Bab 73: “Datuk…Mak Saya Pelacur!”

Seorang wanita dengan umur 30-an termangu-mangu sendirian di ruang menunggu yang disediakan di Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. Beliau tidak menghiraukan staf yang lalu lalang. Beberapa orang tetamu sudah silih berganti masuk dan keluar menemui Zulkifli. Puan Rahmah berulang-kali meneliti fail jadual harian Mufti Wilayah Persekutuan. “Hmm…tak ada buat appointment ni!”, getus beliau dalam hati.

Puan Rahmah bingkas bangun dan menuju ke arah wanita berkenaan. Beliau menyapa wanita berkenaan dengan lembut, “Mohon maaf puan. Saya semak jadual, lepas pertemuan sekarang ni Datuk memang tak ada apa-apa temujanji. Puan nak jumpa Datuk ke?”

“Ye. Saya nak jumpa Datuk. Tapi saya tak buat temujanji. Akak ni Setiausaha Mufti ke? Tolong izinkan saya jumpa Datuk. Sekejap pun takpe.”, balasnya dengan wajah yang menyimpan 1001 rasa. Tangannya diramas-ramas dan kelihatan jelas nafasnya berombak. Petanda kemungkinan beliau ada sedikit tekanan.

Zulkifli yang keluar daripada biliknya untuk menghantar tetamu ke muka pintu menjeling ke arah wanita berkenaan. Beliau memberikan isyarat mata ke arah Puan Rahmah. Dengan pantas Puan Rahmah bingkas bergerak ke biliknya dan menyediakan Air Teh. Begitulah kebiasaannya di Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. Tetamu sudah pasti akan dijamu sekurang-kurangnya dengan secawan Air Teh panas.

“Awak minum dulu. Tenang-tenang. Sekejap lagi lepas selesai, Puan Rahmah akan panggil masuk. Kita bincang apa yang perlu.”, pesan Zulkifli ringkas kepada wanita berkenaan. Wanita itu mengangguk lemah dan mencapai cawannya.

********************

“Datuk. Mak saya pelacur. Saya tak tahu siapa ayah saya!”, luah wanita berkenaan yang mula menangis. Zulkifli mengambil kotak tisu di mejanya dan menghulurkan kepada wanita berkenaan.

“Teruskan. Saya sedang dengar…”, ujar Zulkifli perlahan. Wanita berkenaan mengambil masa beberapa minit untuk kembali bertenang dan menyambung kisahnya.

“Saya rasa saya ni dah ditakdirkan hidup malang. Mak saya benci saya. Keluarga mak saya pun benci saya. Saya dibuang, jadi gelandangan hidup di tepi jalan. Dari kecil lagi saya tak rasa kehidupan macam budak-budak lain. Makan, pakai semua cari sendiri.”. Nafasnya tersekat-sekat menahan sendu.

“Mak awak masih ada?”, tanya Zulkifli dengan penuh prihatin. Wanita berkenaan menggelengkan kepala. “Dah mati. Gantung diri sendiri.”, jawabnya ringkas. Air matanya masih mengalir laju. Zulkifli menggelengkan kepala dan menunduk.

“Saya dah kahwin. Cuma, rasa bahagia tu sekejap je. Suami saya suka berhutang dengan Ah Long. Hari-hari Ah Long cari dia. Hidup kami memang tak tenteram. Pernah Ah Long datang rumah dan ugut. Saya hampir-hampir kena perkosa. Untuk selamatkan diri, suami lari tinggal saya terkontang-kanting.”, sambungnya lagi.

Ya Allah! Zulkifli menghela nafasnya. Pendingin hawa yang dipasang, tak terasa sejuknya. Berat masalah yang dihadapi wanita dihadapannya ini. Saiyidina Umar al-Khattab RA pernah berkata:

وإيَّاكُمْ والدَّيْنَ ، فإنَّ أوَّلَهُ هَمٌّ ، وآخِرَهُ حَرْبٌ

Maksudnya: “Peliharalah diri kamu dan jauhilah hutang kerana sesungguhnya permulaan hutang adalah kesusahan hati. Sementara penghujungnya adalah pertengkaran.”[1]

Al-Qanazi’ie berkata: Awasi kamu daripada berhutang dengan maksud hutang yang diberhutangkannya adalah kebodohan. Adapun, apa yang dihutang untuk taat kepada Allah, inilah yang ditolong oleh Allah untuk melangsaikannya (seperti hutang untuk berkahwin dan lain-lain).[2]

“Tapi Datuk. Saya datang bukan nak adu masalah. Saya cuma nak tanya hukum.”, katanya tiba-tiba sejurus selepas menyeka air matanya. Terkejut seketika Zulkifli dengan kenyataan wanita berkenaan. Hampir 15 minit lamanya beliau mendengar kisah menyayat hati daripada seorang wanita, tapi itu bukan tujuan utama kedatangannya.

“Alhamdulillah, saya baru dapat kerja dan ada sikit simpanan. Saya nak pergi umrah. Cuma saya tak ada mahram. Satu lagi, saya tak tahu pakej yang saya ambil tu ok atau tak. Saya nak ke sana untuk tenangkan hati, bina semangat dan mula hidup baru, Datuk!”. Beliau mengangkat wajahnya dan memandang Zulkifli dengan penuh bersemangat. Kelihatan bengkak matanya kerana tangisan sebentar tadi.

Zulkifli memalingkan wajahnya ke tingkap dan berkata, “Insya-Allah apa-apa pakej pun baik asalkan sesuai dengan kewangan. Berkenaan mahram, awak tak perlu risau. Para ulama’ Syafi’iyyah membolehkan wanita pergi umrah tanpa mahram dengan syarat ada dua orang wanita lain yang jadi teman. Wanita tu mestilah yang boleh dipercayai. Biasanya dalam jemaah wanita dah ada mutawwifah dan urusetia wanita. Itu dah cukup. Selain tu, keadaan aman dan selamat. Zaman sekarang insya-Allah selamat. Pasport tu jaminannya. Perjalanan ke sana pun tak lama macam zaman dulu.[3]

Zulkifli kemudiannya menyeluk poket jubahnya dan menghulurkan beberapa keping not kertas kepada wanita tersebut. Beliau menolak dan berkata, “Terima kasih Datuk. Saya lega dengar jawapan Datuk. Duit ni saya tak boleh terima. Insya-Allah, saya mampu lagi kerja sendiri. Saya nak buktikan kepada diri saya sendiri yang saya mampu jadi lebih baik.”.

“Baiklah. Saya pun lega dengar. Cuma saya nak pesan satu perkara. Allah sebut dalam al-Qur’an, seorang tu tak tanggung dosa orang lain.[4] Apa pun latarbelakang mak ayah awak, atau macam mana awak lahir samada melalui pernikahan sah atau tak, itu tak menjejaskan kedudukan awak di sisi Allah. Tak ada namanya nasib malang. Setiap orang Allah dah tentukan nasibnya dan dia kenalah usaha ke arah kebaikan supaya Allah mudahkan dia ke jalan yang baik. Kalau awak orang yang bertakwa, awaklah orang yang paling dekat di sisi Allah.”, ujar Zulkifli mengakhiri pertemuannya dengan wanita berkenaan.

********************

Malam itu, Zulkifli masih teringatkan pertemuannya dengan wanita berkenaan. Di tengah-tengah kesibukan kota batu Kuala Lumpur, masih ramai yang terperangkap dalam mengharapkan dan mencari sebuah kebahagiaan. Tak sedikit duri dan ranjau terpaksa mereka tempuhi.

Kehidupan wanita tersebut sudah hampir musnah, hancur berkecai. Namun semangat kuat untuk bangkit semula dan berada di landasan yang tepat. Tak ramai yang sesabar wanita itu. Diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA, bahawa Nabi SAW:

يَأْتِيْ عَلَى النَّاسِ زَمَانٌ الصَّابِرُ فِيْهِم عَلَى دِيْنِهِ كَالقَابِضِ عَلَى الجَمْرِ

Maksudnya: “Akan datang kepada manusia satu zaman di mana orang yang sabar daripada kalangan manusia yang berpegang dengan agamanya seperti seorang yang menggenggam bara api.”[5]

Telah berkata al-Qari’: “Tidak mungkin seseorang itu boleh memegang atau menggenggam bara api melainkan ia memerlukan kesabaran yang tinggi dan perlu menanggung kesusahannya. Untuk itu, tidak dapat digambarkan pada waktu itu apabila seseorang itu ingin menjaga agamanya dan juga cahaya keimanannya kecuali dengan kesabaran yang tinggi”[6]

Jarum jam yang berdenting menunjukkan jam 12 tengah malam. Zulkifli tersedar daripada lamunannya dan menutup helaian kitab-kitab yang dibacanya untuk rujukan artikel Bayan Linnas dan beberapa kajian untuk Mesyuarat Fatwa minggu hadapan.

“Seorang Mufti bukan hanya mengeluarkan hukum, tetapi juga adalah penyelesai kepada masalah masyarakat. Hidupnya untuk masyarakat, dengan masyarakat. Apabila ada yang berjumpa dengannya, mereka boleh pulang dengan senyuman dan rasa lega. Timbunan kitab-kitab itu cuma sebahagian kecil amanah seorang Mufti…”. Zulkifli bermonolog sendirian sebelum melelapkan mata.

____________________

[1] Riwayat Imam Malik dalam al-Muwatta’ (1460) dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (11595)

[2] Lihat Tafsir al-Muwatta’, 2/544

[3] Lihat Al-Tajrid Linnaf’i Al-‘Abid Hasyiah Al-Bujairimi ‘Ala Minhaj Al-Tullab, 6/35; Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 4/500; Al Minhaj Syarh Shahih Muslim, 9/104.

[4] Firman Allah SWT:

وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَى

Maksudnya: “Dan (ketahuilah), seseorang pemikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain;” (Surah Al-Faathir: 18)

[5] [Riwayat al-Tirmizi (2260)] [Hadith ini sahih dengan banyaknya syawahid (jalur lain) padanya]

[6] Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 6/444

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *