Bab 15: “Demonstrasi Aman” di SMAASZA

Budaya menyampaikan tazkirah semasa waktu rehat ataupun waktu ketiadaan guru, tetap diteruskan sehingga ke Tahun 4 Thanawi. Tabir yang memisahkan pelajar lelaki dan perempuan akan ditarik sebelum memulakan tazkirah. Tidak sayugia pelajar lelaki memandang pelajar wanita, begitu juga sebaliknya. Perbincangan antara pelajar berlainan jantina juga berlaku di balik tabir. Mustahil untuk melihat pelajar lelaki dan perempuan berbual secara berhadapan tanpa tabir, apatah lagi berdua-duan. Bagi pelajar Thanawi SMAASZA, itu satu kesalahan besar!

Dalam kalangan pelajar senior SMAASZA, Zul adalah antara antara pemidato yang terkenal. Gayanya yang mengajuk Tuan Guru Haji Abdul Hadi berceramah, memang mengagumkan warga SMAASZA. Setiap patah perkataan, lenggok bahasa dan gaya badan Tuan Guru diikutnya. Soyok tepek[1] serupa dengan Tuan Guru Haji Abdul Hadi. Baik pidato Bahasa Melayu atau Bahasa Arab, Zul adalah antara yang terkehadapan. Ditambah pula dengan keputusan akademik yang sentiasa cemerlang dan adab yang tinggi, Zul memang disenangi para guru.

“Zul, Zul nok jadi ndape besor nanti?”, tanya Haji Leman, ayah Wan Shohor pada satu hari. Ketika itu, Zul singgah ke rumah Wan Shohor bagi menyelesaikan beberapa kerja sekolah. Hubungan Zul dengan Haji Leman memang rapat. Beliau sejak dahulu lagi pandai mengambil hati orang tua-tua, tahu apa yang hendak dibualkan bila bertemu.

Zul tersenyum memandang Haji Leman, menggenggam kedua tangannya dan berkata, “…nok gegorkan Malaysia!”

“Allahu akbar…!!!”, terpacul kalimah membesarkan Allah SWT daripada lisan Haji Leman. Terkejut dan bangga dengan respon anak muda di hadapannya ini. Zaman awal remaja, memang bergelora semangatnya. Itulah fitrah pemuda. Firman Allah SWT,

إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى

Maksudnya: “Sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk.”[2]

Jika dirujuk Mukhtar al-Siḥḥaḥ, kalimah fityat (فِتْيَةٌ) adalah daripada kata dasar kalimah fa ta ya (ف ت ي) ataupun pluralnya adalah fityān (فِتْيَانٌ). Al-fatā (الْفَتَى) itu sinonimnya al-shabb atau pemuda.

Imam Al-Qurtubi, seorang tokoh mufassir yang terkenal ketika mengulas istilah kepemudaan (الْفُتُوَّةُ) menukilkan definisi oleh al-Junayd dengan memaknakan ia sebagai sikap melakukan kebaikan kepada orang lain (bazl al-nada), tidak menyusahkan orang lain (kaff al-aza) dan meninggalkan rungutan terhadap orang lain (tark al-shakwa). Dikatakan juga makna al-futuwwah adalah menghindari perkara yang haram dan bersegera dalam hal kebaikan.[3]

Rasulullah SAW pernah mengangkat ‘Attab bin Usaid menjadi pemimpin kota Makkah pada usianya baru mencecah 17 tahun. ‘Usamah bin Zaid dijadikan ketua pasukan ke Syam pada usia 20 tahun walaupun ada yang lebih dewasa dan berpengalaman daripadanya. Abu Bakr al-Siddiq sendiri memilih Zaid bin Thabit untuk mengetuai projek pembukuan al-Qur’ān walaupun Zaid hanya berusia 22 tahun. Begitulah betapa Islam amat menghargai pemuda dan semangat kepemudaan.

Lebih indah, jika semangat itu dipadukan dengan hikmah mereka yang lebih berusia. Kelebihan “orang tua”, mereka kaya dengan pengalaman. Dengan pengalaman yang luas, kebiasaannya firasat mereka tepat atau hampir kepada ketepatan. Hasil pemikiran orang tua biasanya lebih dihargai kerana pertimbangannya yang lebih matang berbanding orang muda yang sesekali tergelincir dek emosi dan amarah.

*********************

“Zul, enta ade cadangang dop? Cikgu English kite tu, ana rase kite segheme napok auratnye dop sempurne. Ape kaedoh hok molek sekali untuk kite tegur? Wojik tegur tu. Dose kalu kite diam!”, tanya Zaini. Beberapa orang sahabat juga mengiyakan apa yang Zaini utarakan.

“Betul. Ana ada se idea. Kite kene ppakat segheme pelajor lelaki. Tunduk palle mase cikgu tu mengajor. Itu tande protes kite pade tindokkang die hok dop tutup aurat.”, pesan Zul selaku ketua bagi “demonstrasi” aman tersebut, merangkap Ketua Pengawas SMAASZA.

“Hi students, good morning!”, Guru Bahasa Inggeris masuk ke kelas dengan penuh ceria sebagaimana hari-hari sebelumnya. “Bangun semua. Assalamualaikum teacher.”, bergema suara pelajar Tahun 4 Thanawi memberi salam kepada guru mereka. Pelajar lelaki bangun dan menunduk.

Beliau agak hairan melihat reaksi para pelajar lelaki yang agak lain dari kebiasaan. Pagi tu semasa kelas Bahasa Inggeris, semua pelajar lelaki menunduk kepala.

“Zul, can you answer what type of sentence is this? Is it simple present, simple past or simple future tense?”, tanya Guru Bahasa Inggerisnya dengan tersenyum sambil menujukkan ke papan hitam. Zul mengangkat kepalanya untuk melihat ayat yang ditulis di papan hitam dan kembali menunduk. “They will be here in two hours. This sentence is a simple future tense, teacher.”, jawabnya dengan mata terpaku ke meja.

Mereka tetap fokus dengan apa yang diajar, menjawab setiap persoalan cikgu namun kepala mereka tetap tunduk memandang meja. Pelajar perempuan terpinga-pinga kehairanan. Muka guru tersebut tiba-tiba berubah. Bergenang air matanya yang cuba ditahan. Beliau meletakkan kapur di atas meja dan mengambil beg tangannya.

“I am very sorry. I can’t handle this. Saye tahu, saye dop juruh macam awok-awok segheme!”, terdengar suaranya bergetar menahan sebak, lantas keluar daripada kelas.

Tindakan Zul dan saing-saing, membuatkan guru berkenaan amat sedih. Hal tersebut sampai ke pengetahuan Mudir SMAASZA, Ustaz Nik Wan. Zul selaku ketua “demontrasi aman” tersebut dipanggil ke Bilik Pengetua. “Ni…enta ikut ana!”, Zul berbisik kepada sahabatnya, Zaini. Sebelum ini, beliau sudah dipanggil kerana menghadiri ceramah PAS yang disampaikan Ustaz Mahmud Libya, adik almarhum Ustaz Ibrahim Libya. Kali ini dipanggil sekali lagi kerana melalukan “boikot” kepada Guru Bahasa Inggeris yang tidak menutup aurat dengan sempurna. Alah bisa, tegal biasa!

“Zul, Zaini. Ana nok nasihat sikit. Dakwah dalam Islam ni, luas. Tidok hanye bersifat tegas dan keras. Adekalenye, kite sampaikan secare beransur-ansur. Koho lame, koho beruboh. Itu lebih baik dari kite beri penegasang dengan dalil, tapi mad’u[4] kite makin jauh dari agame. Ye, memang tutup aurat dok sempurne tu satu kesalahan. Tapi jike tindokkang itu menjauhkan die dari Islam, itu jugok kesalahan. Kite yang rugi. Enta dua orang ambik mase, rujuk hadith-hadith bagaimane Nabi kite menegur kesalahan. Bukan se care, amat banyok. Bergantung kepade mad’u. Ade hok tersurat, ade hok tersirat. Ada hok lembut, ade hok keras.”. Ustaz Nik Wan menghela nafas dan membetulkan songkoknya.

Beliau menyambung, “Menjage adab ketike dalam majlis dengan guru itu penting. Ahmad bin Sinan menyebutkang majlis Abd al-Rahman bin Mahdi, guru Imam Ahmad, ni, tak dop pung hok bercakak, berdiri, asoh kalam[5], senyum pung tak dop.”[6] Ana bangga antum segheme ade kesedorang dakwah yang tinggi. Tapi kene buat dengan beradab. Jangan benci guru,  memaki guru, menyakiti guru, tidok menyakiti hatinye, tidak meninggikang suare dengan guru, tidok bermasam muke dengan guru dan tidok menghine guru.”

Nasihat yang lembut, tegas dan membekas bagai air dingin yang diteguk saat tekak kehausan. Itulah hikmah ayahanda Ustaz Nik Wan, Mudir yang dikasihi. Tegur kerana prihatin, marah kerana sayang. Seperti kata-katanya sebelum ini di hadapan paru guru, “Kalu ade hok lebih daripada ana satu hari nanti, Zulkifli lah orangnye…”, begitulah besar harapannya kepada Zul.

Haritu itu juga, Zul dan semua pelajar lelaki dalam kelasnya bertemu Guru Bahasa Inggeris berkenaan dan memohon maaf. Beliau sedar, apa-apa yang berlaku, adab sebagai seorang murid wajib didahulukan.

Imam Nawawi pernah menjelaskan: “Seorang murid hendaklah melihat gurunya dengan pandangan penghormatan. Hendaklah dia meyakini keahlian gurunya berbanding yang lain. Kerana perkara itu akan menjadikan seorang murid dapat mengambil banyak manfaat darinya, dan lebih dapat memberi kesan dalam hati terhadap apa yang dia dengar dari gurunya tersebut.”[7]

____________________

[1] Betul-betul menyamai

[2] Surah al-Kahfi: 13

[3] Al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 10/364

[4] Orang yang didakwah

[5] Pena

[6] Siyar A’lam al-Nubala’, 17/161

[7] Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 1/84)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *