“Sarah rajin tengok dop Pokemon?”, tanya Tok Aki.

“Mestila…Sarah selalu tengok kat Netflix.”, jawab Sarah sambil melihat burung merpati yang bertenggek di dahan pokok di luar tingkap.

“Zul ada keluar pandangan hukum pasal Pokemon dulu. Riuh satu Malaysia. Surat khabar Timur Tengah, orang putih pun banyak ambik pandangan dia. Macam-macam Zul kena. Ada yang sokong, tapi banyok jugok yang maki.”

Sarah membulatkan matanya dan berpaling ke arah Tok Aki dengan pantas. “Zul main Pokemon?”, tanyanya dengan penuh keterujaan.

*******************

Pokémon Go ialah aplikasi permainan telefon mudah alih yang menggunakan teknologi augmented reality (realiti berperantara) dan location-based (perisian berasaskan lokasi). Permainan ini dibangunkan oleh Syarikat Niantic Inc. dengan kerjasama Syarikat Pokemon Antarabangsa dan Nintendo Co. Ltd dan boleh dimuat turun melalui peranti mudah alih yang menggunakan Android dan IOS.

Bermula 6 Julai 2016, permainan ini telah dilancarkan di sebahagian benua seluruh dunia seperti Australia, New Zealand, Amerika Syarikat, German, United Kingdom, Itali, Sepanyol, Portugis, Austria, Belgium, Bulgaria, Croatia, Cyprus, Republik Czech, Denmark, Estonia, Finland, Greek, Greenland, Hungary, Iceland, Ireland, Latvia, Lithuania, Luxembourg, Malta, Netherlands, Norway, Poland, Romania, Slovakia, Slovenia, Sweden, Switzerland, Canada, dan Puerto Rico.

Di rantau Asia, hanya di Jepun dan Indonesia sahaja, para pengguna telefon mudah alih boleh bermain Pokemon Go, manakala negara-negara Asia lain seperti Malaysia, Thailand, Filipina, permainan ini masih belum dilancarkan secara rasmi. Pun begitu, di China, contohnya, para pemain masih bermain dengan memuat turun aplikasi yang tidak rasmi dan menggunakan aplikasi GPS Spoofing, yang memanipulasi perisian GPS untuk menggunakan peta negara lain yang sudah dilancarkan peta Pokemon Go.

Zulkifli melihat, ada keperluan untuk Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak mengeluarkan pandangan hukum berhubung aplikasi permainan Pokemen Go. Ia bukan hanya permainan biasa tetapi banyak isu-isu terkait terutamanya apabila ia menjadi fenomena di seluruh dunia.

****************

“Zif, Umar…enta cuba install game Pokemon Go dalam telefon ana ni. Ana nak cuba sendiri.”, pesan Zulkifli.

“Erk…Ustaz nak main ke? Tak ada lagi di Google Play tapi Umar boleh carikan APK kalau Ustaz nak.”, tanya Razif kehairanan.

“Ya, ana kena faham dulu mmolek sebelum bagi hukum. Enta dua buat lah gane-gane pun. Ana nak game tu ade dalam phone ana.”, jawab Zulkifli sambil mencatat beberapa dapatan yang diperolehnya daripada internet berkenaan Pokemon Go. Begitulah Islam mengajar kita dalam memutuskan satu-satu perkara terutamanya berkaitan agama.

الْحُكْمُ عَلَى الشَّيْءِ فَرْعٌ عَنْ تَصَوُّرِهِ

Ini merupakan kaedah yang masyhur dan amat mulia dalam kalangan ulama yang merentasi mazhab. Al-Jurjani berkata: “Tasawwur merupakan menghasilkan gambaran sesuatu pada akal dengan tepat. Bukanlah maksud dengan tasawwur dalam kaedah ini semata-mata gambaran minda pada akal tentang sesuatu.”[1]

Abu al-Baqa’ al-Kafawi berkata: “Tasawwur kadang-kadang dengan maksud ilmu atau pengetahuan. Dan ia bukanlah berdasarkan kepada tasawwur yang dusta. Justeru, tasawwur yang dimaksudkan dalam kaedah ini ialah tasawwur yang penuh dengan ilmu yang mendalam tentang sesuatu perkara. Ini kerana tasawwur tersebut adalah tepat pada minda dan fikiran yang selamat daripada kesilapan.”[2]

 Terdapat banyak dalil dan nas berkenaan kaedah ini. Antaranya firman Allah SWT:

وَكَيْفَ تَصْبِرُ عَلَىٰ مَا لَمْ تُحِطْ بِهِ خُبْرًا

Maksudnya: Dan bagaimana engkau akan sabar terhadap perkara yang engkau tidak mengetahuinya secara meliputi?[3]

Al-Sa’di berkata: Terdapat banyak faedah dalam kisah Khidir bersama Musa AS. Antaranya, hendaklah suatu perkara itu dicermati dan disemak tanpa segera menghukum ke atas sesuatu sehingga difahami apa yang dikehendakinya iaitu maksud.[4]

Begitu juga firman Allah SWT:

وَلَا تَقُولُوا لِمَا تَصِفُ أَلْسِنَتُكُمُ الْكَذِبَ هَـٰذَا حَلَالٌ وَهَـٰذَا حَرَامٌ لِّتَفْتَرُوا عَلَى اللَّـهِ الْكَذِبَ ۚ إِنَّ الَّذِينَ يَفْتَرُونَ عَلَى اللَّـهِ الْكَذِبَ لَا يُفْلِحُونَ

Maksudnya: Dan janganlah kamu berdusta dengan sebab apa yang disifatkan oleh lidah kamu: “Ini halal dan ini haram”, untuk mengada-adakan sesuatu yang dusta terhadap Allah; sesungguhnya orang-orang yang berdusta terhadap Allah tidak akan berjaya.[5]

Pengarang al-Kasysyaf berkata: Jangan kamu berkata ini halal dan ini haram berdasarkan sifat lidah kamu yang dusta. Dengan maksud lain, jangan kamu mengharamkan atau menghalalkan semata-mata ucapan lidah kamu yang keluar dari mulut kamu tanpa ada sebarang hujah.[6]

Zulkifli amat terkesan dengan salah satu nasihat Syeikh Bakr Abu Zaid yang berkata: “Seseorang itu hendaklah berfikir dahulu apabila bercakap tentang hukum sesuatu. Jika dia mengetahui dan mendapat gambar yang jelas, barulah dia bercakap. Sebaliknya jika tanpa mengetahui hakikat sesuatu, lebih baik dia diam, kerana keselamatan itu adalah pada yang diam.”[7]

“Ana cuma ikut apa yang ditegaskan para ulama’ antaranya Ibn Solah. Ibn Soleh ada jelaskan faqih yang sebenar adalah faham satu-satu hal dengan sebaiknya. Lepas dapat gambaran yang sempurna, barulah hukum boleh dikeluarkan.[8], ujar Zulkifli kepada Umar dan Razif yang masih terkial-kial memuat turun aplikasi permainan Pokemon Go tersebut.

********************

Zulkifli menggelengkan kepala apabila ditunjukkan laporan-laporan daripada media dalam negara berbahasa Inggeris. Penuh dengan makian, kecaman, dengan unsur Islamophobia. Laporan akhbar yang bersifat “click bait” memancing emosi warganet untuk memberikan 1001 komentar yang pelbagai.

Ana tak pernah kata Pokemon Go diharamkan. Ana cuma tegaskan, fatwa-fatwa Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Hai’ah Kibar Ulama Arab Saudi, al-Azhar, ada asasnya. Ana nasihat umat Islam di Malaysia tak perlu main Pokemon Go kalau bawa mudarat.”, kata Zulkifli kepada Wajdi, sejurus selepas ditunjukkan beberapa hantaran di Facebook.

“Kalau teliti betul-betul dalam artikel Bayan Linnas, ana sama sekali tak haramkan Pokemon Go. Pendekatan yang ana pakai, ana gunakan menggunakan kalimah-kalimah yang menzahirkan ana cenderung kepada pengharaman. Ana guna ayat perlu dijauhkan permainan Pokemon Go dan Pokemon itu sendiri jika permainan ini membawa kepada mudarat.”

“Ini antara manhaj Imam al-Syafie dalam mengeluarkan hukum. Sebagai contoh, Imam al-Syafie adakalanya dalam satu-satu hukum menyatakan ‘akrah’ (aku benci) atau kadangkala beliau kata ‘lam uhibb’ (aku tidak suka). Enta rujuklah Imam al-Ghazali dalam al-Mustasfa fi Usul al-Fiqh, Imam al-Subki pun ada huraikan kalam Imam al-Syafie. ‘Akrah’ tu membawa maksud haram walaupun kita terjemah, maksudnya benci/makruh. Itu seni bahasa Imam al-Syafie dalam fatwa.”

“Dalam masyarakat kita, kalau guna perkataan haram, memang kecoh slalu la. Jadi kena lebih berhemah. Ana nak masyarakat faham bahawa ana amat kurang gemar masyarakat kita terutama orang muda terlalu asyik dengan Pokemon Go. Bagi yang betul-betul baca dan faham artikel tu, akan faham pendirian ana. Kita jangan terpengaruh dengan media-media yang nak ambil kesempatan.”

Panjang lebar huraian Zulkifli kepada Syed Hashim dan Razif yang ada bersamanya di rumah, membantu beberapa projek baharu penulisan dan penyelidikan hukum.

Apa yang dirisaukan oleh Zulkifli, adalah senada dengan banyak pihak-pihak berkepentingan di luar sana. Bahkan Pope Francis, pemimpin utama agama Kristian mengeluarkan kenyataan yang jauh lebih keras dan Zulkifli berpandangan ia agak keterlaluan. Katanya, Pokemon Go “could bring children to Satan.”

Bermula dari masalah pencerobohan ruang peribadi, kemalangan, sehingga kesan psikologi, ia menimbulkan reaksi yang pelbagai oleh masyarakat seluruh dunia. Zulkifli memandang Pokemon Go samadengan permainan lain yang boleh melalaikan, dan membazir jika bermain dalam keadaan keterlaluan. Bahkan membahayakan nyawa sebagaimana banyak kes-kes di serata dunia.

“Kita tak rasa bahaya ke, orang ramai mengadap handphone ke sana sini, tak tengok sekeliling? Makin lama, kita makin putuskan diri kita dengan dunia sebenar. Kita seolah-olah hidup dengan alam yang tak wujud. Ana tak rasa ni benda yang sihat untuk jangka masa panjang…”, tegas Zulkifli dalam sebuah Kuliah Maghrib yang disampaikannya di Kuala Lumpur.

“Kenapa tak haramkan saja?! Masyarakat keliru dengan istilah-istilah berlapik ni!”. Mungkin ada yang terlintas soalan sedemikian

“Seni dalam kita nak beri hukum, fatwa ni ada. Bukan main senang-senang letak hukum halal, haram. Benda ni pun tak ada dalam syariat. Kadang-kadang dengan satu istilah tu, boleh timbulkan 1001 masalah. Jadi, perlu kita guna pendekatan yang lebih lunak dengan maksud yang hampir sama. Mufti keluar hukum bukan pakai kitab-kitab fiqh je. Mufti pun kena kaya dengan “kitab” kehidupan dan pengalaman. Itu pun banyak bantu dalam proses pengeluaran hukum.”, katanya sebelum menutup kuliahnya pada malam itu.

Pandangan hukum yang dikeluarkan oleh Zulkifli mendapat liputan akhbar yang meluas samada dalam dan luar negara. Jika ingin membuat carian akhbar-akhbar Timur Tengah tentang isu ini, taip sahaja مفتي ماليزيا يحرم لعبة “بوكيمون جو”. Puluhan artikel dalam talian yang memaparkannya.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan perlahan-lahan mula dikenali di peringkat nasional dan antarabangsa asbab Pokemon Go. Kunjungan di web sudah mencecah hampir 1 juta pengunjung. Di sebalik kecaman yang diterima saban hari, ramai juga yang membela beliau.

“Alhamdulillah, ana tak kisah sangat dengan apa orang kata. Ana pun jarang-jarang baca. Sibuk. Hasrat ana cuma nak posisikan institusi kefatwaan ni sebagai tempat rujukan dan satu hari nanti setanding dengan Dar al-Ifta’ al-Misriyyah misalnya. Hari-hari kita jawab soalan orang ramai. Setakat ni kita di laluan yang tepat. Kita mesti responsif, cakna isu semasa, dan sedaya upaya jadi solusi untuk permasalahan ummah!”, kata Zulkifli sebelum menutup mesyuarat harian bersama para penyelidik Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

____________________

[1] Lihat al-Ta’rifat, hlm. 59

[2] Lihat al-Kulliyyat, hlm. 290

[3] Surah al-Kahfi (68)

[4] Taisir al-Karim al-Rahman, 2/13

[5] Surah al-Nahl (116)

[6] Tafsir al-Kasyaf, 2/598

[7] Hilyah Talib al-Ilmi, hlm. 16

[8] Adab al-Mufti wa al-Mustafti, 1/37

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *