Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, terdapat seorang lelaki yang bekerja sepanjang hari, dan sistem kerja menetapkan bahawa makan hanya dibenarkan pada waktu-waktu tertentu sahaja. Oleh itu, dia tidak mampu untuk berpuasa, kerana jika dia berpuasa, dia tidak dapat berbuka pada waktu Maghrib. Sekiranya dia tidak berbuka dan terus berpuasa, ia akan menyebabkan kesukaran yang berat dan dia tidak akan mampu bekerja. Maka, adakah dibenarkan baginya untuk berbuka dan menggantikannya dengan membayar fidyah bagi setiap hari? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa”
(Surah al-Baqarah 183)
Perkataan “كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ” memberi maksud kewajipan puasa ke atas orang-orang yang beriman. Akan tetapi, kewajipan berpuasa pada bulan Ramadhan belum disyariatkan lagi ketika itu. Persamaan antara mereka dengan umat-umat terdahulu adalah dari segi pensyariatan puasa itu sahaja. Kemudian, umat Nabi Muhammad SAW secara khususnya telah difardhukan puasa pada bulan Ramadhan.
Al-Tabari berkata: Pendapat yang benar menurut kami adalah yang menyatakan bahawa maknanya: Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu dari ahli Kitab, beberapa hari yang tertentu, iaitu sepanjang bulan Ramadhan, kerana yang datang sesudah Nabi Ibrahim AS diperintahkan untuk mengikuti Nabi Ibrahim AS. Hal itu disebabkan dia dijadikan oleh Allah SWT sebagai imam bagi sekalian manusia. Dan Allah SWT telah mengkhabarkan bahawa agamanya adalah al-Hanifiyyah al-Muslimah dan Nabi Muhammad SAW diperintahkan sama dengan yang diperintahkan terhadap nabi-nabi sebelumnya. Adapun aspek persamaannya adalah terletak pada waktu, di mana orang-orang sebelum kita diwajibkan puasa bulan Ramadhan sebagaimana kita juga diwajibkan. Manakala berkenaan firman-Nya: ‘لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ’, maksudnya, agar supaya kamu menghindari makanan, minuman dan hubungan suami isteri. (Lihat Jami’ al-Bayan, 3/67)
Dalam menjawab bagi persoalan di atas, puasa mempunyai syarat-syarat tertentu; antaranya ialah kemampuan untuk melakukannya. Kemampuan ini terbahagi kepada dua jenis:
- Kemampuan secara syarak, iaitu bebas daripada halangan syar‘i untuk berpuasa seperti haid dan nifas.
- Kemampuan secara fizikal, iaitu keupayaan tubuh badan orang yang diwajibkan berpuasa, seperti tidak menghadapi kelemahan akibat penyakit atau seumpamanya yang menyebabkan kesukaran yang berat untuk berpuasa, atau faktor usia lanjut yang menjadikan seseorang itu seperti orang sakit yang tidak mampu berpuasa, atau keadaan lain seperti bermusafir.
Al-Khatib al-Syarbini al-Syafi‘i menyebut dalam Mughni al-Muhtaj (2/168–169): “Keupayaan untuk berpuasa (yang dimaksudkan) termasuklah dari segi kemampuan fizikal, kesihatan dan bermukim (tidak dalam musafir) maka puasa tidak diwajibkan ke atas sesiapa yang tidak mampu secara fizikal atau secara syarie, seperti kerana tua, sakit yang tiada harapan sembuh, haid, atau seumpamanya, dan juga tidak diwajibkan ke atas orang yang sakit dan bermusafir.”
Oleh yang demikian, dalam situasi sebagaimana di atas, selagi mana kesukaran ini masih dalam tahap yang boleh ditanggung dan tidak melebihi kesukaran biasa yang lazim dalam pelaksanaan taklif syarak, serta dia tidak berada dalam keadaan sakit yang mana puasa itu memudaratkannya, maka tidak harus baginya untuk tidak berpuasa atau membatalkan puasa.
Dalam perkara tersebut, Dar al-Ifta‘ al-Misriyyah menyatakan bahawa: tidak dibenarkan bagi seseorang yang bekerja di tempat yang sistem kerjanya menghalangnya daripada berbuka puasa pada waktu maghrib untuk meninggalkan puasa pada bulan Ramadhan, selagi mana kerja tersebut tidak menyebabkan kepayahan yang berat dan tidak tertanggung. Ini kerana keadaan seperti itu bukanlah termasuk dalam sebab-sebab yang dibenarkan untuk berbuka. Dia masih boleh berbuka dengan beberapa biji tamar, air, atau selainnya, kemudian menangguhkan selebihnya sehingga waktu rehat seterusnya. Jika dia berbuka tanpa keuzuran yang sah, maka dia telah melakukan dosa besar, dan wajib ke atasnya menggantikan puasa dengan berpuasa satu hari bagi setiap hari yang ditinggalkan, serta bertaubat dan memohon keampunan.[1]
Berdasarkan perbincangan di atas, dapat dirumuskan bahawa seseorang tidak dibenarkan meninggalkan puasa Ramadhan hanya kerana sistem kerja tidak membenarkannya berbuka pada waktu maghrib, selagi mana kesukaran tersebut masih dalam batas yang boleh ditanggung dan tidak menjejaskan kesihatan secara serius. Keuzuran yang membolehkan seseorang tidak berpuasa mestilah benar-benar berat dan memudaratkan menurut syarak. Oleh itu, adalah wajar bagi pekerja yang berada dalam keadaan seperti ini untuk berbincang dengan pihak majikan agar diberi kelonggaran waktu berbuka, walaupun seketika, demi menunaikan kewajipan agama yang telah difardhukan.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”
Wallahua’lam
[1] Lihat https://www.dar-alifta.org/ar/fatwa/details/21758/حكم-إفطار-من-يَحُول-نظام-العمل-بينه-وبين-الإفطار-وقت-المغرب-في-رمضان Diakses pada 17 April 2025