Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya bekerja sebagai seorang pereka animasi kartun dan saya ada satu soalan. Ada hadith yang mengatakan bila waktu maghrib, kena masuk rumah dan tutup pintu/tingkap sebab syaitan berkeliaran pada waktu ni. Kalau kita buat watak seorang budak, duduk merenung tengok langit maghrib tepi tingkap kaca yang bertutup, dan dia pun sudah berada di dalam rumah, adakah ia dibenarkan dan tidak menjadi masalah? Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Pertamanya, sunnah ketika malam tiba adalah mencegah anak-anak kecil — begitu juga haiwan ternakan seperti unta, kambing, dan lain-lain — dari keluar. Ini kerana pada waktu tersebut, syaitan-syaitan berkeliaran di bumi dan dikhuatiri syaitan-syaitan tersebut akan menyakiti dan memudaratkan mereka. Ini adalah sebagaimana riwayat daripada Jabir bin Abdullah R.Anhuma, katanya: Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا كَانَ جُنْحُ اللَّيْلِ، أَوْ أَمْسَيْتُمْ، فَكُفُّوا صِبْيَانَكُمْ، فَإِنَّ الشَّيَاطِينَ تَنْتَشِرُ حِينَئِذٍ، فَإِذَا ذَهَبَ سَاعَةٌ مِنَ اللَّيْلِ فَخَلُّوهُمْ، فَأَغْلِقُوا الأَبْوَابَ وَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ، فَإِنَّ الشَّيْطَانَ لاَ يَفْتَحُ بَابًا مُغْلَقًا، وَأَوْكُوا قِرَبَكُمْ وَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ، وَخَمِّرُوا آنِيَتَكُمْ وَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ، وَلَوْ أَنْ تَعْرُضُوا عَلَيْهَا شَيْئًا، وَأَطْفِئُوا مَصَابِيحَكُمْ
Maksudnya: “Apabila malam menjelang tiba (waktu senja) atau kalian berada pada waktu petang, maka tahanlah anak-anak kalian daripada keluar (dari rumah) kerana sesungguhnya syaitan berkeliaran pada waktu itu. Apabila telah berlalu sebahagian daripada waktu malam, maka lepaskanlah mereka (keluar, jika mahu), tutuplah segala pintu dan sebutlah nama Allah SWT. Sesungguhnya syaitan tidak (dapat) membuka pintu yang tertutup. Ikatlah kantung air kamu serta sebutlah nama Allah SWT. Tutuplah bekas-bekas kalian dan sebutlah nama Allah SWT, meskipun hanya dengan melintangkan sesuatu di atasnya, dan padamkanlah lampu-lampu kalian.”
Riwayat al-Bukhari (5623) dan Muslim (2012)
Lafaz “جُنْحُ اللَّيْلِ” bermaksud tibanya waktu malam selepas terbenamnya matahari iaitu merujuk kepada permulaan malam. (Lihat Fath al-Bari, 6/341).
Begitu juga dalam hadith lain, daripada riwayat Jabir bin Abdullah R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:
احْبِسُوا صِبْيَانَكُمْ حَتَّى تَذْهَبَ فَوْرَةُ الْعِشَاءِ؛ فَإِنَّهَا سَاعَةٌ تَخْتَرِقُ فِيهَا الشَّيَاطِينُ
Maksudnya: “Tahanlah anak-anak kamu (dari keluar rumah) hingga berlalunya permulaan Isyak, kerana saat itu adalah saat syaitan-syaitan menjadikannya sebagai jalan untuk mendapatkan atau memperolehi keinginannya.”
Riwayat Ahmad (14482)
Menurut al-San‘ani, hadith ini melarang melepaskan anak-anak pada permulaan waktu Isyak, kerana saat itu syaitan sedang berkeliaran dan berkemungkinan boleh mengganggu mereka. Selain itu, dalam hadith ini juga mengandungi dalil bahawa anak-anak boleh terkena gangguan daripada syaitan. Oleh yang demikian, jika berjaga-jaga (dengan tidak membenarkan mereka keluar pada waktu itu), mereka tidak akan terkena gangguan buruk daripada syaitan. (Lihat al-Tanwir Syarh al-Jami‘ al-Saghir, 1/404).
Dalam hadith lain daripada riwayat Jabir R.A, katanya: Rasulullah SAW bersabda:
لَا تُرْسِلُوا فَوَاشِيَكُمْ وَصِبْيَانَكُمْ إِذَا غَابَتْ الشَّمْسُ حَتَّى تَذْهَبَ فَحْمَةُ الْعِشَاءِ؛ فَإِنَّ الشَّيَاطِينَ تَنْبَعِثُ إِذَا غَابَتْ الشَّمْسُ حَتَّى تَذْهَبَ فَحْمَةُ الْعِشَاءِ
Maksudnya: “Jangan biarkan binatang ternakan dan anak-anakmu keluar berkeliaran ketika matahari terbenam sampai hilangnya cahaya senja. Hal ini kerana syaitan-syaitan keluar ketika matahari terbenam sampai hilang cahaya senja.”
Riwayat Muslim (2013)
Imam al-Nawawi menyebutkan, ahli lughah menyatakan bahawa lafaz “الْفَوَاشِي” dalam hadith di atas bermaksud setiap sesuatu yang berkeliaran yang terdiri daripada harta benda seperti unta, kambing dan seluruh haiwan ternakan serta selainnya. Ia merupakan kata jamak (plural) bagi perkataan fasyiah “فَاشِيَة” kerana ia merujuk kepada apa-apa yang bertebaran/berkeliaran di atas muka bumi. Manakala lafaz “فَحْمَةُ الْعِشَاءِ” pula bermaksud kegelapan malam dan kehitamannya. Namun, sebahagian ulama ada yang menafsirkan bahawa maksudnya di sini merujuk kepada menjelangnya waktu Isyak dan permulaan gelapnya. (Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim, 13/186).
Justeru, makna hadith ini adalah halangilah mereka dari keluar rumah pada waktu itu kerana malam merupakan tempat atau waktu berkeliarannya syaitan, dan pergerakan mereka pada awal atau permulaan penyebarannya (mula-mula berkeliaran) adalah amat bergelora. Maka dibimbangi anak-anak kecil akan terkesan dengan kejahatan syaitan kerana jumlahnya yang banyak pada waktu tersebut. (Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim, 13/185; Gharib al-Hadith oleh al-Khattabi, 1/448; al-Taisir bi Syarh al-Jami‘ al-Saghir, 1/83).
Keduanya, merujuk kepada lafaz hadith sebelum ini iaitu “…فَأَغْلِقُوا الأَبْوَابَ وَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ” (Tutuplah segala pintu dan sebutlah nama Allah SWT…) sebagaimana yang kami telah sebutkan di atas menunjukkan bahawa sunnahnya adalah menutup pintu dan menutup bekas-bekas pada waktu malam serta menyebut nama Allah dalam semua tindakan tersebut. Begitulah juga pada apa-apa yang mengambil makna pintu seperti tirai-tirai yang menutupi pintu atau tingkap dan seumpamanya. Ia mengambil hukum pintu, dari segi digalakkan (sunat) untuk menutup dan menguncinya pada waktu malam serta menyebut nama Allah ketika melakukannya.
Imam al-Nawawi menyatakan, hadith ini mengandungi sejumlah pelajaran dan adab yang merangkumi manfaat dan maslahah untuk dunia dan akhirat. Rasulullah SAW memerintahkan adab-adab ini sebagai sebab atau cara untuk mencapai keselamatan daripada gangguan syaitan. Allah ‘Azza wa Jalla menjadikan sebab-sebab ini sebagai cara untuk melindungi daripada gangguan syaitan, di mana ia tidak mampu untuk membuka tempayan, membuka pintu, atau menyakiti bayi dan lain-lain jika sebab-sebab ini wujud.
Hal ini adalah sebagaimana dinyatakan dalam hadith yang sahih, bahawa apabila seseorang hamba menyebut nama Allah ketika masuk ke dalam rumahnya, syaitan berkata: “Tidak ada tempat bermalam,” iaitu tidak ada kemampuan buat kami untuk bermalam di dalam rumah ini. Demikian juga, apabila seorang lelaki ketika hendak melakukan hubungan kelamin dengan isterinya, dia berdoa: “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada syaitan dan jauhkanlah syaitan daripada apa yang Engkau anugerahkan kepada kami,” — iaitu anak yang dilahirkan daripada hasil hubungan kelamin itu. Ini adalah sebab keselamatan bagi bayi yang dilahirkan daripada gangguan syaitan.
Selain itu, dalam hadith ini juga terdapatnya gesaan atau galakkan untuk menyebut nama Allah pada tempat-tempat tertentu dan begitu juga disandarkan kepadanya apa yang mengambil maknanya. Para ashab kami menyebutkan, digalakkan (sunat) untuk dimulai dengan menyebut nama Allah pada setiap perkara/urusan. (Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim, 13/185).
Kesimpulannya
Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa tidak menjadi masalah, jika seseorang pereka animasi membuat watak seorang budak duduk termenung melihat langit maghrib di tepi tingkap kaca yang bertutup dan berada di dalam rumah. Ini kerana ia sudah pun memenuhi perintah dalam hadith dan tidak menyalahinya, iaitu berada di dalam rumah serta menutup pintu dan tingkap ketika waktu maghrib. Manakala perbuatan watak budak tersebut yang melihat langit maghrib di tepi tingkap kaca yang bertutup dari dalam rumah, tidak diketahui terdapatnya dalil yang menyokong perbuatan tersebut mahupun larangan yang melarangnya. Jadi, ia kembali kepada hukum asalnya iaitu diharuskan, dan bertepatan dengan kaedah fiqh:
الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلُّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ
Maksudnya: “Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
نَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ
Maksudnya: “Kami berlindung dengan kalimah Allah yang sempurna daripada segala keburukan yang Dia ciptakan.”