“Seterusnya dipersilakan Yang Berbahagia Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Ahli Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji untuk membentangkan kertas kerjanya yang bertajuk Pelaksanaan Sa’ie di Mas’a yang Diluaskan Menurut Pandangan Syara’.” Sahibus Samahah Dato’ Haji Hassan bin Ahmad, Mufti Negeri Pulau Pinang selaku Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji (TH-JAKIM) menjemput Zulkifli untuk melakukan pembentangan.

Kelihatan beberapa Ahli Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji iaitu YBhg. Dato’ Haji Nooh bin Gadot (Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor), YBhg. Dato’ Haji Wan Mohamad bin Dato’ Sheikh Abdul Aziz (Ketua Pengarah JAKIM), YBhg. Dato’ Haji Fadzil bin Awang (AJK Fatwa Negeri Kedah), YBhg. Prof. Madya Datin Dr. Zalikhah binti Md. Nor (Ahli), YBhg. Prof. Madya Dr. Anisah binti Abd. Ghani (Ahli), dan YM Haji Tengku Aziz bin Raja Abdullah selaku Pengurus Besar (Bimbingan) Tabung Haji merangkap Setiausaha Jawatankuasa.

Dalam pembentangan selama lebih 15 minit itu, Zulkifli membahaskan tentang sejarah mas’a, definisi Bukit Safa’, Bukit Marwah dan Sai’e. Hukum melakukan sa’ie di tingkat atas mas’a dan hukum mas’a  yang tidak termasuk dalam Masjid al-Haram juga dibincangkan dengan mendalam.

“Akhirnya, ana nak sentuh sikit tentang hukum pembesaran Mas’a yang jadi tajuk utama kertas kerja ni. Sepertimana kita sedia maklum, 2 tahun lepas iaitu tahun 2007 Kerajaan Arab Saudi dah besarkan Mas’a. Ada satu bangunan baru sebelah bangunan lama. Bangunan lama tu dah diroboh untuk bina bangunan baru. Kebanyakan para ulama’ besar Arab Saudi menolak pembesaran ni antaranya bekas Muftinya, Syeikh Muhammad bin Ibrahim bin Abdullatif Aal Syeikh, Syeikh ‘Abdullah al-Mani’, Syeikh Soleh al-Luhaidan, Syeikh Soleh al-Fauzan, Syeikh Abdul Rahman Nasir al-Barrak dan ramai lagi.

Tapi, fatwa tersebut sudah disemak semula oleh Samahah al-Syeikh ‘Abdulaziz Aal Syeikh yang kemudiannya mengharuskan sa’ie di tempat baru dengan sokongan majoriti ulama’ di sana. Ana masih ingat tahun lepas bila ana tanya berkenaan hukum peluasan mas’a kepada guru kami, Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili, beliau fatwakan harus sebab jaraknya sama, tempatnya sama kecuali dilebarkan dan ia jadi maslahah. Ini menepati kaedah fiqh yang menyebut

إذا ضاق الأمر اتسع وإذا اتسع ضاق

Maksudnya: Ketika dalam kesempitan, diberikan keringanan (rukhsah). Apabila hilang kesempitan, kembali kepada hukum asal.

Penetapan kaedah ini oleh para ulama’ berdasarkan pelbagai ayat al-Quran dan Hadis yang menunjukkan Syariah memberikan jalan keluar dan penyelesaian kepada beberapa keadaan yang mendesak. Contohnya ayat al-Quran yang menyebut,

يُرِيدُ اللَّـهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ

Maksudnya: Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.[1]

Hadis yang diriwayatkan Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda,

إِنَّما بُعِثْتُم مُيَسِّرينَ ولَمْ تُبْعَثوا مُعَسِّريْنَ

Maksudnya: “Sesungguhnya kalian diutuskan untuk menjadi pemudah cara bukan memberi kesusahan dan kesukaran.”[2]

Selain tu, Syeikh tekankan juga tentang keperluan semasa yang mendesak dengan pertambahan jemaah haji dan umrah yang sangat ketara. Kata Syeikh juga, dengan kita memahami Safa dan Marwah sebagai bukit, sudah pasti sifatnya besar dan lebar. Pembangunan pesat menyebabkan mas’a bersambung dengan masjid dan bukit itu ditarah. Jaraknya tetap sama cuma sebelah tepinya dah ditarah. Hukumnya dikira masih lagi lagi sa’ie antara Safa dan Marwah. Ini juga adalah sebahagian daripada tugas pemerintah iaitu membaiki jalan, memastikan keselamatan, penyediaan kemudahan dan lain-lain berkaitan ibadat haji dan umrah.”

********************

Walaupun tidak lagi berkhidmat sebagai pensyarah di USIM, Zulkifli masih sibuk dengan pelbagai program. Malah, jauh lebih sibuk daripada sebelumnya. Melihat timbunan kitab di meja, deretan jadual ceramah, minit-minit mesyuarat Majlis Syariah Bank Pertanian, puluhan kertas kerja mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan, Negeri Terengganu, dan Tabung Haji, begitu juga beberapa fail serta dokumen bengkel yang dihadirinya, memang memenatkan!

Rumahnya adalah pejabatnya. Itulah konsep small office home office (SOHO) yang mula terkenal di Malaysia. “Kelebihan SOHO ni, tak ada kos overhead, kita lebih bebas dan ada masa yang lebih berkualiti.”, kata Zulkifli kepada salah seorang muridnya, Firdaus yang membantunya menyiapkan beberapa buah buku, bersama-sama dengan Hakim, Faizan, Najmuddin, Abdul Wahid dan adiknya sendiri, Mutawalli. Projek mereka adalah menyiapkan syarah kepada kitab al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al-‘Umrah oleh Imam al-Nawawi.

“Petang ni ada ada mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan. Esok ada mesyuarat Panel Akidah JAKIM. Habis mesyuarat, kita ke ILIM. Ana terlibat dengan Bengkel Deraf Modul Pengurusan Fatwa.”, kata Zulkifli kepada mereka. Biasanya, beliau akan membawa beberapa pembantunya dalam program dan mesyuarat yang dihadirinya.

“Nanti kalau doh siap semak Ma’alim Hadhariyyah, enta gi print ye. Malam ni kite semok!”, pesan Zulkifli kepada adiknya, Mutawalli sebelum beliau keluar untuk memenuhi jemputan ceramah di Kuala Lumpur. Himpunan Hadis Al-Maalim Al-Hadhariah adalah buku-buku kecil bersiri yang memuatkan hadis-hadis berkenaan motivasi dan integriti yang diterbitkan oleh Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).

Di dalam Viva NBX 4157 yang sedang memecut laju, Zulkifli menerima panggilan daripada urusetia Mesyuarat Panel Kajian Aqidah (PKA) JAKIM. “Assalamualaikum Dr. Untuk mesyuarat minggu depan, Bahagian Perancangan dan Penyelidikan JAKIM berhasrat nak lantik Dr. sebagai pengulas buku Diskusi Isu Aqidah dan Pemikiran Semasa di Malaysia. Harap Dr berkelapangan…”,

“Insya-Allah. Siapa penulisnya?”, tanya Zulkifli ringkas.

“Ustaz Aizam Mas’od, Pegawai Penyelidik Seksyen Aqidah di Bahagian Perancangan dan Penyelidikan JAKIM. Dr kenal kan?”, tanya urusetia di corong telefon.

“Ya kenal-kenal. Nanti bagi sutir buku tu pada ana. Insya-Allah, ana baca dulu sebelum tulis ulasan.”, jawab Zulkifli dengan lembut.

Sesekali, telefon bimbitnya berdering. Ada sahaja yang meminta pandangan, menyampaikan jemputan ceramah, seminar dan sebagainya. Hujung minggu bukanlah masa untuk beliau berehat kerana kebiasaannya ada sahaja program samada dalam atau luar Negeri Sembilan. Jika ada kelapangan sekalipun, beliau akan memanggil pembantunya untuk membantu beliau menyiapkan beberapa projek penerbitan buku.

********************

Zulkifli tiba lebih awal di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. Berjubah kelabu dan berkopiah putih merah. Masjid penuh dengan umat Islam yang datang daripada serata pelusuk tanah air. Tarikh 29 November 2010 pasti akan diingatinya kerana beliau telah diamanahkan sebagai penterjemah Kuliah Maghrib Khas gurunya, Syeikh Dr. Muhammad Sa’id Ramadhan al-Buti dalam siri lawatannya ke Malaysia.

Isu yang dikupas oleh Syeikh adalah berkenaan keutamaan umat Islam pada masa kini. Segelintir umat Islam sibuk membincangkan isu-isu besar seperti pembinaan negara Islam sedangkan dalam masa yang sama, masih banyak hal bersifat asas yang belum diselesaikan seperti jihad hawa nafsu. Perpecahan aliran, mazhab, pergaduhan sesama umat Islam adalah yang wajar diutamakan terlebih dahulu sebelum umat Islam menyibukkan diri dengan perihal negara Islam. Wujudnya negara Islam di Madinah menurut Syeikh, adalah hadiah daripada Allah SWT sebagai balasan yang setimpal kepada kesabaran para Sahabat atas kesungguhan mereka dalam dakwah, menjaga perpaduan dan meninggikan syiar Islam.

Dalam bukunya al-Jihad fi al-Islam, Syeikh menjelaskan pelaksanaan hukum syariat bukanlah syarat menentukan sesebuah negara Islam. Ia adalah hak sebuah negara Islam yang menjadi tanggungjawab umatnya untuk melaksanakan hukum-hukum Islam. Sekiranya ia tidak dilaksanakan, tidaklah gugur penamaan negara Islam tersebut tetapi dosa tetap ditanggung oleh mereka kerana tidak menjalankan tanggungjawab melaksanakan hukum-hukum Allah.

Syarahan hampir 1 jam 30 minit itu terasa amat singkat dek padatnya mutiara-mutiara ilmu yang disampaikan oleh tokoh ulama’ Syria tersebut. Zulkifli di sebelahnya begitu fokus mencatat setiap bait patah kata oleh gurunya dalam Bahasa Arab, kemudian diterjemahkan secara langsung.

“Kita sibuk dengan bentuk, tapi bekasnya pun tak ada lagi. Sebelum kita fikir soal negara Islam, kita usahakan dulu untuk mentahqiqkan kehambaan (ubudiyyah) kepada Allah SWT.”, kata Zulkifli yang menterjemahkan satu persatu huraian gurunya.

Beliau kemudiannya memberikan analogi. “Ada perbezaan antara ubudiyyah dan ibadah. Saya bagi contoh, pohon kayu. Kita ambil buah, ikat dengan benang, gantung pada pokok. Adakah buah itu daripada pokok kayu tu? Tak. Itu bukan hakikatnya. Begitu juga dalam masalah ibadah, ia lain daripada ubudiyyah. Hakikat ubudiyyah adalah khashyatullah dan mahabbatullah. Banyak kemusykilan hari ini akan selesai sekiranya kita kembali kepada Allah SWT.”

Syeikh al-Buti menyimpulkan syarahannya dengan ungkapan yang cukup indah. Nasihatnya adalah untuk menghidupkan agama-Nya di rumah masing-masing kerana selagi mana itu menjadi halangan buat umat Islam, masih jauh lagi impian untuk membentuk sebuah negara Islam yang dicitai. Pun begitu, pintu rahmat Allah SWT tetap terbuka. Carilah keampunan-Nya dalam kerendahan hati kita.

Malam itu, Zulkifli pulang ke rumahnya dengan hati yang penuh gembira. Satu kepuasan baginya apabila dapat berkhidmat kepada gurunya yang dikasihi. Terngiang-ngiang kembali perbualannya dengan anak Syeikh, semasa beliau masih menuntut ilmu di Syria.

“Satu hari nanti, aku berhasrat untuk bawa ayahmu ke Malaysia. Aku akan jadi penterjemahnya. Orang Malaysia perlu diperkenalkan dengan ulama’ yang hebat sebegini.”.

Hasrat itu telah pun dikabulkan oleh-Nya. Alhamdulillah.

******************

Pada tanggal 14 Mei 2011, Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili sekali lagi datang ke Malaysia bagi memenuhi jemputan pelbagai pihak di sini. Zulkifli kembali berkhidmat mengiringi gurunya, termasuk menjadi penterjemah bagi syarahannya di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada tanggal 14 Mei 2011 anjuran bersama Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan pihak masjid. Tajuknya adalah berkenaan sumpah dan qazaf, satu topik yang panas dan menjadi tumpuan utama dada akhbar kerana melibatkan ahli politik terkenal, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

“Kamu masih berkhidmat dengan USIM?”, tanya Syeikh. Zulkifli tersenyum dan menggelengkan kepalanya. “Tidak Syeikh. Saya sudah berhenti. Saya beri fokus sepenuhnya kepada penulisan buku.”, jawab Zulkifli.

Semasa Zulkifli sedang menyalin semula kata-kata gurunya untuk diterjemahkan dalam syarahan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, beliau terkejut kerana namanya tiba-tiba disebutkan. “Kalau ada masalah hukum di Malaysia, boleh rujuk Dr. Zulkifli. Beliau adalah wakilku di Malaysia.”, ujar Syeikh. Bahagian itu sengaja tidak diterjemahkannya dan beliau berharap itulah doa dan sangkaan baik gurunya kepada diri beliau.

Malam itu hujan turun renyai-renyai. Zulkifli masih di meja pejabat peribadinya di rumah. Menekuni beberapa buah kitab untuk persediaan kuliahnya di Radio IKIM. Fikirannya sesekali menerawang jauh memikirkan perancangan projek penulisan buku-bukunya di masa hadapan. Benarlah kata Hasan al-Banna,

الوَاجِبَات أَكْثَر مِن الاوْقَات

Maksudnya: “Kewajipan-kewajipan kita jauh lebih banyak daripada masa yang kita miliki.”

_____________________________

[1] Surah al-Baqarah: 185.

[2] Riwayat al-Bukhari (220)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *