lihat Ma‘alim al-Tanzil, 1/443)
Secara zahirnya, ayat ini memang bersifat umum dan merujuk kepada umum manusia. Namun disebalik maknanya, ia secara khusus ditujukan kepada para pemerintah; kerana Allah SWT mengisyaratkan: “Dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia,” sedangkan tidak ada orang yang boleh melaksanakan suatu hukum ke atas yang lain melainkan dia adalah seorang pemerintah. (Lihat al-Tafsir wa al-Bayan, 2/860)
Amanah dan hukum ini juga diikat dengan satu syarat, iaitu keadilan. Menurut Ibn Manzur, keadilan pada bahasa ialah tidak berat sebelah atau menetapkan sesuatu dengan benar. Dari segi konsep, beliau menyebut: yang dimaksudkan dengan keadilan adalah sesuatu yang sudah mantap dalam fikiran sebagai perkara yang lurus. (Lihat Lisan al-‘Arab, 11/430)
Pada penghujung ayat, Allah SWT memuji sifat amanah dan adil serta mengingatkan bahawa Dia mendengar apa yang dihukumkan di antara manusia dan melihat amanah dilaksanakan untuk diberikan ganjaran dan balasan kepada orang yang melakukannya. (Lihat Mafatih al-Ghaib, 10/111)
Beginilah tafsiran secara ringkas yang dapat kami konsikan kepada saudara yang bertanya. Semoga kita beroleh manfaat darinya, dan dapat menerapkan sifat amanah dalam diri masing-masing. Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ زِدْنَا وَلَا تَنْقُصْنَا، وَأَكْرِمْنَا وَلَا تُهِنَّا، وَأَعْطِنَا وَلَا تَحْرِمْنَا، وَآثِرْنَا وَلَا تُؤْثِرْ عَلَيْنَا، وَارْضِنَا وَارْضَ عَنَّا
Maksudnya: “Wahai Allah! Tambahkanlah buat kami dan jangan Engkau kurangkan. Muliakanlah kami, jangan hinakan kami. Berilah buat kami, jangan dicegahnya. Pilihlah kami, jangan Engkau biarkan dan redhailah kami dan redhailah pula semua usaha kami.”
Wallahu a‘lam