Ma’assalamah Bumi Madinah

“Syeikh Soleh, saya akan pulang ke Malaysia. Alhamdulillah, saya telah tamat pengajian di Universiti Islam Madinah.” Zul menyapa seorang tua memakai misylah dan berjubah kuning yang sedang asyik berzikir. Syeikh Soleh adalah “rakan sepengajian” Zul bersama-sama Syeikh Muhammad ‘Ali Thani di Masjid Nabawi. Orangnya kurus dan kecil, suka membaca al-Qur’an. Kebiasaannya khatam al-Qur’an sekali dalam tempoh beberapa hari.

Zul selalu memperhatikan Syeikh Soleh. Perwatakannya sedikit pelik namun Zul suka mendekatinya. Beliau akan memberikan naskhah al-Qur’an kepada sesiapa sahaja di Masjid Nabawi dan akan memperdengarkan bacaannya dengan kuat. Beliau tidak menghiraukan keadaan sekeliling. Apa yang pasti, bacaannya baik dan amat jarang beliau lupa atau tersalah. Acapkali Zul melihatnya menangis selepas solat.

Rezeki Syeikh sentiasa murah. Ada sahaja yang menghulurkan seriyal dua bahkan lebih, setiap hari. Pernah satu ketika, Zul menghulurkan sekeping not SAR5 kepada beliau. Beliau tersenyum, menolak dengan baik dan berkata, “Aku tidak ambil duit daripada kamu. Zulkifli, kita sama-sama belajar.” Setiap kali musim peperiksaan menjelang, Zul akan meminta doa daripada beliau. Lantas tangannya diangkat dan beliau berdoa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

“Errr…tapi Syeikh. Saya nak minta doa lulus peperiksaan.”, Zul mencelah.

Syeikh tersenyum memandangnya dan berkata, “Aku sudah doakan kamu dengan sebaik-baik doa. Apa lagi yang kamu mahu melainkan kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat?”

Masih segar di ingatan, Zul bertemu dengan Syeikh Soleh dan memaklumkan hasratnya untuk menunaikan umrah di Mekah. Syeikh meraba-raba poket jubahnya dan mengeluarkan segulung wang kertas. Lantas diberinya kepada Zul tanpa berfikir panjang. Tercengang seketika Zul apabila menerimanya. “Setahu aku, die ni dop lah kaye pung. Hidup pung dengang sedekoh orang.”, Zul berbisik keseorangan. Apabila dikira, jumlahnya adalah SAR195. Wang itu cukup untuk tambang pergi dan balik serta makan. Sampai semula di Madinah, Zul menyeluk tangan ke dalam poketnya. Masih berbaki SAR5. Mungkin itulah namanya keberkatan.

Menyedari kehadiran Zul dan hasrat Zul yang disampaikan, Syeikh Soleh berpaling kepadanya dan mengeluarkan sekeping gambar. Gambar Syeikh dalam warna hitam putih. “Ambillah untuk kenangan bila kamu pulang nanti. Jangan lupa sentiasa doakan aku di sini.”, katanya ringkas.

*******************

Sambil menghitung hari untuk pulang ke Malaysia, Zul dan Zaini merenung Bukit Uhud. “Ape kabor saing kite, Shohor Bani di Bosnia sane? Harapnye sihat, selamat…”, Zaini menyeka air matanya yang terbit tiba-tiba. Zul sejak awal lagi masih mengelamun keseorangan melihat Bukit Uhud. Mulianya Bukit Uhud yang mempunyai sejarah tragis peperangan pada zaman Nabi SAW. Di situlah bersemadinya bapa saudara Nabi SAW, penghulu para syuhada iaitu Hamzah bin ‘Abd al-Muttalib dan para sahabat radhiallahu ‘anhum.

Fikiran Zul melayang pula ke Khandaq dengan Masjid Tujuh yang menjadi tempat laluan pulang dari Masjid Nabawi atau dari Kota Madinah. “Ni…ana rase macam terngiang-ngiang ape hok para sahabat dengang Rasulullah SAW ucap rama-rama mase gali parit:

اللَّهُمَّ لَا عَيْشَ إِلَّا عَيْشُ الْآخِرَهْ. فَاغْفِرْ لِلْأَنْصَارِ وَالْمُهَاجِرَهْ

“Ya Allah! Tiada kehidupan kecuali kehidupan akhirat, Ampunilah kaum Ansar dan Muhajirah.” [1]

“Kalu ana ada rezeki kelik ke Madinah, tempat pertame ana nok gi, Masjid Quba’. Zul bersuara. Ibn Kathir ketika mentafsirkan Surah al-Taubah ayat 105 berkata bahawa menerusi ayat ini, terdapat perintah untuk solat di Masjid Quba’ yang dibangunkan pertama kali atas dasar ketaqwaan, iaitu ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya, agar umat Islam bersatu padu.[2] Nabi SAW bersabda:

مَنْ تَطَهَّرَ فِي بَيْتِهِ، ثُمَّ أَتَىٰ مَسْجِدَ قُبَاءٍ، فَصَلَّى فِيْهِ، كَانَ لَهُ كَأَجْرِ عُمْرَةٍ.

Maksudnya: “Sesiapa yang bersuci di rumahnya, kemudian dia datang ke Masjid Quba’ dan solat di sana, maka dia akan memperoleh pahala seperti pahala umrah.”[3]

Syeikh ‘Abd al-Muhsin al-‘Abbad berkata: Hadis ini menunjukkan keumumannya. Tidak syak lagi ia membawa kepada apa yang berlaku kepada kisah Masjid Quba’ itu sendiri. Tetapi kepada siapa yang mampu untuk menunaikan solat-solat sunat di masjid dan meninggalkan solat sunat di masjid serta menunaikan di rumah, maka sudah tentu lebih besar di sisi Allah. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW:

صَلَاةُ الرَّجُلِ فِي بَيْتِهِ أَفْضَلُ مِنْ صَلَاتِهِ فِي الْمَسْجِدِ إِلاَّ الْمَكْتُوْبَة

Maksudnya: “Solat seseorang lelaki di rumahnya lebih afdhal daripada solatnya di masjid, kecuali solat fardhu.”[4]

Hadis di atas juga menunjukkan keistimewaan khusus Masjid Quba’ sehingga dipahalakan seperti menunaikan ibadat umrah dengan dua syarat. Pertama, dalam keadaan bersuci dari rumahnya lagi. Kedua, datang mengunjungi Masjid Quba’ untuk solat dua rakaat sekurang-kurangnya semata-mata kerana Allah.[5]

“Ingat dop ana ajok enta dengor khutbah Syeikh Ismail Humaidi di Masjid Qiblatain? Susah doh nok cari khatib hok buleh khutbah bersiri gitu.” Zaini mengangguk sebagai menjawab pertanyaan Zul. Masjid Qiblatain yang amat dekat Universiti Islam Madinah mengingatkan peristiwa menukar arah kiblat.

فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ ۚ وَحَيْثُ مَا كُنتُمْ فَوَلُّوا وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُ ۗ

Maksudnya: “Oleh itu palingkanlah mukamu ke arah Masjidil Haram (tempat letaknya Kaabah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya.”[6]

Menurut al-Hafiz Ibn Hajar, solat pertama kali yang dilakukan oleh Nabi SAW dengan menghadap Ka’bah adalah solat Zohor di Bani Salamah, manakala solat Asar di Masjid Nabawi. Penduduk Quba’ mengubah kiblat mereka ke arah Ka’bah ketika sedang menunaikan solat Subuh, setelah khabar tentang perubahan kiblat sampai kepada mereka.[7]

“Di keliling sejik tu, ade Masjid Ghumamah, Masjid Bilal bin Rabah, Masjid Saidina Uthman, Masjid al-Bukhari…”, Zul mencongak satu persatu masjid berdekatan Masjid Qiblatain.

Zaini menjeling ke arah Zul dan berkata, “Enta ingat dop kite same-same gi tengok Thaqifah Bani Sa’idah, tempat dibai’ah Saidina Abu Bakar sebagai khalifah. Mase bai’ah tu, Saidina Abu Bakar bagi ucapang:

أَيُّها الناسُ فَإِني قد وُلِّيتُ عليكم ولست بخيركم فإِنْ أَحْسَنْتُ فَأَعِينُونِي وإِنْ أَسَأْتُ فَقَوِّمُوني. الصِدْقُ أمانةٌ والكَذِبُ خِيَانَةٌ . والضعيفُ فيكم قويٌّ عندي حتى أرجعَ إليه حقَّه إن شاء اللّه، والقويّ فيكم ضعيفٌ عندي حتى آخذَ الحقَّ منه إن شاء اللّه. لا يَدَعُ قومٌ الجِهادَ في سبيل اللّه إلا خَذَلَهم اللَّهُ بالذُلِّ ولا تَشِيعُ الفاحشةُ في قومٍ إِلا عَمَّهم اللَّهُ بِالبلاءِ. أَطِيعُوني ما أَطَعْتُ اللَّهَ ورسولَه فإِذا عَصَيْت اللَّهَ ورسولَه فلا طاعةَ لي عليكم. قُومُوا إلى صلاتكم يَرْحَمْكُمُ اللّه.

Maksudnya: “Wahai sekalian manusia, sesungguhnya aku telah dipilih untuk memimpin kamu semua, dan aku bukanlah yang terbaik dalam kalangan kamu semua semua. Sekiranya aku berbuat baik maka bantulah aku, dan sekiranya aku melakukan kesilapan, maka betulkanlah aku. Kebenaran adalah satu amanah dan dusta itu adalah satu pengkhiantan. Dan orang yang lemah dikalangan kamu semua adalah kuat pada pandanganku, sehingga aku berikan hak kepadanya, Insyaallah. Dan orang yang kuat dikalangan kamu semua adalah lemah pada pandanganku, sehingga aku mengambil kembali hak daripadanya, Insyaallah.

Janganlah ada sesuatu kaum yang meninggalkan jihad, kecuali Allah SWT akan menimpakan kehinaan kepadanya. Dan apabila keburukan sudah memenuhi pada sesuatu kaum, maka Allah SWT akan mendatangkan bala kepada kaum tersebut. Taatlah kepadaku selama mana aku taat kepada Allah SWT dan RasulNya. Tetapi apabila aku melakukan maksiat kepada Allah dan Rasulnya, maka tidak wajib kepada kamu semua untuk mentaatiku. Marilah semua mendirikan solat, semoga Allah SWT merahmati kamu semua.[8]

“Hehe…mule-mule tu, puahsang cari tempat Thaqifah dok juppe. Pak Arab hok jage pintu sejik ppengong tengok kite dok musing ketang.[9] Rupenye Thaqifah tu alik kanan Sejik Nabi dekat Pintu 15, 20 meter dari pagor sejik.”, Zul ketawa mengimbau kembali kenangan kali pertama ke Thaqifah Bani Sa’idah.

“Pahtu kite gi Baqi’, sekali dengan Shohor Bani. Ana ingat lagi enta bagi tazkirah: ‘Sedare sedari yang dirahmati Allah SWT. Rasulullah SAW pernah memohon ampunang khusus untuk penghuni Baqi’ dan menyifatkannye sebagai tempat kediaman orang berimang! Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah, Rasulullah SAW setiap kali ketika bermalam di rumahnya, Baginda SAW akan keluar berjalan menuju ke Perkuburan Baqi’ pade lewat malam dan mengucapkang:

السَّلامُ عَلَيْكُمْ دَارَ قَوْمٍ مُؤْمِنينَ، وَأتاكُمْ ما تُوعَدُونَ، غَداً مُؤَجَّلُونَ، وَإنَّا إنْ شاءَ اللَّهُ بِكُمْ لاحقُونَ؛ اللَّهُمَّ اغْفِرْ لأهْلِ بَقِيعِ الغَرْقَدِ

Maksudnya: “Selamat sejahtere ke atas segheme pare penghuni kediaman orang yang berimang. Telah datang kepade kamu ape yang dijanjikang untuk kamu. Kami, insyaallah akan mengikut kaliang. Ya Allah! Kurniekanlah keampunang untuk pare penghuni Baqi’ ini.”

Sedare sedari yang saye hormati! Antara ahlul bait Rasulullah SAW dan para Sahabat radhiallahu ‘anhum yang disemadikan di perkuburang Baqi’ adelah Fatimah, Ruqayyah, Ummu Kalthum dan Zainab RA. Mereke adelah puteri–puteri kesayangan Rasulullah SAW. Saidina Hasan Bin Ali Bin Abi Talib iaitu Rasulullah SAW. ‘Aisyah, Saudah, Hafsah, Zainab Bint Khuzaimah, Ummu Salamah, Juwairiyyah, Ummu Habibah, Safiyah, Zainab Bint Jahsy radhiallahu ‘anhunna. Mereke ning isteri-isteri Rasulullah SAW. Uthman Ibn ‘Affan, Abu Sa’id al-Khudri, Sa’ad Ibn Mu’adz al-Ansari, Abdullah Ibn Mas’ud dan lain-lain para Sahabat Rasulullah SAW yang mulie.”, Zaini mengajuk gaya Zul menyampaikan pidato sambil ketawa.

********************

“Jom Ni…kite solat di Sejik Nabi.  Buoh ngelah[10] sebelum kite kelik Malaysia.”, Zul mengajak Zaini yang sedang sibuk mengemas beg.

Masjid Nabi SAW yang mempunyai seribu satu macam kelebihan. Nabi SAW bersabda:

صَلَاةٌ فِي مَسْجِدِي هَذَا أَفْضَلُ مِنْ أَلْفِ صَلَاةٍ فِيمَا سِوَاهُ، إِلَّا الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ، وَصَلَاةٌ فِي الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ أَفْضَلُ مِنْ مِائَةِ أَلْفِ صَلَاةٍ فِيمَا سِوَاهُ

Maksudnya: “Solat di masjidku ini (Masjid Nabawi) lebih baik daripada seribu solat di tempat yang lain melainkan Masjidil Haram. Dan solat di Masjidil Haram lebih baik daripada 100 ribu solat di tempat lain.”[11]

Zul dan Zaini menapak perlahan menuju ke Raudhah. Betapa besarnya fadhilat berada di Raudhah sehinggakan Rasulullah SAW bersabda:

ما بَيْنَ بَيْتِيْ ومِنْبَرِيْ رَوْضَةٌ مِنْ رِيَاضِ الْجَنَّةِ

Maksudnya: “Tempat yang terletak di antara rumahku dan minbarku adalah taman daripada taman-taman Syurga.”[12]

“Paling sedih Ni, kite akan berpisoh dengan Rasulullah SAW.”, Zul tersenyum tawar. Kelopak matanya mula bergenang dengan air mata. Beliau menarik nafas dengan panjang dan menghembuskannya perlahan. Lama ditenung makam Rasulullah SAW.

Benarlah sabda Nabi:

ثَلَاثٌ مَنْ كُنَّ فِيْهِ وَجَدَ بِهِنَّ حَلَاوَةَ الْإِيْمَانِ، مَنْ كَانَ اللهُ وَرَسُوْلُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا وَأَنْ يُـحِبَّ الْمَرْءَ لَا يُحِبُّهُ إِلَّا لِلهِ، وَأَنْ يَكْرَهَ  أَنْ يَعُوْدَ فِـي الْكُفْرِ بَعْدَ أَنْ أَنْقَذَهُ اللهُ مِنْهُ، كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ فِـي النَّارِ

Maksudnya: “Ada tiga perkara yang apabila ia ada pada seseorang, maka dia akan memperoleh manisnya iman, iaitu: (Pertama), sesiapa yang Allah dan Rasul-Nya lebih dia cintai daripada selain keduanya. (Kedua), apabila dia mencintai seseorang,d ia hanya mencintainya kerana Allah. (ketiga), dia benci untuk kembali kepada kekufuran setelah Allah menyelamatkannya sebagaimana dia benci untuk dilemparkan ke dalam neraka.”[13]

Al-Hafiz Ibn Hajar menukilkan daripada Ibn Abi Jamrah, katanya: Digunakan istilah iman dengan ungkapan manis kerana Allah SWT menyerupakan keimanan dengan pohon sepertimana firman Allah SWT:

أَلَمْ تَرَ كَيْفَ ضَرَبَ اللَّهُ مَثَلًا كَلِمَةً طَيِّبَةً كَشَجَرَةٍ طَيِّبَةٍ أَصْلُهَا ثَابِتٌ وَفَرْعُهَا فِي السَّمَاءِ

Maksudnya: “Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit.”[14]

Kalimah yang dimaksudkan adalah kalimah ikhlas (لا اله إلا الله), pohonnya sebagai pangkal daripada keimanan, rantingnya adalah mengikut perintah dan menjauhi larangan, daunnya adalah semangat seorang Mukmin dalam mengerjakan kebaikan, buahnya adalah ketaatan, manisnya buah adalah ketika memetiknya dan puncaknya adalah kematangannya. Dengan kesenangan itulah, kemanisan akan muncul.[15]

*********************

Bagasi diheret perlahan masuk ke Lapangan Terbang Putera Mohammad bin Abdulaziz. Dari situ, Zul dan sahabat-sahabatnya, menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz, Jeddah. Saat bacaan doa dipasang, Zul terkenang memori ketika mula-mula menaiki kapal terbang 4 tahun lalu.

اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ سُبْحَانَ الَّذِيْ سَخَّرَ لَنَا هَذَا وَمَا كُنَّا لَهُ مُقْرِنِيْنَ وَإِنَّا إِلَى رَبِّنَا لَمُنْقَلِبُوْنَ . اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ فِي سَفَرِنَا هَذَا الْبِرَّ وَالتَّقْوَى وَمِنْ الْعَمَلِ مَا تَرْضَى. اللَّهُمَّ هَوِّنْ عَلَيْنَا سَفَرَنَا هَذَا وَاطْوِ عَنَّا بُعْدَهُ . اللَّهُمَّ أَنْتَ الصَّاحِبُ فِي السَّفَرِ وَالْخَلِيفَةُ فِي اْلأَهْلِ . اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوْذُ بِكَ مِنْ وَعْثَاءِ السَّفَرِ وَكَآبَةِ الْمَنْظَرِ وَسُوءِ الْمُنْقَلَبِ فِي الْمَالِ وَاْلأَهْلِ

Maksudnya: “Allah Maha Besar! Allah Maha Besar! Allah Maha Besar! Maha Suci Tuhan yang menundukkan kenderaan ini untuk kami, sedangkan sebelumnya kami tidak mampu. Dan sesungguhnya kami akan kembali kepada Tuhan kami (pada hari akhirat). Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kebaikan dan ketakwaan dalam perjalanan ini, kami mohon perbuatan yang engkau redhai. Ya Allah, permudahkanlah perjalanan kami dan pendekkanlah jaraknya bagi kami. Ya Allah, Engkaulah pendampingku dalam perjalanan dan yang menguruskan keluarga(ku). Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada kepayahan dalam perjalanan, pemandangan yang menyedihkan dan keadaan kepulangan yang buruk dalam harta dan keluarga.”[16]

Zul sudah jauh berada di udara. Bumi Arab Saudi makin lama makin mengecil dan hilang daripada pandangan. Bibirnya diketap dan perlahan-lahan mengalir air matanya. Satu persatu kenangan kembali berputar di ingatannya. Entah bila lagi akan tiba peluangnya untuk kembali ke bumi bertuah dan barakah itu. Ma’assalamah, bumi Madinah!

__________________

[1] al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 137

[2] Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/348

[3] Riwayat Ibn Majah, no. 1412

[4] Riwayat al-Bukhari, no. 731 dan Muslim, no. 781

[5] Syarh Sunan Abi Daud, 1/2

[6] Surah al-Baqarah: 144

[7] Lihat Fath al-Bari, 1/97

[8] Sirah Ibn Hisyam, 4/240 dan ‘Uyun al-Akhbar Ibn Qutaibah, 2/234

[9] Berpusing ulang ke tempat sama

[10] Last / terakhir

[11] Riwayat Ahmad, no. 15271. Sanadnya adalah sahih mengikut syarat Imam al-Bukhari menurut Syeikh Syuaib al-Arnaouth ketika beliau mentakhrijkan hadith ini di dalam musnad Ahmad

[12] Riwayat al-Bukhari, no. 1195 dan Muslim, no. 1390

[13] Riwayat al-Bukhari, no. 16, Muslim, no. 43, al-Tirmizi, no. 2624, al-Nasa’ie, 8/95 dan Ibn Majah, no. 4033

[14] Surah Ibrahim: 24

[15] Fath al-Bari, 1/60

[16] Riwayat Muslim, no. 1342

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *