Bab 68: Sampai Bila?

0
2252

“Arwah pernah berpesan dan amanahkan kepada saya dan adik-beradik supaya menjaga isteri, anak-anaknya serta syarikat miliknya setelah dia meninggal dunia,” kata adik bongsu Allahyarham Fairuz Nizam Husain, yang maut dalam nahas membabitkan tiga buah kenderaan di KM 6.2 Lebuhraya DUKE, di sini.

Zulkifli mendengar dengan serius setiap patah perkataan yang terbit daripada mulut Faizznur. Berita yang baharu berlaku 2 hari lepas, masih lagi memenuhi dada akhbar. Fairuz Nizam, 35, dan isteri Nova Safitri Azhari, 25, serta bayi perempuan Nur Firuza Annisa, berusia tujuh bulan maut dalam nahas membabitkan tiga kenderaan pada 1.05 pagi.

Kereta Pajero yang dipandu Fairuz Nizam, yang berada di lorong tengah dipercayai digesel dari sebelah kanan oleh sebuah kereta Myvi, lalu terbabas ke sebelah kiri sebelum dilanggar sebuah lagi kereta Myvi yang berada di lorong kiri. Akibatnya, kereta Pajero itu berpusing beberapa kali dan menyebabkan mereka tercampak di atas jalan.

Memandangkan ia berlaku di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Zulkifli merasakan tanggungjawabnya selaku Mufti Wilayah Persekutuan untuk menziarahi mereka dan menghulurkan bantuan sekadar yang termampu. Prinsipnya jelas. Tidak wajar seorang Mufti hanya berada di pejabat dengan pendingin hawa, mengeluarkan fatwa tanpa turun ke lapangan dan memahami denyut nadi masyarakat.

“Saya redha Datuk. Terima kasih banyak-banyak Datuk sudi ziarah kami. Rasa terharu sangat Datuk sudi ambik berat isu kami.”, kata Faizznur sambil mengesat air matanya.

“Insya-Allah, kita sama-sama angkat tangan doa kepada Allah. Moga-moga Allah SWT tempatkan mereka dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang soleh.”, kata Zulkifli seterusnya membacakan doa dan diaminkan keluarga serta wakil media yang turut hadir.

Sebelum pulang, Zulkifli berpesan kepada Faizznur dan ahli keluarganya yang lain. “Saya tak dapat nak buat sesuatu sekelip mata. Keadilan kepada keluarga mangsa takkan datang dalam sehari dua. Tapi saya janji, saya tetap akan berjuang untuk menyuarakan kewajaran pelaksanaan diyat dalam sistem perundangan di Malaysia walaupun di mana saya selepas ni…”

********************

Nyawa manusia adalah perkara paling bernilai untuk dijaga dalam Syariat Islam. Secara perbandingan, nyawa hidupan lain adalah lebih rendah. Apabila berlaku konflik, nyawa manusia perlu diselamatkan dahulu sebelum nyawa-nyawa lain. Allah SWT menyebut hakikat ini di dalam al-Quran:

وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آدَمَ وَحَمَلْنَاهُمْ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ وَرَزَقْنَاهُم مِّنَ الطَّيِّبَاتِ وَفَضَّلْنَاهُمْ عَلَىٰ كَثِيرٍ مِّمَّنْ خَلَقْنَا تَفْضِيلًا

Maksudnya: “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.” (Surah al-Isra’: 70)

Berkata Imam Ibn Jarir al-Tabari dalam menafsirkan ayat ini bahawa Allah Taala memuliakan Bani Adam dengan memberikan kekuasan kepada mereka ke atas benda-benda selain mereka daripada jenis makhluk. Allah juga memberikan manusia kemampuan untuk menggunakan sekalian makhluk lain untuk manfaat manusia. Allah juga menjadikan makhluk di darat dan air sebagai alat pengangkutan dan tunggangan. Demikian juga makhluk di falak langit sebagai panduan bagi manusia dalam pelayaran dan permusafiran.

Allah memberikan rezeki kepada manusia daripada bahan yang baik sebagai makanan dan minuman yang halal lagi lazat. Allah juga memberikan kelebihan kepada manusia untuk bertukang dan melakukan suatu pekerjaan dengan tangan mereka sendiri, seperti mengambil makanan, minuman dan menyuap ke mulut sendiri. Suatu yang tidak diberikan kepada makhluk-makhluk selain manusia. (Lihat Tafsir al-Tabari, 17/501)

Imam al-Syatibi menyebutkan dalam kitabnya berkenaan hubungkait penjagaan nyawa dengan lima keperluan fundamental (daruriyyat al-khams) dengan kata beliau:

“Adapun dharuriyyah, maksudnya ialah sesuatu yang mesti ada dalam membina maslahat agama dan dunia. Tanpa kewujudan kepentingan-kepentingan asas ini, maka urusan kehidupan dunia tidak akan berjalan dengan betul. Tetapi ia akan rosak, kacau bilau serta kehidupan akan musnah. Manakala pada kehidupan akhirat, hilangnya kesejahteraan dan kenikmatan dan kembali dengan kerugian yang nyata.” (Lihat al-Muwafaqat, 2/17)

Kita fahami daripada kenyataan ini, yang pertama, bahawa apabila suatu masyarakat itu gagal menjamin keselamatan nyawa individu-individu yang berada dalam komuniti tersebut, maka masyarakat itu telah gagal dalam merealisasikan tujuan Syarak. Pemeliharaan ini perlu bergerak daripada dua sudut; al-ḥifẓ min janib al-wujud (penjagaan daripada aspek mewujudkan suatu keperluan) dan al-ḥifẓ min janib al-‘adam (penjagaan daripada aspek mengelakkan suatu keperluan daripada hilang).

Menurut Imam al-Syatibi, pensyariatan berkenaan perkara-perkara adat bertujuan untuk menjaga nyawa dan aqal daripada sudut mewujudkannya, seperti pensyariatan makanan dan minuman, pakaian, tempat tinggal dan sebagainya.  Ini dapat dilihat dalam hukum nafkah apabila menjadi kewajipan suami untuk menanggung dirinya, isteri, anak-anak, dan orang tuanya. Juga kepada hamba dan haiwan yang berada di bawah jagaannya.

“Umar. Dari sudut perundangan Malaysia, ada tak yang hampir sama dengan diyat?”, tanya Zulkifli pada satu pagi semasa mesyuarat harian bersama para pegawai penyelidik. Umar adalah salah seorang pegawai penyelidiknya, berlatarbelakangkan pendidikan Syariah dan Undang-Undang daripada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Berkerut dahi Umar memikirkannya. Helaian janggutnya diusap-usap. “Hmm… Sebenarnya, konsep diyat atau pembayaran pampasan kepada mangsa ini sudah ada asasnya di dalam undang-undang jenayah di negara kita, di bawah Seksyen 426 Kanun Prosedur Jenayah (Akta 593) yang memperuntukkan kuasa kepada pihak mahkamah, atas permohonan Pendakwa Raya, untuk mengarahkan pesalah membayar pampasan kepada mangsa akibat jenayah yang berlaku pada diri mangsa, harta atau pendapatannya.”

Sambung Umar lagi, “Contohnya dalam kes Pendakwa Raya lwn. Low Lu Keng, Mahkamah Tinggi telah mengarahkan pesalah yang telah mengaku bersalah di bawah Seksyen 304 Kanun Keseksaan atas tuduhan membunuh tanpa niat, untuk membayar RM10,000.00 kepada balu mangsa bunuh, dengan merujuk kepada peruntukan dalam Seksyen 426 Akta 593.”

“Kalau kita teliti, menariknya dalam kes ini hakim, pesalah dan mangsa yang terlibat semuanya non Muslim. Ini menunjukkan konsep diyat, wang darah atau pampasan kepada mangsa adalah sistem yang bersifat manusiawi yang universal serta sesuai dipraktiskan kerana mudah difahami rasional daripada sudut keadilan, serta hikmah dan manfaat daripada sudut Syarak.”

“Betul.”, kata Zulkifli memotong percakapan Umar. “Falsafah perundangan Islam ni terbina atas lima keperluan asas yang universal untuk menjaga agama, nyawa, aqal, keturunan dan harta bagi manusia. Itulah Maqasid Syariah. Kalau dipelihara dan dijamin dengan baik semua lima perkara ni, aman dunia dan di akhirat.”

“Cuma bagi ana, kalau jadilah diyat ni di Malaysia, ana nak cadangkan RM 100,000.00 untuk jumlah minimum. Ini kita ambil kira amalan kadar pampasan kematian yang ditetapkan beberapa syarikat takaful. Tapi tertakluk kepada keadaan semasa. Berkemungkinan meningkat kalau digabungkan dengan kos-kos ganti rugi yang dapat dibuktikan di mahkamah. Ana cuma simpati pada anak-anak, kalau mangsa ada keluarga. Apa-apa pun, yang hidup tetap kena teruskan kehidupan tapi macam mana nak hidup kalau tak ada ibu bapa misalnya? Sebab itu kena wujudkan diyat.”. Barisan pegawai penyelidik lain tekun mendengar penjelasan Zulkifli. Fahmi, Razif, dan Syed Husaini menganggukkan kepala tanda bersetuju. Mushfique pula mencatat sesuatu dalam buku notanya.

Dalam kes pembunuhan, hak diyat sepatutnya diberikan selepas mahkamah mendapati tertuduh itu bersalah. Maksudnya, mahkamah perlu memberikan hak kepada keluarga mangsa untuk membuat pilihan sama ada meneruskan hukuman mati (qisas) atau memilih hukuman diyat atau memaafkan pesalah tanpa sebarang hukuman.

Namun, dalam undang-undang jenayah yang digunapakai hari ini, iaitu berasaskan Kanun Kesiksaan, peruntukan berkaitan diyat dan kemaafan tidak dimasukkan. Mahkamah hanya boleh menjatuhkan hukuman yang diperuntukkan seperti hukuman gantung sampai mati, penjara atau sebat. Jika hukuman berbentuk diyat dan kemaafan hendak dikuatkuasakan, maka Parlimen perlulah meminda Kanun Kesiksaan dan Kanun Tatacara Jenayah bagi membolehkan hakim menyerahkan pilihan kepada keluarga mangsa. Inilah langkah yang patut diambil oleh pemimpin kerajaan Persekutuan jika ingin memartabatkan hukuman diyat.

“Ok. Teruskan kajian dalam isu ni. Insya-Allah, sampai masanya nanti kita akan kembangkan idea pelaksanaan diyat ni dan bentangkan pada Kerajaan Persekutuan!”, pesan Zulkifli dengan tegas, menutup mesyuaratnya pada hari ini.

********************

“Innalillahi wa inna ilaihi raji’un.” Khabar yang baharu diterima Zulkifli pada pagi Ahad 9 Ogos 2015 seakan halilintar yang menyambar. Gurunya, Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili telah meninggal dunia.

Seluruh dunianya bagaikan kelam seketika. Perlahan-lahan, terbit air matanya yang penuh kesedihan apabila mengenangkan memori indah bersama tokoh ulama’ dunia tersebut. Telefon pintarnya dicapai dan beliau menulis di Facebooknya.

PERGINYA PERMATA UMMAH

Pada pagi yg mulia ini, 9 Ogos 2015 bersamaan 24 Syawal 1436H, kami menerima berita yg telah disahkan dan disemak berkenaan pemergian guru yang kami kasihi, Fadhilat al-Syeikh al-Allamah Dr. Wahbah Mustafa al-Zuhaily setengah jam sebelum fajar. Semoga Allah mengampuni dosanya dan menempatkannya bersama dengan para siddiqin, syuhada’ dan solihin.  Kami tidak ingin mengatakan apa-apa kecuali yang diredhai berkenaannya.

Ya Syaikhana, sesungguhnya pemergianmu membuatkan diri ini teramat sedih. Inna lillahi wa inna ilaihi raj’iun.

Dengan ini kami mengambil kesempatan untuk menyeru kepada seluruh umat Islam di Malaysia untuk mengerjakan solat jenazah ghaib kepada guru kami, Fadhilat al-Syeikh al-Allamah Dr. Mustafa Wahbah al-Zuhaily. AlFatihah. Sekian, terima kasih.

Akhukum fillah,

Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan.

Sepanjang Zulkifli mengenali almarhum Dr. Wahbah al-Zuhaili, beliau adalah seorang yang komited dalam memperjuangkan keperluan taqnin al-ahkam dalam perundangan negara. Perjuangan itu kini berpindah batonnya ke tangan Zulkifli. Seakan terngiang-ngiang suara Syeikh menjawab persoalan seorang audien di Dewan Kuliah Pusat 3 USIM beberapa tahun lalu tentang taqnin al-ahkam.

“Secara bahasa, kata taqnin (تقنين) merupakan bentuk masdar dari qannana, yang bererti membentuk undang-undang. Taqnin al-ahkam bererti mengumpulkan hukum-hukum dan kaedah-kaedah penetapan hukum (tasyri’) yang berkaitan dengan masalah hubungan sosial, menyusunnya, serta menzahirkannya dengan perkataan yang tegas, ringkas, dan jelas kemudian menetapkannya sebagai undang-undang, disahkan oleh pemerintah, sehingga wajib untuk pihak berautoriti menerapkannya masyarakat…”

Zulkifli mengimbau kembali memorinya dalam pengajian Hikam bersama Syeikh Dr. Muhammad Said Ramadhan al-Buti. Pada masa itu, Syeikh ada menceritakan pengalamannya bersama sahabatnya itu.

“Semasa usiaku masih muda, aku kenal Wahbah melalu dua perkara sahaja iaitu pemakaian serban putih. Itu agak janggal di Mesir pada masa itu. Selain itu,  cara berjalannya sentiasa pantas.”

“Aku mengenali abangku sebagai seorang yang mempunyai disiplin yang tinggi. Beliau amat menjaga masa. Kerana itulah beliau dapat mengarang buku-buku dengan banyak terutama mengarang pada waktu subuh…” Itulah kata-kata Syeikh Dr. Muhammad al-Zuhaili, apabila Zulkifli bertanya tentang peribadi abangnya kepadanya.

Walaupun perjalanan untuk mengharmonisasikan undang-undang jenayah Islam dan sivil secara menyeluruh dan sempurna akan mengambil masa yang lama, usaha tetap perlu diteruskan sebagaimana pesan Allahyarham Tan Sri Prof. Dr. Ahmad Ibrahim, “Oleh kerana undang-undang jenayah Islam dicipta oleh Allah, Allah juga akan menolong kita di dalam pelaksanaannya.”

Persoalannya, sampai bila kita sanggup untuk menatap kes kemalangan maut sebegini hari demi hari?

Artikel sebelum iniBab 67: Vape dan Rokok
Artikel seterusnyaBab 69: Mufti Pun Main Pokemon Go?
Berkelulusan PhD dengan pengkhususan dalam bidang fatwa di USM, beliau juga merupakan Ahli Dewan Negara, Anggota The Muslim Council of Elders (UAE), Anggota The Assembly of Muslim Jurists of America (USA), mantan Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama) dan mantan Mufti Wilayah Persekutuan. Antara guru beliau sepanjang pengajian di peringkat BA (Madinah) dan MA (Syria) adalah Syeikh Dr. Muhammad Sa'id Ramadhan al-Buti, Syeikh Muhammad 'Ali Thani, Syeikh Rushdi Qalam, Syeikh Dr. Muhammad Abdullatif Soleh al-Farfour, Syeikh Dr. Muhammad bin Muhammad al-Mukhtar al-Syinqiti, Syeikh Dr. Muhsin al-'Abbad dan ramai lagi.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini