← Semua Artikel

#8901: Wanita Meminta Keizinan Suaminya untuk Menggantikan Puasa yang Ditinggalkannya Pada Bulan Ramadhan

- bacaan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, saya telah meninggalkan beberapa hari puasa Ramadhan dan ingin menggantikannya pada bulan Syawal. Namun, apabila suami saya mengetahui perkara itu, beliau menolak dan meminta saya menangguhkan puasa tersebut ke bulan lain. Adakah dia berhak memaksa saya berbuat demikian? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Puasa qadha’ Ramadhan ialah puasa yang dilakukan untuk menggantikan puasa yang ditinggalkan pada bulan Ramadhan sama ada secara uzur ataupun dengan sengaja. Sesiapa yang tertinggal puasa Ramadhan disebabkan musafir atau sakit, dia wajib mengqadha’nya sebelum tiba bulan Ramadhan yang berikutnya.

Kewajiban mengqadha’ (mengganti) puasa Ramadhan yang tertinggal ini adalah berdasarkan firman Allah SWT:

فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ

Maksudnya: “Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain.”

(Surah al-Baqarah: 184)

Dalil di atas menunjukkan wajib menggantikan puasa bagi sesiapa yang meninggalkan puasa Ramadan disebabkan sakit atau musafir atau sebab-sebab yang lain.Sekiranya tidak menggantikannya sehingga tiba Ramadhan seterusnya maka ia berdosa dan perlu membayar fidyah (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/118).

Dalam menjawab bagi persoalan di atas, bagi puasa yang bersifat wajib, termasuk puasa qadha’ Ramadhan, seorang isteri tidak diwajibkan untuk mendapatkan keizinan suaminya yang tinggal bersamanya bagi melaksanakannya  sama ada waktu pelaksanaan qadha’ itu masih luas (sebelum masuk Ramadhan berikutnya) mahupun sempit (hampir kepada tempoh akhir). Ini kerana tanggungan tersebut masih terikat pada dirinya dan wajib diselesaikan.

Antara pandangan ulama dan badan berautoriti berkaitan isu ini kami senaraikan sebagaimana berikut:

  • Al-Tahawi al-Hanafi menyatakan bahawa: Adapun puasa fardh maka tidak bergantung kepada keredhaan suami; kerana meninggalkannya adalah satu maksiat, dan tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam perkara maksiat kepada Pencipta. (Lihat Hasyiah al-Tahawi ‘ala Maraqi al-Falah Syarh Nur al-Idah, hlm.641)
  • Al-‘Adawi al-Maliki berkata: Tidak wajib baginya (isteri) untuk meminta izin suaminya dalam menunaikan puasa qadha Ramadhan, sama ada suami itu seorang suami atau tuan (jika dia seorang hamba). Suami tidak berhak memaksanya untuk menangguhkan qadha puasa tersebut sehingga bulan Sya‘ban.” (Lihat Syarh al-Khirasyi li Mukhtasar al-Khalil, 2/265)
  • Syeikh al-Islam Zakariya al-Ansari dalam pandangannya menyebutkan: Sesungguhnya waktu qada’ (puasa) adalah lapang (boleh dilakukan dalam tempoh yang panjang), namun menjadi sempit apabila tiba bulan Syaaban. Dan hak suami dalam aspek pergaulan dan khidmat (daripada isteri) diutamakan berbanding hak-hak lain, selagimana ia bukan kewajipan yang terhad kepada waktu tertentu.” (Lihat Minhah al-Bari bi Syarh Sahih al-Bukhari, 4/394)
  • Dar al-Ifta’ al-Misriyyah menyebutkan: Maka tidak disyaratkan bagi seorang wanita untuk meminta izin suaminya yang hadir bersamanya bagi menunaikan qada puasa yang telah ditinggalkannya pada bulan Ramadhan. Bahkan, suami tidak berhak memaksa isterinya untuk menangguhkan qadha’ puasa tersebut sehingga waktu qadha’ itu menjadi sempit. Namun demikian, wanita hendaklah bijak mengatur antara pelbagai kewajipan kebajikan dalam memenuhi hak-hak yang berbeza, agar memperoleh ganjaran yang paling sempurna.[1]

Justeru, wanita hendaklah bijak dalam mengatur pelbagai bentuk amalan kebaikan dengan mengambil kira waktu pelaksanaannya. Keutamaan perlu diberikan kepada amalan yang waktunya telah sempit dan hampir luput, berbanding amalan lain yang masih mempunyai ruang masa yang luas untuk ditunaikan. Dalam masa yang sama, aspek keutamaan dan keseimbangan antara tanggungjawab kekeluargaan dan ibadah perlu diharmonikan, agar keharmonian rumahtangga dapat dikekalkan dan ketaatan kepada Allah SWT dapat direalisasikan secara menyeluruh dalam kehidupan seharian.

Sebagai kesimpulan, pelaksanaan qadha puasa Ramadhan adalah tanggungjawab yang wajib dipenuhi oleh setiap individu Muslim yang meninggalkannya, termasuk bagi wanita yang telah berkahwin. Oleh itu, suami tidak berhak menghalang isteri daripada menunaikannya, apatah lagi sekiranya dia berkemampuan dan ingin segera melunaskan hutangnya kepada Allah SWT. Namun begitu, dalam semangat hidup berkeluarga, adalah lebih utama sekiranya isteri dapat menyusun dengan bijak antara tuntutan ibadah dan keperluan rumah tangga. Pendekatan yang penuh hikmah, komunikasi yang baik, dan saling memahami antara suami isteri adalah kunci agar setiap kewajipan dapat dilaksanakan tanpa menjejaskan keharmonian rumahtangga.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ زَوَالِ نِعْمَتِكَ، وَتَحَوُّلِ عَافِيَتِكَ، وَفُجَاءَةِ نِقْمَتِكَ، وَجَمِيعِ سَخَطِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada hilangnya kenikmatan yang telah Engkau berikan, daripada berubahnya kesihatan yang telah Engkau anugerahkan, daripada seksa-Mu (bencana) yang datang secara tiba-tiba, dan daripada segala bentuk kemurkaan-Mu.”

Wallahua‘lam

[1] Lihat https://www.dar-alifta.org/ar/fatwa/details/20857/حكم-استئذان-المرأة-زوجها-في-قضاء-ما-أفطرته-من-صيام-رمضان Diakses pada 17 April 2025

Tetapan Bacaan