“Ustaz, doakan saya masuk syurga. Banyak sangat dosa saya. Ya Allah…”, bisik seorang Banduan Akhir selepas selesai majlis. Semua Banduan Akhir bersalam-salaman dengan Zulkifli sebelum majlis tamat.
Tahun pertama Zulkifli mengusulkan program ziarah Mufti Wilayah Persekutuan ke Penjara Kajang, ia amat-amat memberi kesan kepada dirinya sendiri termasuk kepada masyarakat Malaysia. Media memberikan liputan meluas kepada program tersebut. Tidak pernah dalam sejarah Malaysia, seorang Mufti turun bertemu Banduan-Banduan Akhir dalam bulan Ramadhan. Berbuka puasa dan menunaikan solat Tarawih bersama-sama mereka.
Pada awalnya, Jabatan Penjara Malaysia agak keberatan untuk meluluskan program tersebut. Faktor keselamatan menjadi alasan utama. Namun, Zulkifli tetap berkeras inginkan program itu diteruskan. Baginya, Ramadhan yang dirasakan nikmatnya di dunia luar patut juga dirasakan oleh para penghuni tirai besi.
“Datuk, ini pertama kali dalam sejarah Penjara Kajang benarkan Banduan Akhir datang di Dewan A B, solat sekali dengan Mufti dan para pegawai. Saya sebagai Pengarah, akan pastikan keselamatan berada di tahap tertinggi insya-Allah…”, pesan TKP Abdul Halim kepada Zulkifli.
“InsyaAllah Tuan Haji. Tak ade ape-ape. Allah ade.”, jawab Zulkifli tersenyum. Kedua-duanya melangkah masuk ke dalam Penjara Kajang bersama-sama para pegawai Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan Penjara Kajang.
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menyediakan jamuan yang istimewa untuk Banduan Akhir berbuka puasa; Nasi Arab Kambing. Ada yang mengelap air mata yang mengalir dengan hujung baju sejurus selepas suapan pertama ke mulut. Entah berbelas tahun tidak pernah merasa keenakan Nasi Arab.
Makanan yang disediakan untuk Banduan Akhir di penjara, tidak sebagaimana yang kita nikmati di dunia luar. Ikan tidak bertulang, ayam dan daging hanya isi sahaja. Kerana senjata tajam boleh dicipta daripada apa-apa sahaja. Hari ini mungkin tawar, esok mungkin terlebih garam! Apa yang ada, itulah yang dijamah.
********************
Sujudnya bersama-sama Banduan Akhir semasa rakaat terakhir solat sunat Witir, terasa begitu menenangkan. Tidak ada yang membezakan antara satu sama lain apabila dahi mencecah ke sejadah. Tunduk menghinakan diri di hadapan Allah SWT.
Selesai solat, Zulkifli mengambil tempatnya di kerusi yang disediakan dan menyampaikan tazkirah. Sepanjang tazkirah disampaikan,
“Ana buka ruang untuk sahabat-sahabat tanya sebarang soalan. Ada soalan?”, tanya Zulkifli kepada para Banduan Akhir di penghujung perkongsiannya. Beberapa orang cuba mengangkat tangan. Zulkifli memilih penanya yang berada di sudut dinding dewan. Beliau adalah bekas pembunuh dengan kes berprofil tinggi.
“Datuk. Kami sini semuanya ada kesalahan masing-masing. Sejujurnya, kami sedar yang kami telah buat dosa dengan Allah. Tapi, macam mana dengan dosa dan taubat yang berulang? Tahu salah, tapi buat lagi. Lepas tu taubat. Kemudian buat lagi. Allah ampun tak dosa kami?”, tanya beliau. Wajahnya bersih, penuh pengharapan.
“Secara asasnya, bertaubat daripada dosa hukumnya wajib. Allah SWT berfirman:
وَتُوبُوا إِلَى اللَّـهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Maksudnya: dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.[1]
Allah SWT juga berfirman:
وَأَنِ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ ثُمَّ تُوبُوا إِلَيْهِ يُمَتِّعْكُم مَّتَاعًا حَسَنًا إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى وَيُؤْتِ كُلَّ ذِي فَضْلٍ فَضْلَهُ
Maksudnya: Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu (dari perbuatan syirik), kemudian hendaklah kamu rujuk kembali taat kepadaNya; supaya Ia memberi kamu nikmat kesenangan hidup yang baik (di dunia) hingga ke suatu masa yang tertentu, dan (di akhirat pula) Ia akan memberi kepada tiap-tiap seorang yang mempunyai kelebihan (dalam sebarang amal yang soleh) akan pahala kelebihannya itu;[2]
Zulkifli menyambung lagi, “Imam al-Nawawi sebut dalam kitab Riyadhussolihin: “Para ulama berkata, bertaubat dari setiap dosa hukumnya adalah wajib. Jika maksiat (dosa) itu antara hamba dengan Allah SWT – yang tidak ada sangkut pautnya dengan hak manusia – maka syaratnya ada tiga iaitu kita tinggalkan maksiat, menyesal, dan bertekad untuk tak lagi buat. Tapi bila berkaitan dengan hak manusia yang lain, maka tambah satu lagi syarat…selesaikan dengan manusia tu. Kalau curi harta, kena kembalikan. Kalau tuduhan palsu, kena bersihkan nama dia dan minta maaf. Kalau mengumpat, kena minta maaf.”[3]
Dalam sebuah hadis yang driwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ عَبْدًا أَصَابَ ذَنْبًا ، وَرُبَّمَا قَالَ : أَذْنَبَ ذَنْبًا ، فَقَالَ : رَبِّ أَذْنَبْتُ ، وَرُبَّمَا قَالَ : أَصَبْتُ ، فَاغْفِرْ لِي ، فَقَالَ رَبُّهُ : أَعَلِمَ عَبْدِي أَنَّ لَهُ رَبًّا يَغْفِرُ الذَّنْبَ وَيَأْخُذُ بِهِ ، غَفَرْتُ لِعَبْدِي ، ثُمَّ مَكَثَ مَا شَاءَ اللَّهُ ، ثُمَّ أَصَابَ ذَنْبًا أَوْ أَذْنَبَ ذَنْبًا ، فَقَالَ : رَبِّ ، أَذْنَبْتُ أَوْ أَصَبْتُ آخَرَ ، فَاغْفِرْهُ ، فَقَالَ : أَعَلِمَ عَبْدِي أَنَّ لَهُ رَبًّا يَغْفِرُ الذَّنْبَ وَيَأْخُذُ بِهِ ، غَفَرْتُ لِعَبْدِي ، ثُمَّ مَكَثَ مَا شَاءَ اللَّهُ ، ثُمَّ أَذْنَبَ ذَنْبًا ، وَرُبَّمَا قَالَ : أَصَابَ ذَنْبًا ، قَالَ : قَالَ رَبِّ ، أَصَبْتُ أَوْ قَالَ أَذْنَبْتُ آخَرَ : فَاغْفِرْهُ لِي ، فَقَالَ : أَعَلِمَ عَبْدِي أَنَّ لَهُ رَبًّا يَغْفِرُ الذَّنْبَ وَيَأْخُذُ بِهِ ، غَفَرْتُ لِعَبْدِي ثَلَاثًا ، فَلْيَعْمَلْ مَا شَاءَ
Maksudnya: Sesungguhnya seorang hamba melakukan dosa lalu dia berkata: “Ya Tuhan, aku telah berdosa. Ampunilah diri ku.” Lalu Allah SWT menjawab: “Adakah hamba-Ku tahu bahawa dia mempunyai Tuhan yang akan mengampuni dan menghukum dosanya? Aku telah mengampuni hamba-Ku.”
Imam al-Nawawi ada jelaskan…Walaupun dosa berulang seratus atau seribu atau lebih, dan orang ni bertaubat setiap kali buat dosa, maka dengan sekali taubat untuk semua dosa, maka taubatnya tetap sah.”[4], kata Zulkifli sambil memandang satu persatu wajah mereka.
Kelihatan beberapa orang Banduan Akhir sedang mengesat air mata dan beristighfar. Inilah yang disebut oleh al-Imam al-Qurtubi sepertimana dinukilkan oleh al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari, beliau berkata:
“Hadis (di atas) menunjukkan betapa besarnya faedah istighfar, betapa agungnya kurniaan Allah, betapa luasnya rahmat, kelembutan dan kemurahan Allah. Akan tetapi istigfar ini ialah istighfar dimana hatinya mempunyai niat yang sama dengan apa yang lidah lafazkan untuk meninggalkan maksiat, dan ia disertai dengan rasa penyesalan. Inilah maksud taubat.”
“Ia bermaksud sesiapa yang mengulangi dosa dan taubat, setiap kali terjebak ke dalam dosa dia akan kembali bertaubat. Ia bukan bermaksud sesiapa yang lidahnya memohon ampun kepada Allah, sedangkan hatinya berterusan mahu melakukan maksiat itu.”[5]
Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا تُوبُوا إِلَى اللَّـهِ تَوْبَةً نَّصُوحًا عَسَىٰ رَبُّكُمْ أَن يُكَفِّرَ عَنكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَيُدْخِلَكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan “Taubat Nasuha”, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai,[6]
Seperti malam-malam lain, di sebalik kesuraman Penjara Kajang yang gah tersergam, blok Banduan Akhir tetap kekal bercahaya dalam bulan Ramadhan. Kedengaran suara para banduan berzikir dan membaca al-Qur’an. Ada yang memanfaatkan masa sepanjang malam dengan bermunajat, menghidupkan malam Ramadhan dengan qiyamullail.
******************
“Insya-Allah, tahun-tahun akan datang pun kita akan buat. Ana nak liputan yang lebih luas. Supaya masyarakat tak lagi ada stigma dengan banduan. Semua orang pernah buat salah cuma bezanya, ada segelintir yang Allah uji seperti banduan-banduan ni…”, kata Zulkifli kepada pembantunya, Hashim.
Jarum jam sudah menginjak ke angka 11. Kenderaan rasmi Mufti Wilayah Persekutuan meluncur laju keluar menuju pulang ke Bandar Baru Nilai.
__________________
[1] Surah al-Nur: 31
[2] Surah Hud: 3
[3] Riyadhussolihin, hlm. 41-42
[4] Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 9/128
[5] Fath al-Bari, 21/89
[6] Surah al-Tahrim: 8