Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, apakah tiga perkara yang mengiringi si mati setelah kematiannya ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
كُلُّ نَفۡس ذَآئِقَةُ ٱلۡمَوۡتِ
Maksudnya: “Tiap-tiap yang bernyawa pasti akan merasai mati.”
(Surah Ali ‘Imran: 185)
Al-Maraghi dalam tafsirnya menafsirkan bahawa bagi setiap yang bernyawa itu pasti akan mengalami saat perpisahan dengan jasadnya. Walaupun badannya mati, namun jiwa tidak akan mati. Hal ini kerana mampu merasakan sesuatu adalah yang hidup sedangkan bagi yang telah mati, tidak akan mampu merasakan sesuatu. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/861).
Begitu juga, Sayyid Qutub menafsirkan bahawa setiap yang hidup pasti akan meneguk air maut dan akan berpisah dari kehidupannya. Tiada ada beza di antara seseorang dengan yang lain dalam kepastian merasai air maut, malah yang berbeza diantara mereka adalah nasib dan kesudahan mereka selepas meninggalkan dunia ini. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 2/19).
Dalam menjawab bagi persoalan di atas, terdapat sebuah hadith yang mengisahkan bahawa apabila seorang telah dijemut ajal, maka terdapat tiga perkara yang akan mengiringinya dan satu daripadanya akan kekal bersamanya iatu sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik bahwa Rasulullah SAW bersabda:
يَتْبَعُ المَيِّتَ ثَلاثَةٌ، فَيَرْجِعُ اثْنانِ ويَبْقى معهُ واحِدٌ: يَتْبَعُهُ أهْلُهُ ومالُهُ وعَمَلُهُ، فَيَرْجِعُ أهْلُهُ ومالُهُ، ويَبْقى عَمَلُهُ.
Maksudnya: “Yang mengiringi jenazah ada tiga: keluarganya, hartanya dan amalannya. Lalu dua daripadanya akan kembali (meninggalkannya), dan satu akan tetap bersamanya. Keluarga dan hartanya akan kembali, manakala yang tinggal bersamanya ialah amalannya. ”
Riwayat al-Bukhari (6514) dan Muslim (2960)
Al-Tibi rahimahullah berkata: “Mengiringi jenazah oleh ahli keluarga berlaku secara hakiki (yakni benar-benar hadir), manakala pengiringan oleh harta berlaku dalam makna yang lebih luas; kerana pada ketika itu harta si mati berkait dengan keperluan pengebumiannya seperti persiapan, pengkafanan, kos mandi jenazah, pengusungan dan pengebumian. Setelah dia dikebumikan, maka terputuslah sepenuhnya kaitan hartanya dengannya.
Apa yang membawa maksud ‘amalannya’ — iaitu seperti solat dan lain-lainnya — maka dua yang pertama (keluarga dan harta) akan pulang sepertimana yang kita semua dapat saksikan realitinya, manakala yang tinggal bersamanya adalah amalannya, yakni yang akan memberi kesan balasan pahala atau azab. Oleh itu, telah dikatakan bahawa: “Kubur adalah peti simpanan amal. (Lihat Mirqah al-Mafatih Syarh Misykah al-Masabih, 8/3235)
Al-Dawudi berkata: Maksud “harta” ialah segala yang diletakkan bersama si mati seperti kerandanya, pakaian yang dipakai oleh ahli keluarganya, serta para pembantunya yang mengiringinya dari belakang.
Adapun maksud “dan yang tinggal bersamanya ialah amalannya” ialah: amalan itu akan masuk bersamanya ke dalam kubur. Jika dia seorang yang berbahagia, maka akan ditampilkan baginya satu rupa yang paling indah, yang akan menghiburkannya dan memberikan berita gembira kepadanya selama rohnya berada di dalam kubur, lalu dia akan berkata: “Siapakah engkau? Semoga Allah merahmatimu.” Maka ia menjawab: “Akulah amalanmu.” Dan jika dia seorang yang jahat, maka ditampilkan baginya rupa yang paling buruk, lalu dia akan berkata: “Siapakah engkau?” Maka ia menjawab: “Akulah amalanmu.” Ia akan menemani si mati itu sehinggalah dia dibangkitkan. (Lihat al-Taudih Li Syarh al-Jami‘ al-Sahih, 29/611)
Berdasarkan penjelasan hadith dan pandangan para ulama, dapat disimpulkan bahawa apabila seseorang meninggal dunia, terdapat tiga perkara yang mengiringinya iaitu keluarga harta dan amalannya. Namun, hanya amalannya yang akan kekal bersamanya di alam kubur, manakala keluarga dan hartanya akan kembali serta berpisah daripadanya. Ini menunjukkan bahawa amalan soleh merupakan bekalan sebenar yang menentukan nasib seseorang di alam barzakh dan akhirat kelak. Oleh itu, bagi mereka yang masih hidup, perlulah memperbanyakkan amal kebajikan dan sentiasa memperbaiki diri kerana itulah satu-satunya perkara yang akan menemani kita di saat semua yang lain meninggalkan kita. Firman Allah SWT:
وَأَن لَّيْسَ لِلْإِنسَانِ إِلَّا مَا سَعَىٰ (39) وَأَنَّ سَعْيَهُ سَوْفَ يُرَىٰ (40) ثُمَّ يُجْزَاهُ الْجَزَاءَ الْأَوْفَىٰ
Maksudnya: “Bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya. Dan bahawa sesungguhnya usahanya itu akan diperlihatkan (kepadanya pada hari akhirat kelak). Kemudian usahanya itu akan dibalas dengan balasan yang amat sempurna.”
(Surah al-Najm: 39-41)
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”
Wallahua’lam