Bab 2: Bukan Lagi Yang Dulu

Awal-awal pagi Hajah Ramlah sudah berada di dapur menyiapkan sarapan untuk anak-anaknya. Kebiasaannya Nasi Goreng, Mi Goreng atau adakalanya Nasi Keboli dan Nasi Minyak. “Mi, Fauziah, Zul, Ayub, Yah, Azhar, Akim, Alang, Mubin, dah siap. Maghi makan panah-panah ning…”, panggil Hajah Ramlah dengan lembut. Wallie yang masih bertatih, mencapai kepok di dalam pinggan. Ustaz Mad yang bekerja sebagai Guru Pelawat Agama awal-awal pagi sudah ke pejabat menaiki motosikal.

Zul pula seperti kelazimannya setiap pagi, sudah bangun lengkap berpakaian sukan. Sekolahnya bermula pada sebelah petang. Jadi, selepas sarapan beliau suka berjoging. Adakalanya ditemani adiknya, Khairul atau kawan-kawan sekampungnya seperti Mazlan, Dillah, Fatah, dan Wan Omar.

Berbaju biru di sebelah kanan saya, Marzuki. Kini jutawan. Arif Sulong di sebelah kiri saya.

“Doh bakpe mung aku tengok hari-hari tubik[1] jogging pah[2] kappung seberang, lalu atah retok[3] pah pusing balik. Mung dop puah sang[4] ke?”, tanya Zaidi Deraman, ketua kelas yang juga digelar “budok bijop” dek seringkali mendapat tempat pertama dalam ujian. Zul yang ketika itu sedang leka membuat latihan yang diberikan Cikgu Aziz, meletakkan penselnya dan memandang Zaidi.

“Aku minat sukan. Aku target nok jadi johan merentas dese taun depang. Kene la training dari sekarang. Bukan macam mung. Pah ceroh dengan buku…hahaha.”, usik Zul. Zaidi mencebik mukanya. “Huh. Sedak mung nyenyeh[5] aku.”, kata Zaidi lalu kembali membuka bukunya.

Dillah (Abdillah) dan keluarga.

Bakat Zul dalam sukan merentas desa, badminton dan takraw mula berkembang sejak sekolah rendah. Cuma berbeza dengan sikapnya yang kabat ngate ghawe[6] semasa kecil, ia beransur-ansur hilang sehinggalah Darjah 6. Arif Sulong, Fauzi Yusoh dan beberapa rakan sesekolah lain perasan akan perubahan sahabat mereka ini.

Pernah sekali Fauzi bertanya kepada Zul, “Zul. Mung ade masaloh ke? Dulu aku tengok mung lain. Lening lain. Satu bende tok beruboh, mung ni pendiam dari dulu. Kalu ade masaloh, kkabor ah. Sep kite ade. Memang geng lain kkapung, tapi kite sekelah.”

“Ataupung mung jeles dengan Chopper aku? Hahaha. Aku tengok mung sokmo peghati Chopper aku atah bowoh.”, Arif tiba-tiba menyampuk. Arif memang sohor dalam kalangan murid SK Rengas Bekah kerana beliaulah satu-satunya murid yang ada basikal Chopper model Raleigh Tomahawk MK1; basikal yang terkenal sekitar 70-an dan dipanggil juga “basikal unta”. Kalau boleh gohek[7] Chopper ke sekolah, itu sudah satu kebanggaan besar kanak-kanak seusia mereka pada ketika itu.

Dr. Fauzi Yusoh, berbaju coklat muda. Kini Pensyarah UniSZA

Zul menarik nafas panjang dan cuba mengubah topik perbualan. “Mung wase kite besor nanti jadi ape?”. Beliau merenung Fauzi dan Arif dengan renungan yang dalam. Soalan dan reaksi yang berbeza daripada kebiasaannya. Seakan lebih matang. Lebih matang daripada umurnya yang baru mencecah 12 tahun.

Suasana sunyi. Cuma bunyi jam dinding kelas mereka yang berdetik. “Zi? Mung nak jadi ape? Pensyarah KUSZA ke? Aku tengok mung panda gok”, Zul mula bertanya. Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) baru ditubuhkan beberapa tahun dan beroperasi di Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin (SMAASZA) yang terletak di Batu Burok, Kuala Terengganu.

“Aku dop aa’uu ah nok jadi ape. Tapi aku peghati mung ning Zul, bulih jadi Menteghi. Bojeng semak paka Tanco, mminyok sokmo. Hari-hari paka perfume wangi mekok[8]. Pendek kate, semak jettak.”, Fauzi memberi pandangan dan disambut hilai tawa Arif.

Disapa Cikgu Wan Abdul Aziz (Cikgu Aziz) selepas kuliah Subuh pada 2019

“Doh guaner mung ning? Aku tanye molek-molek. Nyekik[9] aku. Bukang ape…Kadang-kadang aku mmikir jugok. Hidup kite ning, dop bulih selese ngat. Kene ade cabarang. Baru ade kemajuang dalam hidup. Aku wase nok belajor ssungguh ah pahni. Paling kurang, bangge jugop cikgu-cikgu kite tu. Cikgu Hasnah, Cikgu Mang, Cikgu Loh, Cikgu Yamin, Cikgu Yusof, Ustak Talib, Ustak Umar. Ha, Cikgu Goh, sorang lagi. Tak sie-sie cikgu kite bleber[10] hari-hari kalu die tau jjujuk anok murid die berjaye.” Zul tersenyum melihat kawan-kawannya yang berkerut kening, cuba menghadam setiap patah perkataannya.

Arif menyambut, “Itulah Zi. Aku pung wase Zul lening memang lain, ekpung. Aku tau mung jenih target tinggi-tinggi, Zul. Mung usehe sapa bulih, dop kire lah jadi ndape pung. Tapi kali ning aku wase macam dengor ustak ceramoh pulok. Hahaha…”, sempat lagi Arif bergurau.

“Haha…Berat mung ni. Mung jangang nok gura bewok[11] dengang aku.”, Zul tertawa dengan keletah Arif yang tak habis-habis mengusiknya.

**********

“Ayoh, ayoh nok ajok Zul gi mane?”. Zul menarik-narik baju Ustaz Mad penuh keterujaan apabila dikhabarkan Ustaz Mad akan membawanya bersama ke satu tempat. Begitulah anak kecil. Boleh derak naik motosikal walaupun pusing kampung, sudah cukup menggembirakan. Kadang-kadang Zul terlena di belakang ayahnya. Ngatuk mate[12]. Angin menderu memukul-mukul muka. Memang terbuai-buai rasanya.

“Zul ikut je ayoh. Kite nok gi dengar ceramoh.”, jawab Ustaz Mad sambil menyarungkan Baju Melayu putih, seluar hitam dan songkok yang agak lusuh kepada anaknya. Ustaz Mad segak berbaju kemeja, berkain pelikat dengan lebai putih sebagaimana lazimnya. Selepas solat Maghrib berjemaah, mereka bertolak. Honda Cub C70 dengan nombor plat TA6139 memecut laju meninggalkan Kampung Kubang Kekura.

Sekitar 15 minit perjalanan, mereka sampai ke tapak ceramah. Nampaknya ramai yang hadir ke Balai Raya Kampung Paya Bunga, Kuala Terengganu. Semacam ada pasar malam ketika itu. Ada yang menjual makanan dan minuman, ada yang menjual pakaian, ada juga yang menjual kaset-kaset ceramah. Di hujung sana ada gerai buah. Ada woh ketela[13], woh seto[14], woh lasat[15]. Anak-anak kecil saling brambak[16], seronok bermain. Kelihatannya ceramah yang bertempat di Balai Raya Kampung Paya Bunga baru bermula.

“Ayoh, ayoh. Sape hok ceramoh tu? Zul dop napok.” katanya selepas cuba melompat-lompat untuk melihat siapakah gerangan penceramah pada malam itu. Zul cuma berumur 6 tahun. Rendah jika hendak dibandingkan dengan majoriti orang dewasa yang jauh lebih tinggi. Ustaz Mad bingkas mengangkat dan mendudukkan Zul di bahunya.

“Hah, Zul napok dok sape hok ceramoh tu? Kenal ork?” uji Ustaz Mad sambil tersengih.

Zul mengerutkan dahi. Mata bundarnya itu dibuka seluas-luasnya kemudian dikecil-kecilkan. Beliau menggeleng.

“Dop kenal. Zul dop rajin juppe lagi di balasoh[17], keda kopi. Sape pokcik hok duk ccacang[18] tu? Paka spek, sokok hitang, janggut sejeput putih, kot warne hija, pegang tokat…” Zul memerikan penceramah yang sedang dilihatnya. Beliau seakan cuba untuk mengingat-ingat wajah ini namun tidak berjaya.

“Itula Buya HAMKA. Ulamok dari Indonesia. Die singgoh Paye Bunge ning. Ayoh suke die ning. Die baru dapat anugeroh doktor kehormat UKM. Dalang spuloh taung dulu, die dapat anugeroh jugok dari Universiti al-Azhar, Mesir. Zul ingat dop kitab hok jjujuk[19] di rumoh kite tu? Tu tafsir hok Buya HAMKA tulis la.”, Ustaz Mad bersemangat bercerita kepada anaknya tentang sosok penceramah di hadapan mereka itu.

Zulkifli mula memasang telinga.

“Saudara, saudara pendengar yang terhormat,

Kita sudah mati dikandung tapi tapi masih hidup. Ada orang berumur sampai seratus tahun misalnya. Lebih sedikit tidak pula banyaknya lebih itu. Belum saya dengar berita di dunia ada orang yang berumur sampai dua ratus tahun. Tidak. Paling banyak ya, seratus dua puluh, seratus tiga puluh tahun. Itu pun sudah lemah. Dalam umur yang sekian pendeknya kita lalui di dunia, misalnya tujuh puluh tahun, dia bisa kita panjangkan.

Dengan apa! Dengan sebutan, dengan bekas tangan, dengan iman dan amal soleh. Sesuai dengan apa yang disebut dalam pantun Melayu:

Pulan pandan jauh ditengah,

Dibalik pulau angsa dua,

Hancur badan dikandung tanah,

Budi yang baik terkenang jua.

Ada juga satu syair dari Syauqi seorang penyair Arab Mesir yang terkenal mengatakan:

فارفع لنفسك بعد موتك ذكرها

فالذكر للإنسان عمر ثاني

 “Sebelum engkau mati, peliharalah sebutan dirimu yang akan dikenang orang daripada dirimu, karena kenangan atas ketika hidup yang dulu itu adalah umur yang kedua kali bagi manusia”.

Banyak orang yang setelah dimasukan ke dalam kubur, masuk sudah ditimbun kubur tadi, orang pun pulang ke rumah, sebutan orang tadi keluar dari kuburnya tiap hari dia keluar, setahun, dua tahun, sepuluh tahun, seratus tahun, malah ada yang beribu tahun. Nabi kita Muhammad SAW umurnya cuma enam puluh empat tahun. Tapi beliau sampai sekarang sudah seribu empat ratus tahun. Masih seperti kelmarin saja hidup beliau, menjadi sebutan orang siang dan malam. Inilah maksud yang dikatakan orang, ‘Sesudah mati dia hidup kembali’. Lebih panjang umurnya enam puluh empat tahun dibandingkan dengan seribu empat ratus tahun. Dan selama azan masih kedengaran di puncak menara, entah ratusan ribuan lagi, itu nama akan tetap hidup. Nah! Ini yang kita syukuri kepada Tuhan. Hidup ini hanya sekali, justeru biarlah bererti…”

Zul tersentak dari lamunan bila Zaidi mencuitnya. “Zul! Jauh mung menung. Pinjang due amah. Nok beli buku. Skeleng aku dop cukup”, kata Zaidi dengan tangan kanannya siap dihulurkan. Itulah Zaidi si budok bijop. Murid harapan Sekolah Kebangsaan Rengas Bekah. Ke sana-sini dengan buku.

Zul meraba-rapa poket kecilnya, mengeluarkan dua keping 50 sen dan meletakkan di tapak tangan Zaidi. Tanpa menghiraukan Zaidi, Zul kembali melayan lamunannya tadi. Mengimbau pengalamannya pergi bersama-sama ayahnya ke ceramah Buya HAMKA di Kampung Paya Bunga sekitar lima tahun lalu. Kata-kata HAMKA itu amat menusuk jauh ke dalam sanubarinya.

“Hidup ini hanya sekali, justeru biarlah bererti…”

**********

“Lepas tu, ape yang jadi kat Zul, Tok Aki?”, tanya Sarah seakan tidak sabar untuk mengetahui kisah selanjutnya.

“Cokko![20] Dop rok atuk nok cite non-stop ning.” Kata Tok Aki menghela sedikit nafas sebelum menyambung. “Lepah tu takdop ndape pung jadi ke Zul. Cume lepah Penilaiang Darjoh Lime, die antare hok buleh keputusang molek. Alhamdulillah, dapat masuk Skoloh SMASZA Ladang.”

____________________

[1] Keluar

[2] Sehingga

[3] Atas titi

[4] Bosan

[5] Mengejek

[6] Hiperaktif, tidak duduk diam

[7] Kayu basikal

[8] Semerbak

[9] Menyampah

[10] Membebel

[11] Bergurau dengan kasar

[12] Mengantuk

[13] Buah betik

[14] Buah manggis

[15] Buah langsat

[16] Berkejar-kejaran

[17] surau

[18] Berdiri terpacak

[19] Bersusun

[20] Berhenti sekejap

70 thoughts on “Bab 2: Bukan Lagi Yang Dulu

  1. Najmiyah Shahabudin says:

    Assalaamu’alaikum Datuk.Suka sangat saya baca coretan Datuk😍😍Bahagian bahase Tranung tu kene baca banyak kali sbb kurang faham🤔🤔

  2. MamaUmeir says:

    Lucu dengan penulisan doktor, “gurau bewok” ulang kali baca, ulang kali gelok. Org kampung dulu2 sebut doh gurau bewok ya🥰

  3. Ummi nadiah binti zamani says:

    Dr fauzi salah seorang pensyarah saya, ajar fiqh di kusza tahun 2004..cara percakapan dia lembut macam Dato’ juga

  4. Eda Taufiq says:

    Allahu .. lama ngat dop dengor ..”semak jettak😂..” .. bila doh lamo dop cakap ganu.. bila dengor skali skala.. saya trus ketawa sorg2.. Datuk Dr..👍🏻

  5. Anisah says:

    Memang seronok .jalan cerita yg santai. Saya ramai kawan org Ganu , jadi pahang lah jugok Datuk 😅 wpun saya org penang .
    Teruskan menulis cerita2 sebegini..Tkasih Datuk

  6. LATIFAH says:

    Sy suka penulisan datuk….Tak sabar utk baca seterusnya. Hebat kluarga datuk. Doakn anak2 sy mnjadi ank2 soleh solehah

  7. Cikda N Cikdin says:

    Mujur lah ambe kawing dgn org ganu…boleh faham tanpa tgk nota kaki…hehehe terbaik…xsabar tunggu kisah seterusnya…

  8. IsmiIsha says:

    Sokeyyy dato’. saya belajar loghat baru ni. Jenuh scroll bawah tgk makna hahahahah. Such down memory lane walaupun saya bukan budak kampung. Teringat kenangan dengan rakan2 sekolah rendah dan masih kukuh silaturrahim hingga skrg ❤️. Alhamdulillah

  9. Rodziah says:

    Saya orang utara, suami orang pantai timur..insyaAllah saya faham..adalah satu dua saya tak faham, tak pe kamus ada (tanya suami)..😆😆😅😅

  10. Suhana bt. Abd. Jalil says:

    Terasa teruja…
    Terasa sayu..
    Terbit suatu perasaan yg mendalam apabila Datuk memberi gambaran suasana ketika dn waktu itu..
    Suatu senario/suasana yg amat santai dn spontan..seolah2 saya “berada bersama”…
    Dialog yg bkn monotone…
    Saya terus setia hingga ke penghujungnya..
    In shaa Allah…

  11. Zaida says:

    Syoknya baca. Tak sabar nak tunggu cerita selanjutnya. Senyum sorang2..hahaha. Zaman kanak2 penuh warna warni. Rinduu

  12. Rumaina Hadjiri says:

    Biasanya x reti sngat nak eja loghat terengganu bila berhubung dgn rakan-rakan sepengajian. Tapi bila baca cerita Datuk Dr. ni banyak benda belajar. Seronok baca. Penyampaian yang santai tapi sampai.

  13. Noor'Aishah bt Abdul Karim says:

    Alhamdulillah.
    Dah ada penambahbaikan…ada maksud perkataan dlm bahawa daerah tu…
    Sy seronok baca kisah Dato Dr…terutama dlm bhs daerah Trengganu…
    Teruskan…Terbaik.

  14. Selasiah binti Ahmad says:

    Saya suka baca tulisan dato’ Zul dan berharap dapat faham dialek ganu ni. Terima kasih. Alhamdulillah

  15. Zulhana says:

    Alhamdulillah. Datuk dapat sambung bab 2. Kat tempat saya ngajar sekarang ada sorang kawan Datuk..Ust Wan Mohd Yusri bin Wan Abu Bakar.

  16. Eda Taufiq says:

    Allahu, teringat samah / due amah dulu kalu mok saya bui rasa bayok nye.. macang 10 riyal … kenangan zamang skoloh rendoh ..

  17. Filzatun says:

    Alhamdulillah. Gaya bahasa yang indah walau ada loghat ganu kite. ..seolah-olah kita berada pada situasi penceritaan tersebut….dapat membayangkan suasana itu….teruskan YBhg DS….tak sabar nak follow cerita selanjutnya..

    • Elly says:

      saya org ganu .bila baca bahasa ganu seronok plok . Xsabo nok baca sambungan ceta dia..tahniah Dato Dr penulisan dlm bahasa yg indah

  18. Rahsenani bt Sulonh says:

    Sedak arr cara Dato tulis…baca cite tu rasa mcm tengoh dgr Dato bercite depang kita. Dok sabo nk dengar cite org ganu kita ni..

  19. Akmar says:

    Beh bace ustaz..bila baca kisoh ustaz terus terkenang sama zaman dlu arwoh ayoh ngajor anok2,terutama bila mengaji..zass bunyi rotang..best penulisan ustaz membuatkn kita kembali ke zaman dulu

  20. Hapsah mohamed says:

    Alhamdullillah saya seronok mrmbaca nukilan Datuk nih mcm ada sama2 diketika itu… saya orang Johor tak faham ganu tspi bila ikut loghat tu mcm best sangat2… terima kasih Datuk Dr Zul

  21. Asmadi bin Mohamad says:

    nok nangis rasa…teringat zamang kecik…rasa nok kembali zaman dulu di kapung..terima kasih Tuan Guru kerana mengingatkan kami kembali kpd zaman dulu..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *