← Semua Artikel

#4992: Yaman Dinamakan Yaman (اليَمَن) dan Syam (الشَّام) dinamakan Syam

- bacaan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Kenapakah Yaman dinamakan sebagai Yaman dan Syam dinamakan sebagai Syam? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, Nabi SAW pernah mendoakan buat Syam dan Yaman. Ini adalah sebagaimana riwayat daripada Ibn Umar, katanya: Nabi SAW menyebutkan:

اللهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي شَأْمِنَا، اللهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي يَمَنِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah keberkatan pada Syam kami, Ya Allah, berikanlah keberkatan pada Yaman kami.

Riwayat al-Bukhari (7094)

Di sana terdapat riwayat daripada Abu Hurairah R.A, beliau berkata: Aku mendengar daripada Rasulullah SAW, Baginda bersabda:

الفَخْرُ، وَالخُيَلاَءُ فِي الفَدَّادِينَ أَهْلِ الوَبَرِ، وَالسَّكِينَةُ فِي أَهْلِ الغَنَمِ، وَالإِيمَانُ يَمَانٍ، وَالحِكْمَةُ يَمَانِيَةٌ

Maksudnya: “Keangkuhan dan kesombongan merupakan perwatakan golongan Badwi yang tinggal dalam khemah-khemah, dan ketenangan itu pada orang (yang mengembala) kambing. Iman itu di Yaman dan hikmah itu juga di Yaman.[1]

Riwayat al-Bukhari (3499)

Seterusnya dalam menjawab soalan di atas, Abu ‘Abdillah (Imam al-Bukhari) menyebutkan selepas menukilkan hadith di atas dalam kitab sahihnya bahawa:

سُمِّيَتِ اليَمَنَ لِأَنَّهَا عَنْ يَمِينِ الكَعْبَةِ، وَالشَّأْمَ لِأَنَّهَا عَنْ يَسَارِ الكَعْبَةِ، وَالمَشْأَمَةُ المَيْسَرَةُ، وَاليَدُ اليُسْرَى الشُّؤْمَى، وَالجَانِبُ الأَيْسَرُ الأَشْأَمُ

Maksudnya: “_Dinamakan Yaman kerana ia terletak di bahagian kanan Kaabah, dan (dinamakan) Syam kerana ia terletak di bahagian kiri Kaabah. Dan perkataan “المَشْأَمَة_ُ” bermakna yang kiri, dan tangan kiri disebut “الشُّؤْمَى” Dan bahagian badan sebelah kiri disebut “الأَشْأَمُ”.” (Lihat Sahih al-Bukhari, 4/179)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَل وِلَايَتَنَا فِيْمَنْ خَافَكَ وَاتَّقَاكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِين

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah kuasa wilayah kami pada orang yang takut kepada-Mu dan bertakwa kepada-Mu, wahai Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.” (Lihat Nafahat al-Minbar al-Makki, 1/137)

Nota kaki:

[1] Dinisbahkan kepada penduduk Yaman kerana kuatnya iman penduduk Yaman.

Tetapan Bacaan